Pengemaskinian Maklumat Murid Berkeperluan Khas ke Tingkatan 1 dan 4 oleh JPN


Pengemaskinian Maklumat Murid Berkeperluan Khas ke Tingkatan 1 dan 4 oleh JPN

Sukacita dimaklumkan bahawa Pengemaskinian Maklumat dalam Borang Permohonan Murid Berkeperluan Khas ke Tingkatan 1 dan 4 oleh Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pelajarn Negeri akan dibuka mulai 1 November 2011 hingga 9 November 2011. Sila klik di sini. 
Harap Maklum
Sekian, terima kasih.

Bawa parang tikam isteri – Metro


Bawa parang tikam isteri

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SANDAKAN: Seorang wanita kini bertarung dengan maut akibat ditetak di kepala manakala perutnya ditikam menggunakan parang jenis ‘barung’ oleh suaminya yang mengamuk kerana sering dituduh mengamalkan ilmu hitam.

Mangsa, Amah Mohd Ali, 36, dan kejadian berlaku di rumah mereka di Kampung Mangkalinau di sini, pada jam 7.30 malam kelmarin.

Sebelum kejadian, Amah bertengkar dengan suaminya yang berusia 30 tahun kerana lelaki itu mengamalkan ilmu hitam dan menuntut ajaran sesat dengan seorang ‘tok guru’ sejak beberapa bulan lalu.

Suaminya yang tidak puas hati dengan tohmahan itu meninggalkan rumah sebelum kembali semula beberapa jam kemudian sambil membawa parang dan nekad menyerang isterinya yang menonton televisyen bersama tiga anak dan bapa mentua.

 
Seorang anak lelakinya berusia 16 tahun cuba menghalang lelaki itu daripada menyerang mangsa dan kesempatan itu digunakan wanita terbabit melarikan diri dan bersembunyi di sebuah kedai runcit berhampiran.

2 budak pecah 26 rumah jiran – Metro


2 budak pecah 26 rumah jiran

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Usia mereka baru tujuh dan lapan tahun, tetapi bijak mengatur strategi serta menjadi dalang aktiviti pecah rumah membabitkan 26 rumah jirannya di Blok D Apartmen Fasa 4C Kuarters Kerajaan, Presint 8, di sini, sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan dua sahabat baik itu terbongkar selepas memulangkan cakera padat (CD) yang dicuri kepada rakan sepermainan mereka yang juga anak mangsa pecah rumah yang tinggal di blok sama. Kedua-dua pencuri cilik itu ditahan di rumah masing-masing pada jam 5.40 dan 6.30 petang, Jumaat lalu, selepas dipercayai mencuri wang RM350 dan sebuah telefon bimbit Sony Ericsson milik bapa rakan mereka.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis Abdul Razak Abd Majid, berkata kanak-kanak itu mengaku memecah masuk rumah jiran ketika penghuninya tiada di rumah menggunakan kunci yang disorokkan penghuni di dalam kasut.

 

“Mereka masuk ke dalam rumah terbabit menggunakan kunci yang dijumpai dan mengambil apa saja barang disukai.
“Malah, suspek juga ponteng sekolah untuk melakukan kegiatan terbabit terutama ketika penghuni keluar bekerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Putrajaya di sini, semalam. Abdul Razak berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis menemui pelbagai barangan berharga termasuk dua kasut yang dibeli dari wang curi, jam tangan Casio, topi, pemacu pena (pendrive), wang RM14 dan telefon bimbit. “Barangan yang ditemui itu dipercayai tidak sempat dijual, malah kami difahamkan terdapat beberapa barangan yang sudah dipulangkan kepada pemiliknya oleh ibu bapa mereka selepas mendapati ia bukan kepunyaan mereka,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak sekolah untuk memberikan kaunseling serta nasihat kepada kanak-kanak terbabit.

 

 

“Kami bimbang dengan usia yang muda mereka sudah pandai mencuri. Kami tidak mahu kegiatan mereka berterusan kerana tindakan itu akan menghancurkan masa depan kanak-kanak itu. “Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak itu tahu kegiatan anak mereka. Justeru, kami menasihati ibu bapa lain supaya prihatin dan peka tingkah laku anak mereka,” katanya. Abdul Razak berkata, secara purata setiap bulan polis menerima lapan kes membabitkan pecah rumah penduduk di sini. “Kami menasihati penduduk di Putrajaya supaya tidak sesekali meletakkan kunci di dalam kasut ketika meninggalkan rumah. “Perbuatan ini sering dilakukan penduduk di sini kerana mahu memudahkan anak mereka sekiranya pulang dari sekolah, tetapi ia menjadikan kediaman mereka sasaran penjenayah,” katanya.

