KENYATAAN AKHBAR OLEH YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN MENTERI PELAJARAN MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI


KENYATAAN AKHBAR OLEH YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN MENTERI PELAJARAN MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI


KENYATAAN AKHBAR
 
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN MENTERI PELAJARAN
 
MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI


Sila muat turun Kenyataan Akhbar di sini.

Kerajaan pastikan dasar baru tidak membebankan: Muhyiddin – Bernama


Kerajaan pastikan dasar baru tidak membebankan: Muhyiddin

2011/11/04

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hari ini, membuktikan kerajaan responsif dan memastikan dasar baru yang hendak dilaksanakan tidak membebankan dan menjejaskan pembelajaran di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata disebabkan itu

bagi pelajar yang sudah ada dalam sistem PPSMI, mereka dibenarkan meneruskannya sehingga habis.

“Sementara pelajar yang baru masuk sekolah pula akan mengikuti sistem baru
iaitu Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris
(MBMMBI).

“Jadi saya haraplah (keputusan mengenai PPSMI) diterima baik oleh semua
peringkat masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat
mengenai pelaksanaan “Soft Landing” PPSMI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pekeliling baru akan dikeluarkan secepat mungkin kerana pekeliling asal mungkin tidak jelas serta sedikit mengelirukan terutamanya berhubung pelajar Tingkatan Satu tahun depan perlu menggunakan Bahasa Malaysia (BM) sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran
itu.

Mengenai buku teks sekolah pula, beliau berkata ia akan dibekalkan dalam BM
dan juga Bahasa Inggeris (BI), jadi terpulang kepada pihak sekolah untuk
memilih.

“Kertas peperiksaan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian
Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat dalam dwibahasa
dan pelajar bebas untuk memilih sama ada hendak menjawab dalam BM atau BI,”
katanya.

Mengenai pemilihan pengajaran dan pembelajaran Saind dan Matematik sama ada
dalam BM atau BI ditentukan pihak sekolah atau ibu bapa, Muhyiddin berkata:”
sekarang pun sekolah sudah membuat keputusan sendiri”.

“Semasa kita kata PPSMI dibuat dalam BI apabila sekolah tengok ia tidak
boleh dilaksanakan, mereka gunakan BM, jadi sekolah teruskanlah,” katanya dan
menambah sekolah lebih arif mengenainya.- BERNAMA

Pembantu guru BI Amerika puas hati bertugas di Malaysia – Bernama


Pembantu guru BI Amerika puas hati bertugas di Malaysia

04/11/2011 7:11pm

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Seramai 17 orang pembantu guru bahasa Inggeris (ETA) Fulbright dari Amerika Syarikat yang berkhidmat di Malaysia merasa gembira kerana dapat menyempurnakan tugas mereka dengan baik.

Walaupun hanya berkhidmat selama 10 bulan, mereka bukan sahaja dapat membantu pelajar negara ini menguasai bahasa Inggeris, tetapi pada masa yang sama mereka juga berpeluang mempelajari bahasa dan budaya Malaysia.

Kumpulan ETA tersebut yang merupakan lulusan dari pelbagai universiti di Amerika ditugaskan mengajar di 17 buah sekolah di Terengganu pada tahun ini mulai 13 Januari lalu.

Hari ini mereka diraikan oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones sebelum berlepas pulang ke negara mereka.

Seorang ETA, Blair Daly, 24, yang fasih berbahasa Melayu melahirkan rasa gembira ketika ditanya mengenai pengalamannya semasa berada di Malaysia.

“Saya gembira kerana saya datang dari bandar tetapi di sini saya berpeluang tinggal di kawasan luar bandar yang lebih selesa, aman dan tenang.

“Ini kali yang ketiga saya duduk di Malaysia, kali pertama saya belajar di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak), kedua saya menjadi cikgu sukarela dan peluang kali ini saya dapat mengajar di Terengganu, ia satu peluang yang sangat baik,” katanya.

Andrea Williamson, 26, pula berkata, beliau dapat banyak mempelajari perbezaan budaya dan persekitaran semasa berada di negara ini.

“Saya sangat teruja berada di kalangan masyarakat yang mesra dan merasa tenang serta dialu-alukan.

