Remaja 17 tahun didakwa cuba cabul kanak-kanak 9 tahun – Utusan


Remaja 17 tahun didakwa cuba cabul kanak-kanak 9 tahun

03/11/2011 8:24pm

 

 

Oleh YULPISMAN ASLI

 

MACHANG 3 Nov. – Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan, cuba mencabul dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Remaja bawah umur itu didakwa dengan niat melakukan kekerasan cuba mencabul kehormatan mangsa di sebuah rumah kosong di Kampung Pak Romah dekat sini kira-kira pukul 4.15 petang, 27 Oktober lalu.

Dia yang sudah tidak bersekolah dan membantu ibunya berniaga didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagi pertuduhan kedua pula, remaja terbabit yang ditahan pada Selasa lalu, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebatang kayu ke atas mangsa pada tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah menetapkan 17 November ini untuk mendengar laporan akhlak remaja itu daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Sementara menunggu hukuman, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Othman Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang budak perempuan berusia 9 tahun dicabul selain mengalami kecederaan akibat dipukul dengan kayu serta batu-bata selepas mengikuti seorang lelaki tidak dikenali.

Kejadian berlaku ketika kanak-kanak tersebut baru pulang dari kelas fardu ain di sebuah sekolah dekat sini. – Utusan

Koperasi sekolah digalak jual barangan Coop 1Malaysia – Bernama


Koperasi sekolah digalak jual barangan Coop 1Malaysia

2011/11/03

SHAH ALAM: Semua koperasi sekolah di Malaysia digalak menjual barangan ‘Coop 1Malaysia’ (Coop1M) dalam usaha membantu kerajaan memerangi kenaikan harga barang di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata barangan Coop1M yang dilancarkan 27 Oktober lalu menawarkan 25 jenis barangan harian antaranya sos cili, mi segera dan kicap dijual pada harga yang kompetetif iaitu antara 30 dan 40 peratus lebih rendah daripada keluaran berjenama.

“Usaha ini akan membantu menambah pendapatan koperasi sekolah selain memberikan pasaran lebih luas iaitu menjual barangan keperluan harian. Para pelajar boleh membeli barangan berkenaan dengan harga yang lebih murah dari pasaran,” katanya selepas merasmikan sambutan dan penyampaian Anugerah Hari Koperasi Sekolah dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah 2011 di sini, hari ini.

Ismail berkata, usaha itu juga sejajar dengan beberapa kedai koperasi sekolah yang berkelayakan dan disenaraikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk dinaik taraf di bawah program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) tahun depan.

Beliau berkata, semua pengetua sekolah juga disaran memberi kontrak kepada koperasi sekolah bagi membekalkan barangan seperti alat tulis kepada pihak sekolah seperti yang dipersetujui Kementerian Kewangan baru-baru ini.

“Sebelum ini koperasi sekolah dibenarkan mendapat kontrak bagi nilai tidak lebih RM10,000 bagi satu barangan, namun sekarang kementerian berkenaan bersetuju supaya sekolah boleh memberikan kontrak tanpa nilai terhad kepada koperasi sekolah,” katanya.

Ismail berkata, langkah itu sangat dialu-alukan kerana ia membantu menghidupkan peranan koperasi sekolah ke tahap yang lebih baik dan meluas.
Pada majlis itu, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Hulu Kinta Berhad, Perak melalui projek makanan mi kering dipilih sebagai penerima Anugerah Projek Terbaik dan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin Berhad, Terengganu dipilih pemenang Anugerah Juri menerusi projek bam organik. – BERNAMA

Buka 2,000 lagi tabika: Kemas sasar 40,000 kanak-kanak – Bernama


Buka 2,000 lagi tabika: Kemas sasar 40,000 kanak-kanak

03/11/2011 2:47pm

 

LEDANG 3 Nov. – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyasarkan 40,000 kanak-kanak menyertai kelas anjuran agensi itu melalui pembukaan 2,000 buah kelas taman bimbingan kanak-kanak (tabika) sepanjang tahun ini dan tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pembukaan kelas berkenaan menjadikan jumlah kelas tabika Kemas meningkat kepada 10,816 buah di seluruh negara yang boleh menampung 240,000 orang kanak-kanak luar bandar pada akhir tahun depan.

