Zainal Abidin pertikai yuran sekolah anak – Utusan


Zainal Abidin pertikai yuran sekolah anak

Zainal Abidin ketika hadir pada perbicaraan tuntutan nafkah di Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Penyanyi Zainal Abidin hari ini mempertikaikan keterangan bertulis berhubung dokumen pengesahan yuran persekolahan anaknya yang dikemukakan oleh bekas isterinya dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam syarie, Abdul Halim Bahari yang mewakili Zainal Abidin menyatakan, anak guamnya itu mempersoalkan tuntutan Natasya Gabriel Abdullah berkenaan persekolahan anak mereka, Mikhail yang menuntut di sebuah sekolah swasta di Wangsa Maju dekat sini.

Justeru, menurut Abdul Halim, pihaknya memerlukan pengesahan mengenai dokumen tersebut.

Terdahulu, Natasya dalam keterangannya mengesahkan segala butiran yang terkandung dalam keterangan bertulisnya adalah benar dan afidavit itu akan menjadi keterangannya di mahkamah.

Natasya, 52, yang merupakan bekas model menuntut RM167,102.04 ke atas bekas vokalis kumpulan Headwind pada tahun lalu.

Jumlah tersebut merangkumi yuran persekolahan, kelas agama dan bayaran perubatan sejak tahun 2002 sehingga kini.

Wanita itu bernikah dengan penyanyi lagu Hijau itu pada 24 Mac 1987 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mikhail, 18, dan seorang anak perempuan, Timur, 16, sebelum mereka bercerai pada 12 Disember 2000.

Mikhail merupakan pesakit autisme dan menghidapi penyakit mata.

Zainal Abidin turut berhadapan satu tuntutan lain iaitu permohonan mengubah perintah nafkah bulanan, wang perbelanjaan hari raya dan pembelajaran dua anaknya itu yang difailkan Natasya pada tahun lalu.

Dalam tuntutan tersebut, Natasya memohon agar nafkah bulanan RM200 sebulan bagi setiap anak dinaikkan kepada RM1,200 seorang setiap bulan.

Turut dimohon adalah nafkah hari raya diubah daripada RM150 kepada RM300 setiap seorang.

Bagi nafkah membabitkan pembelajaran, Natasya menuntut agar perbelanjaan pendidikan Mikhail dinaikkan sehingga RM3,500 sebulan manakala Timur RM2,000 bulan.

Kedua-dua remaja itu bersekolah di sebuah sekolah swasta di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain bersambung esok.

Terpaksa ponteng demi keluarga – Bernama


Terpaksa ponteng demi keluarga

TENGKU Azizah Tengku Ahmad (kiri) memberikan ubat kepada suaminya, Zulkifli Deraman di rumah mereka di Kampung Tok Ku, Sering, Kota Bharu, Kelantan, semalam. – BERNAMA

 

KOTA BHARU 24 Okt. – Demi menjaga bapa, nenek dan datuk yang sakit, lima beradik di Kampung Tok Ku, Sering, dekat sini terpaksa bergilir-gilir ponteng sekolah biarpun menyedari tindakan itu bererti memperjudikan masa depan mereka.

Kakak sulung daripada lima beradik itu, Nik Nur Alwani Zulkifli, 16, berkata dia dan adik-adiknya, Nik Muhamad Arif, 15, Nik Muhamad Afif, 13, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti serta Nik Mohamad Azwar, 11, dan Nik Nur Athirah, 10, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jembal, terpaksa ponteng sekolah.

Menurutnya, ia bagi meringankan beban ibunya, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41, yang mengambil alih tugas menyara keluarga selepas bapanya, Zulkifli Deraman, 44, disahkan menghidap penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu.

“Selepas bapa disahkan menghidap penyakit angin ahmar dan lelah sehingga dia tidak mampu menguruskan diri sejak dua tahun lalu, ibu terpaksa mengambil alih menjadi ketua keluarga dan mencari nafkah untuk kami sekeluarga.

“Keadaan bapa yang semakin teruk sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang memaksa kami bergilir ponteng sekolah menjaga bapa menggantikan ibu yang keluar bekerja.

