Kementerian Pelajaran rancang sediakan 7,508 tempat latih GSTT mulai 2012 – Bernama


Kementerian Pelajaran rancang sediakan 7,508 tempat latih GSTT mulai 2012

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran merancang untuk menyediakan 7,508 tempat bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk dilatih di bawah Kursus Perguruan Lepasan Ijazah-Sekolah Rendah, Kursus Perguruan Lepasan SPM dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah mulai Jan tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata sehingga 18 Ogos tahun ini seramai 7,920 orang telah dilantik semula sebagai GSTT dan daripada jumlah itu seramai 1,143 orang sedang mengikuti kursus dalam cuti.

“Manakala 862 yang ditawarkan tidak melapor diri untuk bertugas dan semua lantikan memenuhi syarat asas kementerian,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi negeri Sabah sehingga 30 Sept tahun ini seramai 516 orang telah dilantik semula sebagai GSTT dan selebihnya akan ditawarkan terus mengikuti latihan di Insitut Pendidikan Guru (IPG) mulai Jan tahun depan.

 
Katanya seramai 1,258 orang GSTT kini mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah mod Kursus Dalam Cuti dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia mod Kursus Dalam Cuti di IPG seluruh negara.
Menjawab soalan tambahan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), Wee berkata Kementerian Pelajaran menjangkakan masalah kekurangan guru akan mula reda pada tahun 2015.

“Ijazah Sarjana Muda Pendidikan mengambil masa lima tahun setengah, kita tidak boleh selesaikan masalah ini esok, pengambilan antara dua dan tiga tahun akan datang memang ramai. Selepas 2015 kita akan terus memantau untuk bekalkan guru yang cukup kepada sekolah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Rahman, Wee berkata penyerapan terus GSTT kepada guru sepenuh masa adalah bergantung kepada jumlah penjawatan dan kekosongan jawatan guru yang sedia ada.

“Kekosongan (jawatan guru) tidak boleh diadakan dengan sewenang-wenangnya, usaha mewujudkan perjawatan ini kita mesti mengikuti peraturan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam),” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran mengutamakan lepasan IPG dalam mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah-sekolah di negara ini. – BERNAMA

Program ‘English Teaching Assistants’ Terengganu jadi model Kementerian Pelajaran – Bernama


Program ‘English Teaching Assistants’ Terengganu jadi model Kementerian Pelajaran

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Program ‘English Teaching Assistants’ (ETA) yang dipelopori Terengganu akan dijadikan model atau contoh oleh Kementerian Pelajaran apabila mengendalikan program itu mulai tahun hadapan.

Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah berkata mulai tahun hadapan kementerian mengambil alih program ETA itu yang akan dijalankan di negeri-negeri lain sebagaimana dibuat di Terengganu.

“Kementerian Pelajaran mendapati program ETA itu menghasilkan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan dan perpisahan ETA di sini hari ini.

Mazlan berkata dalam tempoh enam tahun program itu dijalankan peningkatan prestasi pelajar amat mengagumkan.

 
“Pegawai pelajaran melaporkan pelajar yang mengikuti program itu mencapai kelulusan meningkat mendadak pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka,” katanya.
Katanya, di Terengganu, ETA ditempatkan di sekolah-sekolah yang pelajarnya sudah tahu berbahasa Inggeris, dan program berkenaan menghasilkan peningkatan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Mazlan berkata, walaupun kementerian mengambil alih program ETA itu, Terengganu tetap diberi keutamaan dengan menempatkan seramai 17 ETA di sekolah-sekolah negeri itu.

“Difahamkan 50 ETA akan terlibat pada tahun depan di ngeri-negeri Pahang dan Johor tetapi Terengganu tetap diberi keutamaan dengan menempatkan 17 ETA,” katanya.

Kerajaan Terengganu, katanya, membelanjakan kira-kira RM3.5 juta bagi program ETA bermula pada 2006 yang sehingga kini melibatkan 90 ETA keseluruhannya.

Pada majlis itu seramai 17 tenaga pembantu pengajar dari Amerika Syarikat yang selesai menjalankan tugas mereka selama 10 bulan di 17 buah sekolah di Terengganu tahun ini diraikan sebelum pulang ke negara mereka. – BERNAMA

Pelajar maut motosikal bertembung ambulans – Bernama


Pelajar maut motosikal bertembung ambulans

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Seorang pelajar tingkatan satu terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah ambulans Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang dalam perjalanan untuk mengambil seorang pesakit dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku di persimpangan Kampung Pokok Asam pada 8 malam tadi ketika Muhammad Mu’az Johari, 13, dipercayai dari arah Pekan Langgar tidak sempat mengelak sebuah ambulans yang sedang membelok masuk ke kampung itu untuk mengambil pesakit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata Muhammad Mu’az, dari Kampung Alor Raja, Langgar dekat sini, cedera parah di kepala selain patah kaki kanan.

