SURAT SIARAN PELAKSANAAN PROJEK RINTIS PENDIDIKAN ASAS VOKASIONAL (PAV) DI SEKOLAH MENENGAH TERPILIH


SURAT SIARAN PELAKSANAAN PROJEK RINTIS PENDIDIKAN ASAS VOKASIONAL (PAV) DI SEKOLAH MENENGAH TERPILIH

Lima beradik bergilir ponteng sekolah demi keluarga – Bernama


Lima beradik bergilir ponteng sekolah demi keluarga

24/10/2011 4:32pm

 

KOTA BAHRU 24 Okt. – Demi menjaga bapa, nenek dan datuk yang sakit, lima beradik di Kampung Tok Ku, Sering, dekat sini terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah biarpun menyedari tindakan itu bererti memperjudikan masa depan mereka.

Kakak sulung daripada lima beradik itu, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16, berkata, dia dan adik-adiknya, Nik Muhamad Arif, 15; Nik Muhamad Afif, 13; bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti serta Nik Mohamad Azwar, 11; dan Nik Nur Athirah, 10, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal, terpaksa ponteng sekolah bagi meringankan beban ibunya, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang mengambil alih tugas menyara keluarga selepas bapanya, Zulkifli Deraman, 44, disahkan menghidap penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu.

“Selepas bapa disahkan menghidap penyakit angin ahmar dan lelah sehingga dia tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu, ibu terpaksa mengambil alih menjadi ketua keluarga dan mencari nafkah untuk kami sekeluarga.

“Keadaan bapa yang semakin teruk sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang memaksa kami bergilir ponteng sekolah menjaga bapa menggantikan ibu yang keluar bekerja… apatah lagi kedua-dua nenek dan datuk saya, Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, dan Tengku Ahmad Tengku Daud, 90, yang sakit tua dan tinggal bersama kami memerlukan penjagaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Nur Alwani berkata, keadaan bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) kawasan Kedai Lalat dan buruh di kampungnya kini semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap dan terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau penghulu Kampung Tok Ku, Shukri Ali di talian 013- 9538113.

Bantuan juga boleh terus disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Tengku Azizah yang bernombor 03103-29-00015739-3. – Bernama

Kementerian Pendidikan perjelas teguran ketua audit – Bernama


Kementerian Pendidikan perjelas teguran ketua audit

24/10/2011 4:40pm

 

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Perbelanjaan sebenar Kementerian Pelajaran melebihi peruntukan yang diperolehnya tahun lepas disebabkan oleh peningkatan dalam perbelanjaan mengurus, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, tahun lepas, kementerian itu diberi peruntukan lebih RM26.49 bilion, manakala perbelanjaan sebenarnya melebihi RM28.25 bilion yang menunjukkan pertambahan 6.6 peratus.

“Antara sebab peningkatan ialah kementerian kita ada kira-kira 500,000 guru serta kakitangan dan dalam belanja mengurus sahaja, 70 peratus melibatkan emolumen.

“Tiap kali kita buat pertukaran (kakitangan dan guru) kita bayar elaun. Ini sebab kadangkala perbelanjaan berbeza dan ada peningkatan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ka Siong mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan hari ini yang menyatakan Kementerian Pelajaran adalah antara sembilan kementerian/jabatan mencatat perbelanjaan sebenar melebihi peruntukan.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar baru seperti 1Murid 1Sukan turut menyumbang kepada peningkatan belanja mengurus kerana ia melibatkan pertambahan peruntukan untuk seseorang murid. – Bernama

PENGGUNAAN BORANG-BORANG BERKAITAN URUSAN CUTI BELAJAR PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


PENGGUNAAN BORANG-BORANG BERKAITAN URUSAN CUTI BELAJAR PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Adalah dimaklumkan bahawa Bahagian Tajaan Pendidikan telah mengemaskini borang-borang berkaitan urusan cuti belajar Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Borang-borang ini akan menggantikan borang-borang sedia ada. Sehubungan itu, sebarang permohonan berkaitan urusan cuti belajar hendaklah menggunakan borang-borang ini. Borang ini berkuatkuasa digunakan mulai  Oktober 2011. Borang-borang tersebut boleh dicapai disini.
Sebarang pertanyaan mengenai borang-borang ini, sila hubungi Suhana binti Ibrahim di talian 03-83217159 atau Zalina binti Morad di talian 03-83217143.

E-mel anda: Tiada khabar mengajar – Metro


E-mel anda: Tiada khabar mengajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PADA penghujung Mei lalu, saya dan rakan-rakan telah menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di bawah program berkembar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang ditaja Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ia mengambil masa selama enam tahun bermula pada Julai 2005.
Majlis konvokesyen yang melupakan sejenak kerisauan kami, juga selesai.

 

Persoalannya di sini, bilakah agaknya kami akan memulakan tugas di sekolah? Untuk pengetahuan, kami adalah kumpulan keempat program pengajian ini.
Bagi kumpulan terdahulu, paling lama mereka cuma perlu menunggu selama tiga bulan sebelum memulakan tugas.
Bagaimanapun, kami sudah menanti hampir lima bulan. Banyak pertanyaan diajukan kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan di sini kami ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian beliau melayan pertanyaan kami walaupun tiada kepastian diberikan.

 

 

Namun, kami berpendapat masalah di sini berpunca daripada pengurusan lemah dalam bahagian atau jabatan yang bertanggungjawab dalam proses penempatan guru.
Pelbagai isu lain timbul seperti isu senioriti dalam jawatan dan sebagainya.