“Saya juga dapat belajar bahasa dan budaya yang berbeza yang tidak saya lalui sebelum ini. Saya sangat bersyukur kerana menjadi sebahagian peserta ETA tahun ini,” katanya selepas majlis perpisahan di Yayasan Tun Razak di sini.

Bagi Elise Russel, 23, menerusi ETA, beliau dapat membina satu lagi hubungan kemanusiaan.

“Saya dapat mengajar dan belajar pada masa yang sama. Mulai sekarang apabila setiap kali saya mendengar nama Asia Tenggara atau Malaysia, saya akan faham dan boleh menjelaskan kepada orang lain mengenainya.

“Saya juga berharap pelajar saya memperolehi kesan kamanusiaan yang sama mengenai Amerika,” katanya.

Program ETA dimulakan sejak 2006 dengan dikendalikan oleh Suruhanjaya Fulbright di Suruhanjaya Amerika-Malaysia mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) dengan sokongan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Sejumlah 90 ETA dilaksanakan setakat ini yang berjaya meningkatkan prestasi bahasa Inggeris di kalangan para pelajar Malaysia.

Mulai tahun depan, Kementerian Pendidikan akan mengambil alih program ini yang akan diperluaskan ke Pahang dan Johor ekoran kejayaan di Terengganu.

Seramai 50 lagi ETA akan terlibat tahun depan dengan Terengganu masih diberi keutamaan. – Bernama

“Saya telah berbincang dengan PM,” kata Muhyiddin – Bernama


“Saya telah berbincang dengan PM,” kata Muhyiddin

04/11/2011 8:19pm

 

PUTRAJAYA 4 Nov. – Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan untuk memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Muhyiddin, yang merupakan Menteri Pelajaran berkata, keputusan pemansuhan PPSMI yang diambil sebelum ini merupakan keputusan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri (mengenai polemik PPSMI) sebelum beliau berangkat ke Mekah.

“Saya tidak ada kuasa (memansuhkan PPSMI). Keputusan juga tidak dibuat oleh Kementerian Pelajaran sahaja, lebih-lebih lagi ia satu polemik dan banyak pihak terlibat,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini bahawa Perdana Menteri boleh mengubah keputusan Muhyiddin berhubung pemansuhan PPSMI.

Dr Mahathir telah memperkenalkan PPSMI pada tahun 2003.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Perdana Menteri turut mengemukakan pandangan-pandangan untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

“Beliau (Perdana Menteri) bertanya sama ada kandungan Kesusasteraan Inggeris dimasukkan lebih daripada apa yang ada sekarang,” katanya.

Mengenai kenyataan Tun Mahathir yang berharap rakyat tidak marah berikutan keputusan pemansuhan PPSMI dan terus menyokong Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata: “Saya pun berharap begitu”.

Beliau berkata ibu bapa tidak perlu risau kerana anak-anak yang terlibat dalam PPSMI tidak terjejas dan tiada apa-apa yang tergendala berikutan peralihan penggunaan bahasa dan ia tidak membangkitkan masalah kepada rakyat.

“Saya fikir Tun (Mahathir) pun faham. Dia penyokong kuat BN. Kita buat keputusan bukan kerana kita suka-suka membuat keputusan tetapi saya percaya rakyat sedia terima (keputusan), terutamanya ibu bapa di mana lebih 5.3 juta pelajar terlibat dalam sistem sekarang,” katanya. – Bernama

Kohort PPSMI boleh diteruskan hingga Tingkatan 5: Muhyiddin – Bernama


Kohort PPSMI boleh diteruskan hingga Tingkatan 5: Muhyiddin

2011/11/04

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.

“Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.

“Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini. – BERNAMA

Murid kohort dibenar teruskan PPSMI hingga tamat sekolah – Utusan


Murid kohort dibenar teruskan PPSMI hingga tamat sekolah

04/11/2011 5:28pm

 

 

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH

 

PUTRAJAYA 4 Nov. – Kerajaan hari ini memutuskan untuk membenarkan murid-murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), iaitu murid tahun dua hingga tingkatan lima tahun ini untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris sehingga tamat tingkatan lima.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diharapkan dapat melegakan hati ibu bapa.

“Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Utusan

Pemansuhan PPSMI sekolah rendah 2017, sekolah menengah 2021 – Berita Harian


Pemansuhan PPSMI sekolah rendah 2017, sekolah menengah 2021

2011/11/04

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini memutuskan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kekal dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti dituntut sesetengah pihak.

Menurut kenyataan yang diedarkan kepada media, berkata PPSMI di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya pada 2017, manakala di sekolah menengah bagi kedua-dua mata pelajaran itu pada 2021.

Rungkai hari ini – Metro


Rungkai hari ini

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Semua persoalan berkaitan pemansuhan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan dirungkai sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan memberi penjelasan berhubung kedua-dua dasar terbabit, khususnya berkaitan isu peralihan yang disebut selepas kerajaan memansuhkan PPSMI.
Pengumuman itu sekali gus dijangka berupaya menghentikan semua polemik berhubung isu berkaitan PPSMI yang sebelum ini dilihat seolah-olah sengaja dipolitikkan beberapa pihak.

 

“Sebenarnya, hal ini (pemansuhan PPSMI) dah tutup dah (sudah tamat)…saya boleh kata bahawa PPSMI sudah tak ada lagi kerana mulai tahun ini kita sudah melaksanakan dasar baru.
“Mungkin orang tidak faham atau tidak tahu bahawa keputusan yang dibuat itu sudah melewati tempoh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perjumpaan dengan Guru-Guru Bahasa Inggeris: SMR HR Group, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang.

 

 

Menurut Muhyiddin, Kabinet pada 2009 sudah memutuskan bahawa PPSMI tidak akan diteruskan dan keputusan itu diterima baik semua pihak.
“Bagi kerajaan dan rakyat majoriti, mereka faham mengenai dasar itu. Malah sejak diumumkan pada 2009, kita tidak menerima sebarang reaksi negatif.

 

“Saya bawa (isu PPSMI) ke Kabinet, ia diluluskan. Saya bawa ke Parlimen, ia dibincang, dibahas dan semua pihak bersetuju termasuk pembangkang.
“Tapi waktu itulah…sekarang kita ada kumpulan tertentu yang tampil dengan pelbagai desakan dan mungkin juga pihak pembangkang mahu turut serta,” katanya.
Beliau berkata, keputusan memansuhkan PPSMI tidak dibuat secara terburu-buru atau berdasarkan politik, sebaliknya ia diputuskan mengikut apa difikirkan terbaik untuk rakyat dan negara.
“Kementerian mempunyai cukup data dan maklumat mengenai bagaimana PPSMI dilaksana, apa hasil pelaksanaannya yang kita nilai dan kemudian memutuskan untuk memansuhkan dasar itu.
“Kita mempunyai beberapa asas kukuh dan sebab itu kalau ada pihak mendesak, kita faham kerana negara ini adalah negara demokrasi serta tidak menyekat sesiapapun untuk bersuara.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak akan tunduk pada tekanan sebegini,” katanya.

2 cucu Natrah teruja dibawa ke Terengganu – Berita Harian


2 cucu Natrah teruja dibawa ke Terengganu
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
bhkt@bharian.com.my
2011/11/04

gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoSASHA (kanan) melihat Romy mencuba permainan tradisi Melayu, ‘ting-ting’ yang dipercayai menjadi kegemaran nenek mereka ketika kunjungan mereka ke Terengganu.
  • FotoROKAYAH sambil diperhatikan Romy, memakaikan Sasha tudung ketika kunjungan ke rumahnya di Kampung Mak Chili Paya, Chukai.

Tourism Malaysia pertemukan dengan keluarga angkat nenek

CHUKAI: “Kami teruja dan gembira dapat bertemu keluarga yang pernah bersama nenek dulu. Kami banyak mengetahui kisahnya daripada ibu bapa dan internet,” kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah Maarof atau Maria Bertha Hertogh.

Isu Natrah, wanita berketurunan Belanda menjadi anak angkat kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu, pernah menjadi kontroversi apabila mahkamah memutuskan gadis itu dipulangkan kepada bapanya, sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada 1950.

