Abdullah harap pemansuhan PPSMI diterima semua pihak – Bernama


Abdullah harap pemansuhan PPSMI diterima semua pihak

2011/11/06

KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dapat diterima dengan baik oleh semua pihak agar tidak mengundang masalah di kemudian hari.

Beliau berkata, perubahan yang dilakukan itu perlu konsisten agar setiap pembaharuan yang akan dilakukan dapat dilaksanakan dengan sempurna serta tidak mengelirukan tenaga pengajar dan pelajar.

“Saya harap dalam hal ini dan isu berkaitan yang sudah diputuskan dibuat dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah perubahan dan pembaharuan yang dilakukan ini tidak akan beri masalah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sebahagian daripada 42 ekor lembu korban kepada penduduk di dalam kawasan Parlimen Kepala Batas di sini, hari ini.

Pengumuman pemansuhan PPSMI dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil kira hasil kajian bahawa sebahagian besar sekolah tidak melaksanakan PPSMI, sebaliknya menggunakan dwi bahasa dalam proses pembelajaran dua subjek itu.

Dengan pemansuhan PPSMI, kerajaan akan menggunakan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Terdahulu, Abdullah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamiul Badawi bersama penduduk setempat dan kemudiannya menghadiri jamuan Hari Raya Aidiladha anjuran wakil rakyat sekitar Parlimen Kepala Batas. – BERNAMA

Peralihan tak ganggu – Metro


Peralihan tak ganggu

Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
asmaini@nstp.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PAGOH: Kerajaan akan memastikan fasa peralihan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Bahasa Malaysia tidak mengganggu pembelajaran pelajar apabila ia dilaksanakan kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata walaupun kerajaan akan menghentikan PPSMI bermula 1 Januari 2012, kelompok kecil sekolah yang menjalankan sesi pembelajaran dalam Bahasa Inggeris boleh meneruskan silibus berkenaan.
Katanya, sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris akan diberi ruang secukupnya untuk menyelesaikan kurikulum dibuat.

 

“Rakyat dan ibu bapa perlu faham kerana yang penting di sini ialah pelajaran anak tidak terganggu.
“Ini kerana tidak adil untuk memaksa mereka bertukar kepada pengajaran dalam Bahasa Malaysia jika pelajar sebelum ini diajar dalam Bahasa Inggeris.
“Kerajaan tidak mahu pelajar jadi mangsa dan mengganggu pelajaran mereka kerana mengikut sistem pelajaran sebelum ini,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada 39 sekolah agama di Johor dan penyerahan lembu korban bagi Parlimen Pagoh di Dataran Kompleks Sri Pekembar di sini, semalam.

 

 

Muhyiddin berkata, sekolah rendah atau menengah yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris atau menggunakan dwi bahasa boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Malaysia.
“Tidak perlu timbul isu kerajaan meminggirkan Bahasa Kebangsaan atau keputusan yang berubah-ubah kerana hakikatnya, kerajaan sudah menghentikan PPSMI dan buku teks juga mula dicetak kembali dalam Bahasa Malaysia,” katanya.

5 jam telaah pelajaran – Metro


5 jam telaah pelajaran

Oleh ANIZA ZAINUDIN
anizazainudin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Memperuntukkan lima jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran, terutama Matematik dan Sains, membuahkan kejayaan bagi Khalesa Mohd Shariff, 11, apabila meraih dua pingat emas bagi Pertandingan dan Penilaian Antarabangsa Untuk Sekolah (ICAS) 2011.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Convent (1) Bukit Nanas itu antara 104 penerima pingat emas ICAS, satu program penilaian bertaraf dunia daripada University of New South Wales (UNSW), Australia yang dianjurkan Educational Assessment & Testing Services Sdn Bhd (EATS) di Pusat Sains Negara, semalam.
Anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui terlalu seronok apabila kerja kerasnya mengulang kaji pelajaran gara-gara menyertai pertandingan berkenaan kali kedua membuahkan hasil membanggakan.

