Mahkamah tolak permohonan ibu batal pengislaman anak – Berita Harian


Mahkamah tolak permohonan ibu batal pengislaman anak

2011/10/21

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini menolak permohonan seorang guru tadika beragama Hindu supaya Mahkamah Persekutuan mendengar permohonannya bagi membatalkan pengIslaman tiga anaknya selepas suaminya memeluk agama itu, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Tarmizi Abd Rahman yang membuat keputusan itu dalam kamar, mengarahkan perbicaraan penuh permohonan membatalkan perakuan memeluk islam tiga anaknya pada 2009 didengar di mahkamah itu.

5 pelajar sekolah agama didakwa cabul – Metro


5 pelajar sekolah agama didakwa cabul

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Lima pelajar tingkatan tiga sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) dekat sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan mencabul seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dengan menggunakan kekerasan dalam kejadian pada Ogos tahun lalu.

Semua pelajar terbabit berusia 15 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor dan minta kes itu dibicarakan sendiri.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua remaja terbabit didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa berusia 14 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah agama dekat sini, dengan menyedari perbuatan itu berkemungkinan mencabul kehormatan.

 

Kelima-lima tertuduh yang beralamat di sekitar bandar ini termasuk dari Kampung Pantai Kundor, Badang, Jalan Kuala Besar dan Jalan Pantai Cahaya Bulan, dituduh melakukan perbuatan itu bersama-sama seorang masih bebas di sebuah sekolah agama antara jam 10 pagi hingga 2 petang, pada 9 Ogos tahun lalu.
Mereka yang ditangkap pada 17 Ogos tahun lalu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dengan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, denda atau sebatan, jika didapati bersalah.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam.

Anak selamat ibu diragut – Metro


Anak selamat ibu diragut

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JITRA: Tindakan pantas seorang anak berjaya menggagalkan cubaan lelaki yang meragut dompet ibunya apabila dia nekad melanggar motosikal peragut terbabit sehingga terjatuh dengan kereta dipandunya dalam kejadian di Taman Damai Jaya di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, Mohd Atif Azizi, 20, turut bergelut dengan lelaki berusia 29 tahun itu yang cuba menikamnya dengan sebilah pisau Rambo sebaik terjatuh dari motosikal.
Mohd Atif, pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, berkata ketika sedang menunggu ibunya, Norhayati Ariffin, 50, di dalam kereta dia terdengar jeritan ibunya dan ternampak seorang lelaki cuba melarikan diri.

 

“Sebaik melihat kejadian itu, saya nekad memecut kereta dan melanggar motosikal dinaiki suspek sebelum dia terjatuh apabila motosikalnya terhalang oleh sebuah kenderaan lain,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Damai Jaya di sini, semalam.
Mohd Atif berkata, dia turun dari kereta dan cuba bergelut dengan lelaki berkenaan menyebabkan dia cuba melawannya serta mengeluarkan pisau dari poket seluar untuk menikamnya, tetapi gagal apabila Mohd Atif menepis tangan suspek menyebabkan pisau itu terjatuh.
“Pada masa sama, orang ramai datang membantu menangkap lelaki itu sebelum menyerahkannya kepada polis yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

 

 

Norhayati yang juga seorang guru berkata, ketika kejadian dia baru selesai membayar barangan yang dibelinya untuk majlis perkahwinan anak lelaki sulungnya, Sabtu ini, apabila seorang lelaki berjaket dan bertopi keledar memasuki kedai “Lelaki itu menarik dompet saya dan dalam keadaan tergamam, saya cuba berlawan untuk mendapatkan semula dompet berkenaan tetapi lelaki itu menolak saya beberapa kali menyebabkan saya jatuh menyebabkan mengalami lebam di dada, rusuk kiri dan lengan kiri,” katanya.
Difahamkan, sebelum kejadian lelaki berkenaan dikatakan cuba menyamun pekerja di sebuah farmasi di Pantai Halban, dekat sini, dengan mengacu pisau ke dada Norazira Ismail, 36, yang ketika itu bersama rakannya, Rohayu Man, 27, sedang membungkus barangan dalam farmasi itu.

 

Bagaimanapun, Rohayu berjaya keluar dari premis untuk meminta bantuan menyebabkan suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal menghala ke Taman Damai Jaya sebelum menyamun Norhayati kira-kira setengah jam kemudian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek kini direman bermula kelmarin untuk siasatan.

