Muhyiddin lancar sisipan School Times di Perak – Berita Harian


Muhyiddin lancar sisipan School Times di Perak 

2011/10/27

SITIAWAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan sisipan School Times, New Straits Times di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh Lekir, dekat sini, sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan sisipan setiap Khamis mulai hari ini adalah satu lagi inisiatif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang sememangnya memperjuangkan pendidikan untuk meningkatkan penguasaan pelajar khususnya luar bandar dalam bahasa Inggeris.

Ibu bapa persoal bayaran RM10 – Kosmo


Ibu bapa persoal bayaran RM10

 

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

 

SEORANG penduduk menunjukkan bukti yuran yang dikenakan ke atas murid-murid sekolah agama Taman Kota Masai sebanyak RM10 sebulan di Pasir Gudang semalam.

 

JOHOR BAHRU – Sekumpulan ibu bapa di Kota Masai, Pasir Gudang di sini menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan sebuah sekolah agama di kawasan terbabit yang didakwa mengenakan bayaran tambahan tidak munasabah untuk setiap pelajar.

Menurut mereka, sekolah terbabit mengenakan bayaran RM10 setiap bulan untuk setiap pelajar sejak sepuluh tahun lalu.

Seorang bapa, Zainorin Sajat, 39, berkata, mereka inginkan penjelasan terperinci ke mana wang tersebut disalurkan memandangkan bayaran tersebut agak membebankan kerana perlu dibayar setiap bulan.

Katanya, setiap kali mengajukan soalan kepada pihak pengurusan sekolah, mereka diberi alasan yang tidak jelas dan jika ada ibu bapa yang tidak menjelaskan bayaran terbabit, kad laporan prestasi anak-anak mereka akan disekat oleh pihak sekolah.

“Pada mulanya, mereka kata wang tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah kedai yang dijadikan kelas serta pelbagai kos lain tetapi selepas bangunan sekolah siap awal tahun ini, kami masih dikenakan bayaran sama.

“Jika benar wang tersebut digunakan untuk membayar sewa, tunjukkan kami semua butiran pembayaran,” katanya kepada pemberita di Pasir Gudang semalam.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Azarudin Johar, 41, mendakwa, meskipun RM10 dilihat agak kecil, namun dia agak terbeban kerana tiga anaknya belajar di sekolah terbabit.

“Bayangkan, jika RM30 setiap bulan terpaksa saya bayar untuk tiga anak yang bersekolah di sana, berapa pula yang terpaksa saya bayar setiap tahun.

“Ini tidak kira dengan bayaran yuran tahunan yang wajib dibayar setiap kali pendaftaran. Tahun hadapan, saya akan lebih terbeban kerana seorang lagi anak saya akan mula bersekolah di situ,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membuat surat yang ditandatangani ibu bapa untuk meminta agar wang tambahan tersebut dimansuhkan.

“Surat tersebut akan saya bawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang,” katanya.

Mangsa asid tercicir pelajaran – Kosmo


Mangsa asid tercicir pelajaran

 

Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

 

SHAFIQ AIMAN (kiri) dan Shafiq Haikal masih dirawat di HKL selepas selamat menjalani pembedahan kelapan pada bahagian muka pada 20 Oktober lalu.

 

KUALA LUMPUR – Ibu kepada dua beradik yang menjadi mangsa simbahan asid dalam kejadian di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran pada 19 Julai lalu melahirkan rasa sedih mengenangkan nasib kedua-dua anaknya yang tercicir dalam pelajaran kerana banyak masa terpaksa dihabiskan di hospital.

Ruhashimah Julaili Mansur, 33, berkata, dia bingung setiap kali mengenangkan nasib kedua-dua anaknya iaitu Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10, telah hampir tiga bulan tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa berulang-alik dari Maran untuk menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, setelah dimasukkan ke HKL sejak 20 Julai lalu, kedua-dua anaknya tidak dapat menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

“Pilu hati saya apabila mengenangkan nasib kedua-dua anak saya yang ingin kembali ke sekolah tetapi mereka lebih banyak terlantar di katil hospital,” katanya ketika ditemui Kosmo! di HKL semalam.

Malah katanya, nasib dua beradik itu bertambah malang apabila mereka tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak sebaya kerana mengalami kecacatan kekal seumur hidup setelah muka mereka melecur teruk akibat disimbah asid.

