‘Bersyukur kini boleh membaca’ – Berita Harian


‘Bersyukur kini boleh membaca’
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

2011/11/11

SIMPANG DURIAN: Walaupun tidak lancar, Zarina Among, 33, gembira kerana kini mengenal huruf, boleh membaca serta mengira dan berharap pengetahuan baru itu akan dapat membantu kemajuan akademik anaknya.

Wanita dari Kampung Tekir, Seremban itu adalah 300 Orang Asli seluruh negeri ini yang sebelum ini buta huruf dan angka, tetapi berubah selepas mengikuti Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP).

“Saya memang tidak boleh membaca dan mengira, tetapi berazam untuk berubah kerana sedih tidak dapat menolong anak-anak yang meminta bantuan untuk menyelesaikan kerja sekolah.

“Semua peserta KEDAP bertuah kerana hasil bimbingan guru sepanjang kursus selama 75 hari, kami kini mempunyai kemahiran membaca, menulis dan mengira,” katanya yang mempunyai tiga anak berumur antara satu hingga 11 tahun.

Zarina ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil KEDAP kepada 300 ibu bapa Orang Asli oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra di sini, semalam.

KEDAP yang diperkenalkan pada 2008 oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli adalah program khas untuk membasmi buta huruf dan angka di kalangan ibu bapa Orang Asli. Peserta mengikuti kelas selama 75 hari di 10 sekolah seluruh negeri ini dan menerima elaun kehilangan pendapatan sebanyak RM15 sehari.

Moy Mokey, 41, dari Kampung Sungai Sampo, Jempol, berjanji tidak akan mensia-siakan kemahiran barunya dan akan meminta anak-anaknya yang berusia sembilan hingga 15 tahun membantunya.
“Saya harap kelas seperti ini dapat diteruskan bagi membolehkan kami mempertingkatkan kemahiran bahasa dan mengira,” katanya.

Selain itu, dia mencadangkan kelas bahasa Inggeris diperkenalkan supaya ibu bapa dapat membantu anak-anak dalam pelajaran itu di sekolah.

Guru Orang Asli SK Putra, Ayof Ekal, pula berkata, banyak cabaran dihadapinya untuk mengajar golongan dewasa Orang Asli menguasai bahasa dan mengira.

Sebagai permulaan, katanya bahasa Orang Asli digunakan dengan mereka sebelum diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

“Sebagai Orang Asli, saya dapati cara ini lebih memudahkan mereka faham. Walaupun tidak dapat menguasai kemahiran asas 100 peratus, tetapi mereka sentiasa bersungguh-sungguh ketika belajar dalam kelas,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s