Polis tahan lelaki ugut guru di Pulau Pinang – Bernama


Polis tahan lelaki ugut guru di Pulau Pinang

2011/11/05

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki di Selangor Khamis lalu bagi membantu siasatan berhubung kes mengugut dan mencederakan seorang guru wanita di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng, berkata lelaki berusia 32 itu ditahan di Jalan Batu Tiga Lama, Klang pada jam 4.40 petang oleh sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

“Lelaki berkenaan dibawa balik ke IPDTL bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh seorang guru wanita yang mendakwa diugut dan dikasari bekas teman lelakinya itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Akhbar baru-baru ini melaporkan seorang guru berusia 29 tahun mendakwa dikasari bekas teman lelakinya secara fizikal dan mental.

Wanita itu dalam laporannya mendakwa dipukul, dicekik dan diugut
dibakar rambutnya oleh lelaki terbabit selepas dia memutuskan hubungan dengan lelaki berkenaan yang turut menipu duitnya sebanyak RM15,000. – BERNAMA

Sesi penerangan MBMMBI dijangka minggu depan: Muhyiddin – Bernama


Sesi penerangan MBMMBI dijangka minggu depan: Muhyiddin

2011/11/05

KUALA LUMPUR: Sesi penerangan kepada pihak sekolah mengenai dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dijangkakan akan bermula minggu depan secara berperingkat, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, penerangan kepada pihak sekolah dibuat berikutan sesi penerangan peringkat kementerian yang diadakan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memberi penerangan kepada Kabinet semalam.

Wee memberitahu pemberta di sini hari ini Kementerian Pelajaran sedang menyiapkan surat pekeliling mengenai MBMMBI yang akan diedarkan ke Pejabat
Pelajaran Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa penghapusan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam bidang Sains dan Matematik, beliau berkata negara sepatutnya mencontohi negara ekonomi besar lain yang berjaya walaupun rakyat mereka mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda masing-masing.

“Saya ambil contoh China. Mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris, namun
masih mampu melancarkan roket,” katanya menambah bahawa penguasaan bahasa tidak menjamin kepada penguasaan ilmu Sains dan Matematik.

Ditanya mengenai tempoh peralihan pelaksanaan PPSMI ke MBMMBI yang dikatakan
mengambil masa terlalu lama, beliau berkata tempoh itu adalah normal.

“Peralihan dari satu sistem ke satu sistem yang lain memang mengambil masa.
Dulu peralihan dari pengantar bahasa Inggeris ke bahasa Melayu pun mengambil
masa 12 tahun,” katanya. – BERNAMA

Muhyiddin nafi kerajaan buat keputusan sambil lewa berhubung PPSMI – Bernama


Muhyiddin nafi kerajaan buat keputusan sambil lewa berhubung PPSMI

2011/11/05

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kerajaan membuat keputusan sambil lewa berhubung pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata pemansuhan dasar itu dilaksanakan kerajaan selepas melakukan kajian terperinci mengenai keberkesanan dasar itu.

“Semua ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang menyokong apabila kita laksanakan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk mengganti PPSMI,” katanya selepas menghadiri majlis korban perdana di Dewan Sri Pekembar di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada kajian kementerian menunjukkan hanya di antara lima hingga tujuh peratus keseluruhan sekolah di bawah kementerian yang menggunakan Bahasa Inggeris ketika melaksanakan PPSMI.

Majoriti daripada sekolah lain, katanya, menggunakan dwibahasa atau Bahasa Malaysia sepenuhnya di dalam PPSMI sejak dasar itu dilaksanakan pada 2003.

Mengulas saranan pemimpin pembangkang supaya kerajaan mengurangkan bilangan kakitangan awam, beliau meminta, banyak pihak supaya mencabar parti-parti pembangkang melaksanakannya di negeri yang diperintahnya terlebih dulu.

“Jikalau pembangkang memerintah negara, kita tahulah bahawa mereka akan memberhentikan banyak kakitangan kerajaan,” katanya dan menambah, banyak pihak juga mencabar pembangkang supaya melaksanakan saranan itu di Pulau Pinang dan Selangor terlebih dulu.
Muhyiddin berkata, penjawat awam yang sehingga kini berjumlah satu juta orang diperlukan bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan licin bagi kemajuan negara.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya mahu memantapkan perkhidmatan awam negara kerana sumbangan mereka penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara berjalan lancar.

“Sumbangan kakitangan awam terhadap negara adalah amat besar dan mereka yang berkhidmat dengan cemerlang perlu diberikan ganjaran yang setimpal,” katanya. – BERNAMA

Sekolah kena kembalikan semua yuran – Berita Harian


Sekolah kena kembalikan semua yuran
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohs@bharian.com.my
2011/11/05

Kerajaan tanggung segala kos ikut Bajet 2012

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan sekolah yang mengutip yuran peperiksaan, kokurikulum dan kos kertas peperiksaan perlu mengembalikan yuran terbabit kepada ibu bapa kerana semua yuran itu sudah dimansuhkan dan ditanggung kerajaan melalui pengumuman Bajet 2012.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata semua pihak perlu bertanggungjawab dan patuh keputusan ditetapkan kerajaan dalam pengumuman Bajet 2012 serta tidak mengambil kesempatan atas keputusan itu.

