Ajal ziarah pusara ibu – Metro


Ajal ziarah pusara ibu

Oleh Zulfa Mohamad dan Azma Razana Johari
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.
PILU…ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.

USUNG...polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
USUNG…polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.

PRAI: Ketika kubur isterinya masih merah, seorang lelaki terpaksa menanggung kesedihan berganda apabila anak keduanya pula maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok berhampiran Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang (JPP) di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 8 pagi ketika mangsa, Batrisyia, 7, bersama tiga adik-beradiknya menaiki Toyota Avanza dipandu bapa mereka, Osman Kerya, 42, dalam perjalanan dari Batu Uban, di sini, ke Grik, Perak, untuk menziarahi kubur isterinya, Norzita Mustafa, 37, yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.

Ketika tiba di tempat kejadian, kereta Osman dipercayai bergesel lori sebaik melepasi Plaza Tol JPP sebelum terbabas dan merempuh pokok di kiri jalan. Berikutan itu, mangsa tercampak keluar sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan anggota badan.

Selain Osman yang cedera di kedua-dua tangan, tiga lagi anaknya, Balqis, 10, Baizatul Akmah, 6, dan Baizatul Husnah, 4, cedera dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini. Nenek mangsa, Fatimah Wan Chik, 70, yang juga ibu Osman berkata, pada awalnya anaknya merancang ke Grik hari ini, tetapi mengubah rancangan dengan bertolak pagi semalam.

 
“Dia (Osman) mahu bawa anak-anak menziarahi kubur isteri yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.

Anak maut diseret kereta – Berita Harian


Anak maut diseret kereta
Oleh Zulfa Mohamad

2011/10/29

Motosikal dinaiki empat beranak kena rempuh berhampiran sekolah

KEPALA BATAS: Hancur hati seorang bapa melihat anak kesayangan maut depan mata selepas diseret sebuah kereta yang sebelum itu merempuh motosikal mereka dalam kejadian di Pasir Gebu, Penaga, dekat sini jam 12.10 tengah hari semalam.

Sebelum kejadian, Mohd Zamri Hashim dan anaknya, Nor Afina Khalida, 3, sedang duduk di atas motosikal di sebelah kiri jalan sementara menunggu dua lagi anaknya, Nor Alia Farhana, 7, dan Nor Ellys Najwa, 9, keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gebu.

Mohd Zamri berkata, sebaik sesi persekolahan tamat, Nor Alia Farhana muncul dan duduk di belakangnya diikuti Nor Ellys Najwa, tetapi kemudian sebuah kereta tiba-tiba muncul dari belakang lalu merempuh bahagian kanan pemegang motosikal menyebabkan mangsa duduk di depan tercampak, diikuti kedua-dua kakaknya.

Sebaik terjatuh, Nor Afina Khalida dikatakan diseret kereta Nissan Sunny dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu menyebabkannya cedera teruk di kepala dan maut di tempat kejadian, manakala dua kakaknya cedera di muka.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Prai Utara, Asisten Superintendan Suhaimi Md Noor, berkata pemandu kereta itu ditahan untuk soal siasat mengikut Seksyen 41 1(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian.

Nor Afina Khalida sering ikut saya ambil mereka di sekolah. Sebelum kejadian ini, selalunya arwah tidak minta nasi, tapi pagi tadi (semalam) dia beria-ia hendak makan nasi, kata nelayan itu yang hanya cedera ringan.

Dunia dua anak OKU – Metro


Dunia dua anak OKU

Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TEMERLOH: Perumpamaan berat mata memandang berat lagi bahu memikul tepat bagi menceritakan kesukaran dihadapi suri rumah, J Kamisah, 37, serta suami, Awang Zaki, 43, yang terpaksa bertungkus-lumus membesarkan tujuh anak dengan dua daripadanya cacat.

