PAGOH: Kerajaan akan memastikan fasa peralihan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Bahasa Malaysia tidak mengganggu pembelajaran pelajar apabila ia dilaksanakan kelak.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata walaupun kerajaan akan menghentikan PPSMI bermula 1 Januari 2012, kelompok kecil sekolah yang menjalankan sesi pembelajaran dalam Bahasa Inggeris boleh meneruskan silibus berkenaan.
Katanya, sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris akan diberi ruang secukupnya untuk menyelesaikan kurikulum dibuat.
“Rakyat dan ibu bapa perlu faham kerana yang penting di sini ialah pelajaran anak tidak terganggu.
“Ini kerana tidak adil untuk memaksa mereka bertukar kepada pengajaran dalam Bahasa Malaysia jika pelajar sebelum ini diajar dalam Bahasa Inggeris.
“Kerajaan tidak mahu pelajar jadi mangsa dan mengganggu pelajaran mereka kerana mengikut sistem pelajaran sebelum ini,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada 39 sekolah agama di Johor dan penyerahan lembu korban bagi Parlimen Pagoh di Dataran Kompleks Sri Pekembar di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, sekolah rendah atau menengah yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris atau menggunakan dwi bahasa boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Malaysia.
“Tidak perlu timbul isu kerajaan meminggirkan Bahasa Kebangsaan atau keputusan yang berubah-ubah kerana hakikatnya, kerajaan sudah menghentikan PPSMI dan buku teks juga mula dicetak kembali dalam Bahasa Malaysia,” katanya.