‘MBMMBI tak ganggu pelajar’ – Berita Harian


‘MBMMBI tak ganggu pelajar’
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/11/04

pix_gal0

Pendirian MCA, MIC, GERAKAN jadikan bahasa Melayu lemah

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pendirian MCA, MIC dan GERAKAN yang menganggap pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan mengganggu pendidikan pelajar di sekolah menengah sebagai tidak logik.

Malah, beliau hairan dengan pendirian mereka hanya mempertahankan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di sekolah rendah, terutama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), tetapi di sekolah menengah mereka mahu menggunakan bahasa Inggeris.

“Dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sepatutnya jangan ada pihak yang bersikap ‘double standard.’ Pendirian parti itu menggambarkan seolah-olah mereka tidak mahu bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu, apatah lagi sebagai bahasa perpaduan.

“Pendirian mereka akan menjadikan bahasa Melayu semakin lemah dan terhakis. Mereka tidak sepatutnya sangsi dengan dasar Kementerian Pelajaran untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melalui MBMMBI yang jauh lebih baik daripada pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris sebelumnya.

“Semua ini berpunca kerana mereka tidak mahu memahami langkah kementerian mengenai pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Mereka harus sedar beratus ribu istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sudah diwujudkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Mereka patut malu kalau anak mereka tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Mohd Puad berkata, kedudukan bahasa Melayu harus dipertahankan dan jangan ada pihak yang cuba melemahkannya dalam keadaan semangat perpaduan kini semakin dipersoalkan.

“Isu PPSMI jangan dijadikan sebagai ugutan politik atau kesempatan tersirat untuk terus menanam perasaan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu dan perpaduan.

“Jangan hanya pandai cakap saja, buat kajian menyeluruh mengenai buruk dan baiknya kepada masa depan negara. Bahasa Melayu sebagai lingua franca rakyat negara ini patut terus dimartabatkan, bukan mundur ke belakang,” katanya.

Koperasi sekolah disaran jual produk Coop 1M – Utusan


Koperasi sekolah disaran jual produk Coop 1M

Ismail Sabri Yaakob bersama Dr. Mohd. Ali Baharum beramah mesra dengan pelajar dari koperasi SMK Dr. Burhanuddin Taiping Bhd. di Shah Alam, semalam.

 

SHAH ALAM 3 Nov. – Semua kedai koperasi sekolah dan kedai runcit koperasi disaran menjual produk ‘Coop 1Malaysia’ (Coop 1M) bagi membantu kerajaan mengekang masalah kenaikan harga barang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui langkah itu, warga sekolah dan ibu bapa mempunyai satu lagi alternatif untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Beliau berkata, koperasi berkenaan boleh memperoleh barangan Coop 1M melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF).

“Barangan Coop 1M yang saya lancarkan minggu lalu harganya 30 hingga 40 peratus lebih rendah daripada produk biasa dan setakat ini terdapat 25 jenis barangan keluaran KPF.

“Saya harap semua koperasi di sekolah boleh menjual produk ini dan kalau tak cukup mereka boleh mendapatkan barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menutup Sambutan dan Penyampaian Anugerah Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan 2011 di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Md. Yusof Samsudin; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd., (Angkasa), Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum dan timbalannya, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin Taiping Bhd., muncul Kedai Koperasi Terbaik peringkat kebangsaan yang memperoleh enam bintang.

Ismail Sabri turut mengumumkan berita baik kepada semua koperasi sekolah yang dibenarkan oleh Kementerian Kewangan mendapat kontrak membekalkan alat tulis tanpa had untuk sekolah masing-masing.

Sebelum ini kontrak yang dibenarkan hanya RM10,000 .

”Saya harap semua guru besar akan memberi peluang ini kepada koperasi sekolah masing-masing kerana keuntungan yang diperoleh bakal dikongsi oleh ahli koperasi sekolah itu sendiri,” katanya.

