Banteras pemerdagangan kanak-kanak menggunakan DNA – Bernama


Banteras pemerdagangan kanak-kanak menggunakan DNA 

2011/11/07

KUALA LUMPUR: Pemerdagangan kanak-kanak global atas sebab mengambil anak angkat secara haram, pelacuran, buruh paksaan atau mengrekrut remaja bawah umur sebagai askar kanak-kanak, adalah satu masalah serius yang menjadi perhatian peringkat antarabangsa.

Menurut Pejabat Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dianggarkan 1.2 juta kanak-kanak dipemerdagangkan pada setiap tahun dan 20 peratus mangsa pemerdagangan manusia yang dikesan adalah kanak-kanak.

Sehubungan itu, seorang saintis dari University of Granada, Sepanyol, Dr Jose A Lorente mencadangkan satu program unik untuk membanteras jenayah ini menggunakan DNA pada 2004.

Ini kerana masalah pemerdagangan manusia sangat serius tetapi hanya dengan penguatkuasaan tidak dapat membanteras jenayah ini, menurut laman web UNODC http://www.unodc.org.

Program untuk Pengenalan Kanak-kanak (DNA-Prokids) adalah sebuah program untuk membangunkan registri-registri DNA di seluruh dunia yang mengandungi ibu bapa dengan anak yang hilang atau diculik, kanak-kanak yang tidak berumah tinggal di jalanan atau di rumah penempatan serta kanak-kanak yang ditemui di rumah anak yatim atau pusat penempatan anak angkat yang tidak sah.

DNA-Prokids melalui laman webnya http://www.dna-prokids.org, bertujuan mengenal pasti kanak-kanak yang hilang, kanak-kanak yang diculik dan tidak berumah, untuk disatukan dengan ibu bapa mereka serta menyediakan satu kaedah saintifik bagi agensi penguatkuasaan undang-undang dalam membantu membanteras pemerdagangan kanak-kanak.

“Program ini juga bertujuan mengumpul maklumat mengenai asal usul, laluan dan cara jenayah ini (risikan polis), satu elemen utama untuk kerja pasukan polis dan sistem kehakiman.
“Bukan bertujuan untuk menghadkan skop penyelidikan terhadap jenayah domestik tetapi memperluaskan keputusan di seluruh dunia bagi meningkatkan pembanterasan antarabangsa menentang pemerdagangan manusia,” menurut laman web DNA-Prokids.

DNA-Prokids mempunyai lima objektif utama dalam membanteras pemerdagangan kanak-kanak dan yang pertama adalah untuk mempromosikan kerjasama antarabangsa dan sistematik dengan mewujudkan satu pangkalan data dengan maklumat genetik.

Objektif kedua adalah untuk memperbaiki pengkajian dan aplikasi bagi membolehkan polis dan sistem kehakiman menjalankan kerja pembanterasan lebih berkesan terhadap pemerdagangan manusia bagi kanak-kanak dan wanita.

Ia juga mencadangkan satu rangka kerja perundangan dan penyelesaian sosial serta masalah komunikasi yang menjejaskan pembanterasan secara berkesan terhadap pemerdagangan manusia, adalah objektif ketiga.

Objektif keempat dan kelima adalah untuk menyediakan kerjasama bagi penyelarasan dan latihan pakar dalam pengenalan genetik dari negara yang berlainan,” menurut laman web itu.

Kini lapan negara mempunyai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan DNA-Prokids, Brazil, Guatemala, Indonesia, Mexico, Nepal, Filipina, Sri Lanka dan Thailand.

Malaysia dan lapan lagi negara, Colombia, El Salvador, Honduras, India, Korea, Paraguay, Peru dan Vietnam kini dalam proses merangka MOU dengan DNA-Prokids.

Sementara itu, satu pra-simposium mengenai DNA-Prokids akan diadakan sehari di sini yang dianjurkan oleh Persatuan Sains Forensik Malaysia (FSSM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Jabatan Kimia pada 14 Nov.

Dalam perkembangan berkaitan, Wakil Khas dan Penyelaras untuk Pembanterasan Pemerdagangan Manusia Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), Maria Grazia Giammarinaro, berkata ramai kanak-kanak terdedah dengan aktiviti pemerdagangan.

Mereka termasuk budak lelaki dan perempuan daripada keluarga kekerasan atau tidak berfungsi, kanak-kanak penagih dadah, kanak-kanak mangsa keganasan rumah tangga, kanak-kanak yang ditinggalkan kerana ibu bapa berhijrah, anak-anak yatim dan kanak-kanak dalam institusi.

