600 sekolah diberi peruntukan segera perbaiki infrastruktur: Muhyiddin – Berita Harian


600 sekolah diberi peruntukan segera perbaiki infrastruktur: Muhyiddin

2011/11/08

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa 600 sekolah rendah dan menengah kebangsaan di seluruh negara akan diberi peruntukan segera untuk memperbaiki struktur dan infrastruktur bangunan masing-masing.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata proses menambahbaik sekolah terbabit akan bermula januari tahun depan.

Remaja maut dalam kemalangan ngeri di Labuan – Bernama


Remaja maut dalam kemalangan ngeri di Labuan

2011/11/08

LABUAN: Hasrat seorang remaja untuk cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak kesampaian, apabila maut dalam satu kemalangan ngeri di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan itu berlaku di Jalan Wong Wo Lo, apabila pacuan empat roda yang dipandu pelajar itu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pokok di pembahagi jalan.

Penguasa Polis Labuan, Saiman Kasran, berkata kejadian berlaku lebih kurang jam 1.30 pagi dan pelajar berumur 17 tahun itu mengalami kecederaan serius di kepala dan patah kedua-dua belah kaki.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – BERNAMA

600 sekolah daif dibaiki: Muhyiddin – Bernama


600 sekolah daif dibaiki: Muhyiddin

2011/11/08

KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada RM500 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk menambah baik sekolah kebangsaan tahun depan akan digunakan untuk memperbaiki segera infrastruktur di 600 sekolah kebangsaan seluruh negara yang telah usang dan memerlukan bantuan segera.

Timbalan Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sekolah berkenaan dikenal pasti hasil daripada proses audit fizikal yang dilaksanakan pertama kali tahun ini untuk mengenal pasti kedudukan sebenar infrastruktur semua sekolah.

“Saya telah putuskan bahawa daripada RM500 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2012 bulan lalu untuk penambahbaikkan sekolah kebangsaan, sebahagian besar peruntukan digunakan untuk membaiki sekolah yang telahpun kita senaraikan sebagai sekolah yang begitu daif.

“Ini penting untuk kita menentukan supaya mutu pembelajaran di sekolah itu tidak merosot hanya dengan keadaan sekolah itu yang uzur dan kurang selamat serta perlu dibaiki,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog terbuka bersama 50 graduan universiti yang terpilih untuk menyertai program “Teach For Malaysia” (Teach) di sini hari ini.

Mengulas mengenai proses audit fizikal itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementerian pernah melaksanakan proses berkenaan tetapi ia hanya dilaksanakan secara ad-hoc tetapi kini ia dijalankan secara menyeluruh.

“Kita hendak tahu kedudukan sekolah yang ada di seluruh negara, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi melihat keperluan tambahan seperti tambahan bilik, kelas dan bilik guru,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menjawab beberapa soalan daripada 50 graduan Teach yang dikenali sebagai “fellow” yang akan ditempatkan di 17 sekolah yang memerlukan guru di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur untuk mengajar subjek penting seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Geografi.
Kepada soalan mengenai bagaimana menjadi seorang guru yang membawa perubahan besar kepada kejayaan sekolah, Muhyiddin berkata ia bergantung kepada kesanggupan guru itu sendiri untuk melakukan perubahan.

“Tanggungjawab seorang guru bukan sahaja mengajar pelajarnya mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan kerajaan sebaliknya perlu membentuk keperibadian dan pemikiran pelajarnya menjadi modal insan yang unggul untuk negara,” katanya.

Untuk mencapai matlamat itu, beliau berkata seorang guru mesti sanggup bekerja melangkaui jadual kerjanya dan berusaha mengilhamkan pendekatan mendampingi pelajar mereka dengan cara yang kreatif dan inovatif.

“Kita harap guru tidak hanya tertumpu kepada tugas yang tersenarai dalam jadual kerja mereka. Jika mereka boleh mengemukakan cara-cara yang lebih inovatif, maka penilaian mereka adalah jauh lebih baik daripada guru yang tidak berinovatif,” katanya.

Kumpulan 50 orang graduan itu merupakan kohort sulung program anjuran Yayasan Teach yang dipilih daripada 900 pemohon.

Mereka adalah lulusan universiti antaranya Universiti Malaya, Universiti Help, Harvard University, University of Cambridge dan University of Melbourne.

