Peningkatan jumlah pesakit mental di Malaysia selari ramalan WHO – Bernama


Peningkatan jumlah pesakit mental di Malaysia selari ramalan WHO

2011/11/12

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah pesakit mental di Malaysia kini dilihat selari dengan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa beban penyakit berkenaan akan meningkat 16 peratus menjelang 2020, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin hari ini.

Katanya, sebanyak 400,227 pesakit mental menjalani rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun lalu dan jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 15.6 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Kita mengenal pasti salah satu jenis penyakit mental yang paling membimbangkan ialah kemurungan dan dijangka penyakit itu paling tinggi dihidapi oleh rakyat Malaysia selepas penyakit jantung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesihatan dan Kecergasan Rohani dan Jasmani di Hospital Queen Elizabeth di sini.

Rosnah juga berkata, Kementerian Kesihatan sedang memberi fokus kepada aktiviti mempromosi minda sihat dan penjagaan mental, termasuk pelaksanaan aktiviti menangani tekanan di kalangan pelajar selama enam bulan di beberapa sekolah.

Katanya, sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah St Michael di Penampang, Sabah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi (Seberang Perai, Pulau Pinang), SMK Simpang Bekoh (Jasin, Melaka), SM Sains Teluk Intan (Perak) MRSM Gemencheh (Negeri Sembilan) dan SMJK Katholik (Petaling Jaya).

Katanya, aktiviti yang dijalankan di sekolah berkenaan ialah meningkatkan kemahiran daya tindak pelajar untuk menangani tekanan dan turut membabitkan ibu bapa dan pihak sekolah.

Beliau berkata, aktiviti itu akan diperluaskan ke semua sekolah tidak lama lagi. – BERNAMA

Hasrat makan mi kuah daging korban tak tercapai – Metro


Hasrat makan mi kuah daging korban tak tercapai

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TASEK GELUGOR: “Pada Aidiladha lalu, arwah ada minta ibunya memasak mi kuah hasil daging korban yang diterima tetapi ibunya berjanji akan memasaknya selepas arwah pulang dari rombongan ke Kuala Lumpur,” kata bapa saudara Maysarra Zaidi, 15, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, pagi semalam.

Mazly Abdullah, 37, berkata, anak saudaranya itu teringin menikmati mee kuah ketika mereka sekeluarga bersama saudara mara berkumpul di rumah bapanya di Kampung Padang Menora, di sini, sempena sambutan Aidiladha, minggu lalu.
“Pada masa itu Maysarra bersungguh-sungguh meminta ibunya yang juga kakak saya memasak mee kuah namun tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan itu.

 

“Saya sedih dan terkejut apabila menerima panggilan daripada ahli keluarga di Kulim kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Menora, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, sekumpulan 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terbabit dalam kemalangan menyebabkan empat maut dan lima parah.
Mangsa yang maut ialah Ketua Wanita Umno cawangan Alor Teja, Kedah, Basarah Saad, 45; guru, Siti Hajar Mohamed, 33, dan dua pelajar, Khairul Anwar Azhan, 15, serta Maysarra.

‘Cepat keluar!’ – Metro


‘Cepat keluar!’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TELUK INTAN: “Sejurus bas yang kami naiki terbalik merintangi lebuh raya, saya cepat-cepat mengarahkan pelajar keluar segera dari dalam bas, namun tergamam apabila bas kami dirempuh sebuah kenderaan lain dari arah belakang,” kata guru, Rosilawati Mat Riffin, 40.

Rosilawati adalah antara tujuh penumpang bas persiaran sewa khas dinaiki rombongan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah yang terbalik serta meragut empat nyawa dalam nahas awal di Kilometer 382 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Selatan, di sini.
Guru berkenaan kini dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) kerana mengalami patah kaki kanan dan bahu kiri bersama beberapa pelajar lain termasuk seorang guru.