Murid Tahun 1,2 curi masuk 26 kediaman – Berita Harian


Murid Tahun 1,2 curi masuk 26 kediaman
Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my
2011/11/01

 ABDUL RAZAK (tengah) menunjukkan antara barang yang ditemui berikutan penahan dua budak sekolah di rumah mereka.

ABDUL RAZAK (tengah) menunjukkan antara barang yang ditemui berikutan penahan dua budak sekolah di rumah mereka.

Penghuni tinggal kunci dalam kasut

PUTRAJAYA: Umur mereka masing-masing baru tujuh dan lapan tahun. Namun, selain bersekolah, mereka terbabit dalam sekurang-kurangnya 26 kes pecah rumah di sekitar kuarters kerajaan di Presint 8, di sini sejak enam bulan lalu.

Antara barang berharga yang dilaporkan dicuri termasuk wang tunai RM350 dan seunit telefon bimbit Sony Ericson, cakera padat (CD) dan pelbagai barangan lain.

Siasatan polis mendapati mereka juga menggunakan kunci rumah yang ditinggalkan pemilik dalam kasut di luar rumah untuk memasuki rumah mangsa dan mencuri. Pemilik rumah dipercayai meninggalkan kunci dalam kasut bagi memudahkan anak mereka memasuki kediaman lebih awal daripada waktu pejabat.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata dua murid sebuah sekolah di sini itu ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang kakitangan kerajaan rumahnya di Blok D, Fasa 4C, di Presint 8, dimasuki pencuri, Khamis lalu.

“Kegiatan murid Tahun Satu dan Dua itu terbongkar selepas mereka dikatakan mahu memulangkan semula CD diambil dari satu kediaman kepada rakan sepermainan yang juga anak mangsa. Anak mangsa yang curiga, memaklumkan tindakan dua rakannya itu kepada bapanya, sebelum polis menahan suspek di rumah mereka antara jam 5 petang hingga 6.30 petang 28 Oktober lalu,” katanya semalam.

Abdul Razak berkata, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk dua topi, tiga pemacu pen, serangkai kunci rumah, dompet, wang tunai RM14, dua pasang kasut kanak-kanak dan kereta kawalan jauh yang dipercayai dibeli dengan wang curi, di rumah suspek.
Katanya, hasil soal siasat, kanak-kanak terbabit mengaku terbabit dalam 26 kes pecah rumah walaupun sehingga kini polis hanya menerima satu laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua suspek terbabit sudah dibebaskan pada hari sama selepas percakapan mereka dirakam.

“Ibu bapa suspek mengetahui kegiatan kanak-kanak itu, namun tiada laporan polis dibuat kerana semua barang dicuri termasuk basikal, komputer riba dan alat permainan video diarah dipulangkan semula kepada pemilik asal,” katanya.

Justeru, polis akan memaklumkan penahanan murid terbabit kepada pihak sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut termasuk proses kaunseling atau dihantar ke pusat pemulihan akhlak.

Kontraktor rogol anak tiri gagal rayu hukuman penjara berjalan serentak – Utusan


Kontraktor rogol anak tiri gagal rayu hukuman penjara berjalan serentak

SHAH ALAM 31 Okt. – Impian seorang kontraktor warga Indonesia untuk bebas lebih awal berkecai apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 60 tahun dan sebatan 30 kali bagi tiga kesalahan merogol anak tirinya sehingga melahirkan seorang bayi.

Hakim Noor Azian Shaari memutuskan demikian selepas menolak rayuan lelaki berusia 36 tahun itu agar hukuman penjara 20 tahun bagi setiap tiga pertuduhan yang dihadapinya berjalan serentak.

Beliau semasa membacakan penghakimannya berkata, hukuman itu dikekalkan kerana pihaknya tidak perlu mengusik atau mengubah sesuatu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen berasaskan prinsip undang-undang.

Katanya, perbuatan lelaki itu terhadap anak tirinya yang berusia 15 tahun 11 bulan itu yang sepatutnya dijaga dan dilindungi juga amat tidak bertanggungjawab.

“Walaupun tidak mempunyai pertalian darah, kamu dan ibu mangsa telah berkahwin selama lima tahun. Kamu sepatutnya menjaga mangsa. Tetapi perbuatan kamu umpama harapkan pagar, pagar makan padi.

“Ada pepatah bahasa Inggeris yang mengatakan orang seperti ini patut dikurung dan kuncinya dibuang supaya dia tidak dapat keluar langsung. Orang seperti kamu tidak patut berkeliaran,” kata beliau.

Lelaki itu mengaku merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun 11 bulan (semasa kejadian) dalam bilik tidur mangsa di rumah mereka di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur pada pukul 9 malam, 15 Ogos dan pukul 9 malam sekitar Oktober 2010 serta pukul 12.05 malam, Januari 2010.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Hakim Roszinayati Ahmad menerima pengakuan salah tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan 10 kali bagi setiap pertuduhan pada 30 Mac lalu.