 

Dalam penyertaan pertama pada 2010, Khalesa menerima dua pingat emas bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sains. Meskipun menetapkan sasaran memenangi tiga pingat emas tahun ini, dia reda dengan kejayaan itu.
“Biarpun sasaran tiga pingat emas gagal dicapai, saya tidak berputus asa dan akan mencuba dengan lebih gigih, tahun depan.
“Saya memperuntukkan lima jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran sama ada selepas sesi persekolahan mahupun sebelum masuk tidur.

 

 

“Hasilnya, saya bersyukur dan berterima kasih pada ibu bapa serta guru yang banyak memberi dorongan,” katanya selepas menerima pingat daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Selain ingin mendapatkan kepuasan diri dengan menyertai ICAS, Khalesa berhasrat menaikkan nama sekolah dan ia turut dipersetujui gurunya.

 

Menanam cita-cita bergelar doktor mengikuti jejak langkah bapanya, Khalesa sentiasa merujuk kepada guru jika mengalami masalah pembelajaran dalam kelas.
Ibunya, Datuk Farshila Emran, 45, berbangga dengan pencapaian anaknya dan ia sebagai bukti kerja keras dilakukan Khalesa.
Biarpun fokus dengan pelajaran, Khalesa tidak pernah mengabaikan aktiviti kokurikulum yang dianjurkan pihak sekolah.
Buktinya, anak kecil ini kerap menyertai pertandingan ‘choral speaking’ dan koir di peringkat sekolah mahupun negeri.
Pemenang tiga pingat emas bagi kemahiran komputer, sains dan penulisan, Clifford Sia Yin Shen, 16, berkata kejayaan kali kelapan itu menjadi hadiah bagi membalas jasa orang tuanya.

Nurul Fatihah bakal dapat kerusi roda baru – Metro


Nurul Fatihah bakal dapat kerusi roda baru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah akan meneliti permohonan baru Nurul Fatihah Hashim, 16, dari Taman Rahmat, di sini, yang mengalami penyakit tulang rapuh untuk mendapatkan sebuah kerusi roda baru.

Pegawai JKM daerah, Noor Hayati Zaman berkata, pihaknya akan meneliti permohonan dan memproses dokumen yang berkaitan, selain meneliti bantuan sewajarnya yang boleh disalurkan kepada remaja berkenaan untuk kemudahannya pada masa depan.
“Kami di JKM daerah bersedia membantu mana-mana individu yang layak dan memenuhi kriteria ditetapkan untuk menerima bantuan kebajikan yang diperuntukkan untuk mereka daripada kerajaan,” katanya.

 

Menurutnya, sebelum ini pihaknya turut menyumbangkan kerusi roda kepada Nurul Fatihah dan permohonan kali ini adalah permohonan baru untuk remaja terbabit mendapatkan sebuah kerusi roda baru.
Noor Hayati berkata, pihaknya sedia maklum masalah keluarga berkenaan yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU) dan memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan.
Katanya, penghuni Taman Rahmat di Pulau Kerengga, di sini, tempat keluarga berkenaan menetap, adalah perkampungan yang diselia JKM.

 

 

Difahamkan, Fatihah hanya menerima bantuan RM50 sebulan seperti dua abangnya, Asrul, 23, dan kembarnya, Mohd Syafiq, manakala bapanya, Hashim Omar, 53, memperoleh RM300 sebulan — jumlah yang masih kecil berikutan lima lagi anaknya yang normal masih bersekolah.

Patah kaki hampir 50 kali – Metro


Patah kaki hampir 50 kali

Oleh HADZLAN HASSAN, HIDAYATUL AKMAL AHMAD dan NAZDY HARUN
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BENGKOK... Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.
BENGKOK… Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.

SOKONGAN... Fatihah perlu diawasi jika ingin keluar rumah.
SOKONGAN… Fatihah perlu diawasi jika ingin keluar rumah.

KUALA TERENGGANU: Dia gadis pandai tetapi diuji Tuhan dengan sepasang kaki istimewa yang terlalu rapuh hingga patah hampir 50 kali, menyebabkannya tidak lagi boleh berjalan.

Akibat kekurangan itu, Nurul Fatihah Hashim, 16, kini menjadi pemalu dan kurang keyakinan diri, sedangkan dulu dia murid cerdik dengan pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mengekalkan keputusan baik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.
Untuk bergerak, Fatihah terpaksa menggunakan kerusi roda sambil kebiasaannya menyembunyikan kedua-dua kakinya kerana malu dan tidak sanggup diejek rakan sebaya.