 

Menceritakan detik cemas itu, Rosilawati berkata, dia terjaga daripada tidur selepas bas dinaiki terbalik sebelum mengarahkan pelajar keluar segera dari bas.
“Bagaimanapun belum sempat pelajar keluar dari bas, tiba-tiba sebuah lori meluru datang sebelum melanggar bas kami mengakibat saya terpelanting dan pengsan.
“Ketika kejadian, saya sedang duduk di barisan kedua hadapan bas manakala, arwah Siti Hajar berada di barisan tempat duduk belakang saya,” katanya ketika ditemui di HTI di sini semalam.

 

 

Katanya, sejurus bas terbalik, dia dipimpin beberapa pelajar dan guru keluar dari bas itu.
Rosilawati berkata, dia juga sempat melihat arwah Siti Hajar membantu mengeluarkan saki baki penumpang yang terperangkap dalam bas namun, tidak menyedari bila arwah masuk semula ke dalam bas itu.

 

“Saya dan arwah (Siti Hajar) asyik berbual sejak bas mula bertolak dari Kulim malah, arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi pernah memberitahu saya mahu membeli- belah di Kuala Lumpur,” katanya.
Suami Rosilawati, Sarikhuddin Mahmood, 46, berkata, dia pada mulanya tidak setuju melepaskan isterinya mengikuti rombongan itu dengan menaiki bas kerana bimbang mengenai laporan kekerapan nahas membabitkan kenderaan itu akhir-akhir ni.
“Saya akhirnya mengalah dan terpaksa membenarkan dia pergi. Saya bersyukur kerana isteri tidak mengalami kecederaan parah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa cedera, Idzny Haikal Khairul Shah, 5, yang juga anak kepada guru SMK Air Merah, Azriahani Ahmad, 31, patah kaki kanan dan keadaannya kini stabil.
Bapa kanak-kanak itu, Khairol Shah Othman, 31, pensyarah di Politeknik Tuanku Sultanah Bahihah, Kulim, berkata, anaknya masih lagi trauma dan sering menangis selepas kejadian itu.
“Saya menerima panggilan daripada isteri kira-kira jam 5.15 pagi yang memaklumkan kejadian itu. Dia memaklumkan hanya mengalami cedera ringan manakala, Idzny mengalami patah kaki,” katanya.

Tertimbus 20 minit – Metro


Tertimbus 20 minit

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SLIM RIVER: “Saya hampir mati lemas apabila seluruh tubuh ditimpa pasir sejurus treler yang melanggar bas kami naiki terbalik. Ketika itu saya hanya memikirkan akan mati sambil teringatkan wajah ibu.”

Demikian kata Farhana Nabila Rosidi, 15, yang ibarat mati hidup semula selepas bas dinaikinya terbalik sebelum dirempuh treler membawa pasir di Kilometer Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, di sini, jam 4.45 pagi semalam, mengakibatkan empat terbunuh.
Farhana berkata, selepas bas dinaikinya terbalik, dia cuba keluar namun tidak sempat kerana ditimbus pasir yang dibawa treler yang merempuh bas.

 

“Saya hanya mampu menjerit meminta tolong sambil cuba keluar dari timbunan pasir yang menenggelamkan hampir seluruh tubuh. Namun saya tidak berdaya dan hampir lemas akibat ditimbus pasir. “Ketika itu keadaan amat kelam-kabut, namun mujur beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang tiba ke lokasi kejadian nampak saya dan terus menggali timbunan pasir.
“Saya ditarik keluar oleh dua anggota JPAM. Walaupun masih dalam keadaan lemah namun saya bersyukur kerana terselamat dan hanya terseliuh tumit kaki dan calar di pipi,” katanya ketika ditemui wartawan di luar wad kecemasan Hospital Slim River (HSR) semalam.
Menurutnya, sebelum rempuhan lori itu berlaku, dia sempat mendengar jeritan amaran supaya semua pelajar melarikan diri dari lokasi kejadian.

