KUALA LANGAT: Bayaran bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negara ini seperti yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012, akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing serta- merta.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi pelajar di Sabah dan Sarawak, bayaran dibuat selewat-lewatnya minggu depan.
Bagaimanapun, bantuan persekolahan itu disalurkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima, dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.
Sementara pelajar tahun satu dan tingkatan satu sesi persekolahan 2012, pembayaran bantuan persekolahan dibayar pada Januari tahun depan bagi memastikan pelajar mendaftar di sekolah masing-masing bagi memudahkan pembayaran, kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.
“Bila (pelajar tahun satu dan tingkatan satu) masuk sekolah, baru bayar. Kalau bayar awal, takut ada perubahan sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Menteri Pelajaran bersama warga pensyarah dan pelajar matrikulasi Kolej Matrikulasi Selangor di kolej itu di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, pembayaran bantuan itu dibuat terus kepada akaun sekolah masing-masing melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), dan bagi sekolah yang tidak ada akaun BSN mereka bersetuju membuka akaun sementara.
Beliau berkata, sekolah akan menguruskan pengagihan wang itu kepada ibu bapa atau pelajar. Katanya, lebih lima juta pelajar menerima bantuan itu, termasuk 5,061,574 pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah bantuan kerajaan dan 313,373 pelajar sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri.
Seramai 125,465 pelajar sekolah persendirian dan 32,235 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) layak menerima bantuan itu.
Muhyiddin berkata, semua pelajar layak mendapat bantuan persekolahan RM100 seorang tanpa mengira latar belakang keluarga bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak-anak mereka masuk sekolah.
Menyentuh mengenai elaun bulanan pelajar matrikulasi yang kini hanya RM250 sebulan, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan menaikkan elaun tersebut.
Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan, dan pada dasarnya dipersetujui selepas mengambil kira kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
“Kalau kami hendak ikut bayaran yang dibayar di sesetengah pra-sekolah lain iaitu kira-kira RM400 (dan) kami perlukan peruntukan sebanyak RM50 juta. “Ini kita akan teliti kalaupun tidak naikkan ke kadar yang sama, tetapi kita akan tingkatkan (elaun) dan jumlahnya kita tetapkan tidak berapa lama lagi,” katanya.
Ditanya mengenai jaminan pelajar lepasan matrikulasi mendapat tempat di universiti berikutan universiti mempunyai program pra-universitinya sendiri, Muhyiddin mengakui wujudnya persaingan kerana kewujudan program pra-universiti tidak dimaklumkan kepada Kementerian Pelajaran.
Beliau memberi jaminan membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan perancangan lebih teliti dibuat dalam usaha memastikan lepasan matrikulasi mendapat tempat di universiti dan mendapat kursus yang diingini.
Muhyiddin dalam pada itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira yang maut akibat ditetak di luar rumah sewanya di Malang, Jawa Timur, Indonesia pada Isnin lepas.