“Pembukaan kelas-kelas itu sekali gus memberi peluang pekerjaan baru kepada 5,000 orang generasi muda yang berkelayakan di luar bandar termasuk di perkampungan Orang Asli di pedalaman,” katanya dalam ucapan penutupan Hari Potensi Kemas peringkat kebangsaan, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Hassan Malek dan kira-kira 2,000 kanak-kanak tabika mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang dipertandingkan sempena Hari Potensi berkenaan. – Bernama

Kontraktor mati ditetak di depan isteri, anak – Bernama


Kontraktor mati ditetak di depan isteri, anak

2011/11/03

JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor pendawaian mati selepas ditetak di depan isteri dan anaknya di kediaman mereka di Jalan Balau 4, Taman Rinting dekat Masai di sini, semalam.

M Rajandran, 50, mati selepas cedera parah di bahagian pipi dan bahu kirinya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Roslan Zainuddin, berkata siasatan awal polis mendapati lebih daripada seorang suspek memasuki rumah itu melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

“Mereka menyerang mangsa dan menetaknya dengan senjata tajam di depan isteri dan seorang anak perempuannya yang berusia 16 tahun,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat dan polis terpaksa menunggu untuk mengambil keterangan daripada isteri dan anak mangsa yang masih trauma.

Mayat Rajandran dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA 

Muhyiddin akan jawab isu PPSMI esok – Berita Harian


Muhyiddin akan jawab isu PPSMI esok

2011/11/03

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau akan membuat pengumuman esok bagi menjawab segala persoalan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung pemansuhan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris PPSMI dan pelaksanaan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris MBMMBI.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan keputusan pemansuhan PPSMI adalah muktamad dan mahu polemik berkenaan dihentikan.

Beliau berkata, perbincangan sejak 2009 tidak mendapat reaksi negatif sebarang pihak dan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang juga bersetuju dengankeputusan itu.

“Di peringkat kementerian kami tidak membuat keptusan terburu-buru tetapi cuba mengambil pendekatan terbaik. Kita juga sudah membuat penilaian terlebih dulu sebelum membuat keputusan yang membabitkan masyarat, katanya.

12 tahun dah jadi samseng – Metro


12 tahun dah jadi samseng

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJANG: Samseng cilik. Itu gelaran buat seorang murid sekolah rendah, di sini, yang berusia 12 tahun apabila menyepak dan menumbuk rakan sekolahnya hingga bengkak bibir dan cedera pada mata kanan hanya kerana dikatakan merosakkan payung miliknya, kelmarin.

Mangsa yang berusia lapan tahun diperlakukan sedemikian ketika berada di dalam kawasan sekolah pada jam 9 pagi kerana bengang dengan tindakan mangsa merosakkan payungnya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kejadian bermula apabila murid terbabit memanggil mangsa untuk mendapatkan kepastian sama ada mangsa yang merosakkan payung miliknya.

 

Katanya, mangsa yang tidak melakukan perkara seperti didakwa menafikan payung berkenaan dirosakkannya.
“Oleh kerana tidak dapat menerima penafian mangsa, murid terbabit menyepak dan menumbuk mangsa beberapa kali.
“Mangsa merayu supaya murid terbabit tidak meneruskan tindakannya itu kerana tidak tahan menanggung kesakitan selain berusaha meminta pertolongan daripada murid lain yang berada berhampiran tempat kejadian,” katanya.

 

 

Ab Rashid berkata, bimbang mangsa terus dibelasah, beberapa murid yang menyaksikan kejadian itu memaklumkan kepada pihak sekolah.
Beliau berkata, sebaik pihak sekolah dimaklumkan kejadian itu, dia dibawa ke pejabat sekolah sebelum memaklumkan kejadian terbabit kepada bapa mangsa.

 

“Bapa mangsa yang berusia 39 tahun bergegas ke sekolah bagi melihat kecederaan anaknya.
“Sebaik diperiksa didapati bibir anak lelakinya bengkak selain kulit mata kanan mempunyai kesan koyak dipercayai akibat ditumbuk berulang kali,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan, bagaimanapun dibenarkan keluar selepas doktor mengesahkan mangsa tidak cedera serius.
Katanya, murid terbabit sudah dikenal pasti dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, tetapi polis perlu menunggu arahan pendakwa raya untuk memulakan siasatan memandangkan murid terbabit di bawah umur.