“Mereka berdua tidak dapat ke sekolah seperti biasa selama hampir tiga bulan kerana terpaksa menjalani pembedahan bagi merawat kerosakan kulit.

“Lebih sayu apabila mereka ada bertanya sama ada rakan-rakan di sekolah akan menerima mereka atau sebaliknya kerana muka mereka sudah tidak seperti dulu,” katanya

Dalam kejadian pada 19 Julai lalu, dua beradik itu mengalami kecederaan parah apabila disimbah cuka getah oleh seorang pekerja ladang yang juga jiran mangsa ketika dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran, Pahang.

Mereka yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka, mata dan badan itu telah menjalani lapan kali pembedahan termasuk tampalan kulit baharu pada muka sejak dirawat di HKL pada Julai lalu.

Ruhashimah memberitahu, kedua-dua anaknya sempat ke sekolah selama tiga minggu selepas menyambut Aidilfitri lalu namun, terpaksa meninggalkan persekolahan buat sementara kerana menjalani pembedahan yang seterusnya.

“Ketika sempat ke sekolah itu, anak saya ada mengadu yang mereka tidak dapat menjawab soalan peperiksaan kerana sudah lama tidak ke sekolah dan kurang faham dengan apa yang diajar oleh guru mereka.” ujarnya.

Katanya, walaupun kedua-dua orang anaknya itu ada mengikuti program Sekolah Dalam Hospital (SDH) ketika dirawat di Wad Pediatrik HKL pada bulan Ogos lalu namun ia tidak banyak membantu.

“Mereka hanya sempat mengikuti program tersebut selama dua minggu sebelum dipindahkan dari Wad Pediatrik ke Wad Plastik di Institut Kaji Saraf HKL kerana keadaan mereka alah kepada cuaca panas,” katanya.

Sementara itu, Ruhashimah turut merayu bantuan kewangan daripada pihak-pihak tertentu bagi menampung perbelanjaan perubatan kedua-dua anaknya itu.

Menurutnya yang merupakan seorang suri rumah, dia terpaksa menampung kos perjalanan pergi balik, kos pembiayaan perubatan dan kos pembedahan plastik yang menelan belanja yang banyak.

“Saya terpaksa membeli topeng dan sarung badan khas daripada klinik swasta untuk mereka berdua bagi melindungi kulit mereka yang melecur daripada matahari dan jangkitan bakteria.

“Topeng getah yang disediakan pihak HKL tidak cukup selesa dan kulit mereka akan berasa gatal-gatal jika terdedah kepada cuaca panas,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ruhashimah di talian 013-9590706.

Guru agama disaran guna pemikiran sejagat: TPM – Berita Harian


Guru agama disaran guna pemikiran sejagat: TPM 

2011/10/27

SERI ISKANDAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan guru agama turut mengguna pakai pemikiran sejagat dan tidak hanya tertumpu kepada sukatan pelajaran dalam kelas semata-mata ketika menyampaikan ilmu di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada majlis pertemuan khas dengan warga pendidik sekolah agama Perak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) pagi tadi.

‘Apa salah cucu saya’ – Metro


‘Apa salah cucu saya’

Oleh Ahmad Othman
metrojb@yahoo.com
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ANGKAT...anggota polis mengangkat jenazah Atikah untuk dipindahkan dari HKT ke HSI untuk bedah siasat.
ANGKAT…anggota polis mengangkat jenazah Atikah untuk dipindahkan dari HKT ke HSI untuk bedah siasat.

KOTA TINGGI: “Apa salah cucu saya hingga dia dibunuh begitu kejam, dia hanya berumur 15 tahun,” kata Muhammad Kasim, 62, di sini, semalam.

Cucu warga emas berkenaan, Nurul Atikah Samsiah ditemui mati dibunuh dengan keadaan muka serta badannya lebam teruk dipercayai dibelasah sebelum mayatnya dihumban di dapur sebuah kediaman yang terletak selang tiga rumah dari rumah ibu bapanya.

Mayat Atikah ditemui pada jam 6.30 pagi semalam, selepas hilang sejak jam 2 petang kelmarin, dari rumah keluarganya di Rumah Kakitangan Ladang Kambau, dekat sini.

