RM500 juta baiki 600 sekolah – Utusan


RM500 juta baiki 600 sekolah

 

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

 

MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan sebahagian daripada graduan cemerlang yang menyertai program Teach For Malaysia selepas sesi dialog di Mercu UEM, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

 

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kementerian Pelajaran akan membelanjakan sebahagian daripada peruntukan RM500 juta bagi membaiki segera 600 sekolah kebangsaan yang berada dalam keadaan usang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses baik pulih semua sekolah terbabit akan dilaksanakan mulai tahun hadapan bagi memastikan ia selamat diduduki dan mengelak mutu pembelajaran merosot akibat keadaan bangunan yang uzur.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, struktur fizikal setiap sekolah tersebut dikenal pasti selepas kementerian melakukan audit fizikal secara komprehensif buat pertama kali, ke atas semua sekolah di negara ini yang berjumlah 10,000 buah.

“Saya telah putuskan bahawa daripada RM500 juta yang diumumkan Perdana Menteri untuk penambahbaikan sekolah kebangsaan dalam Bajet 2012, sebahagian besar akan digunakan untuk membaiki sekolah yang begitu daif ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri mengadakan sesi dialog terbuka bersama 50 graduan universiti yang terpilih untuk menyertai Kohort Pertama Yayasan ‘Teach For Malaysia’ (Teach), di Mercu UEM, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin memberitahu, penjelasan berterusan mengenai keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dibuat tanpa henti bagi memastikan semua pihak tidak keliru.

Mengenai kekeliruan orang ramai terhadap kelonggaran yang diberi kepada kohort PPSMI untuk menggunakan bahasa Melayu dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, beliau berkata, ia bertujuan untuk memastikan proses pembelajaran tidak terganggu.

“Ibu bapa mempunyai pilihan sama ada untuk memilih sekolah lain atau kekal di sekolah sama. Kalau sekolah tersebut menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, kita akan menyediakan bilik darjah khas untuk sesi pembelajaran dalam bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, ketika sesi dialog tersebut Muhyiddin berkata, tanggungjawab seorang guru bukan sekadar mengajar mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan, sebaliknya perlu membentuk keperibadian dan pemikiran pelajarnya menjadi modal insan yang unggul.

Jelasnya, bagi mencapai matlamat tersebut, seseorang guru mesti sanggup bekerja melangkaui jadual dan berusaha mengilhamkan pendekatan inovatif dan fleksibel semasa mendampingi dan mendidik pelajar mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s