Melayu jahil bantah mansuh PPSMI – Utusan


Melayu jahil bantah mansuh PPSMI

MELAKA 2 Nov. – Orang Melayu yang menentang keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dianggap sebagai jahil terhadap kegemilangan bahasa Melayu.

Tokoh budaya dan bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah A. Karim berkata, golongan tersebut tidak menyedari apa fungsi bahasa Melayu yang sebenarnya lambang jati diri bangsa.

“Di setiap negara di dunia ini masing-masing ada bahasa kebangsaan mereka sendiri tetapi kira orang Melayu begitu mudah mengetepikan bahasa ibunda dan mengagung-agungkan bahasa orang lain.

“Bagi saya, orang Melayu yang menentang keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI ini bukan sahaja jahil tetapi mereka juga mempunyai fikiran yang sempit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan persidangan antarabangsa karya Melayu agung Sulalat Al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Menurut Nik Safiah, kebanyakan orang Melayu yang membantah keputusan kerajaan itu kerana mereka tidak mengikuti perkembangan bahasa Melayu moden.

“Ada golongan yang mengatakan bahasa Melayu ini susah kerana tidak memahami istilah dan mengeja dengan betul. Mereka kata bahasa Melayu ini tidak lengkap tetapi yang sebenarnya merekalah tidak dipenuhi ilmu,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin kerajaan sedang berusaha untuk menumpukan kepada langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pemantapan silibus mata pelajaran itu sendiri.

Justeru katanya, keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI bukan ingin menentang penggunaan bahasa Inggeris.

“Walaupun bahasa Inggeris itu penting dan perlu dipelajari tetapi kita sebagai bangsa Melayu tidak boleh mengetepikan dan menolak terus bahasa kebangsaan,” katanya.

PPSMI akan diganti dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris tahun depan.

Jangan buang masa kaji semula PPSMI – Swee Tin – Utusan


Jangan buang masa kaji semula PPSMI – Swee Tin

KLANG 2 Nov. – Penyair terkenal, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin menyifatkan isu yang dibangkitkan oleh beberapa pihak agar pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikaji semula, hanya membuang masa kerana perkara itu dianggap telah selesai.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sepatutnya masa yang diambil oleh pihak berkenaan bagi membincangkan isu tersebut, digunakan untuk mencari jalan bagaimana hendak memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar.

“Saya rasa tidak perlu isu menjadikan PPSMI sebagai satu pilihan medium pengajaran kerana bahasa Melayu telah terbukti sejak sekian lama menjadikan pembelajaran lebih kondusif dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kami sebelum ini bersetuju dengan pemansuhan PPSMI dan pihak terbabit sepatutnya tidak perlu bersikap berbolak-balik dalam isu tersebut hingga meminta kerajaan menjadikan ia satu pilihan pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Seluruh Negara Membaca Serentak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Unjur di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk program tersebut, Noreha Hailani dan sasterawan, Ahmad Sarju.

Beliau mengulas kenyataan dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC yang berharap kerajaan mengkaji PPSMI dan menjadikan ia sebagai medium pengajaran pilihan demi kebaikan semua pihak.

Tuntutan yang sama sebelum ini juga dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE).

Swee Tin berkata, bahasa Melayu yang digunakan sebelum pelaksanaan PPSMI telah terbukti berjaya melahirkan ramai bijak pandai di negara ini.

“Sementara dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) belum dilaksanakan, ada baiknya kita menggunakan masa berharga tersebut untuk bersama-sama kerajaan mencari langkah lebih konkrit untuk memperkasakan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang sukar memahami bahasa tersebut,” jelasnya.

10,816 tabika Kemas dibuka tahun depan – Utusan


10,816 tabika Kemas dibuka tahun depan

Hasan Malek bersalaman dengan pasukan futsal Tabika Kemas Johor di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Ledang, Johor, semalam.

