Lima beradik bergilir ponteng sekolah demi keluarga – Bernama


Lima beradik bergilir ponteng sekolah demi keluarga

24/10/2011 4:32pm

 

KOTA BAHRU 24 Okt. – Demi menjaga bapa, nenek dan datuk yang sakit, lima beradik di Kampung Tok Ku, Sering, dekat sini terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah biarpun menyedari tindakan itu bererti memperjudikan masa depan mereka.

Kakak sulung daripada lima beradik itu, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16, berkata, dia dan adik-adiknya, Nik Muhamad Arif, 15; Nik Muhamad Afif, 13; bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti serta Nik Mohamad Azwar, 11; dan Nik Nur Athirah, 10, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal, terpaksa ponteng sekolah bagi meringankan beban ibunya, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang mengambil alih tugas menyara keluarga selepas bapanya, Zulkifli Deraman, 44, disahkan menghidap penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu.

“Selepas bapa disahkan menghidap penyakit angin ahmar dan lelah sehingga dia tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu, ibu terpaksa mengambil alih menjadi ketua keluarga dan mencari nafkah untuk kami sekeluarga.

“Keadaan bapa yang semakin teruk sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang memaksa kami bergilir ponteng sekolah menjaga bapa menggantikan ibu yang keluar bekerja… apatah lagi kedua-dua nenek dan datuk saya, Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, dan Tengku Ahmad Tengku Daud, 90, yang sakit tua dan tinggal bersama kami memerlukan penjagaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Nur Alwani berkata, keadaan bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) kawasan Kedai Lalat dan buruh di kampungnya kini semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap dan terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau penghulu Kampung Tok Ku, Shukri Ali di talian 013- 9538113.

Bantuan juga boleh terus disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Tengku Azizah yang bernombor 03103-29-00015739-3. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s