KUALA LUMPUR: Bermula bulan depan, ibu bapa kepada murid tahun enam yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepenuhnya boleh membuat semakan di mana-mana sekolah menengah berdekatan bagi mengenalpasti tempat belajar yang masih menyediakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mata pelajaran itu.
Pendekatan ‘soft-landing’ atau peralihan secara lembut itu dilaksanakan bagi memastikan sesi pembelajaran anak yang memasuki tingkatan satu tahun depan berjalan lancar serta tidak berlaku kejanggalan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa digalakkan membuat semakan itu terutama di minggu pertama atau kedua Disember ini di sekolah menengah berhampiran kediaman mereka.
“Kebiasaannya terdapat beberapa sekolah menengah di daerah tempat tinggal, jadi ibu bapa yang anak mereka mengikuti PPSMI sepenuhnya boleh membuat semakan sama ada sekolah itu masih meneruskan pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.
“Jika sekolah itu memulakan pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Melayu, sekolah memaklumkan tempat belajar yang mengajar mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris,” katanya pada program Soal Jawab bersama Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib di TV3 malam tadi.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pegawai pelajaran daerah dan pihak pengurusan sekolah sudah dimaklumkan mengenai perkara itu serta membantu ibu bapa mencari sekolah sesuai untuk anak mereka yang memasuki sesi persekolahan tingkatan satu.
“Pendekatan ini hanya dilaksanakan untuk murid yang mengikuti PPSMI sepenuhnya semasa di darjah enam manakala bagi mereka yang mempelajari matematik dan sains dalam bahasa Melayu, tidak ada sebarang masalah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang ditanya mengenai keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai pengganti PPSMI berkata, terdapat beberapa pendekatan diambil kerajaan selain penelitian terhadap kandungan kurikulum bagi memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah.
“Bagi saya, kita tidak berdepan masalah untuk memartabatkan bahasa Melayu, apa yang penting sekarang ialah kita mahu murid sekolah mahir berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris bukan sekadar tahu menjawab soalan matematik serta sains dalam bahasa asing tetapi tidak lancar bertutur.
“Kita tidak ada masalah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kerana mempunyai 47,887 guru bahasa Inggeris, satu jumlah yang mencukupi selain itu kita juga menawarkan peluang mengajar kepada guru yang sudah bersara, setakat ini 200 orang mengambil bahagian,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan akan mengambil 360 penutur jati dari negara seperti United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand yang bertindak selaku pemerhati kepada kaedah pengajar Inggeris di sekolah terpilih.
“Mereka hanya bertindak sebagai pemerhati, memberi pandangan dan nasihat berhubung cara pengajaran, tetapi bermula tahun depan, kita akan menempatkan 50 tenaga pengajar dari Fulbright English Teaching Assistantship di Amerika Syarikat (AS) sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah terpilih sebelum disusuli 200 lagi,” katanya.
Muhyiddin berkata, dalam tempoh setahun atau dua tahun mendatang, penguasaan bahasa Inggeris murid sudah boleh dinilai menerusi pendekatan itu dan berdasarkan kajian itu, kerajaan mungkin menjadikan bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan.
“Saya yakin kita mampu mencapai hasrat memastikan pelajar menguasai bahasa Inggeris, yang penting adalah komitmen serta sokongan guru, ibu bapa dan murid terhadap usaha yang dilaksanakan kerajaan,” katanya. Ditanya mengenai kajian terhadap Penyata Razak 1956, Muhyiddin berkata, laporan peringkat awal sudah diperolehi dan ada di antaranya dasar pendidikan itu memuaskan dan wujud juga kelemahan jika dibandingkan dengan negara maju.
“Kita mahu dasar pendidikan negara mampu mencapai matlamat melahirkan modal insan berkualiti, berakhlak mulia dan berilmu tinggi, keputusan kajian itu yang membabitkan pakar antarabangsa dan tempatan itu dijangka selesai dalam tempoh dua atau tiga tahun. Ia penting bagi memastikan kedudukan Malaysia setanding dengan negara maju,” katanya.