Day: October 26, 2011
HARI KELUARGA KPM 2011
HARI KELUARGA KPM 2011
Majlis Perasmian Festival Buku Kanak-Kanak 2011
Majlis Perasmian Festival Buku Kanak-Kanak 2011
Belanja mengurus Kementerian Pelajaran naik – Metro
LEBIHAN peruntukan perbelanjaan dicatatkan Kementerian Pelajaran tahun lalu disebabkan peningkatan dalam perbelanjaan mengurus, kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan semalam, menyatakan kementerian itu antara sembilan kementerian atau jabatan yang mencatat perbelanjaan sebenar melebihi peruntukan diberi.
Menurutnya, Kementerian Pelajaran diterajui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan lebih RM28.29 bilion sedangkan peruntukan diberi sekitar RM26.49 bilion, sekali gus pertambahan 6.6 peratus. “Faktor peningkatan ini ialah kementerian ada 500,000 guru serta kakitangan dan dalam belanja mengurus sahaja, 70 peratus membabitkan emolumen.
“Tiap kali buat pertukaran (kakitangan dan guru) kami bayar elaun. Ini sebab kadangkala perbelanjaan berbeza dan ada peningkatan,” katanya di lobi Parlimen, semalam.
Hamil 3 bulan angkara abang – Metro
PADANG BESAR: Seorang lelaki bertindak rakus apabila sanggup merogol adik perempuannya sendiri beberapa kali sejak Julai lalu menyebabkannya mengandung.
Malah, remaja perempuan berusia 15 tahun itu turut diugut supaya menutup mulut berhubung kegiatan sumbang mahram yang berpunca akibat nafsu buas abangnya berusia 21 tahun.
Namun, tindakan kejam abangnya itu terbongkar apabila ibu saudara gadis berkenaan menyedari perubahan ke atas anak saudaranya yang kelihatan seperti orang mengandung pada Sabtu lalu.
Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama bapa dan suspek yang bekerja sendiri di rumah mereka di Batu 18, Kaki Bukit, di sini, mendakwa dirogol berulang kali sehingga mengandung tiga bulan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, mangsa dipercayai dirogol buat kali pertama oleh abang kandungnya sejak Julai lalu dan perbuatan itu dilakukan berulang kali selepas itu.
Kenyataan isu anak Guan Eng diputar belit’ – Berita Harian
Kenyataan isu anak Guan Eng diputar belit’
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Faiza Zainudin, Lum Chee Hong dan Nor Fariza Ramlan
bhnews@bharian.com.my
2011/10/25
Media alternatif tokok tambah timbulkan salah faham: TPM
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menegaskan kenyataannya berhubung isu anak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, didakwa mencabul kehormatan seorang remaja perempuan, diputar belit media alternatif.
Timbalan Perdana Menteri berkata, media berkenaan mengeluarkan laporan tidak tepat dengan kenyataannya ditokok tambah sehingga dikaitkan dengan perkara lain yang tiada kena-mengena.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, dirinya diminta memberi pandangan berhubung isu berkenaan oleh media alternatif pada sidang media baru-baru ini, walaupun ingin mengelak perkara itu.
“Sebenarnya, saya tidak mahu campur urusan sebegitu. Saya sudah meneliti banyak penulisan dalam blog dan saya sedar tidak adil mengheret isu keluarga dan anak dalam kancah politik.
“Itu bukan tujuan saya tetapi ia sudah diputar belit sehingga menimbulkan salah faham,” katanya menjawab celahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi Kementerian Pelajaran, di Dewan Rakyat semalam.
Kit Siang mempersoalkan kenyataan Muhyiddin seperti dilaporkan media alternatif berhubung isu anak Guan Eng yang juga cucunya, didakwa mencabul kehormatan seorang remaja perempuan.
Muhyiddin berkata, beliau memahami perasaan Kit Siang sebagai seorang datuk tetapi orang ramai masih tidak berpuas hati dan mahu kes itu diteliti walaupun beberapa pemimpin pembangkang sudah memberi kenyataan.
Justeru, sebagai maklum balas banyak pihak yang juga sering diamalkan pakatan pembangkang, beliau berkata, cadangan terbaik ialah menyerahkan kepada polis menyiasat kes itu untuk mencari kebenaran.
“Yang Berhormat di sebelah sana (pembangkang) pun mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja atau laporan polis (untuk kes lain sebelum ini), jadi respons biasa. Jika hendak mendapatkan hak dan kebenaran, jika tidak melakukan perkara itu, biarlah pihak berkuasa siasat, jadi lepas daripada tohmahan.
“Apabila disiasat dan mendapat laporan tepat, di situ mungkin ada pembelaan. Itu tujuan (kenyataan) saya, bukan hendak campur (tangan). Jika tidak ada (dakwaan mencabul kehormatan tidak benar), apa Yang Berhormat bimbangkan. Ia akan diselesaikan dengan lebih mudah, ini bukan soal politik,” katanya.