Mereka akan ditempatkan di sekolah-sekolah tertentu dan mengajar sekurang-kurangnya selama dua tahun dalam usaha menghapuskan jurang pendidikan melalui kerjasama yayasan dengan kementerian serta sokongan beberapa syarikat korporat. – BERNAMA

Persoal ibadah korban boleh sentuh sensitiviti umat Islam : Muhyiddin – Bernama


Persoal ibadah korban boleh sentuh sensitiviti umat Islam : Muhyiddin

2011/11/08

KUALA LUMPUR: Tindakan sebuah NGO bukan Islam yang mahu ibadah korban tidak dilaksanakan di kawasan sekolah dan tempat awam tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia boleh menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini sedangkan rakyat pelbagai agama sudah lama hidup secara toleransi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya tidak fikir harus pandangan itu dikemukakan, mungkin ada salah faham. Ia mungkin boleh menyentuh sensitiviti amalan beragama. Di Malaysia ini, sejak berzaman kita telah lakukan, korban itu adalah tuntutan mengikut agama Islam.

“Ibadah korban dilakukan dengan cara dan peraturan dengan pekeliling oleh Jabatan Veterinar yang memerlukan kebersihan kawasan pelaksanaan korban dijaga untuk membolehkan daging korban diagihkan kepada fakir miskin supaya selamat dimakan,” kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas berdialog secara terbuka dengan 50 orang graduan yang terpilih menyertai program “Teach for Malaysia” di sini, hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) pada Jumaat lalu yang mahu amalan menyembelih lembu tidak diteruskan di kawasan sebegitu kerana mungkin menyentuh sensitiviti mereka yang beragama Hindu yang menganggap lembu sebagai satu binatang yang suci.

“Saya berharap janganlah menyentuh hal-hal sebegini, apalagi pihak itu yang bukan beragama Islam kerana mungkin mereka tidak memahami atau sengaja dibuat begitu supaya timbul masalah baru. Di Malaysia ini janganlah menambah lagi masalah sebegitu,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata ibadah yang dilakukan perlu mendapat kebenaran pihak yang menguruskan kawasan itu sebelum boleh dilaksanakan.

“Pihak yang melaksanakan korban itu pula mesti mendapatkan izin dulu, pihak pengurusan masjid benarkan ia boleh dilakukan itu sudah perkara biasa sejak dulu lagi.
“Orang Hindu di Malaysia ini sudah faham, dalam surat khabar dan televisyen sudah dipaparkan mereka sudah faham amalan itu. Kita di Malaysia sudah mengamalkan amalan saling menghormati, kenapa hal sebegini dibangkitkan saya tidak fikir ia perlu,” kata Muhyiddin. – BERNAMA

Henti desak kerajaan isu PPSMI – Berita Harian


Henti desak kerajaan isu PPSMI

2011/11/08

KUALA LUMPUR: Individu, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini diminta segera menghentikan desakan kepada kerajaan berhubung isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana jika pelaksanaannya diteruskan ia boleh merugikan pelajar di kemudian hari.

Yang Dipertua Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata desakan mengikut emosi semata-mata tanpa mengkajinya lebih mendalam, bukan menggambarkan cara masyarakat bertamadun, sebaliknya terikut-ikut telunjuk sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan isu berkenaan.

“Keputusan pemansuhan itu harus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak kerana ia dibuat berdasarkan pertimbangan terbaik demi masa depan pelajar dan negara seluruhnya. Mahukah kita melihat anak-anak kita gagal dalam Matematik dan Sains jika terus dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris, walhal mereka (pelajar) tidak mampu menerima atau memahami bahasa berkenaan.

“Yang penting sekarang, pelajaran dan pembelajaran anak-anak perlu diutamakan. Jika pelajar lebih selesa dan faham Matematik serta Sains diajar dalam bahasa Melayu, apa salahnya kita memberi mereka peluang. Buat apa kita masih bertegas dengan PPSMI, tetapi keputusan diperoleh tidak setimpal atau menepati sasaran kita,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Perogol bukan orang minyak – Metro


Perogol bukan orang minyak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BENTONG: Polis menolak dakwaan kes lembaga hitam yang mengganggu gadis dan melakukan jenayah rogol serta pecah rumah di 20 kampung dan taman perumahan sekitar Ketari, di sini, dilakukan orang minyak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, berdasarkan laporan, lembaga terbabit adalah manusia biasa yang mahir dalam kegiatan pecah rumah dan merogol.
Sehubungan itu, katanya, tidak timbul jenayah orang minyak seperti dilaporkan penduduk kampung.

 

“Sejak awal tahun ini, polis merekod dua kes rogol membabitkan kanak-kanak lapan tahun dan remaja berusia 16 tahun yang berlaku pada Jun dan Oktober lalu serta satu kes pecah masuk di Kampung Gemeti, Ketari. “Hasil siasatan, suspek adalah orang biasa yang berpakaian gelap dan lengkap dengan jaket hitam,” katanya, semalam.