 

Bagi saya, bagi mengatasi masalah penempatan ini, sekurang-kurangnya berikan tempat kami di sekolah supaya kami terus bersemangat mendidik anak bangsa.
Selain itu, terdapat juga perkhabaran yang kami peroleh daripada pihak pihak berwajib di mana penempatan kami kemungkinan besar tertangguh kerana kumpulan kami belum menjalani Sesi Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Apa yang mendukacitakan kami, kumpulan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) telah ditemuduga terlebih dulu dan mereka akan menerima penempatan lebih awal daripada kami.
Ini menyebabkan kami terkilan kerana kumpulan kami menghabiskan masa selama enam tahun untuk menjadi pendidik yang profesional, tetapi seakan-akan tidak dipandang serius pihak berwajib.
Sedangkan kumpulan KPLI yang hanya menjalani latihan perguruan kurang daripada setahun, diberi keutamaan.
Adakah terdapat perbezaan besar antara kumpulan kami dan KPLI? Adakah KPLI lebih baik daripada kumpulan kami? Kami bukanlah memperkecil-kecilkan kumpulan KPLI atau mana-mana kumpulan lain, tetapi kami berasa perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
Jika ia benar, pihak Kementerian Pelajaran dan Bahagian Pendidikan Guru perlu mengambil jalan penyelesaian dalam menjelaskan perkara ini kepada kami.
Kami tidak mahu dilabel sebagai tidak bersyukur dan tidak bijak dalam bertindak, tetapi apa yang kami harapkan adalah penjelasan yang berkesan dalam usaha untuk membuat kami faham akan prosedur pengurusan penempatan ini.
Kami lebih rela dan lebih suka jika pada awalnya selepas tamat pengajian, kami diberitahu penempatan akan diumumkan bukan dalam waktu terdekat atau terus dimaklumkan kepada kami tarikh bermula tugas adalah pada tahun hadapan.
Ini lebih bermakna kepada kami kerana boleh mencari pekerjaan lain, berbanding hanya menunggu di rumah tanpa sebarang pendapatan, malah menunggu sesuatu yang tidak pasti.
Saya berharap ada pihak yang akan tampil membuat penjelasan terperinci mengenai masalah ini.
Kami sesungguhnya telah berpenat lelah belajar selama enam tahun dan tidak sabar untuk menjadi guru profesional.
TERUS MENANTI Sungai Petani, Kedah

Polis parah dirempuh pelajar rempit – Berita Harian


Polis parah dirempuh pelajar rempit

2011/10/24

ZULKAPLI menerima rawatan di HTAR, Klang, semalam.

ZULKAPLI menerima rawatan di HTAR, Klang, semalam.

KLANG: Seorang pegawai polis trafik terkehel tangan kiri dan menerima tujuh jahitan pada kaki kanan selepas dirempuh seorang mat rempit ketika mengetuai ‘Ops Rempit’ di Persiaran Raja Muda Musa di sini, awal pagi semalam.

Cif Inspektor Zulkapli Hashim, 49, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini.

Berikutan itu, polis menahan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun yang menuntut di Sekolah Menengah Teknik, di sini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan.

Remaja berkenaan bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis. Ibu bapa remaja itu dari Sabak Bernam, turut dipanggil untuk diberikan kaunseling.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosli Abd Rahman, berkata kejadian berlaku jam 3.45 pagi ketika Zulkapli dan beberapa anggota menjalankan operasi mencegah lumba haram.

“Ketika mengadakan sekatan jalan, Zulkapli tiba-tiba dirempuh remaja yang menunggang Yamaha LZ 125 ketika cuba meloloskan diri selepas melihat dua rakannya berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan ujian air kencing bagi menentukan sama ada remaja terbabit di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya.
Zulkapli ketika ditemui di HTAR berkata, beliau tidak sempat mengelak daripada dirempuh remaja itu menyebabkannya rebah sebelum dibantu rakan setugas.

“Walaupun ini kejadian pertama, saya anggap ia asam garam sebagai anggota polis. Ia tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus memikul tugas yang diamanahkan,” katanya. 

 

Remaja dakwa diliwat guru – Berita Harian


Remaja dakwa diliwat guru

2011/10/24

MIRI: Seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa menjadi mangsa liwat seorang guru dikenalinya di laman sosial Facebook, sejak setahun lalu.

Guru lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an dan masih bujang serta mengajar di sekolah berasingan dengan pelajar terbabit, dikatakan melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mangsa datang ke rumahnya di sini.

Difahamkan pelajar lelaki berusia 15 tahun itu sering menghabiskan masa bersama guru berkenaan di rumahnya selepas berkenalan melalui Facebook sehingga wujud hubungan rapat antara mereka.

Bapa pelajar itu bertanyakan anaknya mengenai hubungan mereka dan selepas didesak, pelajar berkenaan mengakui menjalin hubungan dengan guru lelaki berkenaan. – Jamaluddin Ibrahim, Ketua Polis Daerah Miri

Bagaimanapun, bapa pelajar terbabit mengesyaki sesuatu apabila mendapati anaknya amat mesra dengan guru lelaki itu.

“Bapa pelajar itu bertanyakan anaknya mengenai hubungan mereka dan selepas didesak, pelajar berkenaan mengakui menjalin hubungan dengan guru lelaki berkenaan.

“Terkejut dan marah dengan pendedahan itu, bapa pelajar berkenaan membuat laporan Jumaat lalu di Balai Polis Pusat Miri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Superintendan Jamaluddin Ibrahim, ketika dihubungi semalam, mengesahkan laporan kes berkenaan. Katanya, polis menjalankan siasatan terperinci berikutan mangsa mendakwa beberapa kali diliwat suspek di rumahnya.

“Kita belum membuat tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan,” katanya.