Sasha, cucu sulung Natrah, bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dibawa dari Belanda untuk bertemu Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat Che Aminah, di Kampung Mak Chili Paya di sini, semalam, atas inisiatif Tourism Malaysia Terengganu dan Tourism Malaysia The Hague, sempena program ‘Building Bridges, iaitu program menggalakkan pelajar luar melancong ke negara ini.

Sasha adalah anak kepada pasangan Jan Van Gastel dan Carolien Van Gastel, manakala Romy adalah anak kepada Frans Wolkenfelt dan Carla Wolkenfelt.
Carolien anak perempuan Natrah, manakala Wolken-felt anak sulung Natrah.

Kali pertama bersua, dua gadis itu pada mulanya agak kekok, namun keramahan keluarga Rokayah melayani mereka membuatkan suasana bertukar lebih selesa hinggakan suasana hiba terbit apabila Sasha dan Romy mahu pulang selepas kira-kira empat jam bersama.
Sasha dan Romy turut bertukar cenderamata dengan keluarga pesara guru itu dan dibawa melawat rumah lama Che Aminah di Kampung Gong Pauh, di sini.

Sasha yang saling tidak tumpah iras Natrah agak sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi dibantu Romy yang boleh bertutur sedikit dalam bahasa Inggeris dan mereka tidak putus-putus berbual mengenai kisah silam dengan Rokayah, yang melayan mereka sambil menunjukkan gambar dan laporan meluas media mengenai Natrah di negara ini.

“Di sana (Belanda) orang tidak ambil kisah kami cucu Natrah, tetapi apabila di sini, kami agak terkejut apabila menjadi tumpuan dan ditemubual seperti ini. Kami diberitahu mengenai perancangan membawa kami ke sini seminggu lalu dan kami sangat teruja.

“Kami sudah mengambil banyak gambar dengan keluarga angkat nenek dan keindahan Malaysia. Kami tidak sabar untuk berkongsi dengan keluarga di Belanda,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada Tourism Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi, berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan pelajar serta lepasan kolej luar negara melawat Malaysia, khususnya Terengganu.

Natrah adalah anak kepada pasangan Adeline Hunter dan Andrianus Petrus Hertogh, berketurunan Belanda. Beliau diserahkan bapanya kepada seorang wanita bernama Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia selepas menjadi tawanan tentera Jepun pada 1942.

Sejak itu, Natrah yang ketika itu dikatakan berusia lima tahun dibesarkan oleh Che Aminah dan menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan mengikut adat Melayu dan Islam.

Namun, selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah sehingga berjaya menemuinya, namun berlaku perebutan antara Hertogh dan Che Aminah terhadap penjagaan Natrah sehingga terpaksa membuat rayuan di mahkamah dan Che Aminah berjaya mendapat Natrah.

Natrah kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun dan pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan Natrah dikembalikan semula kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Selepas itu berlakulah rusuhan Natrah di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus lagi cedera.

Dasar pendidikan untuk semua, bukan kelompok tertentu – Bernama


Dasar pendidikan untuk semua, bukan kelompok tertentu

2011/11/04

KUALA LUMPUR: Desakan terus dibuat supaya kerajaan bertegas dengan keputusan memansuhkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan tidak tunduk kepada tekanan oleh pihak tertentu yang hanya melihat kepada kepentingan segelintir.

Terbaru, desakan dibuat Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang membentangkan alasan dan fakta kukuh kenapa kerajaan perlu bertegas demi kepentingan majoriti murid dan guru.

PIBGN memberikan alasan iaitu kajian, data dan penyelidikan Kementerian Pelajaran dan Bahagian Peperiksaan menunjukkan 70 peratus pelajar yang mengikuti pelaksanaan PPSMI menghadapi masalah.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBGN Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata data juga menujukkan hanya 15 peratus daripada guru-guru yang ada berkeupayaan mengajar dengan baik dalam bahasa Inggeris walaupun selepas diberi latihan.
“Ini kerana latar belakang mereka bukan bahasa Inggeris,” kata Mohamad Ali yang mahu kerajaan tidak melayani sebarang tuntutan supaya PPSMI diteruskan mahu pun supaya memberi pilihan untuk mengajar dan belajar dua subjek itu dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, tidak wujud di mana-mana negara di dunia di mana kerajaan membenarkan dua bahasa pengantar digunakan untuk pengajaran seperti itu malah negara-negara maju seperti Korea, Jepun, Jerman dan Perancis sendiri menggunakan bahasa mereka untuk ilmu.

