Fobia lihat asid – Metro


Fobia lihat asid

Oleh HADZLAN HASSAN
hadzlan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
HAMPIR PULIH... Khairun membelek wajah Haikal sambil diperhatikan Aiman (kiri) dan Mat Safarzaidi.
HAMPIR PULIH… Khairun membelek wajah Haikal sambil diperhatikan Aiman (kiri) dan Mat Safarzaidi.

KUALA LUMPUR: Shafiq Aiman Mat Safarzaidi, 10, yang parah di muka dan badan akibat disimbah asid oleh jiran sekampung ketika bermotosikal bersama abangnya, kini bukan saja kurang keyakinan diri, malah trauma setiap kali mendengar atau melihat cecair dalam botol kaca.

Sikap kanak-kanak itu tidak dapat disembunyikan apabila dia beberapa kali mengelak dan menolak kerusi ke belakang untuk melarikan diri setiap kali Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Mohd Khairun Aseh memegang botol asid dalam sidang media khas di pejabat biro berkenaan di sini, semalam.
Ketakutannya menyebabkan Mohd Khairun, yang ingin memaklumkan media mengenai penjualan asid secara terbuka masih berlaku, mengarahkan kakitangannya mengalihkan segera botol cecair itu sebelum majlis diteruskan.

 

Ibu Aiman, Ruhashimah Julaili Mansur, 33, berkata selain cecair dalam botol, anak keduanya itu takut melihat dawai kokot kerana ia digunakan untuk menekap kulit pada muka dan badan selepas menjalani beberapa pembedahan.
“Dia akan lari atau memaling muka melihat kedua-dua objek berkenaan… mungkin kerana masih fobia, terutama selepas melihat dawai kokot pada kulit yang digunakan doktor untuk menutup lukanya,” katanya ketika ditemui selepas Mohd Khairun mengumumkan dua beradik itu dijadikan anak angkat biro terbabit, sekali gus bertanggungjawab meringankan bebanan keluarga dan membantu persekolahan mereka.
Dalam kejadian 19 Julai lalu, Aiman dan abangnya, Shafiq Haikal, 13, parah di muka dan badan selepas disimbah asid ketika bermotosikal dalam perjalanan pulang mengambil buku ulang kaji di Felda Ketumbar, Jengka 9, Maran, Pahang.

 

 

Haikal yang kabur mata kiri akibat insiden itu berkata, ketika kejadian, dia terlupa membawa buku, lalu berpatah balik sejurus tiba di rumah rakan untuk mengulang kaji pelajaran sebelum seorang lelaki tiba-tiba mencampakkan sesuatu ke arah mereka hingga motosikal terbalik.
“Masa itu rasa panas, tak nampak apa-apa tapi ada orang bantu. Kami sebenarnya baru lepas mengaji dan terus ke rumah rakan, adik masih bersongkok.

 

“Sebaik disimbah, saya mengelak cecair itu, lalu ia terkena adik tapi dia bernasib baik kerana asid tidak kena kepalanya tetapi terpercik ke muka dan badan,” katanya.
Muhd Khairun pula kecewa kerana selepas beberapa pihak, termasuk menteri mengeluarkan kenyataan supaya penjualan asid diperketatkan, aktiviti penjualan bahan itu masih dilakukan secara terbuka.
“Buktinya, kami di biro ini boleh mendapatkan cecair itu pada harga RM2.50 tanpa perlu mendaftarkan nama atau menyerahkan kad pengenalan kepada kedai hardware (pertukangan).
“Siapa saja boleh dapatkannya… nampaknya kenyataan dua menteri mengenai penjualan asid sebelum ini tidak dipedulikan.
“Selaku pengerusi biro, saya akan membawa perkara ini ke perhatian pihak terbabit dan jika perlu, saya akan menghantar memorandum,” katanya di majlis yang turut dihadiri bapa kanak-kanak itu, Mat Safarzaidi Che Sam, 33.
Menurutnya, dia bimbang tragedi yang menimpa Aiman dan Haikal akan berlaku lagi jika penjualan asid tidak dibendung sepenuhnya.
“Kedua-dua kanak-kanak ini mempunyai impian tinggi, seorang mahu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang lagi ingin menjadi doktor, namun kejadian yang menimpa menyebabkan impian mereka terjejas.
“Sebagai keluarga angkat, kita akan bantu sekadar termampu seperti memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas melalui kelas dalam wad dan ia akan diusahakan dengan kerjasama kementerian berkaitan.
“Bagi memastikan wajah mangsa pulih kita akan usaha membekalkan kelengkapan seperti penyaman udara kerana mangsa perlu memakai topeng muka 23 jam sehari,” katanya.
Setakat ini, mereka menjalani pembedahan pemindahan kulit paha yang ditampal pada muka manakala Haikal pula menjalani pembedahan tambahan apabila kulit cuping telinganya terpaksa diambil untuk membaik pulih kelopak mata dan beberapa siri pembedahan susulan akan dilakukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s