Muhyiddin nafi kerajaan buat keputusan sambil lewa berhubung PPSMI – Bernama


Muhyiddin nafi kerajaan buat keputusan sambil lewa berhubung PPSMI

2011/11/05

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kerajaan membuat keputusan sambil lewa berhubung pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata pemansuhan dasar itu dilaksanakan kerajaan selepas melakukan kajian terperinci mengenai keberkesanan dasar itu.

“Semua ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang menyokong apabila kita laksanakan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk mengganti PPSMI,” katanya selepas menghadiri majlis korban perdana di Dewan Sri Pekembar di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil daripada kajian kementerian menunjukkan hanya di antara lima hingga tujuh peratus keseluruhan sekolah di bawah kementerian yang menggunakan Bahasa Inggeris ketika melaksanakan PPSMI.

Majoriti daripada sekolah lain, katanya, menggunakan dwibahasa atau Bahasa Malaysia sepenuhnya di dalam PPSMI sejak dasar itu dilaksanakan pada 2003.

Mengulas saranan pemimpin pembangkang supaya kerajaan mengurangkan bilangan kakitangan awam, beliau meminta, banyak pihak supaya mencabar parti-parti pembangkang melaksanakannya di negeri yang diperintahnya terlebih dulu.

“Jikalau pembangkang memerintah negara, kita tahulah bahawa mereka akan memberhentikan banyak kakitangan kerajaan,” katanya dan menambah, banyak pihak juga mencabar pembangkang supaya melaksanakan saranan itu di Pulau Pinang dan Selangor terlebih dulu.
Muhyiddin berkata, penjawat awam yang sehingga kini berjumlah satu juta orang diperlukan bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan licin bagi kemajuan negara.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya mahu memantapkan perkhidmatan awam negara kerana sumbangan mereka penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara berjalan lancar.

“Sumbangan kakitangan awam terhadap negara adalah amat besar dan mereka yang berkhidmat dengan cemerlang perlu diberikan ganjaran yang setimpal,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s