Ketiga-tiga hukuman penjara itu diarah berjalan berasingan mulai tarikh dia ditahan pada 5 Februari 2010, dua hari selepas mangsa disahkan hamil 28 minggu akibat dirogol tertuduh.

Terdahulu, lelaki yang bertindak sebagai perayu serta tidak diwakili peguam merayu agar hukuman penjara terhadapnya berjalan serentak dengan alasan perlu keluar lebih awal kerana mempunyai tanggungjawab terhadap isteri, anak-anak serta orang tuanya.

Dia juga mendakwa telah insaf serta bersumpah kepada Tuhan dan diri sendiri untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Mewakili pihak pendakwaan atau responden dalam rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan bagaimanapun menempelak perbuatan perayu yang menggunakan anak tirinya bagi memuaskan nafsu sedangkan mempunyai isterinya iaitu ibu mangsa sendiri.

Malah, katanya, perayu turut mengugut untuk membunuh mangsa jika dia mendedahkan tentang kejadian rogol itu kepada orang lain dan mangsa juga terpaksa dibawa berpindah ke Segamat, Johor akibat peristiwa tersebut.

Polemik PPSMI hanya buang masa, harus dihentikan – Bernama


Polemik PPSMI hanya buang masa, harus dihentikan

ALOR SETAR 31 Okt. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyifatkan polemik mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai membuang masa dan harus dihentikan segera.

Pengerusinya Shamsul Bahar Abdul Rani berkata, sebaliknya usaha perlu ditumpukan kepada langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pemantapan silibus mata pelajaran itu sendiri.

“Semua pihak harus menerima pemansuhan PPSMI dengan lapang dada dan apa yang penting sekarang adalah pelan yang komprehensif di bawah sistem pendidikan negara untuk melengkapkan pelajar dengan ilmu Sains dan Matematik.

“GPMS Kedah ingin mencadangkan agar hasil perbincangan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pendidikan dalam perkara ini dikongsi untuk pengetahuan orang ramai agar semua pihak boleh memberi syor yang sesuai demi kepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, guru dan masyarakat perlu membantu kerajaan dengan memberi input untuk memastikan pelajar dapat menguasai ilmu berkenaan secara efektif.

Shamsul Bahar berkata, GPMS tidak menolak pentingnya untuk menguasai bahasa Inggeris malah menyokong usaha berterusan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mahir berkomunikasi dalam bahasa asing itu.

Sebelum ini Kumpulan Tindakan Ibu-Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa agar diberikan autonomi kepada sekolah untuk memilih PPSMI berdasarkan kajian mereka bahawa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.

Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah pada 2003 tetapi pada 2009, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan akan menukar dasar PPSMI itu kepada Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil mulai 2012 tetapi penekanan juga diberi terhadap Bahasa Inggeris.

Di GEORGE TOWN, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) meminta kerajaan bertegas dan tidak tunduk dengan desakan PAGE yang mahukan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan secara pilihan di sekolah.

Yang Dipertua Pemenang Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, desakan PAGE itu tidak mewakili keseluruhan rakyat malah ia seolah-olah tidak mahu memahami hasrat kerajaan untuk melaksanakan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada tahun depan.

Katanya semua pihak haruslah sedar bahawa PPSMI mempunyai kelemahannya terutamanya bagi pelajar dan guru di sekolah luar bandar dan disebabkan itu Muhyiddin telah pun memgumumkan dasar baru itu bagi menggantikan PPSMI.

“Bahasa Inggeris ialah satu subjek bahasa yang perlu diperkukuhkan kerana ia adalah bahasa dunia tetapi bahasa itu tidak semestinya digunakan dalam pembelajaran Sains dan Matematik,” katanya.

Beliau berkata, hakikatnya jika seseorang pelajar dan guru itu lemah dalam bahasa Inggeris, ia menyukarkan pembelajaran subjek Sains dan Matematik jika diajar dalam bahasa itu.

Mohd Yussof berkata, jika penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang menjadi isu, kerajaan harus mengambil tindakan untuk memperkukuhkan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan bukannya memaksa pelajar untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa berkenaan.

Katanya, cadangan untuk memberi pilihan kepada sekolah untuk mengajar subjek Sains dan Matematik dalam mana-mana dua bahasa, akan menyukarkan dan mengelirukan pelajar dan guru.

Beliau berkata, dasar MBMMBI adalah jelas untuk mengatasi isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di samping mempertabatkan bahasa Malaysia dan dasar itu sepatutnya disokong oleh semua pihak.

– Bernama