PAGE, JMM harap ada ruang teruskan PPSMI – Utusan


PAGE, JMM harap ada ruang teruskan PPSMI

Noor Azimah Abdul Rahim (kanan) dan Azwanddin Hamzah pada sidang akhbar berhubung isu PPSMI di Kuala Lumpur, semalam.

 

PETALING JAYA 9 Nov. – Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi mengenal pasti sekolah-sekolah yang berpotensi dijadikan model cemerlang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, mereka boleh membantu dalam memberikan input daripada ibu bapa yang mahu memastikan masa depan terbaik untuk anak-anak mereka.

“Penangguhan pemansuhan program PPSMI secara totalnya pada 2021 dilihat dapat memberikan ruang dan masa kepada pihak-pihak tertentu untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai agenda kami demi memartabatkan bangsa Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, PPSMI adalah salah satu infrastruktur pendidikan yang mampu menyiapkan bangsa Malaysia untuk berdepan dengan teknologi masa depan.

“Bagi membentuk generasi akan datang, keperluan penguasaan ilmu khusus dalam bidang teknologi adalah sangat penting.

“Dengan peredaran masa yang tidak menunggu sesiapa, PPSMI dilihat mampu mempercepatkan proses pencapaian ilmu setanding dengan negara-negara lain,” katanya.

Ibu bapa diminta semak status sekolah anak Disember ini – Utusan


Ibu bapa diminta semak status sekolah anak Disember ini

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Ibu bapa murid tahun enam yang mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun ini, diminta menyemak status sekolah menengah anak mereka lebih awal mulai bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan awal itu bertujuan untuk memastikan murid tahun enam program PPSMI tidak tersalah pilih sekolah menengah kerana tidak semua sekolah menengah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Menurut beliau, semakan awal mampu memudahkan pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mencari sekolah menengah di kawasan perumahan murid terbabit yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bagi memastikan pembelajaran tidak terganggu.

“Langkah ini bagi melicinkan sistem peralihan dan ia hanya membabitkan pelajar tahun enam bagi tahun ini. Sebab itu untuk menentukan proses peralihan ini berjalan lancar, saya sudah mengarahkan Kementerian Pelajaran mengambil langkah awal mulai bulan depan.

“Jadi kita minta ibu bapa semak sekolah anak mereka lebih awal. Pihak PPD akan memaklumkan sekolah menengah mana di sekitar kediaman mereka yang mempunyai sesi pengajaran yang sesuai dengan anak mereka,” katanya semasa ditemubual pada programSoal Jawab di Sri Pentas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, bagi murid tahun dua dan pelajar tingkatan dua pada tahun ini, mereka tidak mempunyai masalah untuk memilih bahasa pengantar bagi pengajaran serta pembelajaran Sains dan Matematik kerana ia tidak melibatkan pertukaran sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin sekali lagi menafikan keputusan pemansuhan PPSMI adalah keputusan ‘flip-flop’ kerajaan kerana jelasnya, kajian terperinci sudah dilaksanakan sekian lama dengan mengambil kira semua pandangan sebelum keputusan dimuktamadkan.

Malah katanya, keputusan kepimpinan terdahulu melaksanakan PPSMI juga sebenarnya bertujuan murni iaitu bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah tetapi malangnya ia tidak memberi hasil sebagaimana diharapkan, menyebabkan ia terpaksa dihentikan.

Pendidikan: Masih ada kekurangan modal insan – Utusan


Pendidikan: Masih ada kekurangan modal insan

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau hanya berpuas hati dengan sebahagian daripada pencapaian keseluruhan sistem pendidikan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sistem pendidikan negara masih mempunyai kekurangan sehinggakan pencapaian modal insan dalam beberapa aspek agak ketinggalan berbanding negara jiran.

”Kesimpulan tersebut dibuat berdasarkan laporan awal jawatankuasa penilai yang dipertanggungjawabkan bagi mengkaji semula sistem pendidikan negara,” katanya ketika ditemubual dalam program Soal Jawab di Sri Pentas di sini, hari ini.

Namun, tegas beliau, walaupun hanya berpuas hati dengan sebahagian daripada pencapaian tersebut, ia tidak bermakna sistem pendidikan negara tidak bagus kerana sistem yang sama sudah melahirkan jutaan pakar.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci kandungan laporan tersebut kerana katanya, ia masih di peringkat penilaian awal.

“Ada yang saya puas hati dan ada yang saya tidak berpuas hati. Maksud saya, kita sudah mencapai kejayaan dalam beberapa bidang, tetapi ada juga kelemahan dan kekurangan berbanding dengan negara jiran.

“Umpamanya, kita agak ke belakang berbanding Finland dan beberapa negara maju lain yang sudah ke depan. Kita masih di peringkat pertengahan dan sebab itu kita perlu angkat kedudukan kita agar sama dengan mereka.

“Ini tidak bermakna sistem kita tak baik. Sistem kita baik tetapi tidak cukup baik sebab itu saya mengarahkan sistem ini dikaji semula,” katanya.

Tambah Muhyiddin, dalam usaha mengangkat kedudukan sistem pendidikan negara, kerajaan memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai langkah awal.

Jelasnya, selain bertujuan menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dasar baru tersebut diyakini mampu memperkasakan lagi modal insan negara.