Katanya, pihak sekolah tidak harus membebankan ibu bapa selepas kerajaan memansuhkan semua yuran itu dan jangan mengelirukan atau memberikan tafsiran yang salah atas keputusan yang dibuat.

“Perkara ini amat jelas bahawa semua yuran di sekolah rendah dan menengah adalah percuma seperti diumumkan dalam Bajet 2012 dan pihak sekolah tidak perlu lagi mengutip semua yuran itu.

“Jika ada sekolah yang tetap mengutip yuran itu bermakna mereka ingkar arahan yang dikeluarkan dan perlu dikenakan tindakan tatatertib kepada mereka yang cuai atas arahan yang dikeluarkan.

“Guru besar, pengetua perlu bertanggungjawab jika perkara ini berlaku dan kita meminta ibu bapa yang sudah membayar atau diarahkan membayar yuran itu membuat aduan kepada polis, jabatan pelajaran dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua sekolah tidak mengutip yuran peperiksaan, kokurikulum dan kos kertas peperiksaan kerana semua yuran berkenaan dianggarkan RM150 juta kini ditanggung sepenuhnya kerajaan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

Dr Mohamad Ali berkata, jika ada sekolah yang didapati meminta yuran itu dibayar, jabatan pelajaran perlu memberikan surat tunjuk sebab kepada sekolah terbabit.

“Kita minta ibu bapa yang sudah membayar tampil membuat laporan supaya tindakan yang wajar boleh diambil hingga ke akar umbi.

“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan atas keputusan yang memberikan kesenangan kepada pelajar dan ibu bapa ini disalah tafsir hingga menyebabkan persepsi buruk diterima kerajaan,” katanya.

Sekolah diberi kebebasan penuh – Berita Harian


Sekolah diberi kebebasan penuh 
Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/11/05

Kerajaan tidak mahu pelaksanaan dasar baru ganti PPSMI jejas pelajar

PUTRAJAYA: Semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara diberi kebebasan penuh untuk menentukan sama ada untuk terus menggunakan bahasa Malaysia (BM) atau bahasa Inggeris (BI) dalam pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga kohort terakhir tamat pada 2015 serta 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihak sekolah lebih mengetahui keadaan pencapaian murid dan pelajar masing-masing selepas PPSMI dilaksanakan sejak 2003.

“Sekolah lebih mengetahui keadaan pelajar dan murid mereka, kerana sekarang pun sekolah sudah membuat keputusan sendiri. Misalnya, sewaktu kita meminta mereka (sekolah) menggunakan BI untuk PPSMI, tetapi mereka tidak berbuat demikian sebaliknya memilih BM kerana ada pelajar dan murid yang tidak faham, jadi mereka boleh teruskan (amalan ini).

“Lagipun, kita (kementerian) tidak mahu mengganggu proses pembelajaran sedia ada, lebih-lebih lagi jika mereka (guru dan pelajar) sudah biasa dengan keadaan ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau ditanya berkata demikian ketika mengulas sama ada sekolah mempunyai kuasa menentukan penggunaan BI atau BM dalam PPSMI, sekiranya wujud desakan daripada ibu bapa, kerana ia dikhuariti boleh menimbulkan masalah di sekolah terbabit, khususnya jika sekolah itu tidak mempunyai guru yang mencukupi untuk memenuhi tuntutan ibu bapa.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kebebasan yang diberikan kepada pihak sekolah bertujuan memastikan proses pembelajaran sedia ada di lebih 9,900 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tidak terjejas khususnya sepanjang proses pertukaran antara dasar PPSMI dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Saya harap ibu bapa boleh menerima keputusan hari ini (semalam) kerana kerajaan tidak mahu pelaksanaan sebarang dasar baru dianggap sebagai satu bebanan yang boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak di sekolah.

“Jadi, bagi anak-anak yang sudah ada dalam sistem kita (PPSMI) biarlah mereka teruskan sampai habis sehingga Tingkatan Lima, manakala anak yang baru masuk sekolah, biarlah mereka mengikut sistem baru (MBMMBI),” katanya.

Beliau juga berkata kementerian akan mengeluarkan pekeliling baru mengenai keputusan terbaru kerajaan itu dalam tempoh terdekat bagi menjelaskan pelaksanaannya untuk diikuti semua sekolah rendah dan menengah.

Keputusan untuk memansuhkan pelaksanaan PPSMI diumumkan pada 8 Julai 2009 selepas pelaksanaannya sejak 2003 mendapat bantahan pelbagai pihak, selain kajian mendapati kira-kira tiga juta pelajar gagal memperolehi sijil, sekali gus tercicir daripada sistem persekolahan kerana kegagalan menguasai bahasa Inggeris.

Berikutan itu, kerajaan memperkenalkan pelaksanaan dasar MBMMBI mulai 2011, supaya ia tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI.