Anak keempat pasangan itu, Nor Farah Wahida, 11, pekak dan bisu tetapi keadaannya tidak seburuk adiknya, Mohd Zulkarnain, 9, yang menghidap sawan serius hingga mengakibatkan kanak-kanak itu tidak dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.
Nor Farah masih boleh menguruskan diri sendiri walaupun hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat tetapi Kamisah dan Awang perlu memberikan perhatian lebih kepada Mohd Zulkarnain kerana kanak-kanak itu langsung tidak boleh bertutur dan segala gerak gerinya perlu diperhatikan sepanjang masa.

 

Mohd Zulkarnain anak tunggal lelaki pasangan itu tenggelam dalam dunianya sendiri dan keadaan itu merisaukan Kamisah kerana anaknya berisiko besar untuk jatuh dan terlanggar apa saja objek di depannya setiap kali bergerak.
Tahun lalu, Kamisah dan suaminya menghantar Mohd Zulkarnain ke sekolah khas kerana tidak mahu anak mereka ketinggalan tetapi ternyata dia tidak mampu mengikuti pelajaran kerana terlalu kerap diserang sawan.
“Tahun ini dia langsung tak ke sekolah kerana penyakitnya semakin parah. Kami pernah hantar dia ke sekolah, tetapi kemudian cikgu sekolahnya akan menelefon menyuruh kami membawa Mohd Zulkarnain pulang kerana diserang sawan. Akhirnya, kami mengambil keputusan membiarkan dia di rumah saja.

 

 

“Walaupun ada tujuh anak, Mohd Zulkarnain paling memerlukan perhatian khusus. Dia juga masih menggunakan lampin pakai buang dan sudah tentulah belanja menguruskannya menjadi berganda berbanding anak lain.
“Susah untuk kami mengagihkan pendapatan suami RM550 sebulan sebagai pengawal keselamatan bagi keperluan dapur, sewa rumah dan persekolahan anak-anak,” katanya.

 

Awang juga sebenarnya Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menghadapi masalah pendengaran walaupun tidak begitu serius dan kesediaan majikannya untuk membenarkannya bekerja sangat-sangat dihargainya.
Awang dan Kamisah menyewa sebuah rumah kecil milik penduduk Kampung Bangau Parit dengan bayaran RM120 sebulan. Mereka bersyukur kerana tuan rumah tidak pernah berkira dan memahami masalah kewangan yang mereka hadapi tambahan pula tiga anak mereka selain Mohd Zulkarnain masih bersekolah.
“Mujurlah suami juga ada menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana dia OKU dan itulah yang sedikit melegakan kami,” katanya.

Penganggur perkosa teman wanita hingga lahir anak – Metro


Penganggur perkosa teman wanita hingga lahir anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seorang penganggur didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merogol teman wanitanya yang kini sudah melahirkan anak hasil perhubungan mereka, di sini, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Slamat Yahya menangguhkan prosiding jatuh hukum kepada 30 November ini sementara menantikan laporan akhlak lelaki itu. Terdahulu, Slamat pada penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Beliau berkata, keterangan saksi pendakwaan menunjukkan tertuduh dan mangsa melakukan hubungan seks antara dua atau tiga kali secara rela dan tidak cuba melarikan diri ketika kejadian.

 

Selain itu katanya, fakta juga menunjukkan tertuduh mengetahui usia mangsa ketika itu di bawah 16 tahun.
Pada masa sama katanya, ujian DNA terhadap anak mangsa juga menunjukkan tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi berkenaan.

Pilih guru bertauliah – Metro


Pilih guru bertauliah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Keinginan menuntut ilmu agama terutama di kalangan orang muda menyebabkan mereka mudah terpengaruh dan akhirnya menjadi pengikut ajaran sesat.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd Rozali Salleh berkata, sudah menjadi sifat orang muda ghairah menuntut ilmu agama dan mereka akan mencari guru mempunyai kelebihan serta lain daripada yang lain.
“Sebagai contoh, guru yang kelihatan pelik daripada segi berpakaian dan memiliki kelebihan luar biasa seperti kebal, boleh berjalan di atas air akan mempunyai ramai pengikut, dihormati dan disanjung secara melampau.