Teman lelaki pelajar bunuh bayi ditahan – Utusan


Teman lelaki pelajar bunuh bayi ditahan

BETONG 20 Okt. – Polis menahan teman lelaki kepada seorang pelajar yang bertindak kejam membunuh bayinya yang baru lahir di bilik asrama perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Layar, dekat sini, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Betong, Asisten Supritendan Hendry Nyuhai berkata, lelaki itu ditahan di kediamannya di Rumah Panjang Muman, Ulu Layar, pukul 5 petang, sehari selepas kejadian, untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Polis terpaksa menyewa bot penduduk kampung dan menyusuri sungai selama lima jam untuk ke rumah panjang itu bagi menangkap lelaki tersebut. Dia kini direman sehingga 26 Oktober ini,” ujarnya.

Dalam kejadian itu, seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemui mati dengan lehernya dikelar manakala perutnya terburai dipercayai ditikam dengan pisau di bilik asrama perempuan di sekolah berkenaan.

Dalam perkembangan kes lain, Hendry berkata, polis menahan seorang lelaki kerana merogol sepupunya yang hamil empat bulan di rumah suspek di Spaoh, dekat sini, kelmarin.

Katanya, sebelum kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun itu dipercayai pergi ke rumah abang sepupunya untuk meminjam cakera video digital (DVD).

“Sebaik sahaja tiba di rumah tersebut, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori telah mengunci pintu sebelum memeluk mangsa dari belakang dan menariknya ke sebuah bilik lalu merogolnya.

“Selepas dirogol, mangsa kembali ke rumahnya lalu memaklumkan perkara tersebut kepada keluarganya yang membuat laporan polis,” ujarnya.

Polis kemudian memberkas suspek yang berusia 26 tahun itu ketika menunggang motosikal di pekan Spaoh.

Usah ‘seronok sendiri’ sasar NKRA – Utusan


Usah ‘seronok sendiri’ sasar NKRA

 

Oleh WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan perkhidmatan awam agar tidak diulit perasaan ‘seronok sendiri’ ketika merealisasikan sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah ditetapkan.

Sebaliknya, kata Timbalan Perdana Menteri, perkhidmatan awam perlu berusaha mendapatkan penerimaan rakyat dan memperbetulkan persepsi silap mereka terhadap segala inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan selama ini.

Beliau berkata, rakyat perlu merasai kesan dan menikmati hasil NKRA bukan semata-mata menerusi angka tetapi juga melalui pemerkasaan yang diterajui oleh perkhidmatan awam.

“Justeru, sebagai penjawat awam yang mendukung dan menjayakan dasar kerajaan adalah penting untuk kita sentiasa memikirkan persoalan-persoalan seperti ‘adakah rakyat faham tentang usaha yang kerajaan lakukan selama ini?; Kenapakah rakyat tidak bersama-sama menyertai untuk menjayakan segala usaha tersebut?

‘‘Apakah impaknya cukup besar kepada rakyat untuk mereka menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini? Dan di manakah silapnya apabila rakyat masih tidak berpuas hati dengan segala usaha dan pencapaian kita?’

“Kita perlu kesan, imbas dan betulkan segala tindakan dan usaha bagi menjayakan inisiatif tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam ke-16 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Pemangku Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, Datuk Dr. Mohd. Azhar Yahaya.

Persidangan dua hari yang bertemakan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan: Peranan Perkhidmatan Awam itu turut disertai 20 tokoh tersohor negara dalam sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan berkongsi pendapat mereka dalam usaha memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan awam.

Muhyiddin berkata, dalam keghairahan memacu usaha-usaha pemerkasaan NKRA, adalah penting bagi sektor awam untuk berada di barisan hadapan dengan mempelopori perkongsian pintar antara kerajaan dan rakyat menerusi pelaksanaan tindakan yang efisien dan efektif.

Katanya, ia termasuk memerhati kesan sampingan ketara yang terpaksa ditanggung oleh rakyat masa kini terutama dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang menjadi isu nasional.

Menurut beliau, walaupun telah banyak yang dilaksanakan kerajaan membawa kesan positif kepada rakyat, perkhidmatan awam harus sentiasa dahagakan usaha untuk melonjak ke hadapan dan berinovasi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai usaha kita. Kita tidak boleh alpa kerana sebarang kealpaan akan menyebabkan perkhidmatan awam diberikan penilaian negatif dan ditafsir sebagai tidak relevan lagi dalam pembangunan negara,” katanya.

Guru tak mengaku cabul murid berusia lapan tahun – Utusan


Guru tak mengaku cabul murid berusia lapan tahun

21/10/2011 12:33pm

 

PETALING JAYA 21 Okt. – Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang murid perempuan yang berusia lapan tahun, Mac lalu.

Mohd. Radzi Misran, 55, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sekolah tempat dia mengajar di Bandar Sunway, Subang Jaya di sini antara pukul 1.30 petang dan 6 petang, 29 Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid membenarkan tertuduh yang diwakili peguam bela, Datuk Suraj Singh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes. – Utusan