“Ambulans yang membawa tiga pegawai perubatan itu kemudiannya membawa mangsa ke hospital tetapi dia meninggal dunia pukul 10 pagi tadi di HSB,” katanya kepada pemberita.

 
Adzaman berkata pemandu serta tiga pegawai perubatan yang berada dalam ambulans itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kita sudah mengambil keterangan pemandu ambulans tersebut dan sekarang ini kita menunggu bapa mangsa datang memberi keterangan,” kata Adzaman.

Beliau berkata menurut keterangan yang diberi oleh pemandu ambulans berkenaan, ketika dia mahu membelok masuk ke kampung itu, semua kenderaan dari kedua-dua arah telah memberi laluan tetapi tiba-tiba sebuah motosikal datang lalu merempuh bahagian depan ambulans. – BERNAMA

Kegiatan 2 kanak-kanak mencuri di rumah-rumah terbongkar – Bernama


Kegiatan 2 kanak-kanak mencuri di rumah-rumah terbongkar

31/10/2011 7:55pm

 

PUTRAJAYA 31 Okt. – Kegiatan dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan lapan tahun yang mencuri di 26 buah rumah penduduk di sekitar Presint 8 di sini terbongkar apabila mereka sendiri memberitahu rakan-rakan mengenai kegiatan itu.

Ketua Polis Putrajaya, Supt Abdul Razak Abd Majid berkata, seorang rakan mereka terkejut apabila diberitahu barang-barang rumahnya sendiri juga telah dicuri.

Kanak-kanak itu memasuki rumah berkenaan dengan menggunakan kunci yang ditinggalkan di luar rumah.

“Kedua-dua kanak-kanak lelaki tersebut bukan sahaja memberitahu malah menunjukkan barang-barang yang mereka telah curi. Berang dengan keadaan itu seorang rakan sekolah mereka memberitahu ayahnya.

“Terkejut mendengar perkara tersebut, ayah berkenaan segera membuat laporan kepada pihak polis dan kedua-dua budak itu ditangkap secara berasingan pada 5.40 petang dan 6.30 petang di rumah masing-masing pada 28 Oktober lalu,” kata Abdul Razak kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini.

Abdul Razak berkata, setelah disoal siasat pihak polis, kedua-dua mereka mengakui telah menjalankan kegiatan mencuri itu sejak enam bulan lalu.

Beliau berkata, dua kanak-kanak itu melakukan perbuatan mencuri dengan mengambil kunci yang diletakkan di luar rumah, biasanya di dalam kasut, apabila tuan rumah keluar bekerja pada waktu pagi. – Bernama

Polemik PPSMI hanya buang masa dan harus dihentikan – Bernama


Polemik PPSMI hanya buang masa dan harus dihentikan

31/10/2011 4:03pm

 

ALOR SETAR 31 Okt. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyifatkan polemik mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai membuang masa dan harus dihentikan segera.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abdul Rani berkata, sebaliknya usaha perlu ditumpukan kepada langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pemantapan silibus mata pelajaran itu sendiri.

“Semua pihak harus menerima pemansuhan PPSMI dengan lapang dada dan apa yang penting sekarang adalah pelan yang komprehensif di bawah sistem pendidikan negara untuk melengkapkan pelajar dengan ilmu Sains dan Matematik.

“GPMS Kedah ingin mencadangkan agar hasil perbincangan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pendidikan dalam perkara ini dikongsi untuk pengetahuan orang ramai agar semua pihak boleh memberi syor yang sesuai demi kepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, guru dan masyarakat perlu membantu kerajaan dengan memberi input untuk memastikan pelajar dapat menguasai ilmu berkenaan secara efektif. – Bernama

PPSMI: PAGE minta PM campur tangan – Berita Harian


PPSMI: PAGE minta PM campur tangan

2011/10/31

PUTRAJAYA: Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, campur tangan berhubung isu pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Karim, berkata kerajaan perlu menarik balik keputusan pemansuhan PPSMI kerana keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan PPSMI adalah satu dasar yang baik untuk pelajar luar bandar dan bandar.