 

 

“Bagaimanapun saya tergamam dan tidak sempat mengelak sebelum ditimbus pasir berkenaan. Saya terkambus hampir 20 minit,” katanya.
Sementara itu dua anggota JPAM yang menyelamatkan mangsa, Hisarizul Abdullah dan Nurizam Md Said bersyukur kerana dapat menarik keluar mangsa.

Tragedi 11.11.11 – Metro


Tragedi 11.11.11

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SLIM RIVER: Tarikh unik 11.11.2011 yang mahu diraikan sekumpulan 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, dengan mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila seorang guru pengiring dan dua pelajar maut dalam kemalangan ngeri awal pagi semalam.

Nahas jam 4.45 pagi itu turut meragut nyawa Ketua Wanita Umno cawangan Alor Teja, Kedah, Basarah Saad, 45, yang mulanya cuba mahu membantu kumpulan pelajar berkenaan.
Kebanyakan mangsa yang maut ditemui tersepit di bawah bas sejurus kenderaan itu dirempuh treler berhampiran Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang, di sini.

 

Difahamkan semua pelajar terbabit mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini dan dalam perjalanan melawat destinasi pelancongan di ibu kota Kuala Lumpur selain pusat peranginan Genting Highlands.
Bas persiaran dinaiki pelajar sekolah itu dipercayai hilang kawalan selepas mengambil satu selekoh sebelum terbabas dan terbalik di bahu lebuh raya.
Ketika kebanyakan mangsa cuba merangkak keluar dari bas terbalik itu, sebuah treler membawa guni berisi pasir yang gagal mengelak beberapa minit kemudian merempuh bas berkenaan.

 

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Md Tahir Kasim berkata, tiga warga SMK Air Merah yang terbunuh dalam nahas jam 4.45 pagi itu ialah Siti Hajar Mohamed, 33 (guru), dan dua pelajar, Khairul Anwar Azhan, 15, dan Maysarra Zaidi, 15.
Menurutnya, nahas berlaku apabila bas dinaiki pelajar dan guru berkenaan terbalik sebelum dirempuh sebuah treler yang datang dari belakang ketika mangsa berusaha menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu penumpang dan cermin hadapan bas.

 

Katanya, Khairul Anwar, Maysarra dan Basarah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Siti Hajar menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Slim River (HSR). “Akibat kemalangan itu, kaki kiri Siti Hajar putus sebelum ditemui di lokasi kejadian jam 10.20 pagi semalam,” katanya.
Md Tahir berkata, kemalangan itu turut menyebabkan tujuh penumpang lain parah iaitu dua guru, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan Azriah Hani, 31 serta empat pelajar, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, Mohd Azim Dahalan, Moha Faisal Anuar dan Mohammad Shariffuddin, semua berusia 15 tahun.

‘Emak sempat beri RM20’ – Metro


‘Emak sempat beri RM20’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: “Emak sempat memberi wang RM20 untuk digunakan kami sebelum menaiki bas, tetapi tidak sangka pula ia pemberian terakhirnya apabila pergi buat selama-lamanya selepas terbabit dalam kemalangan.”

Begitu kata Muhammad Iqmal Roslan, 16, anak sulung daripada tiga beradik yang kini bergelar yatim piatu selepas ibu mereka, Basarah Saad, 45, maut dalam kemalangan di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Behrang, Perak, awal pagi semalam.
Ketiga-tiga beradik itu kehilangan bapa mereka, Roslan Bukhari akibat penyakit buah pinggang lima tahun lalu.

 

Muhammad Iqmal berkata, dia bersama dua adiknya, Muhammad Kamil Rizwan, 14, dan Muhammad Kamil Razwan, 13, menghantar ibu mereka dengan menaiki kereta dipandu sepupu ke tempat berkumpul di Mergong, dekat sini, kira-kira jam 8 malam.
Menurutnya, dia bersama adiknya sempat bersalam dan memeluk ibu mereka dan berada di kawasan itu selama 10 minit sebelum disuruh pulang ke rumah di Kampung Alur Teja, Tajar kerana sudah malam.