Menurut Muhammad, dia hampir pengsan selepas menerima panggilan telefon daripada anaknya, Rahimah mengatakan cucunya itu ditemui mati.

 
“Kali terakhir saya bertemu Atikah ialah Isnin lalu apabila dia datang ke rumah saya di Kampung Sungai Perepat yang terletak 10 kilometer dari rumahnya untuk bertanya khabar selain makan tengah hari.

Budak terjunam dalam longkang – Metro


Budak terjunam dalam longkang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Gara-gara besi penutup dicuri, seorang murid tahun enam nyaris maut terjunam dalam longkang sedalam empat meter berhampiran pusat beli-belah terkemuka di ibu negara, kelmarin.

Berikutan kejadian itu, mangsa, Lim Zhi Ying, 12, patah lutut kiri, luka belakang badan dan tangan kiri akibat terjatuh ke dalam longkang berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa bernasib baik dan tidak mengalami kecederaan parah berikutan hujan dan air melimpah longkang sedalam kira-kira dua meter.

 

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa pelajar sebuah sekolah rendah di Johor Bahru, Johor bersama 117 pelajar lain mengikuti lawatan sambil belajar selama empat hari ke beberapa negeri.
“Sebelum kejadian, bas yang saya naiki bersama rakan lain berhenti di tempat meletak bas sebuah pusat beli-belah dan turun bersama rakan lain untuk beratur dan masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan untuk lawatan.
“Malangnya, sebaik turun dari bas dan melangkah ke tempat berkumpul, saya tidak menyedari longkang berkenaan tidak berpenutup lalu terjatuh,” katanya.

 

 

Menurutnya, kejadian disedari guru pengiring dan beberapa rakan sebaik mendengar jeritan dan dentuman kuat.
“Saya hanya mampu menangis dan menahan kesakitan sebelum dibantu guru yang mendapatkan tangga untuk saya berpaut sebelum dibawa naik,” katanya.

 

Mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta berhampiran untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan tidak serius sebelum dibenarkan pulang.

Menangani isu bahasa rojak – Metro


Menangani isu bahasa rojak

Oleh M Jasni Majed
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ISTILAH bahasa rojak bukan istilah ilmu. Istilah ini dicipta mereka yang prihatin akan situasi dan nasib bahasa Melayu. Boleh dikatakan isu ini diperkatakan saban tahun di negara kita memandangkan apa yang disaran dan dicadangkan tentang isu ini tidak pernah membawa apa-apa hasil yang diharap-harapkan.

Terbaru, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyarankan agar diwujudkan semula Jawatankuasa Penyelaras dan Penyeragaman Bahasa agar memastikan semua stesen media di negara kita menggunakan bahasa yang sama untuk penonton.
Penyeragaman ini sangat penting memandangkan siaran radio dan televisyen mendapat sambutan ramai di kalangan penonton dan pendengar serta sudah semestinya bahasa memainkan peranan sangat besar untuk menyampai maklumat dan pelbagai lagi. Beberapa kertas kerja mengenai bahasa dibentangkan dalam Seminar Bahasa dalam Penyiaran anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) baru-baru ini yang dihadiri wakil stesen penyiaran tempatan.

 

Nasib bahasa kebangsaan dianggap membimbangkan ekoran sikap kita yang tidak begitu peka tentang peranan dan masa depan bahasa sendiri.
Stesen penyiaran juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah ini kerana ada rancangan membabitkan penyertaan penonton yang kebanyakannya tidak ambil kisah tentang penggunaan bahasa mereka. Penggunaan bahasa rojak yang semakin meluas terutama kiriman ucapan tahniah, selamat pagi dan sebagainya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) oleh penonton menjadikan kita keliru dengan identiti bahasa kita sendiri.
Maka ramai yang merumuskan bahawa identiti bahasa kita semakin terkikis. Lama-kelamaan bahasa rojak dianggap akan menguasai pertuturan, penulisan dan lebih malang dalam penulisan karangan di sekolah sudah dikatakan ada penggunaan bahasa rojak di kalangan pelajar sehingga menjejaskan markah.