Beliau berkata, kajian dilakukan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menunjukkan 39 peratus pelajar dan 55 peratus ibu bapa di luar bandar mahu PPSMI diteruskan.

Katanya, kajian itu juga menunjukkan 66 peratus ibu bapa merasakan PPSMI adalah dasar yang baik untuk menentukan masa depan anak mereka.

“Ini menunjukkan ibu bapa masih mengharapkan kerajaan akan meneruskan dasar PPSMI diteruskan di sekolah bagi membolehkan anak mereka bersaing di peringkat global.

“Tolonglah jangan mengusung isu PPSMI ini digelanggang ‘tarik tali’ politik…nahaslah peluang anak kita yang sekadar mahukan sistem pengajaran terbaik dinikmati dalam sistem pendidikan di negara ini.

“Berilah pilihan kepada pelajar demi anak bangsa dan negara tercinta,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Anak sulung berhenti sekolah akibat kemiskinan – Metro


Anak sulung berhenti sekolah akibat kemiskinan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

CAMERON HIGHLANDS: Akibat kesempitan hidup, seorang pekerja kebun sayur di Kampung Melayu, Brinchang, di sini, terpaksa memberhentikan persekolahan anak sulungnya setakat tahun enam.

Rosli Shariff, 35, berkata, dia terpaksa berbuat demikian terhadap Intan Nursyahirah, 13, bagi mengurangkan beban sekali gus memberikan peluang kepada tiga lagi anak lain meneruskan persekolahan.
Menurutnya, dia yang bekerja dengan mengangkat kotak dan bakul sayuran untuk dipunggah ke atas lori dan cuma menerima upah harian antara RM25 hingga RM30 menyebabkannya sukar untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.

 

Katanya, bagi membantu menyara keluarga, isterinya, Fadilah Pelek, 36, pula bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah menengah di Tanah Rata. Namun, upah yang diterimanya rendah dan sekadar cukup untuk membeli makanan. “Pendapatan kami berdua tidak mampu menampung kehidupan seharian sekeluarga serta perbelanjaan persekolahan tiga anak yang masih belajar dalam tahun lima, tahun dua dan tadika di Pekan Brinchang.
“Jika masalah kesempitan kewangan ini masih berterusan, kemungkinan tiga anak saya bakal mengalami nasib yang sama seperi kakaknya apabila hanya belajar setakat tahun enam,” katanya.
Sementara itu, Intan Nursyahirah berkata, dia berharap dapat bersekolah semula bersama dengan rakan sebayanya.

 

 

“Tidak ada apa yang kurang pada diri saya kerana saya boleh membaca, menulis dan mengira. Tetapi, disebabkan kemiskinan keluarga membantutkan hasrat saya untuk meneruskan persekolahan dan mencapai cita-cita menjadi seorang guru.
“Saya merayu kepada pihak berkenaan yang sudi membantu dengan menampung perbelanjaan sekolah supaya saya dapat meneruskan pembelajaran sehingga peringkat tertinggi,” katanya.

Anak gadis ghaib tak ambil periksa – Metro


Anak gadis ghaib tak ambil periksa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULIM: “Kami kini bimbang kerana Nur Ainina tidak hadir ke sekolah pada 24 Oktober lalu, sekali gus gagal mengambil dua subjek terakhir pada peperiksaan akhir tahun sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan.”

Begitu kata Mohd Zuki Jahaya, 47, dari Kampung Perenggang, Lunas, dekat sini, apabila anak perempuannya, Nur Ainina Adila, 14, pelajar Sekolah Menengah Lunas menghilangkan diri sejak seminggu lalu.
Mohd Zuki berkata, kali terakhir dia melihat anak perempuannya ketika mahu dihantar jirannya, Rosnah Ahmad, 46, ke Sekolah Menengah Lunas, di sini, dengan menunggang motosikal pada jam 11.30 pagi hari kejadian.

 

Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik berkenaan ketika itu berperwatakan seperti biasa apabila hanya memakai baju-T sekolah biru dan ungu serta berseluar sukan berwarna hitam.
“Pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti Deepavali, dia ke sekolah dengan memakai baju-T, sedangkan dia sepatutnya mengambil dua subjek untuk peperiksaan akhir tahun.
“Bagaimanapun, kehilangannya disedari jiran kami apabila mahu menjemput Nur Ainina pulang selepas dia tidak muncul di pintu masuk sekolah pada jam 6.45 petang.

