Projek pendidikan: Kementerian Pelajaran setuju turunkan kuasa – Bernama


Projek pendidikan: Kementerian Pelajaran setuju turunkan kuasa

30/10/2011 7:48pm

 

PENAMPANG 30 Okt. – Kementerian Pelajaran bersetuju menurunkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak untuk menguruskan pemberian kontrak projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri itu.

Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat kewajaran untuk menurunkan kuasa itu memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang besar terutama daripada segi jumlah atau saiz sekolah.

“Sebenarnya dulu memang begitu… projek pendidikan di Sabah dan Sarawak di bawah jabatan kita yang ada di peringkat negeri tetapi beberapa tahun kebelakangan ini ia diurus pula oleh kementerian.

“Saya dapati memang ada kewajaran untuk kita turunkan balik kuasa kepada Sabah dan Sarawak.

“Satu cara ialah memberi kuasa kepada pengarah negeri untuk melihat bagaimana projek tertentu yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama diuruskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-26 di KDCA, dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam ucapannya agar kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor Sabah untuk memperoleh kontrak bagi program yang mendapat peruntukan kerajaan Persekutuan. – Bernama

Pelajar perempuan hilang selepas pergi sekolah – Bernama


Pelajar perempuan hilang selepas pergi sekolah

2011/10/30

PADANG SERAI: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas dihantar ke sekolahnya di Lunas dekat sini pada tengah hari Isnin lalu.

Nur Ainina Adila Muhd Zuki yang dihantar ke sekolah oleh jiran mereka, Rosnah Ahmad dengan menaiki motosikal secara bayaran bulanan, bagaimanapun tidak muncul semasa dijemput oleh wanita itu selepas waktu persekolahan pada petangnya.

“Ketika hendak mengambilnya pulang pada petang hari, Rosnah mendapati anak saya itu tidak keluar daripada sekolah dan menunggu anak saya itu sehingga 30 minit,” kata bapa pelajar itu Muhd Zuki Jahaya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Perenggan, Lunas hari ini.

Muhd Zaki, 46, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Perenggan, berkata Rosnah, 46, segera menghubungi isterinya Hajar Othman, yang memaklumkan kepadanya dan mereka bergegas ke sekolah namun gagal menemuinya.

Hajar, 44, berkata mereka diberitahu oleh beberapa kawan sekelas anaknya itu yang anak mereka tidak hadir di kelas pada hari berkenaan.

Katanya, dia dan suaminya kemudian membuat laporan mengenai kehilangan anaknya itu di Balai Polis Lunas kira-kira 9.45 malam, hari yang sama.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Lunas ada merakamkan gambar Rosnah ketika menghantar anaknya ke sekolah tetapi selebihnya tiada.
Hajar berkata, anak bongsu mereka itu yang lebih mesra dengan panggilan “Nina” dan “Dikna” adalah seorang pendiam dan pernah memberitahunya bahawa dia mahu bertukar sekolah.

“Dia pernah menyuarakan hasratnya itu kepada saya akibat dia sering dibuli dan diejek rakan-rakan sekolahnya kerana kekurangan yang terdapat pada dirinya yang agak lembam dan terkebelakang dalam bidang akademiknya,” katanya.

Sementara itu, keluarga Muhd Zuki sudah melakukan pelbagai cara untuk menjejaki anaknya itu termasuk mengedarkan gambar Dikna di stesen minyak sekitar daerah Kulim, Bandar Baharu di Kedah dan sekitar Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Seberang Perai serta Pulau Pinang.

Muhd Zuki berharap sesiapa yang mengetahui atau menjumpai Dikna supaya menghubunginya di talian 019-5253307 dan 019-5033091(Hajar) atau balai polis berhampiran. – BERNAMA

Fobia lihat asid – Metro


Fobia lihat asid

Oleh HADZLAN HASSAN
hadzlan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
HAMPIR PULIH... Khairun membelek wajah Haikal sambil diperhatikan Aiman (kiri) dan Mat Safarzaidi.
HAMPIR PULIH… Khairun membelek wajah Haikal sambil diperhatikan Aiman (kiri) dan Mat Safarzaidi.

KUALA LUMPUR: Shafiq Aiman Mat Safarzaidi, 10, yang parah di muka dan badan akibat disimbah asid oleh jiran sekampung ketika bermotosikal bersama abangnya, kini bukan saja kurang keyakinan diri, malah trauma setiap kali mendengar atau melihat cecair dalam botol kaca.

Sikap kanak-kanak itu tidak dapat disembunyikan apabila dia beberapa kali mengelak dan menolak kerusi ke belakang untuk melarikan diri setiap kali Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Mohd Khairun Aseh memegang botol asid dalam sidang media khas di pejabat biro berkenaan di sini, semalam.
Ketakutannya menyebabkan Mohd Khairun, yang ingin memaklumkan media mengenai penjualan asid secara terbuka masih berlaku, mengarahkan kakitangannya mengalihkan segera botol cecair itu sebelum majlis diteruskan.