“Kanak-kanak yang terdedah ini sering menjadi perhatian pihak berkuasa awam pada sesetengah peringkat dan kita perlu berwaspada dan mengambil peluang untuk campur tangan serta mengukuhkan persekitaran perlindungan kanak-kanak,” kata beliau dalam laman web UNODC. – BERNAMA

Dugaan lepas solat – Metro


Dugaan lepas solat

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DERAS...orang ramai melihat tempat kejadian mangsalemas dipercayai tersepit di pintu air.
DERAS…orang ramai melihat tempat kejadian mangsalemas dipercayai tersepit di pintu air.

PENDANG: “Selepas solat sunat Aidiladha tiba-tiba arwah memeluk saya sebelum meninggalkan surau dengan menunggang motosikal bersama dua rakannya.

“Saya sangka dia pergi berhari raya, tak sangka pula dia pergi mandi sungai,” kata Idris Mat Hashim, 49, bapa kepada Mohd Shahrol Nizam, 11, yang mati lemas di Sungai Rambai Kampung Lubuk Batu, Kubur Panjang, di sini, semalam.
Mayat murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang itu ditemui tersangkut pada pintu air sungai itu kira-kira jam 1 tengah hari.

 

Sebelum kejadian, Mohd Shahrol Nizam bersama dua rakan sebayanya pergi ke Sungai Rambai, kira-kira satu kilometer dari rumahnya untuk mandi selepas selesai solat sunat Aidiladha di surau Kampung Lubuk Batu.
Idris berkata, mangsa juga anak bongsu memang manja dengannya tapi dia agak terkejut apabila tiba-tiba anaknya itu memeluknya ketika masih berada di surau.
“Namun, saya tidak terfikir langsung sebarang petanda buruk kerana dia tidak memberitahu mahu pergi ke mana. Ketika itu kami baru selesai solat, jadi saya sangka dia pergi berhari raya di rumah rakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, semalam.

 

 

Menurut Idris, beberapa jam kemudian ketika berehat di rumah, dia dikejutkan dengan kedatangan dua rakan Mohd Shahrol yang bersamanya sebelum itu, memberitahu anaknya lemas di Sungai Rambai yang sedalam lebih dua meter itu.
“Saya bergegas ke sungai berkenaan dan mendapati Mohd Shahrol sudah diangkat ke atas tebing oleh rakannya,” katanya.

 

Idris berkata, Mohd Shahrol memang kerap mandi sungai di sekitar kampung itu bersama rakannya dan dia juga tidak bimbang kerana anaknya pandai berenang.
Katanya, dia membawa Mohd Shahrol ke Klinik Kesihatan Kubur Panjang sebelum anaknya itu disahkan sudah meninggal dunia. Jenazah Mohd Shahrol dibawa dengan kenderaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia ke HSB, Alor Setar untuk dibedah siasat.
“Buat masa ini saya tidak tahu sama ada Mohd Shahrol mati akibat lemas atau kerana tersangkut pada besi pintu air kerana terdapat kesan lebam pada muka dan sebahagian badannya dipercayai terkena besi pintu air itu.
“Kejadian ini amat menyedihkan dan tidak disangka-sangka, namun saya reda ketentuan Ilahi menguji saya pada Aidiladha ini,” katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Batu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan kejadian.

e-mel anda: Salah siapa? – Metro


e-mel anda: Salah siapa?

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

CUKUP mengejutkan apabila kita membaca laporan media mengenai dua kanak-kanak yang baru berusia tujuh dan lapan tahun menjadi dalang serta mengatur strategi aktiviti pecah rumah membabitkan 26 rumah jiran di Blok D, Apartmen Fasa 4C Kuarters Kerajaan, Presint 8, Putrajaya, sejak enam bulan lalu.

Jelas, pembongkaran kes ini membawa kepada dua persoalan kritikal yang perlu kita fikirkan dan rungkai bersama demi menyelamatkan anak-anak kita terutamanya masa depan mereka.

Pertama, salah siapa sehingga mereka berdua dan mungkin ramai lagi di luar sana terbabit dalam aktiviti jenayah ini?

Kedua, apakah ini kumpulan anak-anak dan generasi masa depan yang boleh kita yakin, percaya dan menyerahkan amanah untuk terus memacu kegemilangan negara kita?

 
Ringkasnya, kedua-dua persoalan ini ada hubung kait yang jelas dan boleh dirungkai secara bersama andai kita dapat mengenal pasti punca utama kepada kejadian itu.
Seterusnya, kita perlu segera bertindak untuk mengambil tindakan pembetulan dan yang lebih penting tindakan pencegahan supaya kejadian seperti ini tidak berulang, sekali gus menyelamatkan anak-anak kita daripada terus hanyut dalam dunia jenayah yang belum pun mereka kenali sepenuhnya.

Dalam mencari siapa yang bersalah dalam hal ini, apakah kesalahan itu boleh diletakkan di bahu ibu bapa, masyarakat ataupun pihak sekolah?

Saya berpandangan, ketiga-tiga pihak ini ada bahagian masing-masing sebagai penyumbang dalam kes seperti ini.