 

“Orang muda yang sedang berjinak-jinak dengan agama akan mudah terpengaruh dengan guru begitu. Saya ingin tegaskan sebarang amalan yang menyimpang dan pelik daripada kebiasaan perlu diragui dan dirujuk kepada ahli agama terlebih dulu sebelum mengikutinya.
“Lebih selamat dan terjamin jika kita mempelajari agama daripada guru yang bertauliah dan tidak mencampur adukkan agama dengan perkara lain,” katanya ketika dihubungi semalam.
Rozali berkata, orang ramai perlu memenuhi dada dengan ilmu asas fardu ain dan sentiasa bermuzakarah dengan ahli agama.

 

 

“Melalui cara itu, kita terhindar daripada terjebak dengan ajaran sesat dan mengamalkan ajaran Islam berlandaskan al-Quran dan hadis,” katanya.

Sekolah Dalam Hospital diperluas – Utusan


Sekolah Dalam Hospital diperluas

JOHOR BAHRU 28 Okt. – Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen akan diperluas ke enam lagi hospital kerajaan pada tahun depan.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, hospital yang dipilih adalah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Kita juga akan mewujudkan SDH di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur.

“Kesemua SDH di hospital tersebut akan dilaksanakan tahun depan dan harapan kami setiap negeri akan memiliki sebuah SDH pada masa akan datang,” katanya selepas menghadiri taklimat dan lawatan ke tapak projek SDH di HSA, di sini hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan Pengarah HSA, Dr. Rooshaimi Merican A. Rahim Merican. Turut hadir, Fasilitator Projek Hati Nurani SDH, Dr. Noraini Zainal Abidin.

Noorainee yang juga Penaung Projek Hati Nuraini berkata, sebelum ini pihaknya melaksanakan projek perintis SDH di sekitar Lembah Klang iaitu di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan Hospital Ampang pada Julai lalu.

“Saya bangga kerana program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan beberapa hospital secara sukarela mewujudkan sekolah tersebut di hospital masing-masing.

“Bagi memenuhi keperluan itu, guru-guru SDH yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengikuti latihan pengurusan dan pentadbiran program di Children’s Hospital at Westmead, Sydney, Australia,” katanya.

Menurutnya, SDH kini satu keperluan dan menjadi tanggungjawab kerajaan memberikan kemudahan tersebut bagi membolehkan pelajar yang mendapat rawatan tidak keciciran dalam pelajaran.

Bahasa kebangsaan mesti dipelajari semua kaum – Utusan


Bahasa kebangsaan mesti dipelajari semua kaum

KUANTAN 28 Okt. – Rakyat negara ini perlu memahami bahawa bahasa kebangsaan merujuk bahasa Melayu tinggi yang mesti dipelajari oleh semua pelajar di sekolah, termasuk orang Melayu sendiri.

Menurut bekas dekan Fakulti Bahasa Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Abdullah Hassan, bahasa Melayu tinggi iaitu bahasa kebangsaan bukan bahasa percakapan harian yang dipelajari di rumah atau di kampung dan ia bukan hanya milik orang Melayu.

“Bahasa Melayu tinggi bermaksud bahasa yang dipelajari di sekolah dan mempunyai sistem sebutan, ejaan, kaedah membentuk perkataan, ayat serta ungkapan.

“Ia adalah bahasa kebangsaan dan kepunyaan semua warga Malaysia dan semua rakyat negara ini termasuk orang Melayu perlu mempelajarinya terutama dari segi sebutan, ejaan, nahu dan penggunaannya,” katanya.

Abdullah menyampaikan Syarahan Umum Pak Sako sempena sambutan Bulan Bahasa di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini hari ini.

Beliau yang juga Penasihat PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. berkata, apabila semua warga Malaysia menerima bahasa Melayu tinggi itu, terbentuklah persamaan konsep satu bahasa seperti yang dilaungkan selama ini.

Katanya, demi membina jati diri Malaysia dengan tidak menafikan kewujudan dan kepentingan bahasa kaum lain, peruntukan mengenai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan perlu dihormati.

“Ia mesti dilaksanakan tanpa bantahan kaum Cina dan India yang menerima bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa kebangsaan termasuk orang Melayu sendiri,” jelasnya.