SK Buayan ‘kilang’ modal insan terbaik – Utusan


SK Buayan ‘kilang’ modal insan terbaik

DR. MOHD. Puad Zarkashi bersama rombongan Kementerian Pelajaran bergambar dengan murid-murid SK Buayan di pedalaman Penampang, baru-baru ini.

 

PENAMPANG 25 Okt. – Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan di sini tidaklah seindah sekolah di bandar, tetapi yang paling penting matlamatnya tercapai iaitu untuk memberi pendidikan terbaik kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Jadi tidak hairanlah anak-anak di kawasan berkenaan pandai membaca dan menulis malah ada yang mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Antara infrastruktur yang wujud di sekolah itu ialah bangunan sekolah tunggal, rumah guru, pusat sumber dan pusat akses, pondok sekuriti, pondok generator, tandas dan parabola.

Guru Besarnya, Robert Gubat berkata, kewujudan sekolah berkenaan telah banyak membantu memastikan generasi kampung berkenaan mendapat pendidikan yang sempurna.

Katanya, ia telah membawa perubahan kepada penduduk apabila terdapat di kalangan mereka berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang baik.

“Malah ada di kalangan guru di sini merupakan bekas pelajar sekolah ini yang kembali untuk berbakti di kampung,” katanya yang memberitahu sekolah itu diwujudkan pada 1967 atas inisiatif penduduk kampung.

Robert berkata, pada mulanya sekolah itu hanya kecil dan ringkas sahaja – beratapkan zink, berdinding buluh dan berlantaikan simen.

Katanya, pada 1971, bangunan sekolah yang kedua dibina oleh Kementerian Pelajaran bagi menampung murid yang semakin bertambah.

“Pada 1982 memandangkan bangunan sekolah yang pertama sekali dibina mula retak, bangunan baru yang telah dipohon telah siap dan mula digunakan pada tahun yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Buayan, John Sabitang berkata, meskipun terletak jauh di pedalaman dan mempunyai hanya 464 penduduk, kampung berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya khususnya dalam pendidikan.

Katanya, selain bangunan sekolah, murid-murid di sini turut mendapat pelbagai bantuan untuk meneruskan pembelajaran.

Bagi guru Zeabenia Mositol yang pernah belajar di sekolah berkenaan berkata, kewujudan sekolah itu telah membolehkannya mendapat pendidikan sehingga ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya pernah belajar di sini dan kini setelah menjadi guru di sekolah ini saya berazam untuk memastikan semua generasi muda di sini mendapat pendidikan yang sempurna.

“Saya bersyukur kerana walaupun kami tinggal di pedalaman kerajaan tidak meminggirkan kami untuk mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.

Seorang pelajar, Michel Leann, 11, yang bercita-cita menjadi guru berkata, segala kekurangan yang ada di situ tidak melemahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Kami sudah biasa begini dan sebenarnya kekurangan ini membakar semangat kami untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib kami sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Terian, Dainis Dahangat berkata, meskipun sekolah tersebut terletak di atas Banjaran Crocker yang bentuk muka buminya bergunung-ganang tetapi kerajaan tetap memberikan komitmennya dengan membina sekolah berkenaan sejak 1964 lagi.

Katanya, walaupun sekolah itu hanya bangunan kayu dan kecil tetapi ia telah memberi sumbangan penting kepada warga kampung Terian yang mempunyai kira-kira 400 penduduk.

“Tujuh orang guru yang mengajar di sekolah ini juga sentiasa menunjukkan komitmen tinggi meskipun terpaksa melalui pelbagai kekurangan dan cabaran seperti melalui jalan balak,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s