Ini kerana adalah tidak logik dan wajar untuk kita menyalahkan budak yang baru berusia tujuh dan lapan tahun semata-mata.

Ibu bapa dilihat sebagai orang paling rapat dengan kanak-kanak ini dan di bahu mereka terletak tanggungjawab yang besar mendidik, menjaga dan membesarkan anak mereka.

Justeru, sebahagian besar daripada kesalahan ini memang wajar ditujukan kepada ibu bapa anak-anak ini.

Tambahan pula, dalam kes ini dilaporkan ibu bapa kanak-kanak itu tahu kegiatan anak mereka.

Maka, semua pihak tertanya-tanya apa tindakan pembetulan dan pencegahan yang dilaksanakan setelah menyedari kegiatan anak mereka?

Hanya ibu bapa mereka yang boleh memberikan jawapan kepada persoalan berkenaan.

Natijahnya, kecuaian dalam menjalankan tanggungjawab menjaga dan mengawasi tingkah laku anak-anak menyebabkan mereka bebas ponteng sekolah untuk melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti ini tanpa rasa segan dan takut.

Dalam pada itu, masyarakat juga ada peranannya dalam hal seperti ini di mana sikap tidak mahu ambil tahu dan mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling menyebabkan aktiviti seperti ini terus berleluasa.

Keprihatinan masyarakat dalam hal seperti ini sangat mustahak demi membendung gejala kurang sihat ini daripada terus merebak yang boleh menjadi wabak yang sukar dikawal dan diubati kelak.

Ini juga membuktikan perlunya kita meningkatkan tahap kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat supaya lebih prihatin dan peka dengan masalah sosial yang melanda persekitaran mereka.

Pada masa sama, keberanian kanak-kanak ini ponteng sekolah untuk melakukan aktiviti ini juga menimbulkan persoalan yang perlu dijelaskan pihak sekolah.

Apakah pihak sekolah pernah ataupun sudah memaklumkan kepada ibu bapa mengenai anak-anak yang selalu tidak hadir ke sekolah ataupun ponteng serta apa tindakan pembetulan dan pencegahan yang diambil oleh pihak sekolah apabila menyedari mereka sering ponteng?

Dalam isu ini, kita tiada niat untuk menyalahkan mana-mana pihak terutamanya sekolah, tetapi kita yakin perkara seperti ini tidak akan berlaku dan berleluasa andai sekurang-kurangnya salah satu pihak yang terbabit dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara berkesan.

Misalnya, jika ibu bapa menyedari tingkah laku anak-anak mereka dari awal lagi, ataupun penduduk setempat yang menyedari kelibat meragukan kedua-dua pelajar ini ataupun pihak sekolah dari awal lagi cuba memantau dan mengkaji ketidakhadiran mereka ke sekolah, kita percaya masalah ini dapat diatasi dan dibendung lebih awal lagi.

Justeru, marilah kita segera mengambil tindakan pembetulan untuk menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak ini dan juga kanak-kanak lain yang masih bebas serta sedang melakukan kegiatan seperti ini.

Seterusnya, apa yang lebih penting ialah kita perlu bergabung tenaga dan idea untuk melaksanakan apa saja tindakan pencegahan yang difikirkan perlu, wajar dan sesuai untuk mengekang lebih ramai lagi anak-anak kita dari terbabit dengan gejala tidak sihat seperti ini.

Adalah satu kerugian kepada negara jika generasi pelapis negara ini hilang punca dan hala tuju.

Apakah kita masih boleh dan berani meletakkan sandaran dan harapan di bahu mereka ini untuk terus memacu kecemerlangan negara kita?

Kita perlu sentiasa sedar bahawa kita sebenarnya kesuntukan masa di mana hanya tinggal sembilan tahun saja lagi untuk kita menuju sasaran negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.

Di samping itu, semua Program Transformasi kerajaan (GTP) juga perlu dipergiatkan dan dilaksanakan dengan segera.

Siapa yang boleh diharapkan untuk menjayakan semua ini andai generasi pelapis yang kita harapkan hanyut seperti ini?

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Perancangan Korporat Universiti Putra
Malaysia, Bangi, Selangor

‘Abangku setan’ – Metro


‘Abangku setan’

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Abang setan. Itu gelaran kepada seorang pemuda berusia 20-an yang mencabul adik perempuannya berusia 17 tahun dan memukul mangsa serta ibunya dengan papan menggosok pakaian apabila kejadian itu diceritakan kepada ibunya.

Kejadian berlaku di sebuah kawasan perumahan di Sungai Besi, di sini, pada jam 8.30 pagi kelmarin ketika mangsa yang juga pelajar tingkatan lima berada di biliknya berseorangan manakala ibu dan kakaknya tiada di rumah.
Sumber berkata, suspek masuk ke dalam bilik dan menolak mangsa ke atas katil sebelum mencabulnya.