 

Ibu Aiman, Ruhashimah Julaili Mansur, 33, berkata selain cecair dalam botol, anak keduanya itu takut melihat dawai kokot kerana ia digunakan untuk menekap kulit pada muka dan badan selepas menjalani beberapa pembedahan.
“Dia akan lari atau memaling muka melihat kedua-dua objek berkenaan… mungkin kerana masih fobia, terutama selepas melihat dawai kokot pada kulit yang digunakan doktor untuk menutup lukanya,” katanya ketika ditemui selepas Mohd Khairun mengumumkan dua beradik itu dijadikan anak angkat biro terbabit, sekali gus bertanggungjawab meringankan bebanan keluarga dan membantu persekolahan mereka.
Dalam kejadian 19 Julai lalu, Aiman dan abangnya, Shafiq Haikal, 13, parah di muka dan badan selepas disimbah asid ketika bermotosikal dalam perjalanan pulang mengambil buku ulang kaji di Felda Ketumbar, Jengka 9, Maran, Pahang.

 

 

Haikal yang kabur mata kiri akibat insiden itu berkata, ketika kejadian, dia terlupa membawa buku, lalu berpatah balik sejurus tiba di rumah rakan untuk mengulang kaji pelajaran sebelum seorang lelaki tiba-tiba mencampakkan sesuatu ke arah mereka hingga motosikal terbalik.
“Masa itu rasa panas, tak nampak apa-apa tapi ada orang bantu. Kami sebenarnya baru lepas mengaji dan terus ke rumah rakan, adik masih bersongkok.

 

“Sebaik disimbah, saya mengelak cecair itu, lalu ia terkena adik tapi dia bernasib baik kerana asid tidak kena kepalanya tetapi terpercik ke muka dan badan,” katanya.
Muhd Khairun pula kecewa kerana selepas beberapa pihak, termasuk menteri mengeluarkan kenyataan supaya penjualan asid diperketatkan, aktiviti penjualan bahan itu masih dilakukan secara terbuka.
“Buktinya, kami di biro ini boleh mendapatkan cecair itu pada harga RM2.50 tanpa perlu mendaftarkan nama atau menyerahkan kad pengenalan kepada kedai hardware (pertukangan).
“Siapa saja boleh dapatkannya… nampaknya kenyataan dua menteri mengenai penjualan asid sebelum ini tidak dipedulikan.
“Selaku pengerusi biro, saya akan membawa perkara ini ke perhatian pihak terbabit dan jika perlu, saya akan menghantar memorandum,” katanya di majlis yang turut dihadiri bapa kanak-kanak itu, Mat Safarzaidi Che Sam, 33.
Menurutnya, dia bimbang tragedi yang menimpa Aiman dan Haikal akan berlaku lagi jika penjualan asid tidak dibendung sepenuhnya.
“Kedua-dua kanak-kanak ini mempunyai impian tinggi, seorang mahu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang lagi ingin menjadi doktor, namun kejadian yang menimpa menyebabkan impian mereka terjejas.
“Sebagai keluarga angkat, kita akan bantu sekadar termampu seperti memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas melalui kelas dalam wad dan ia akan diusahakan dengan kerjasama kementerian berkaitan.
“Bagi memastikan wajah mangsa pulih kita akan usaha membekalkan kelengkapan seperti penyaman udara kerana mangsa perlu memakai topeng muka 23 jam sehari,” katanya.
Setakat ini, mereka menjalani pembedahan pemindahan kulit paha yang ditampal pada muka manakala Haikal pula menjalani pembedahan tambahan apabila kulit cuping telinganya terpaksa diambil untuk membaik pulih kelopak mata dan beberapa siri pembedahan susulan akan dilakukan.

Rahsia gadis murung terbongkar – Metro


Rahsia gadis murung terbongkar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KENINGAU: Sikap murung dialami gadis berusia 16 tahun akhirnya membongkar rahsianya yang dirogol dua kali oleh bapa kandungnya di rumah mereka di Sook sejak Julai lalu.

Dalam dua kejadian berasingan, tubuh mangsa ‘diratah’ oleh darah dagingnya ketika ibunya tiada di rumah.
Mangsa yang tidak bersekolah mengalami trauma dan murung berpanjangan selepas kejadian itu sebelum dihidu oleh ibunya apabila mendapati anak gadisnya bersikap pelik.

 

Akibat tidak mampu menahan desakan ibunya, mangsa menceritakan kelakuan bapanya berusia 51 tahun merogolnya dua kali iaitu pada Julai lalu dan bulan ini ketika ketiadaannya.
Sebaik mengetahui perkara itu, ibu mangsa membuat laporan polis untuk diambil tindakan terhadap suspek.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, laporan itu dilakukan seminggu selepas kejadian rogol (kedua) berlaku.