 

Aidiladha, kenduri kahwin muram tanpa ‘adik’ – Metro


Aidiladha, kenduri kahwin muram tanpa ‘adik’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: “Aidiladha kali ini dan kenduri kahwin anak pagi tadi (semalam) disambut dalam suasana muram serta sederhana kerana masih dihantui kejadian pembunuhan kejam ‘Adik’,” kata Nisa Abdul Karim, 47.

Nisa berkata, sebagai ibu, hatinya hancur luluh terutama apabila membayangkan penderitaan dan kesakitan terpaksa ditanggung anak bongsunya daripada lima beradik, Nur Shafiqa Ismail, 11, sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Katanya, tambah pilu, sehari sebelum Nur Shafiqa dilaporkan hilang, mangsa yang mesra dengan panggilan ‘adik’, sempat memberikan hadiah jam dinding kepadanya.

 

“Saya menangis setiap kali mengingati atau melihat jam dinding ini kerana ia hadiah pertama dan terakhir daripada adik. Aidiladha tahun ini sepatutnya disambut dengan meriah kerana majlis kenduri kahwin kakak adik dilangsungkan sekali.
“Bagaimanapun, semuanya berubah dengan kejadian menyedihkan ini. Lebih dikesali sehingga kini individu tidak berperikemanusiaan membunuh anak saya masih bebas,” katanya di sini, semalam.
Kehilangan Nur Shafiqa yang dilaporkan sejak 12 September lalu, terjawab berikutan penemuan mayat kanak-kanak hampir reput dengan kesan jerutan di leher di sebuah ladang sawit di Kati, Kuala Kangsar, kira-kira 50 kilometer dari sini, pada 26 September lalu.

 

 

Bagaimanapun keluarga mangsa terpaksa menunggu lebih sebulan sebelum boleh menuntut dan mengebumikan jenazah 28 Oktober lalu.
Nisa berkata, perkara itu disebabkan identiti mayat ditemui gagal dikenal pasti kerana keadaannya terlalu reput sehingga terpaksa dilakukan ujian asid deoksiribonukliek (DNA) untuk pengesahan.

 

Namun, dia tidak menaruh harapan tinggi keputusan DNA menunjukkan mayat itu bukan anaknya kerana selain mengecam pakaian mangsa adalah milik Nur Shafiqa, naluri ibunya kuat mengatakan ia mayat anak bongsunya.
“Saya mengecam pakaian baju kurung corak bunga, kain hijau dan selendang merah dipakai mangsa milik adik kerana saya memakaikan pakaian itu pada pagi hari sama dia dilaporkan hilang,” katanya.

Keluarga buntu Nur Ainina Adila belum pulang – Utusan


Keluarga buntu Nur Ainina Adila belum pulang

KULIM 7 Nov. – Hari Raya Aidiladha kali ini disambut muram oleh keluarga Mohd. Zuki Jahaya apabila anak perempuannya berusia 14 tahun yang hilang sejak 24 Oktober lalu masih belum pulang sehingga hari ini.

Mohd. Zuki, 47, dari Kampung Perenggang Lunas di sini, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan namun usaha mengesan anak bongsunya, Nur Ainina Adila Mohd. Zuki belum berhasil.

“Usaha seakan-akan menemui jalan buntu apabila tiada maklumat baru diperoleh daripada polis atau orang awam.

“Ada beberapa panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan menemui Nur Ainina Adila tetapi ia palsu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar pada 31 Oktober lalu, Mohd. Zuki melahirkan rasa bimbang berhubung kehilangan anaknya pada hari peperiksaan akhir tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas di sini.

Nur Ainina Adila dikesan datang ke sekolah pukul 11.25 pagi pada 24 Oktober lalu tetapi dilaporkan tidak memasuki kelas.

Mohd. Zuki berkata, pada 1 November lalu, keluarganya menerima SMS daripada nombor telefon bimbit yang tidak dikenali menyatakan ‘Adik Selamat’ tetapi gagal menghubunginya semula.

“Selain itu, kami juga menerima panggilan daripada sepasang suami isteri yang mendakwa melihat kelibat anak saya di sebuah rumah bomoh di Batu Gajah, Perak.

“Pasangan suami isteri itu mendakwa mereka mengecam anak saya selepas melihat gambarnya tersiar dalam akhbar. Selepas itu, kami berusaha menjejakinya tetapi tidak berjaya,” katanya.

Dia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Perenggan membuat satu lagi laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, pada hari terbabit.

“Kami bimbang kerana tidak dapat pastikan maklumat mana sahih. Isteri saya, Hajar Othman, 44, pula kerap murung mengenangkan nasib anak kami,” katanya.

Orang ramai yang mengetahui atau menjumpai gadis itu diminta menghubunginya di talian 019-5253307 dan 019-5033091 (Hajar) atau balai polis berdekatan.