 

“Mangsa merayu serta cuba melawan, tetapi suspek bertindak lebih ganas apabila cuba merogolnya, namun ketika bergelut, mangsa dan suspek terjatuh daripada katil dan berlaku pertengkaran.
“Sebelum meninggalkan adiknya, suspek memberi amaran supaya mangsa tidak memaklumkan kejadian ibu mereka,” katanya.
Menurutnya, mangsa mengadu kepada ibunya dan dihantar ke rumah kakaknya buat sementara.

 

 

“Bagaimanapun, apabila mangsa pulang ke rumah pada sebelah malam dia terkejut melihat biliknya bersepah dan pakaiannya dibuang suspek yang tidak puas hati kerana mangsa memberitahu kejadian itu kepada ibu mereka.
“Suspek bertindak lebih ganas dengan memukul mangsa dan ibunya dengan papan menggosok pakaian menyebabkan mereka cedera di kaki dan badan,” katanya.

 

Sumber itu berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jalan Bandar.

Mati lemas selepas solat Aidiladha – Utusan


Mati lemas selepas solat Aidiladha

 

Oleh mohd. shariza abdullah
utusankedah@utusan.com.my

 

Orang ramai melihat tempat kejadian seorang kanak-kanak lemas selepas tersangkut di besi pintu air di Kampung Lubuk Batu, Pendang, Kedah, semalam.

 

ALOR SETAR 6 Nov. – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha sebuah keluarga dari Kampung Ga, Pendang dekat sini bertukar duka apabila anak bongsu mereka mati lemas ketika mandi di Sungai Rambai, Kampung Lubuk Batu, Pendang, hari ini.

Mangsa, Mohd. Shahrol Nizam Idris, 11, dipercayai lemas selepas tersangkut di besi pintu air sewaktu mandi bersama dua lagi rakannya di sungai itu yang terletak satu kilometer dari rumah mereka, pukul 1 petang.

Bapa mangsa, Idris Mat Hashim, 49, berkata, selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di surau kampung mereka, anaknya itu yang memakai sepasang baju Melayu berwarna kuning lembut terus keluar beraya bersama rakan-rakannya dengan menunggang motosikal.

Katanya, dia bagaimanapun terkejut apabila tiba-tiba didatangi oleh rakan Mohd. Shahrol yang memaklumkan bahawa anak bongsunya itu lemas di sungai tersebut, pukul 1.30 petang.

“Semasa tiba di tempat kejadian, saya lihat anak saya telah diangkat ke daratan dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Kubur Panjang.

“Namun petugas di klinik itu mengesahkan Mohd. Shahrol telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Menurut Idris yang bekerja sebagai penoreh getah, sudah menjadi kebiasaan bagi Mohd. Shahrol yang pandai berenang mandi bersama rakan-rakannya di sungai berkenaan.

Katanya, malang tidak berbau kerana arwah dipercayai tersangkut di besi pintu air sungai tersebut menyebabkannya lemas dengan kesan lebam ditemui di bahagian muka dan badan mangsa.

“Selepas menunaikan solat sunat Aidiladha pagi tadi, arwah sempat memeluk saya tetapi tidak berasa terlalu pelik kerana sebagai anak bongsu, dia sememangnya manja.

“Walaupun sedih dengan kehilangannya, saya reda kerana ia adalah ketentuan Ilahi,” ujarnya sayu.

Dalam pada itu, jurucakap polis yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Abdullah harap semua pihak terima pemansuhan PPSMI – Bernama


Abdullah harap semua pihak terima pemansuhan PPSMI

KEPALA BATAS 6 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dapat diterima dengan baik oleh semua pihak agar tidak mengundang masalah di kemudian hari.

Beliau berkata, perubahan yang dilakukan itu perlu konsisten agar setiap pembaharuan yang akan dilakukan dapat dilaksanakan dengan sempurna serta tidak mengelirukan tenaga pengajar dan pelajar.

“Saya harap dalam hal ini dan isu berkaitan yang telah diputuskan dibuat dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah perubahan dan pembaharuan yang dilakukan ini tidak akan beri masalah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sebahagian daripada 42 ekor lembu korban kepada penduduk di dalam kawasan Parlimen Kepala Batas di sini hari ini.

Pengumuman pemansuhan PPSMI dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil kira hasil kajian bahawa sebahagian besar sekolah tidak melaksanakan PPSMI, sebaliknya menggunakan dwi bahasa dalam proses pembelajaran dua subjek itu.

Dengan pemansuhan PPSMI, kerajaan akan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Terdahulu, Abdullah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamiul Badawi bersama penduduk setempat dan kemudiannya menghadiri jamuan Hari Raya Aidiladha anjuran wakil rakyat sekitar Parlimen Kepala Batas. – BERNAMA