Abang terkilan – Metro


Abang terkilan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SLIM RIVER: “Saya hanya sempat memberi adik wang saku RM50. Saya tidak sangka ia ‘hadiah’ terakhir saya kepadanya,” kata Zuhairi Azahan, 21, selepas mengetahui adik lelakinya, Khairul Anwar Azhan, 15, maut dalam kemalangan bas persiaran itu.

Menurutnya, dia terkilan kerana tidak dapat menghantar adiknya menaiki bas persiaran terbabit malam kelmarin berikutan bekerja di pasar raya berhampiran Kulim, Kedah.
“Saya berat untuk melepaskannya bagi mengikuti rombongan sekolah berkenaan ke Kuala Lumpur. Namun dia beriya-iya mahu mengikuti rombongan itu.

 

“Hajatnya itu sudah disampaikan kepada keluarga sejak hampir sebulan lalu dan saya tidak sampai hati apabila melihat dia beriya-iya mahu mengikuti rombongan berkenaan,” katanya ketika ditemui di luar bilik mayat Hospital Slim River, semalam.
Menurutnya, Khairul yang juga anak kelima dari tujuh beradik cedera serius pada anggota tubuh dan kepala mengakibatkan kematiannya.
Difahamkan ayah mangsa, Azhan Mohd Din, 40-an, Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Stesen Penguatkuasa Valdor, Pulau Pinang.

Lari motor perogol habis minyak – Metro


Lari motor perogol habis minyak

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEPANG: Malang berganda bagi seorang pelajar tingkatan tiga apabila dirogol dua lelaki yang baru dikenali di dua lokasi berasingan selepas pertemuan pertama mereka di Dengkil, dekat sini ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam, 28 Ogos lalu, pelajar berusia 15 tahun itu mengikut rakannya berjumpa teman lelaki rakannya itu berhampiran kedai serbaneka 24 jam di Taman Putra Permai, Seri Kembangan.
Mereka kemudian dibawa ke sebuah kedai makan di Dengkil dengan menaiki dua motosikal yang ditunggangi dua lelaki untuk minum bersama 10 lelaki lain dipercayai rakan lelaki berkenaan.

 

Selepas minum, mangsa dan rakannya dibawa ke sebuah taman yang tidak dapat dikenal pasti lokasinya, sebelum seorang lagi lelaki tiba ke lokasi berkenaan dengan menaiki motosikal berwarna hitam. Menurut sumber, ketika berada di taman itu mangsa ditarik seorang daripada 13 lelaki terbabit ke tempat gelap dan merogolnya.
Sumber berkata, selepas kejadian itu, lelaki yang menaiki motosikal berwarna hitam dan teman lelaki rakannya berjanji menghantar mangsa serta rakannya pulang ke rumah, tetapi kedua-duanya dibawa ke tempat lain secara berasingan.
“Mangsa tidak terus dibawa pulang, tetapi dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit dan dirogol lelaki terbabit. “Selepas itu, mangsa dihantar pulang ke rumah, tetapi dalam perjalanan motosikal milik lelaki terbabit kehabisan minyak berhampiran sebuah kedai perabot.

 

 

“Peluang itu digunakan mangsa untuk melarikan diri dan nasib menyebelahi gadis itu apabila terdapat anggota polis di kawasan berkenaan,” katanya.
Mangsa dibawa ke Balai Polis Dengkil untuk membuat laporan.

 

Bagaimanapun, difahamkan, mangsa sekali lagi membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya di sini, kelmarin.
Bertindak di atas laporan berkenaan, polis Putrajaya menahan seorang lelaki dipercayai suspek pada hari sama laporan dibuat.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan penahanan seorang daripada suspek terbabit.
Difahamkan, suspek direman enam hari sehingga Selasa ini untuk membantu siasatan.