 

 

Menurut definisi, bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur iaitu antara bahasa ibunda dengan bahasa asing. Bagaimanapun, ramai yang mendefinisikan ia sebagai percampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.
Apa pun, definisi bahasa rojak dalam konteks perbualan dan penulisan harian di negara kita boleh diperluaskan kepada pelbagai tafsiran. Kita juga boleh menganggap percampuran antara bahasa baku dengan istilah serta penggunaan kata dalam penulisan serta pengucapan lain daripada bahasa baku adalah bahasa rojak.

 

Contohnya, jika kita menggunakan kata singkatan seperti ‘tak’, ‘nak’, ‘mau’, ‘tau’, dan beberapa lagi juga adalah sebahagian daripada bahasa rojak yang sebenarnya tidak boleh diucapkan dan ditulis dalam majlis dan urusan rasmi. Jika kita menggunakan bahasa remaja dalam pertuturan harian seperti ‘awek’, ‘cun’, ‘kantoi’, ‘cilok’, ‘otai’ dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada bahasa rojak jika disalah guna dalam urusan rasmi. Adalah dikesalkan jika ada akhbar harian yang meletakkan kata-kata ini sebagai tajuk sesuatu berita meskipun hakikatnya penggunaan istilah tersebut sudah sebati di kalangan remaja negara kita. Sasaran utama perbincangan orang ramai tentang kekuatan pengaruh bahasa rojak jika dikaitkan dengan media massa adalah penglibatan orang ramai dalam khidmat SMS yang terpapar di skrin televisyen. Di sinilah kita dapat melihat pelbagai istilah baru diketengahkan kepada khalayak sehingga ada yang membawa masuk istilah ini ke dalam urusan rasmi. Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai sikap orang kita yang gemar bercakap separuh belut separuh ular. Pencinta bahasa lain turut menyatakan rasa tidak puas hati kerana kualiti bahasa kebangsaan semakin merosot penggunaannya dan mereka membayangkan apa yang bakal terjadi sepuluh atau dua puluh tahun akan datang jika usaha menanganinya tidak dilakukan dari sekarang. Punca utama berlakunya penggunaan bahasa rojak adalah sikap kita sendiri yang mementingkan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Kemasukan istilah asing yang dianggap lebih sesuai dan dapat mengangkat imej penuturnya terutama bagi masyarakat bandar memburukkan lagi keadaan.
Perubahan zaman selalunya menempiaskan istilah baru yang diguna pakai dalam pelbagai bidang. Ada yang menganggap sesiapa yang tidak pandai menyesuaikan diri atau tidak boleh menggunakan dan memahami istilah baru terutama dari luar adalah mereka yang ketinggalan zaman.
Kita sebenarnya bukan tidak boleh menggunakan bahasa sendiri. Contohnya, jika kita mengadakan kempen tentang bahasa, Minggu Bahasa atau Bulan Bahasa, sesiapa pun akan berusaha dan bercakap dengan bahasa yang betul dan berusaha menggunakan bahasa sendiri sepenuhnya.
Apabila selesai kempen, bahasa rojak muncul semula dan apa yang dilaung-laungkan atau dipraktikkan semasa kempen lenyap begitu saja.
Bagaimanapun, adalah merugikan masa dan wang jika kita berkempen tentang sesuatu yang sebenarnya menjadi milik kita zaman berzaman dan sesuatu yang dilaung-laungkan itu sebenarnya boleh kita lakukan sendiri tanpa didesak dan dipandu arah oleh sesiapa.
Ironinya, jika kita tahu sampah itu tidak elok, kita tidak akan menyimpan sampah dan membuangnya di merata-rata tempat. Dalam bahasa pun, jika kita tahu ada ‘sampah’, kita tidak boleh menyimpannya tetapi hendaklah dibuang.
Pihak yang memperlekeh atau memandang rendah kepada bahasa Melayu semestinya melihat keupayaan bahasa Melayu bukan hanya di negara kita saja kerana bahasa Melayu dituturkan lebih kurang 300 juta penduduk di dunia. Bagi bangsa Melayu, jika mereka lebih gemar menggunakan bahasa rojak, jelaslah mereka memperlekeh bahasa sendiri. Bagi orang India dan Cina misalnya, apabila mereka lebih gemar berbahasa Inggeris dalam pertuturan, bermakna mereka tidak yakin akan keupayaan bahasa Melayu meskipun di sekolah, mereka mesti belajar dan mendapat kepujian dalam bahasa Melayu.
Orang Indonesia pula memandang kita sebagai masyarakat yang tidak mempunyai pendirian teguh dalam bahasa sendiri. Kerana itulah ada antara mereka yang belajar bercakap Inggeris terlebih dulu sebelum datang ke negara kita kerana bagi mereka, orang kita lebih banyak bercakap Inggeris daripada menggunakan bahasa sendiri.
Media sangat penting membentuk masyarakat tidak kira golongan untuk menangani bahasa rojak. Meskipun tidak boleh dibendung seratus-peratus, tetapi usaha mengawal bagi sesetengah rancangan yang nyata menggunakan bahasa rojak sangat perlu.
Media boleh mensyaratkan hanya SMS yang menggunakan bahasa betul saja dipaparkan untuk khalayak. Media juga mesti mempunyai kata sepakat dalam usaha membanteras penggunaan bahasa rojak supaya tidak timbul kekeliruan masyarakat. Orang ramai, tidak kira sama ada golongan elit, masyarakat pertengahan atau bawahan yang terlibat dalam rancangan televisyen terutama ketika diwawancara untuk siaran televisyen mesti berusaha menggunakan bahasa yang betul.
Media juga perlu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menentukan penggunaan bahasa yang betul sebelum diketengahkan kepada umum. Dengan cara ini keseragaman dapat diwujudkan, imej bahasa dapat dipertingkat dan kekeliruan dapat dielakkan. Penulis seorang guru