Guru agama Islam digesa bersedia – Utusan
Guru agama Islam digesa bersedia
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 25 Okt. – Guru-guru Pendidikan Islam digesa bersiap sedia dalam menghadapi pelbagai cabaran daripada pihak tertentu dalam menyebarkan dakyah secara halus kepada murid-murid dan pelajar sekolah.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, persediaan ini diperlukan bagi mengelakkan lebih ramai golongan itu terjerumus dalam kerosakan akidah.
“Salah satu persediaan tersebut ialah dengan memberi ajaran agama yang sebenar dengan merujuk fakta-fakta rasmi dan bertepatan yang disahkan kerajaan.
“Ini kerana kita bimbang banyak fakta dan artikel di dalam Internet yang tidak rasmi dan boleh dipertikaikan mula menular diguna pakai oleh guru-guru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar 1Malaysia Guru-Guru Pendidikan Islam Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan 2011 yang bertemakan ‘Guru Pendidikan Islam Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ di Masjid Negeri Wilayah Persekutuan, hari ini.
Turut hadir Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang dan Imam Besar Masjid Negeri, Zakariah Isa.
Menurutnya, persediaan itu diperlukan seiring dengan transformasi pendidikan negara.
“Kita tidak mahu sistem pendidikan terus menjadi sasaran kepada kerosakan akidah. Justeru itu, pelbagai usaha perlu dijalankan untuk memartabatkan akhlak, sahsiah dan akidah murid, pelajar dan umat Islam,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat, Azman Yusof berkata, seminar ini bertujuan untuk mencetus keinsafan pendidik dalam meningkatkan kesedaran kepada murid dan pelajar.
“Guru-guru perlu memainkan peranan dalam menekankan perkara itu kepada golongan ini betapa pentingnya ketahanan akidah dan kekuatan iman dalam menghadapi pelbagai cubaan dakyah memesongkan akidah dan kesucian Islam.
“Warga pendidiklah yang menjadi pendukung kuat bagi pelajar dan murid di sekolah agar golongan ini dapat diselamatkan daripada terus terjerumus dalam kerosakan akidah,” ujarnya.
Azman memberitahu, seminar yang disertai lebih 1,200 guru tersebut disertai oleh guru Pendidikan Islam sekolah rendah dan menengah serta guru besar dan pengetua sekolah.
Subjek pra vokasional diperkenal di sekolah kebangsaan tahun depan – Utusan
Subjek pra vokasional diperkenal di sekolah kebangsaan tahun depan
SINGAPURA 25 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan subjek pra vokasional di sekolah kebangsaan mulai tahun depan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, projek perintis itu akan dimulakan di 50 buah sekolah terpilih di seluruh negara bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga.
“Subjek asas vokasional itu akan ditawarkan kepada pelajar yang berminat. Ia bagi membina minat pelajar dalam bidang vokasional di peringkat awal.
“Kalau selepas itu, mereka berminat untuk menyambung dalam bidang tersebut, mereka boleh menyambung pendidikan di sekolah-sekolah vokasional dan seterusnya sehingga ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Insinerator Tuas, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Malaysia juga boleh belajar bagaimana Singapura memperkasakan pendidikan vokasional di republik itu.
“Kita boleh pelajari daripada mereka, mungkin menerusi perbincangan di peringkat pegawai. Di Singapura, pelajar vokasional mengikuti pendidikan dalam bentuk amali sebanyak 70 peratus dan selebihnya adalah teori,” katanya.
Menurutnya, guru-guru yang akan mengajar subjek tersebut terdiri daripada guru biasa yang memang mempunyai pengetahuan dan latihan asas dalam bidang vokasional.
Sebelum itu, Muhyiddin turut melawat Institut Pendidikan Teknikal dan diberi taklimat mengenai subjek dan cara pengendalian pendidikan vokasional di republik ini.
Ditanya adakah kerajaan akan memperluaskan sistem insinerator di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Kabinet Pengurusan Sisa Pepejal yang dipengerusikan beliau dan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencari dan menilai sistem pelupusan yang terbaik dan selamat bagi negara.
“Kita telah melihat Singapura melaksanakan sistem pelupusan sisa pepejal seperti insinerator dan kita akan kaji yang terbaik dan selamat untuk kita,” katanya.
Mengenai hasil lawatan rasmi dua hari yang berakhir hari ini, Muhyiddin berpuas hati dengan hasil pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin Singapura – UTUSAN
“Guru tidak mengeluh, malah bersemangat” – Utusan
“Guru tidak mengeluh, malah bersemangat”
PENAMPANG 25 Okt. – Cabaran dan kesusahan di kawasan pedalaman tidak mematahkan semangat guru-guru untuk terus menjalankan tugas terbaik bagi mendidik anak bangsa.
Malah, cabaran itu telah menguatkan lagi semangat mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan setiap pelajar mendapat kejayaan cemerlang.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, Robert Gubat berkata, meskipun berada di pedalaman guru-guru di sekolah itu sentiasa memberi tumpuan kepada usaha pengajaran dan pembelajaran.
Katanya, keperitan hidup di sini sebenarnya telah membuatkan para guru berusaha bersungguh-sungguh memastikan semua murid berjaya.