 

LEDANG 2 Nov. – Pembukaan tabika Kemas di seluruh negara menerusi program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bakal memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 orang di kawasan luar bandar untuk menjadi tenaga pengajar di pusat bimbingan berkenaan.

Tenaga pengajar tersebut diperlukan bagi memenuhi hasrat kerajaan memperluaskan pendidikan prasekolah dengan mewujudkan sebanyak 10,816 kelas tabika Kemas pada tahun 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pada tahun 2012, sebanyak 10,816 buah kelas tabika akan memberi faedah kepada 240,000 kanak-kanak di kawasan luar bandar.

“Pembukaan kelas ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada seramai 5,000 orang anak-anak muda kita dari kawasan luar bandar, perkampungan Orang Asli dan kawasan pedalaman, yang mempunyai kelayakan dan berminat dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Hasan Malek pada Majlis Perasmian Penutup Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, malam tadi.

Program empat hari bermula kelmarin menghimpunkan 854 kanak- kanak tabika dari seluruh negara bagi acara sukan, 14 orang kanak- kanak bagi Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang manakala 28 guru tabika telah disenarai pendek sebagai Anugerah Pemaju Masyarakat.

Menurut Shafie, beliau berharap peluang pekerjaan di tabika Kemas itu dapat dimanfaatkan anak tempatan supaya dapat berkhidmat di tempat mereka sendiri tanpa perlu berhijrah ke tempat lain.

Kata beliau, usaha berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan tenaga pengajar tabika Kemas mempunyai kelayakan akademik di peringkat diploma dengan peluang melanjutkan pelajaran diberikan.

“Sehingga kini, seramai 2,330 guru tabika Kemas berkelulusan diploma dan sebanyak 1,902 orang sedang mengikuti pengajian itu. Seramai 3,741 orang akan mengikuti pengajian peringkat diploma mula tahun 2011 dan berakhir tahun 2015,” katanya.

Tuntutan beri kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu – Utusan


Tuntutan beri kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu

SHAH ALAM 2 Nov. – Tindakan pihak tertentu mendesak kerajaan supaya melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara pilihan di sekolah bakal memberikan kesan yang ‘amat malang’ kepada perkembangan bahasa Melayu di negara ini.

Merujuk desakan oleh Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) sebelum ini, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya timbul dalam keadaan kerajaan sedang berusaha memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan itu.

Beliau berkata, keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI bukan hanya mengambil kira prestasi murid kesan daripada pelaksanaan dasar tersebut, malah ia melibatkan aspirasi negara untuk membentuk jati diri, nasionalisme serta perpaduan menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Adalah satu yang amat malang jika ada pihak tertentu seperti PAGE yang dipimpin oleh orang Melayu sendiri menentang keputusan kerajaan (memansuhkan PPSMI) dan mereka juga memberi tekanan serta mengugut untuk tidak menyokong kerajaan jika tuntutan tidak dipenuhi.

“Kerajaan dilihat telah melakukan yang terbaik dengan memansuhkan PPSMI demi satu agenda yang lebih besar iaitu pengukuhan perpaduan, nasionalisme, jati diri dan keperibadian rakyat negara ini dan dalam hal ini bahasa Melayu adalah instrumen yang paling sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perbincangan panel Program Rapat 1Malaysia bersama warga pendidik daerah Klang di sini, hari ini.

Turut menyertai sesi perbincangan panel itu ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajaran Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian.

Kok Seong tidak menolak kemungkinan pihak yang mendesak pelaksanaan PPSMI sebagai golongan yang tidak yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan.

“Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah hebat dan pernah menjadi lingua-franca digunakan dalam pentadbiran, ekonomi, perundangan dan diplomatik di rantau nusantara.

“Dalam konteks moden, bahasa Melayu telah dibangun dan dimajukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) sejak 1956 lagi dan ia mampu berkembang sebagai bahasa ilmu. Malah, orang asing pun ketika ini dilihat yakin dan giat mempelajari bahasa kebangsaan ini di pusat pengajian di negara luar.

“Ironinya di sini, golongan penutur bahasa Melayu dilihat tidak yakin terhadap kemampuan bahasa itu, ini amat malang untuk negara kita,” katanya.