Jangan amal sikap double standard isu PPSMI – Utusan


Jangan amal sikap double standard isu PPSMI

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Pihak yang meminta pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikaji semula, seharusnya tidak mengamalkan sikap double standard berhubung isu berkenaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beliau hairan bagaimana pihak tersebut hanya mempertahankan subjek Matematik dan Sains untuk diajar dalam bahasa ibunda mereka di Sekolah Jenis Kebangsaan tetapi di Sekolah Menengah Kebangsaan, ia diajar dalam bahasa Inggeris.

Katanya, ia seolah-olah tidak mahu bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu apatah lagi untuk memperkuatkan bahasa tersebut sebagai bahasa perpaduan.

”Mereka tidak sepatutnya sangsi dengan dasar baru kementerian untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris melalui Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) kerana ia jauh lebih baik daripada pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih berharap kerajaan mengkaji PPSMI dan menjadikan ia sebagai medium pengajaran pilihan demi kebaikan semua pihak.

PPSMI: Kerajaan tidak akan tunduk – Utusan


PPSMI: Kerajaan tidak akan tunduk

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak akan tunduk dengan sebarang desakan supaya pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dua tahun lalu ditarik balik.

Tegas beliau, keputusan tersebut tidak dibuat secara terburu-buru sebaliknya adalah berdasarkan data serta maklumat hasil daripada pelaksanaan PPSMI.

Sehubungan itu beliau berkata, satu penjelasan mengenai pemansuhan PPSMI serta langkah kerajaan memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan dibuat secara terperinci esok walaupun ia bukan satu jaminan polemik mengenainya dapat dihentikan.

”Kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan begini, kita tidak boleh terdesak dengan kumpulan kecil seperti itu. Saya tahu majoriti rakyat faham dan menerima keputusan tersebut.

”Saya juga tidak kata pengumuman esok akan menghentikan polemik. Negara kita bebas dan mereka mungkin akan terus mendesak. Hakikatnya keputusan ini bukan dibuat secara terburu-buru atau kepentingan politik tetapi ia berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bersama Guru-Guru Bahasa Inggeris: SMR HR Group di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi dan Ketua Eksekutif SMR HR Group, Datuk Dr. R. Palan dan Pengarah Jabatan Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datuk Ibrahim Mohamad.

Beliau mengulas tindakan pihak-pihak tertentu yang masih mendesak kerajaan menarik balik pemansuhan dasar PPSMI tersebut.

Mengenai sesi penjelasan yang akan dibuat esok, Muhyiddin berkata, ia berkaitan dengan soal yang berkaitan dengan peralihan para pelajar ekoran pemansuhan PPSMI.

”Kabinet pada 2009 membuat keputusan yang PPSMI tidak akan diteruskan. Oleh itu esok secara terperinci saya akan jelaskan satu persatu kerana kita tahu perkara ini mendapat perhatian daripada pihak ibu bapa.

”Sebagai contoh saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ada seorang bapa menyatakan anaknya kini berada di dalam tingkatan 3 dan tahun depan tingkatan empat dan tahun seterusnya tingkatan lima,” katanya.

Beliau berkata, bapa tersebut bimbang yang anaknya akan berhadapan dengan masalah sekiranya berlaku peralihan daripada PPSMI ke MBMMBI.

”Saya faham kerana saya juga ada anak. Esok saya akan umumkan bagaimana kelonggaran peralihan ini berlaku,” katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, pembangkang pada 2009 turut bersetuju dengan pemansuhan PPSMI.

”Saya bawa ke Kabinet, ia diluluskan. Saya bawa ke Parlimen ia dibincang dan dibahaskan. Semua pihak bersetuju termasuk pihak pembangkang tetapi pada waktu itulah.

”Namun sekarang setelah ada kumpulan-kumpulan buat desakan mungkin pihak pembangkang hendak lompat masuk ke sana,” katanya.