MPS gempur penjaja jajan di pekarangan sekolah – Metro


MPS gempur penjaja jajan di pekarangan sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SITA...anggota penguat kuasa MPS menyita motosikal penjaja terbabit.
SITA…anggota penguat kuasa MPS menyita motosikal penjaja terbabit.

SELAYANG: Biarpun beberapa kali digempur Majlis Perbandaran Selayang (MPS), penjaja makanan ringan di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih, di sini, tetap aktif menjalankan perniagaan mereka kerana menerima permintaan tinggi daripada murid.

Dengan menggunakan taktik baru, penjaja mempamerkan jualan dalam but kereta, van, motosikal, menggantung jualan pada basikal dan menjaja sambil membimbit karung plastik besar.
Ketua Bahagian Pengurusan Penjaja Jabatan Pelesenan MPS, Mohd Zikry Zulkifle, berkata pihaknya menerima aduan ibu bapa yang tidak menyenangi kegiatan penjaja terbabit kerana menjual makanan ringan di luar perkarangan sekolah serta mengganggu lalu lintas di kawasan itu.

 

“Kami tidak mengeluarkan sebarang permit menjual makanan ringan di kawasan sekolah dan ia dilarang. Peniaga yang masih ingkar akan dikenakan denda kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan barang niaga disita,” katanya.
Dalam operasi itu, enam bakul dipenuhi pelbagai makanan ringan dirampas dan empat motosikal menjual aiskrim disita.
Tiga daripada empat peniaga aiskrim bermotosikal diserahkan kepada pihak imigresen kerana berniaga tanpa lesen dan tidak mempunyai permit sah.

RM100 sebelum cuti – Berita Harian


RM100 sebelum cuti
Oleh Nor Fariza Ramlan dan Norhidayah Che Din

2011/11/12

PENGAWAS Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail  (berdiri 
di belakang dari kiri)  Lim Chen Yao, Carlos Ruben Dourado, Walid Amry dan Shariffuddin, (depan) Puteri Mariam Diana Ahmad Mosadik  (kiri) dan Tufah Rasyidah Zakaria   menunjukkan wang RM100  mereka terima semalam.

PENGAWAS Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (berdiri di belakang dari kiri) Lim Chen Yao, Carlos Ruben Dourado, Walid Amry dan Shariffuddin, (depan) Puteri Mariam Diana Ahmad Mosadik (kiri) dan Tufah Rasyidah Zakaria menunjukkan wang RM100 mereka terima semalam.

Sekolah keluar pekeliling minta ibu bapa hadir

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan sekolah akan mengeluarkan surat pekeliling kepada setiap ibu bapa atau penjaga meminta mereka hadir pada tarikh ditetapkan bagi pengagihan wang bantuan persekolahan RM100 seorang yang diberikan kerajaan.

Pengagihan wang yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, akan diterima secara tunai oleh setiap pelajar dengan ibu bapa atau penjaga perlu hadir bagi menerimanya.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, berkata pengagihan secara tunai terus kepada ibu bapa atau penjaga juga yang terbaik bagi memastikan wang itu diterima dengan selamat dan telus.

“Prosedurnya juga mudah iaitu mereka menurunkan tandatangan dan nombor kad pengenalan bagi pengesahan penerimaan.

“Pengagihan itu juga dijangkakan dapat dibuat sebelum sesi pembelajaran tamat 18 November ini supaya ibu bapa dapat membeli keperluan pelajar bagi sesi persekolahan 2012,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengenai pemberian bantuan kepada kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah yang sudah mula disalurkan ke akaun sekolah masing-masing bermula kelmarin.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, pula berkata proses pengagihan patut diberi masa sehingga tiga hari bagi memastikan ibu bapa dapat mencari kelapangan untuk menghadirkan diri ke sekolah.
Sementara itu, ibu bapa dan pelajar yang ditemui semalam, mengalu-alukan pemberian itu yang disifatkan tepat masanya ketika ibu bapa memulakan perancangan perbelanjaan bagi sesi persekolahan akan datang.