Mansuh kekal – Metro


Mansuh kekal

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah pada 2021, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, dengan keputusan itu pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah kekal dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula dasar berkenaan seperti dituntut sesetengah pihak.
“(Namun) selepas mengambil kira pandangan ibu bapa, Kabinet memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort (kumpulan) PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia sepenuhnya atau kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki tingkatan satu tahun hadapan. “Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (masih) dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat tingkatan lima,” katanya, pada sidang media, di sini, semalam.

 

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.
Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberikan taklimat mengenai perkara berkenaan kepada Pengarah Pelajaran Negeri dan Pegawai Pelajaran Daerah dari seluruh negara.
Keputusan memansuhkan PPSMI dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI) dibuat kerajaan sejak 2009, namun dalam tempoh peralihan dasar itu pendekatan ‘soft-landing’ iaitu peralihan secara lembut dilaksanakan.

Langkah berhemah tepati kehendak semua pihak – Metro


Langkah berhemah tepati kehendak semua pihak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Keputusan membenarkan kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris hingga tamat tingkatan lima mencerminkan langkah berhemah kerajaan dalam usaha memulihkan keyakinan semua pihak.

Di samping membuka ruang pelajar dan guru yang melalui PPSMI, keputusan itu juga diyakini menepati kehendak semua pihak.
Presiden Majlis Pemuafakatan PIBG Nasional, Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata pihaknya menyokong pendekatan secara lembut yang diambil kerajaan dalam menangani isu pelaksanaan PPSMI.

 

“Ini adalah pendekatan yang cukup bersedia daripada pihak kerajaan dan saya yakin bahawa keputusan hari ini (semalam) mampu menyumbang ke arah kelancaran pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI),” katanya.
Menurut Mohamad Ali, keprihatinan kerajaan dalam menyediakan buku teks pelbagai bahasa untuk rujukan serta mengekalkan dua bahasa pilihan dalam kertas soalan peperiksaan dijangka berupaya membantu memperbaiki kelemahan pelajar pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya, saya bukan saja gembira dengan pendekatan dibuat kerajaan, malah yakin negara dapat menghasilkan lebih ramai pelajar cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Remaja jaga pusat judi – Metro


Remaja jaga pusat judi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kesempitan hidup memaksa seorang remaja lelaki berusia 16 tahun berhenti sekolah dan bekerja di sebuah premis judi Internet di Taman Desa Tasik Sungai Besi, sejak 10 bulan lalu.

Sebaik ditahan Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dalam serbuan bermula jam 5 petang semalam, remaja terbabit mendakwa bekerja untuk membantu keluarganya.
Menurut remaja terbabit, dia terpaksa berhenti sekolah dan bekerja selepas bapanya meninggal dunia lebih setahun lalu.

 

“Saya dibayar RM1,100 setiap bulan dan separuh daripadanya diberikan kepada ibu untuk belanja bulanan,” katanya.
Dalam operasi diketuai Ketua D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Cif Inspektor Zaili Zakaria, berkata remaja terbabit seorang daripada empat penjaga yang ditahan dalam serbuan di empat premis di kawasan berkenaan.

Konstabel diperintah bela diri – Utusan


Konstabel diperintah bela diri

PETALING JAYA 4 Nov. – Seorang anggota polis berpangkat konstabel diperintah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk membela diri atas tuduhan merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di dalam balai polis, tiga tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abd. Aziz memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Jamil Abdul Sah, 30, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 20 Disember depan untuk lelaki tersebut mula memberi keterangan bela diri.

Jamil didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Maklumat Balai Polis Putra Heights, Putra Heights di sini antara pukul 6 dan 7 pagi, 18 Jun 2008.

Pemansuhan PPSMI kekal – Utusan


Pemansuhan PPSMI kekal

 

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

 

PUTRAJAYA 4 Nov. – Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2016 dan untuk Sekolah Menengah pada 2021.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan murid-murid tahun dua tahun ini akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat tingkatan lima.

”Murid-murid tahun tiga hingga tahun enam tahun bagi sesi 2012 dibenarkan meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan (SK).

”Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa manakala SJK Tamil pula boleh menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa.

”Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan peralihan secara mudah (soft-landing) PPSMI di sini hari ini.

Serentak itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, keputusan pemansuhan PPSMI adalah kekal kerana kerajaan tidak bercadang melaksanakannya semula seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

”Pelajar yang baru masuk dalam sistem pelajaran kita mulai tahun ini, mereka akan ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bahasa Melayu.

”Tetapi kita yakin dengan keputusan itu pencapaian murid di bawah kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM tidak akan terjejas,” katanya.

Muhyiddin berkata, kajian kementerian mendapati hanya 6 hingga 7 peratus sekolah yang melaksanakan PPSMI.

Ini kata beliau menunjukkan kebanyakan sekolah mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu dan ia membuktikan PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Jelas beliau, kajian mendapati pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid menunjukkan mereka sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris sehingga memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahaminya dan masalah itu turut dialami di bandar.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris melalui pengenalan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Di bawah MBMMBI itu, beliau menambah, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

”Antara inisiatif itu adalah penambahan masa Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru mahir dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti.

”Sehubungan itu, kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Muhyiddin menambah, kementerian itu juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan meningkatkan penguasaan lisan kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.