 

 

“Bagi mengelak kejadian sama berulang, ibu mangsa melaporkan perkara itu kepada polis.
“Mangsa dirogol dua kali pada Julai lalu jam 7 malam dan 21 Oktober jam 2 petang ketika ibunya tiada di rumah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Menurut Zahari, suspek berjaya dikesan di rumahnya dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 60 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

PPSMI perlu dimansuh serta-merta – Dr. Isahak – Utusan


PPSMI perlu dimansuh serta-merta – Dr. Isahak

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dimansuhkan serta-merta tanpa menunggu sehingga 2015.

Pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Emeritus Dr. Isahak Haron berkata, ia penting bagi mengelak proses transisi kepada dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) mendatangkan masalah kepada pelajar.

Katanya, berdasarkan kajian yang telah dilakukan, seramai 14.4 juta pelajar dijangka akan berdepan dengan masalah sepanjang proses transisi dasar tersebut.

“Kajian itu juga menunjukkan sebanyak 70 peratus pelajar sekolah rendah ketika ini berdepan kesukaran untuk memahami pelajaran sains dan matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

“Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan daripada pelajar itu pula terdiri daripada pelajar Melayu yang terdedah kepada kesan daripada sudut sosial kerana berdepan kesukaran dalam pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Memperkasakan Dan Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan’ pada Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu di sini hari ini.

Daripada kajian sama, tambah Isahak, 80 peratus pelajar sekolah rendah mendakwa mereka perlu merujuk kepada buku dan bahan rujukan dalam bahasa Melayu untuk memahami mata pelajaran itu.

Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan menyediakan buku tambahan sains dan matematik dalam bahasa Melayu secara percuma bagi membantu meningkatkan pengetahuan pelajar dalam mata pelajaran itu.

“Ini kerana daripada jumlah itu pula, hanya 40 peratus sahaja yang mampu membeli buku dan bahan rujukan tersebut manakala selebihnya menghadapi masalah kekangan kewangan dan kebanyakan mereka ini terdiri daripada orang Melayu,” jelasnya.

20,133 murid khatam al-Quran cipta rekod MBR – Utusan


20,133 murid khatam al-Quran cipta rekod MBR

Para pelajar KAFA seluruh daerah Terengganu membaca al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. – MINGGUAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

 

KUALA TERENGGANU 29 Okt. – Seramai 20,133 murid sekolah rendah di seluruh negeri ini hari ini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya khatam al-Quran beramai-ramai sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR).

Lebih unik, sebahagian daripada mereka yang mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu turut menggunakan buku elektronik, e-book untuk khatam al-Quran pada majlis berasingan yang diadakan serentak di setiap Parlimen di negeri ini.

Bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, seramai 6,325 murid telah khatam dan diraikan pada majlis Khatam Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Kelas KAFA (UPKK) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat sebagai mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Serentak dengan itu, seramai 3,149 murid turut menjayakan majlis serupa bertempat di Masjid Nasiruddin, Besut, diikuti 2,311 murid di Masjid Permaisuri, Setiu dan 2,744 murid di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang.

Lain-lain ialah 1,910 murid di Masjid Sultan Mahmud, Hulu Terengganu; 2,024 murid (Dataran Padang Merdeka Dungun) dan 1,670 murid (Masjid Sultan Ahmad, Kemaman).

Program itu merupakan anjuran bersama Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita, Khazan berkata, jumlah murid yang berjaya khatam al-Quran tahun ini lebih ramai berbanding 16,929 murid pada tahun lalu.

“Lebih istimewa, mereka berkesempatan menggunakan 3,200 unit e-book pemberian kerajaan negeri bagi menjayakan majlis khatam al-Quran tahun ini berbanding hanya 400 unit bagi setiap Parlimen pada tahun lalu,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan tanggungjawab kepada YIT untuk menyasarkan 30,000 murid yang khatam al-Quran di negeri ini pada setiap tahun.

“Pada masa akan datang, kerajaan negeri sasarkan tiada ada lagi pelajar yang memasuki sekolah menengah di Terengganu tidak khatam al-Quran, selain melaksanakan objektif KAFA iaitu semua murid tahun 6 fasih al-Quran,” ujarnya.

Mahu jadi polis, doktor’ – Utusan


Mahu jadi polis, doktor’

KUALA LUMPUR 29 Okt. – “Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita menjadi polis. Bila dah jadi polis, bolehlah saya tangkap orang jahat seperti lelaki yang menyimbah asid ke atas saya dan adik sehingga menyebabkan kami menderita seumur hidup,” kata Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi.