 

Selain Fatihah, dugaan ini sebenarnya turut dikongsi bapanya, Hashim Omar, 53, abangnya, Asrul, 23, dan pasangan kembarnya, Mohd Syafiq, 16, cuma masalah Fatihah paling kronik.
Menurut Mohd Syafiq, kehadiran Aidilfitri atau Aidiladha dalam sejarah hidupnya tidak pernah seceria orang lain kerana mereka tidak boleh bergerak jauh seperti remaja lain, selain hidup serba kekurangan dengan keadaan kakinya yang rapuh.
“Sebenarnya saya sudah biasa begini, dulu ada pelajar sekolah mengejek memanggil kami penyu kerana keadaan kaki dan pergerakan saya seperti reptilia itu.

 

 

“Mulanya malu juga namun lama-kelamaan saya tidak peduli, cuma kakak yang masih malu mungkin kerana keadaan kakinya semakin teruk sejak kami membesar.
“Pernah satu ketika, kerusi roda kakak ditarik atau dihentak pelajar nakal menyebabkan kakinya patah, namun selepas insiden itu, kami tidak lagi diganggu kerana mereka takut melihat kesan yang kami tanggung akibat perbuatan mereka,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di Perkampungan Orang Kurang Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang, dekat sini.

 

Syafiq mewarisi penyakit tulang rapuh daripada Ha- shim, menyebabkan organ kakinya patah tidak kurang 20 kali hanya kerana tersepak tunggul, tersepak kaki sendiri, terhentak, jatuh kerusi roda atau tersilap duduk dan akibatnya betisnya membengkok. Lebih memburukkan keadaan, kulitnya turut sensitif dan luka jika terkena seluar dipakai.
Bagaimanapun, Fatihah mengalami kesan paling teruk apabila kakinya patah hampir 50 kali, menyebabkan kedua-dua kakinya semakin melidi dan membengkok. Dia terpaksa mengengsot untuk bergerak atau berkerusi roda ketika di sekolah.
“Setiap kali patah, kami memerlukan dua hingga tiga bulan untuk kembali pulih dan keadaan itu menyebabkan pembelajaran kami terjejas, biasanya kakak yang sering mengulang kaji pelajaran di rumah, jadi tidak hairan dia mampu menjadi pelajar cemerlang,” katanya.
Syafiq dan Fatihah biasanya menjalani aktiviti bersama, menyebabkan mereka seakan-akan tidak dapat dipisahkan dan ia mungkin kerana perkongsian rahim kira-kira 15 tahun dulu, namun yang membezakan mereka ialah Fatihah kini menjadi semakin pemalu dan kurang keyakinan diri akibat kekurangan dialaminya.
Sebaliknya, Syafiq yang hanya mengalami sindrom itu pada kaki kanan dilihat tetap aktif walaupun pergerakan terbatas kerana masih mampu menggunakan sebelah lagi kakinya untuk bergerak.
Hashim pula berkata, sindrom itu dialami ketika dia berusia belasan tahun dan ia berjangkit pula kepada tiga daripada lapan anaknya.
“Saya bernasib baik kerana kerapuhan tulang saya hanya berlaku dari paras paha ke bawah, menyebabkan organ lain tidak terjejas dan akibatnya doktor menasihatkan kami sekeluarga minum susu khas untuk mengekalkan kekuatan tulang dan bukan untuk menguatkan tulang.
“Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tidak mampu membelanjakan setin susu RM50 seminggu tetapi bersyukur dengan apa yang diterima kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sekeluarga,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga anaknya mengalami sindrom tulang rapuh sejak berusia 18 bulan iaitu ketika mula belajar berjalan, sekali gus menjejaskan pembesaran mereka kerana tidak dapat bergerak aktif berikutan risau cedera terlanggar tunggul kayu atau anak tangga.
“Jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya antara dua hingga tiga bulan sementara menunggu kecederaan pulih semula. Fatihah kini menanggung rasa sakit dan malu yang teramat sangat kerana melalui kesan patah sehingga 50 kali, menyebabkan struktur kakinya semakin pipih seolah-olah akar kayu.
“Akibatnya, dia yang semakin meningkat remaja kini menjadi pemalu dengan kekurangan dirinya dan hanya tuhan dapat memahami perasaan kami sekeluarga kerana penyakit dialami tiada penawar,” katanya.
Akibatnya, empat beranak itu terpaksa menyusun langkah berhati-hati setiap hari supaya tulang tidak patah lagi akibat terlanggar objek, manakala Fatihah menggunakan sebiji bantal bagi memudahkannya mengengsot untuk bergerak dalam rumah.
Ketika di luar rumah, hanya kerusi roda menjadi teman dan Fatihah mula kurang bergaul dengan rakan, mungkin disebabkan kekurangan diri.
Hashim berkata, keluarganya menempuhi kesukaran hidup dengan penuh kesabaran dan saling menjaga antara satu sama lain bagi mengelak ditimpa kemalangan.
“Sebenarnya saya bersyukur dengan keadaan ini kerana ada hikmah di sebaliknya. Ia serba sedikit membuktikan kesetiaan isteri, Nurzaimah Husin, 46, yang tetap bersama-sama menghadapi dugaan ini.
“Pengorbanan isteri dan anak sangat bernilai bagi saya, cukup dengan apa yang mereka tanggung, setiap kali Aidiladha, saya memanjat kesyukuran dengan kesanggupan mereka berkorban keinginan untuk hidup senang seperti orang lain.
“Kadangkala saya hampir putus harapan kerana tidak mampu memberikan kelengkapan atau keperluan mewah kepada mereka.
“Namun apakan daya, dengan kudrat yang tidak seberapa, kami sekeluarga masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan bulanan RM300 daripada JKM,” katanya.