Tragedi main air – Metro


Tragedi main air

Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Suasana meriah di Pantai Puteri bertukar hiba apabila seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan dan pengsan sebaik melihat mayat anaknya yang lemas diangkat ke tepi pantai oleh anggota bomba, tengah hari semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa, Ajmal Afzan, 6, lemas ketika bermain air di pantai berkenaan bersama abangnya yang berusia tujuh tahun dan beberapa kanak-kanak lain.
Mangsa mengikuti ibunya, Zuhana Ayub, 32, berkelah di pantai itu bersama enam keluarga rakan sekerja ibunya sempena cuti Deepavali dan baru tiba di pantai itu kira-kira jam 10 pagi.

 

Malah ketika kejadian, ibu mangsa tiada kerana mengambil barang di rumah rakannya di Tangga Batu untuk membuat barbeku dan hanya menyedari kehilangan anaknya apabila tiba di lokasi kejadian.
Difahamkan, rakan ibu mangsa yang berada di lokasi menyangkakan kanak-kanak itu berada di tepi pantai lalu mencarinya di sekitar pantai, namun dimaklumkan abang mangsa bahawa adiknya hilang di dalam air.
Menurut rakan ibu mangsa yang juga saksi kejadian, Putri Nazhatul Shima Abd Habib, 34, ketika itu kanak-kanak terbabit bersama kira-kira 11 kanak-kanak lain berusia antara enam hingga 14 tahun mandi di pantai berkenaan.

 

 

“Kami hanya mengetahui kehilangan mangsa sejurus selepas ibunya kembali semula ke pantai apabila dia bertanyakan di mana anaknya.
“Ketika itu, barulah kami menyedarinya, lalu terus mencari anak rakan saya itu di kawasan darat sehingga kira-kira lebih satu jam, namun gagal menemuinya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

 

Sementara itu rakan mangsa, Siti Murnirah Soid, 10, berkata, ketika kejadian dia turut mandi di pantai itu bersama kanak-kanak terbabit, namun tidak mengesyaki mangsa lemas kerana sebelum kejadian Ajmal dikatakan sering berlakon seolah-olah lemas.
“Kami mandi bersama kawan yang lain. Sebelum kejadian, dia (mangsa) bermain dengan menyelam dan seolah-olah seperti lemas dengan tangan terkapai-kapai di atas air beberapa kali.
“Walaupun nampak tangannya ke atas selepas itu, tetapi saya tidak tahu dia lemas kerana menyangkakan dia bermain kerana dia tidak menjerit,” katanya di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, semalam.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohd Farid Usop, 32, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh isterinya jam 11 pagi sebelum menghubungi bomba.
Katanya, setibanya di tempat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mayat anaknya belum ditemui.
“Saya berada di Jasin kerana mempunyai urusan lain dan difahamkan Ajmal mandi bersama abangnya serta beberapa kanak-kanak lain dengan bermain seolah-olah menyelam, namun dia kemudian tidak timbul.
“Selepas itu, abangnya memberitahu isteri saya bahawa adiknya tiada. Mayatnya ditemui anggota bomba lima meter dari gigi air,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Rashid Bechek berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.27 pagi dan memulakan operasi mencari jam 11.44 pagi.
“Satu jentera bersama sembilan anggota, termasuk pasukan skuba dikejarkan ke lokasi. Kami menggunakan teknik pukat untuk mencari mangsa dan mayatnya ditemui jam 12.40 tengah hari,” katanya.