Kanak-kanak malang berusia 12 tahun itu mula menyimpan cita-cita mahu mencebur kerjaya kepolisan setelah melalui pengalaman pahit disimbah asid bersama adiknya, Syaffiy Aiman, 10, pada 19 Julai lalu, mengakibatkan wajah mereka melecur teruk dan mengalami kecacatan.

Berbeza dengan abangnya, Syaffiy Aiman yang mengalami nasib sama pula bercita-cita mahu menjadi doktor kerana berhasrat mahu membantu lain-lain mangsa simbah asid untuk memulihkan kecacatan mereka agar dapat kembali menjalani kehidupan normal.

Cita-cita tersebut dinyatakan oleh dua beradik terbabit pada sidang akhbar di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di sini hari ini.

Turut hadir ibu bapa mereka, Ruhasimah Mansor, 33, dan Mat Safar Zaidi Che Sam, 33, serta Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh.

Dalam kejadian di Felda Jengka 9, Pahang pada pukul 8.30 malam, 19 Julai lalu, Shafiq Haikal dan Syaffiy Aiman cedera parah di muka selepas disimbah asid oleh buruh ladang, Muhammad Hafiz Ismail, 33, yang telah dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh.

Menurut Shafiq Haikal, dia berasa amat marah dan geram terhadap pemuda yang menyimbah asid terhadap dia dan adiknya kerana perbuatan itu telah menyebabkan mereka berdua menanggung derita setelah mengalami kecacatan di wajah.

“Kami bukan sahaja menderita kesakitan tetapi tidak lagi bebas berjalan-jalan seperti sebelum ini kerana malu sering diperhatikan, diejek dan dicerca oleh orang ramai terutama yang tidak tahu tentang peristiwa malang menimpa kami,” katanya.

Pilihan kaedah pembelajaran boleh cetus kucar-kacir – Utusan


Pilihan kaedah pembelajaran boleh cetus kucar-kacir

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menentukan kaedah pembelajaran anak-anak mereka sama ada menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sukar dilaksanakan kerana ia boleh menimbulkan keadaan kucar-kacir dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, langkah itu juga boleh mendatangkan masalah di peringkat Kementerian Pelajaran untuk merancang kaedah sesuai bagi memenuhi kehendak sekolah yang mahukan sistem pendidikan bahasa Inggeris dan sekolah yang sebaliknya.

“Perkara ini sebenarnya sudah kita perhalusi, teliti dan pertimbangkan di peringkat kementerian.

“Bukan kerajaan tidak memahami hasrat ibu bapa yang mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka, tetapi kita mahu lihat pendekatan yang lebih sesuai dan itu yang sedang kita laksanakan ketika ini menerusi program Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI),” katanya selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahukan kerajaan memberi pilihan kepada ibu bapa menentukan sendiri kaedah pendidikan sains dan matematik bagi anak-anak mereka sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Muhyiddin menambah, keputusan kerajaan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dihormati semua pihak kerana ia hadir dengan jaminan bahawa bahasa Inggeris tidak sesekali dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.

Sebagai contoh tegas beliau, kurikulum MBMMBI yang dilaksanakan tahun ini telah dirombak menjadi lebih menarik, tambahan masa pengajaran subjek Bahasa Inggeris dan membawa guru penutur bahasa Inggeris untuk memantau guru-guru tempatan.

“Saya percaya langkah-langkah yang diambil kerajaan ini akan membuahkan hasil dalam beberapa tempoh akan datang sebab adalah mustahil ia akan menunjukkan kejayaan dalam masa setahun dua,” katanya.

Semua guru tabika Kemas miliki diploma 2015 – Utusan


Semua guru tabika Kemas miliki diploma 2015

KOTA KINABALU 29 Okt. – Dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan prasekolah, kerajaan menyasarkan kesemua guru taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara memiliki diploma menjelang 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setakat ini seramai kira-kira 2,000 daripada 9,824 guru Tabika Kemas telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma.

“Dalam hubungan ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mempastikan tenaga guru kita dapat ditingkatkan keupayaannya.

“Jadi untuk murid-murid tabika mendapat ilmu pengetahuan mencukupi, kita perlu mempunyai tenaga guru berkebolehan dan berkeupayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam (MUIS) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd. Amin dan Pengarah Kemas Negeri, Anisah Saidin.

Pada majlis itu, seramai 94 warga kerja Kemas Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Menurutnya, pada masa ini guru-guru Tabika Kemas dihantar menjalani kursus dalam cuti di institusi perguruan di seluruh negara.

Dalam pada itu beliau berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pendidikan prasekolah kementerian itu telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

“Pada tahun ini sasaran 9,816 kelas Tabika Kemas telah berjaya dicapai sejak Julai lalu dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang.

“Selain itu, menjelang 2015 kesemua guru-guru tabika dijangka bergred S27,” ujarnya.