Kempunan sambut Aidiladha – Utusan


Kempunan sambut Aidiladha

 

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

 

KUANTAN 5 Nov. – Hajat enam sekeluarga untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha esok, di kampung mereka di Kuala Terengganu, tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Jabor, di sini petang ini.

Pegawai Penguat Kuasa Pentadbiran Trafik Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman, mangsa, Maliki Abdullah, 47; anaknya, Nur Izzati, 21, dan Muhamad Hafiz, 6, terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 244.9, pukul 3.15 petang.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang dinaiki keluarga tersebut dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Terengganu.

“Sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu Maliki terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di lebuh raya itu.

“Semua mangsa yang berada di dalam kenderaan tercampak keluar. Maliki bersama dua anaknya, Nur Izzati dan Muhammad Hafiz maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainalabidin berkata, tiga lagi mangsa yang belum dikenal pasti identiti cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada tayar MPV terbabit pecah menyebabkan ia terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan.

NGO sokong kekal mansuh PPSMI – Utusan


NGO sokong kekal mansuh PPSMI

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan pemansuhan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilihat sebagai sangat tepat.

Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar berkata, semua pihak perlu akur dengan usaha murni kerajaan itu bagi memastikan kejayaan sistem pembelajaran negara.

Sehubungan itu, beliau berharap isu tersebut tidak lagi dieksploitasi atau dijadikan polemik oleh mana-mana pihak, sebaliknya diterima dengan terbuka demi kepentingan masa depan anak bangsa.

“Gapena dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu amat menyokong pemansuhan tersebut dan melihat ia satu keputusan yang tepat.

“Bagaimanapun, kita berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula pelaksanaannya supaya ia dapat dilakukan secara serentak bermula tahun depan tanpa perlu memberi pilihan kepada sekolah dan ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemansuhan PPSMI yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Keputusan tersebut sekali gus mengekalkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI pada 2009.

PPSMI kembali mencetuskan polemik apabila Kumpulan Tindakan Ibu-Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa agar diberikan autonomi kepada sekolah untuk memilih PPSMI berdasarkan kajian mereka bahawa sebahagian besar guru dan ibu bapa mengharapkan agar PPSMI dilaksanakan semula.

Sementara itu Setiausaha Agung, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, semua pihak termasuk parti pembangkang perlu akur dengan keputusan itu dan tidak cuba mengambil kesempatan demi kepentingan politik.

Menurut beliau, ia penting bagi mengelak salah faham serta kekeliruan yang berpanjangan sehingga menjejaskan pembelajaran dan masa depan pelajar terlibat.