Gadis hilang ditemui mati dibunuh – Utusan


Gadis hilang ditemui mati dibunuh

 

Oleh FARIK SALLEH
pengarang@utusan.com.my

 

KOTA TINGGI 26 Okt. – Seorang gadis yang dilaporkan hilang petang semalam ditemui mati di ruang dapur sebuah rumah, selang tiga pintu dari rumah keluarganya di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedili, dekat sini hari ini.

Mangsa, Nurul Atikah Samsiah, 15, yang berpakaian kemeja dan seluar sukan dijumpai pada pukul 6.30 pagi dengan kesan lebam di seluruh muka dan anggota badan.

Selain itu, terdapat kesan seret di permukaan lantai dapur dan sekitar tempat kejadian dipercayai kesan ketika mangsa dibawa masuk ke dalam rumah tersebut oleh pembunuhnya.

Datuk mangsa Muhammad Kasim, 62, berkata, mangsa yang tinggal di rumah kakitangan Ladang Kambau bersama ibu bapanya dikatakan hilang sejak pukul 2 petang semalam.

“Ahli keluarga dan jiran mencari mangsa sejak petang dan menemui mayat mangsa pagi tadi di rumah itu.

”Anak saya Rahimah (ibu mangsa) menelefon saya yang tinggal di Kampung Sungai Perepat, kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian bahawa mayat Nurul dijumpai,” ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi.

Difahamkan rumah tempat mayat mangsa ditemui itu didiami oleh seorang pekerja bujang yang jarang pulang ke rumah kecuali waktu tertentu untuk memasak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Abdul Samad Salleh dan sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik di maklumkan penemuan tersebut diikuti sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu siasatan.

Menurut Abdul Samad, pihaknya percaya kes itu dapat diselesaikan dengan tertangkapnya seorang suspek yang merupakan seorang pekerja ladang warga tempatan berusia 41 tahun yang kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lima beradik malang dapat perhatian Tengku Mahkota Kelantan – Utusan


Lima beradik malang dapat perhatian Tengku Mahkota Kelantan

KOTA BHARU 26 Okt. – Nasib malang lima beradik di Kampung Tok Ku, Sering di sini yang terpaksa ponteng sekolah secara bergilir-gilir kerana menjaga bapa mereka, Zulkifli Deraman, 44, yang sakit mendapat perhatian Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Hari ini, baginda yang diwakili Setiausaha MAIK, Che Hamat Che Muda menyampaikan bantuan berupa wang RM2,000 dan hamper makanan kepada keluarga berkenaan.

Che Hamat berkata, lawatan pihaknya mendapati keluarga terbabit memerlukan bantuan jangka panjang.

“Selain bantuan segera hari ini, MAIK akan menimbang untuk menampung kos kelas jahitan seperti yang disuarakan oleh ibu kepada anak-anak ini, Tengku Azizah Tengku Ahmad, 41.

“Buat masa ini, mereka sekeluarga termasuk datuk dan nenek yang uzur bergantung hidup pada pendapatan Tengku Azizah yang bekerja di sebuah kedai perabot dengan pendapatan RM18 sehari,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan kisah lima beradik tersebut yang sanggup memperjudikan masa depan mereka dengan bergilir-gilir ponteng sekolah demi menjaga bapa, nenek dan datuk yang sakit

Che Hamat berkata, selepas ini, MAIK akan meneruskan bantuan susulan kerana empat daripada anak-anak yang bersekolah itu terpaksa berjalan kaki ke sekolah sejauh lebih kurang tiga kilometer.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tengku Azizah di talian 014-5026179 atau penghulu Kampung Tok Ku, Shukri Ali di talian 013-9538113.

Bantuan juga boleh terus disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional Tengku Azizah yang bernombor 03103- 29-00015739-3.