Dua rakan maut jatuh lubuk – Utusan


Dua rakan maut jatuh lubuk

 

Oleh RAHANA MOHD.DAHARI
utusankelantan@yahoo.com.my

 

Ghazali Nawi bersama Siti Nordayini menunjukkan tempat Norlaila dan Siti Syahidah ditemui lemas di Kampung Pauh Ganja, Tumpat, semalam.

 

TUMPAT 1 Nov. – Kegembiraan lima kanak-kanak menangguk ikan di dalam lubuk di sebuah bendang di Kampung Pauh Ganja, Pasir Pekan di sini, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka ditemui mati lemas semalam.

Mayat mangsa, Norlaila Ghazali, 9, dan rakannya, Siti Syahidah Abu Bakar, 9, kedua-duanya murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Pohon Tanjong di sini, ditemui dalam keadaan berpelukan oleh bapa Norlaili, Ghazali Nawi, 43, pukul 5 petang di dasar lubuk sedalam kira-kira dua meter itu.

Kedua-dua mangsa dikatakan pergi ke lubuk berkenaan untuk menangguk ikan bersama tiga lagi rakan mereka, termasuk kakak Siti Syahidah, Siti Nordayini, 10, yang turut nyaris lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Dua lagi rakan mereka, Nur Husna Tasni Anuar, 9, dan adiknya, Nur Shafikah, 8, bagaimanapun terselamat.

Siti Nordayini ketika ditemui hari ini berkata, dalam keadaan kelam kabut selepas melihat adiknya dan Norlaila tergelincir ke dalam lubuk itu, dia cuba menghulurkan tangan bagi menyelamatkan mereka, tetapi turut terjatuh, namun diselamatkan oleh Nur Husna yang menghulurkan raga ikan.

“Saya cuba menghulurkan tangan untuk menarik tangan adik (Siti Syahidah) naik ke atas tetapi saya pula terjatuh, bagaimanapun sempat berpaut sekuat hati pada raga ikan dihulur oleh Nur Husna yang menarik saya ke atas tebing.

“Pada masa sama, saya sempat mencapai tangan adik manakala adik pula sempat mencapai tangan Norlaila. Namun tangan kami terlepas kerana Nur Husna tidak cukup kuat untuk menarik ketiga-tiga kami sekali gus,” katanya.

Menurut Siti Nordayini, anak keempat daripada lima beradik, selepas ditarik naik, dia hanya dapat melihat adik bongsunya itu terkapai-kapai meminta tolong sebelum tenggelam.

Panik dengan apa yang berlaku di depan matanya itu, Siti Nordayini berlari meminta pertolongan penduduk kampung, tetapi gagal apabila tiada datang membantu sehinggalah sampai ke rumah, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian dan memaklumkan kepada ibunya, Nur Azizah Ibrhaim, 43.

Katanya, mereka berlima ke lubuk tersebut untuk mencari ikan dengan membawa mangkuk plastik dan meredah air sedalam hampir satu meter untuk sampai ke sana.

“Saya sedih kerana ada bertembung dengan seorang penduduk kampung ketika meminta tolong tetapi dia tidak mempercayainya menyebabkan saya terus berlari ke rumah dan meminta bantuan keluarga yang bergegas ke sana,” katanya.

Sementara itu, Ghazali berkata, sebaik sahaja mendapat berita tersebut dia terus berlari ke lokasi dan menyelam ke lubuk ikan itu dengan mangsa pertama ditemui adalah anaknya, Norlaila, anak kelima dari lapan beradik, diikuti Siti Syahidah.

“Amat menyedihkan kerana mayat kedua sahabat baik itu ditemui berpelukan di dasar lubuk tersebut dan dirujuk ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Khalid Munap ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Ketua penyelia nampak murid seperti kena sawan – Utusan


Ketua penyelia nampak murid seperti kena sawan

KANGAR 1 Nov. – Ketua Penyelia Asrama Lelaki Sekolah Rendah Agama Al-Furqan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia nampak Saiful Syazani Saiful Sopfidee seperti terkena sawan atau kekejangan semasa berada di dalam bilik penyelia asrama yang dituduh membunuh pelajar berusia tujuh tahun itu.

Mohd. Yasin Mohd. Yunus, 29, berkata, ketika itu tertuduh, Hanif Mohd. Ali sedang memangku dan mengusap kaki mangsa menggunakan sejenis minyak angin pada hari kejadian.

”Saya juga nampak mulut Saiful Syazani berdarah dan terus mengajak Hanif menghantar mangsa ke hospital,” katanya.

Menurut Mohd. Yasin, pada pukul 8.15 pagi, 31 Mac lalu, mangsa ada bertemunya di Balai Islam yang terletak di dalam kawasan sekolah ketika dia sedang mengajar mata pelajaran Pengajian al-Quran.

”Saiful jumpa saya dalam keadaan menangis dan memberitahu dia dimarahi oleh Hanif dan tidak bercakap banyak tetapi hanya menangis dan tertidur di pangkuan saya sehingga selesai waktu pengajaran mata pelajaran itu,” katanya.

Saksi pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Hanif, 26, iaitu penyelia asrama Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Jejawi yang dituduh membunuh Saiful Syazani antara pukul 6 petang dan 12 tengah malam, 31 Mac lalu di bilik penyelia itu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam keterangannya, Mohd. Yasin turut memberitahu, tertuduh mengaku mengikat tangan mangsa setelah ditanya oleh seorang kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) ketika mangsa dikejarkan ke wad kecemasan hospital berkenaan.

”Semasa di hospital, saya berkesempatan bertanya tentang kejadian tersebut dan Hanif memberitahu dia marah, mendenda dan menampar Saiful kerana mencuri,” katanya.

Dalam pada itu, saksi berkenaan berkata, tertuduh merupakan penyelia asrama yang baik dan sering mengambil berat tentang murid Tahun Satu termasuk membasuh baju mereka dan membawa mereka bersiar-siar dengan motosikal pada waktu petang.

Malah, katanya, tertuduh juga bergegas ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah dengan menaiki motosikal pada awal pagi setelah mangsa dipindahkan ke hospital berkenaan pada hari kejadian.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sistem teleconference (persidangan video) yang disediakan di bangunan mahkamah tersebut yang disifatkan tidak lengkap.

Berikutan itu, beliau menunda ke esok sesi pengambilan keterangan daripada saksi kanak-kanak dalam kes itu melalui sistem teleconference yang sepatutnya dilakukan pada hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd. Tajuddin dan Azhar Mokthar manakala tertuduh diwakili oleh lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd. Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.