Beliau berharap tidak ada pihak yang cuba menjadi ‘jaguh’ berkaitan isu PPSMI, sebaliknya memberi peluang kepada kementerian menyusun strategi serta kajian demi faedah pelajar.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani pula berkata, semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan bahasa kebangsaan.

“GPMS Kedah tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris namun bahasa Melayu ini adalah roh rakyat Malaysia dan seharusnya setiap langkah untuk memartabatkan bahasa ini tidak dipertikaikan.

“Kita tahu polemik ini tidak akan berhenti setakat ini namun kita sangat berharap kerajaan akan sentiasa bertegas dalam perkara ini kerana dasar kebangsaan perlu konsisten demi kepentingan semua pihak,” katanya.

PPSMI: Bukan keputusan ‘flip flop’ – Utusan


PPSMI: Bukan keputusan ‘flip flop’

MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan penerima bantuan pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Negeri Johor di SMA Shamsuddiniah, Parit Medan, Ledang, Johor, semalam.

 

PAGOH 5 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukan keputusan yang bersifat ‘flip flop’.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan dibuat setelah kerajaan mengambil kira hasil kajian yang dijalankan bahawa sebahagian besar sekolah tidak melaksanakan PPSMI, sebaliknya menggunakan dwi bahasa dalam proses pembelajaran dua subjek itu.

“Keputusan kerajaan ini bukan ‘flip flop.’ Sewaktu saya membuat penggulungan di Dewan Rakyat mengenai PPSMI pada 2009 bahawa kita tidak akan teruskan dasar ini dan akan menggunakan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI), semua pihak bersetuju termasuk pemimpin pembangkang,” ujarnya ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bahawa keputusan itu bersifat ‘flip flop.’

Muhyiddin ditemui selepas dialog tertutup dengan ahli 91 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penyerahan 98 ekor lembu korban bagi kawasan Parlimen Pagoh di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan PPSMI dibuat supaya ia tidak mengganggu proses pembelajaran pelajar apabila didapati antara lima hingga tujuh peratus sahaja kelas yang menggunakan sepenuhnya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Muhyiddin menegaskan, pemansuhan PPSMI kekal tetapi pelajar tahun dua hingga tingkatan lima yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebelum ini boleh meneruskannya sehingga tingkatan lima.

Beliau berkata, menerusi dasar MBMMBI, kini sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, masing-masing menggunakan bahasa ibunda mereka.

Mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua baru-baru ini bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan bilangan kakitangan kerajaan jika berkuasa, Muhyiddin berkata, pakatan pembangkang tidak faham betapa besarnya sumbangan kakitangan awam dalam memajukan negara.

“Jumlah pegawai dan kakitangan kerajaan yang besar ini adalah berdasarkan keadaan dan keperluan serta beban tugas dalam memastikan proses penyampaian berjalan dengan licin. Tiada siapa boleh menafikan sumbangan pegawai kerajaan. Pembangkang tidak faham itu. Kalau mereka mahu, mereka boleh mulakan di negeri-negeri pakatan seperti Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Nahas jalan: Tiga beranak maut ketika pulang beraya – Utusan


Nahas jalan: Tiga beranak maut ketika pulang beraya

06/11/2011 2:08am

 

KUANTAN 6 Nov. – Hajat enam sekeluarga untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha hari ini di kampung mereka di Kuala Terengganu, tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Jabor, di sini awal pagi semalam.

Pegawai Penguat Kuasa Pentadbiran Trafik Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman, mangsa, Maliki Abdullah, 47; anaknya, Nur Izzati, 21; dan Muhamad Hafiz, 6, terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 244.9, pukul 3.15 pagi.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang dinaiki keluarga tersebut dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor, ke Kuala Terengganu.

“Sampai ditempat kejadian, kereta yang dipandu Maliki terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di lebuh raya itu.

“Semua mangsa yang berada di dalam kenderaan tercampak keluar. Maliki bersama dua anaknya iaitu Nur Izzati dan Muhammad Hafiz maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainalabidin berkata, tiga lagi mangsa yang belum dikenal pasti identiti cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini. – Utusan