“Bagi kami, hanya dengan kejayaan murid inilah dapat mengubah nasib mereka dan inilah juga kejayaan bagi kami semua,” katanya.
Gubat yang berasal dari Tuaran berkata, sejak lima tahun berada di sekolah itu pelbagai pengalaman mencabar telah dihadapinya.
Beliau berkata, antaranya ialah menemui binatang berbisa seperti ular dan binatang buas semasa melalui hutan berkenaan.
“Malah, kereta pacuan empat roda yang saya naiki pernah terbalik dan saya bersyukur dan bernasib baik kerana tidak jatuh ke dalam gaung.
“Bagaimanapun, semangat saya untuk mengajar di sekolah ini tidak pernah luntur dan padam demi mengubah masa depan anak-anak kita ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Guru Penolong Kanan, SK Buayan Liew Mon Na pula berkata, pengalaman selama dua tahun mengajar di situ membuatkan dia sudah biasa dengan cara kehidupan penduduk kampung.
Katanya, kesusahan yang dihadapi penduduk membuatkannya membulatkan tekad untuk terus berada di sekolah itu.
“Saya kini menyedari betapa susah kehidupan di sini dan saya sama-sama merasai cabaran yang terpaksa dilalui penduduk termasuk berjalan kaki ke jalan besar selama lebih tujuh jam dan melalui kawasan berisiko.
“Malah, pernah pada musim hujan lalu beberapa jalan tertutup akibat tanah runtuh dan air besar memenuhi sungai, namun ini semua tidak menjadi penghalang kepada saya,” katanya.
SK Buayan ‘kilang’ modal insan terbaik – Utusan
SK Buayan ‘kilang’ modal insan terbaik
PENAMPANG 25 Okt. – Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan di sini tidaklah seindah sekolah di bandar, tetapi yang paling penting matlamatnya tercapai iaitu untuk memberi pendidikan terbaik kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Jadi tidak hairanlah anak-anak di kawasan berkenaan pandai membaca dan menulis malah ada yang mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Antara infrastruktur yang wujud di sekolah itu ialah bangunan sekolah tunggal, rumah guru, pusat sumber dan pusat akses, pondok sekuriti, pondok generator, tandas dan parabola.
Guru Besarnya, Robert Gubat berkata, kewujudan sekolah berkenaan telah banyak membantu memastikan generasi kampung berkenaan mendapat pendidikan yang sempurna.
Katanya, ia telah membawa perubahan kepada penduduk apabila terdapat di kalangan mereka berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik.
“Malah ada di kalangan guru di sini merupakan bekas pelajar sekolah ini yang kembali untuk berbakti di kampung,” katanya yang memberitahu sekolah itu diwujudkan pada 1967 atas inisiatif penduduk kampung.
Robert berkata, pada mulanya sekolah itu hanya kecil dan ringkas sahaja – beratapkan zink, berdinding buluh dan berlantaikan simen.
Katanya, pada 1971, bangunan sekolah yang kedua dibina oleh Kementerian Pelajaran bagi menampung murid yang semakin bertambah.
“Pada 1982 memandangkan bangunan sekolah yang pertama sekali dibina mula retak, bangunan baru yang telah dipohon telah siap dan mula digunakan pada tahun yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Buayan, John Sabitang berkata, meskipun terletak jauh di pedalaman dan mempunyai hanya 464 penduduk, kampung berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya khususnya dalam pendidikan.
Katanya, selain bangunan sekolah, murid-murid di sini turut mendapat pelbagai bantuan untuk meneruskan pembelajaran.
Bagi guru Zeabenia Mositol yang pernah belajar di sekolah berkenaan berkata, kewujudan sekolah itu telah membolehkannya mendapat pendidikan sehingga ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya pernah belajar di sini dan kini setelah menjadi guru di sekolah ini saya berazam untuk memastikan semua generasi muda di sini mendapat pendidikan yang sempurna.
“Saya bersyukur kerana walaupun kami tinggal di pedalaman kerajaan tidak meminggirkan kami untuk mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.
Seorang pelajar, Michel Leann, 11, yang bercita-cita menjadi guru berkata, segala kekurangan yang ada di situ tidak melemahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Kami sudah biasa begini dan sebenarnya kekurangan ini membakar semangat kami untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib kami sekeluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Besar SK Terian, Dainis Dahangat berkata, meskipun sekolah tersebut terletak di atas Banjaran Crocker yang bentuk muka buminya bergunung-ganang tetapi kerajaan tetap memberikan komitmennya dengan membina sekolah berkenaan sejak 1964 lagi.
Katanya, walaupun sekolah itu hanya bangunan kayu dan kecil tetapi ia telah memberi sumbangan penting kepada warga kampung Terian yang mempunyai kira-kira 400 penduduk.
“Tujuh orang guru yang mengajar di sekolah ini juga sentiasa menunjukkan komitmen tinggi meskipun terpaksa melalui pelbagai kekurangan dan cabaran seperti melalui jalan balak,” ujarnya.