“Kalau penguasaan Bahasa Inggeris sendiri sudah lemah bagaimana pula kita hendak menguasai ilmu tinggi seperti Matematik dan Sains itu sendiri jika diajar dalam bahasa itu. Pelajar akan menjadi dua kali lemah.
“Masalah juga timbul dalam usaha menyediakan guru-guru yang baik,” katanya di sini.

Mohamad Ali berkata, kerajaan sudah memutuskan untuk menggantikan PPSMI dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan sebarang usaha membantah atau mempertikaikannya seolah-olah tidak mengiktiraf kerajaan dan keputusan Kabinet.

“Kalau semua diminta kaji semula perkara ini dan itu, segalanya akan lebih berkecamuk,” katanya sambil menjelaskan bahawa selama ini pun profesional yang dilahirkan di negara ini memanfaatkan dan menggunakan Bahasa Malaysia tanpa timbul sebarang masalah.

Mohamad Ali berkata, dari sudut perundangan pula sudah jelas bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia dan Akta Pelajaran 1961.

“Kita tidak nafikan peranan Bahasa Inggeris dan ia perlu diperkukuhkan tetapi Bahasa Kebangsaan perlu didaulatkan,” katanya.

Pengerusi GMP, Prof Dr Shaharir Mohd Zain, berkata tindakan pihak yang menuntut untuk meneruskan PPSMI bukan di luar dugaan kerana mereka tidak pernah bersama dalam perjuangan memansuhkan pelaksanaan PPSMI.

Katanya, penggunaan PPSMI sebenarnya sudah mewujudkan situasi tidak adil kepada masyarakat dan pelajar di luar bandar, yang juga harus diberi peluang belajar kedua-dua subjek penting itu dalam Bahasa Melayu, yang mereka lebih mudah faham.

“Yang lebih penting ialah kita harus melihat bahawa Bahasa Melayu mampu berperanan memajukan ilmu itu sendiri. Kalau nak mengalahkan orang lain dalam sudut ilmu kita boleh gunakan Bahasa Melayu, bahasa kita,” katanya.

Shaharir, yang juga Felo Penyelidik Kanan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, berkata kebanyakan negara maju di Eropah menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa ilmu dan dapat memajukan negara mereka.

Dari sudut antarabangsa, beliau berkata, hanya tiga atau empat negara daripada 40 negara maju yang menggunakan kaedah seperti PPSMI antaranya Singapura, Afrika Selatan dan juga Ireland.

“Itupun negara mereka maju kerana perdagangan dan ekonomi dan bukannya negara yang menghasilkan ilmu. Malah Afrika Selatan juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan bahasa mereka sendiri menggantikan Bahasa Inggeris dalam konteks ini,” katanya.

Beliau meminta kerajaan bertegas memansuhkan PPSMI dan tidak perlu mengubahnya lagi.

“Mengubah kembali keputusan itu menyebabkan kerajaan dilihat sebagai berdolak-dalik dalam soal dasar pelajaran,” kata Shaharir.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran sudah menegaskan dasar itu tidak akan diubah walaupun ada desakan kerana ia akan mengakibatkan kecelaruan dalam pelbagai sudut termasuk menyediakan guru bagi sekolah.

Di pihak tertentu yang membantah pemansuhan PPSMI pula, ada yang mengugut kerajaan dengan menyatakan mereka hanya akan memberikan kemenangan majoriti dua pertiga kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang jika PPSMI diberi pilihan diteruskan.

Agaknya, golongan yang membantah pemansuhan itu lupa bahawa satu kajian mengenai ‘Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid’ menunjukkan hanya empat peratus penguasaan Bahasa Inggeris dapat ditingkatkan menerusi PPSMI.

Kajian itu menyebut PPSMI menimbulkan kerugian berganda terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran itu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Kajian itu dijalankan oleh 53 pakar bahasa dan membabitkan Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sains Malaysia antara Jun dan Disember 2008.

Rumusan kajian itu pula ialah supaya PPSMI ditamatkan dan kembali kepada dasar sebelum 2003. – BERNAMA