 

 

“Berikutan itu, Rosnah menghubungi isteri saya, Siti Hajar Othman untuk mengetahui sama ada anak kami sudah pulang ke rumah dengan ahli keluarga lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Katanya, hasil maklumat daripada rakan-rakan anaknya, dia diberitahu anak perempuannya langsung tidak hadir ke sekolah dan gagal mengambil dua subjek bagi peperiksaan akhir tahun.

 

“Terkejut dengan berita itu, kami mencari sehingga malam di Bukit Mertajam dan rumah saudara-mara serta kenalannya di Lunas, tetapi gagal lalu membuat laporan di Balai Polis Lunas pada hari kehilangannya,” katanya. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenai Nur Ainina diharap menghubunginya di talian 019-5253307 atau isterinya, Siti Hajar Othman di talian 019-5033091 atau balai polis berhampiran.

Mansuh PPSMI bukan sekelip mata – Utusan


Mansuh PPSMI bukan sekelip mata

 

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
utusansabah@utusan.com.my

 

PENAMPANG 30 Okt. – Keputusan memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan dibuat sekelip mata tetapi sebaliknya selepas mengambil kira pelbagai faktor kelebihan dan kekurangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa ia juga dibuat selepas meneliti secara mendalam suara 5.3 juta pelajar dan ibu bapa, hampir 500,000 guru di 10,000 buah sekolah seluruh negara dan tenaga pakar melalui rundingan meja bulat.

Menurut beliau, segala maklum balas, kajian dan data ini diperoleh sejak PPSMI dilaksanakan di seluruh negara terutama mengenai kesan, pencapaian dan keupayaan kerajaan menyediakan tenaga guru mencukupi.

“Ia bukan buat keputusan hanya kerana nak buat keputusan. Semuanya sudah dikaji secara mendalam, bukan dibuat secara terburu-buru.

“Kita hormati Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang kononnya mendapat sokongan daripada 75,000 ibu bapa tetapi kerajaan juga mempunyai pandangan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-26 Parti Bersatu Sabah (PBS) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau mengulas hasrat Page untuk menulis surat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menarik balik pemansuhan PPSMI itu.

Tambah Muhyiddin, negara ini adalah bebas yang bermakna mereka mempunyai hak untuk menyampaikan pandangan dan kerajaan tidak akan sesekali menghalang kumpulan itu.

Pelajar 14 tahun hilang pada hari peperiksaan – Utusan


Pelajar 14 tahun hilang pada hari peperiksaan

SITI Hajar Osman (kiri) dan suaminya, Muhammad Zuki Jahaya menunjukan gambar Nur Ainina Adila setelah menghilangkan diri di Kampung Perenggan Lunas di sini, semalam.

 

PADANG SERAI 30 Okt. – Sepasang suami isteri bimbang setelah anak bongsu mereka hilang tanpa khabar berita pada hari peperiksaan akhir tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas di sini, Isnin lalu.

Anak keempat pasangan itu, Nur Ainina Adila Muhammad Zuki, 14, dari Kampung Perenggan Lunas di sini, dikesan datang ke sekolah pukul 11.25 pagi pada hari berkenaan.

Ibunya, Siti Hajar Osman, 44, berkata, anaknya itu yang dilihat hadir ke sekolah selepas dihantar oleh ibu saudaranya dengan motosikal bagaimanapun tidak masuk ke kelas.

“Rakan-rakannya beritahu dia tidak masuk kelas pada hari itu untuk peperiksaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, setelah Nur Ainina Adila tidak pulang ke rumah, dia segera menghubungi pihak sekolah tetapi gagal mengesan anaknya tersebut.

Siti Hajar berkata, anak-anaknya yang lain termasuk dua kakak kepada Nur Ainina Adila iaitu Nurul Izaty, 20, Nurul Fahani, 19, dan abangnya, Mohd. Farhan Izzat, 15, turut risau kehilangan adik mereka.

“Kami sendiri tidak tahu dia pergi ke mana. Kami runsing apatah lagi dia merupakan seorang yang banyak berahsia, bila orang suruh apa, dia terus buat,” tambahnya.

Bapa pelajar itu, Muhammad Zuki Jahaya, 47, pula berkata, aduan mengenai kehilangan anaknya yang dipanggil Nina atau Dikna itu telah dibuat di Balai Polis Lunas selepas kehilangannya.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu supaya menghubungi balai polis berdekatan atau Muhammad Zuki di talian 019-5253307 atau Siti Hajar 019-5033091.