“Apatah lagi kedua-dua nenek dan datuk saya, Tengku Sepiah Tengku Ahmad, 89, dan Tengku Ahmad Tengku Daud, 90, yang sakit tua dan tinggal bersama kami memerlukan penjagaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Nur Alwani berkata, keadaan bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) kawasan Kedai Lalat dan buruh di kampungnya kini semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap dan terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ibu mereka, Tengku Azizah memberitahu terpaksa membenarkan lima daripada enam anaknya itu ponteng sekolah kerana dia terpaksa keluar bekerja menyara keluarga sebagai pembantu di sebuah kilang perabot di Pasir Tumboh dengan pendapatan harian kira-kira RM18 sehari.

Bagaimanapun, katanya ekoran keadaan suami dan dua orang tuanya yang kadangkala diserang sakit teruk, dia terpaksa selalu mengambil cuti.

“Kalau dikira sebulan saya akan menerima pendapatan RM540 tetapi kerana kerap mengambil cuti pendapatan yang diperoleh terlalu sikit dan tidak mencukupi.

“Saya terpaksa menanggung kos lampin pakai buang suami yang berjumlah RM300 sebulan,” katanya.

Selain itu, katanya keadaan rumah pusaka didiami mereka semakin usang dan menunggu roboh dengan atap yang bocor serta dinding dan lantai yang berlubang menambah bebanan hidupnya.

Tengku Azizah yang tidak pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mengetahui prosedur berkata, dia berharap ada insan yang sudi menghulurkan bantuan kewangan untuk membaiki rumahnya.

Wanita itu juga berharap memperoleh peralatan seperti mesin jahit untuk membolehkannya bekerja dari rumah dan menjaga suami serta kedua-dua ibu bapanya, sekaligus memberi ruang kepada kelima-lima anaknya ke sekolah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau penghulu Kampung Tok Ku, Shukri Ali di talian 013-9538113.

Bantuan juga boleh terus disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Tengku Azizah yang bernombor 03103-29-00015739-3. – BERNAMA

Kaedah edar bantuan RM100 murid diperinci – Utusan


Kaedah edar bantuan RM100 murid diperinci

Muhyiddin Yassin melambaikan tangan kepada jurufoto media sebaik keluar dari Dewan Rakyat di Parlimen, semalam. – utusan/Abdul Nazir Mohamed

 

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kementerian Pelajaran telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi memperincikan kaedah penyaluran bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap murid di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, swasta, persendirian dan juga sekolah agama di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu diwujudkan bagi memastikan bantuan yang disediakan dapat digunakan oleh murid semasa membuat persediaan persekolahan sesi 2012 nanti.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan pelaksanaan pemberian bantuan itu berjalan lancar.

“Saya ingin mengingatkan kepada ibu bapa atau penjaga murid, bahawa peruntukan tersebut adalah untuk penyediaan keperluan persekolahan murid dan janganlah digunakan untuk tujuan yang lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas mengenai penyelarasan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, walaupun kadar yuran yang ditetapkan hanya boleh diputuskan dalam mesyuarat agung PIBG, kementerian akan memastikan kadar yang ditetapkan tidak membebankan ibu bapa dan mendapat persetujuan semua ahli.

Katanya, satu surat siaran bagi memperjelaskan pekeliling sedia ada akan dikeluarkan sebagai panduan kepada PIBG di semua sekolah berhubung perkara itu selaras dengan pemansuhan yuran sekolah seperti yang diumumkan pada Bajet 2012 sebelum ini.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan daripada Datuk Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) berhubung bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat, Muhyiddin berkata,pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada sekolah-sekolah berkenaan yang masih belum berdaftar dengan kementerian agar mereka berbuat demikian.

Ini katanya, bagi memudahkan bantuan pendidikan disalurkan kepada mereka secara berterusan kerana sekiranya mereka tidak berdaftar, pihak kementerian hanya boleh menyediakan peruntukan untuk diberikan secara ad-hoc kepada sekolah-sekolah terbabit.

Muhyiddin berkata, kementerian akan terus memberikan tumpuan kepada sekolah-sekolah yang benar-benar memerlukan perhatian terhadap aspek pembangunan fizikal berdasarkan maklumat yang dikumpul daripada kajian audit fizikal yang dijalankan sebelum ini.

Beliau berkata, ia memastikan semua sekolah yang memerlukan penambahbaikan segera dapat diselenggara supaya persekitaran pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang kondusif dapat diwujudkan.