KPM-PDRM bekerjasama agih bantuan persekolahan – Bernama


KPM-PDRM bekerjasama agih bantuan persekolahan

13/11/2011 3:29pm

 

SERDANG 13 Nov. — Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses pengeluaran dan pengagihan wang bantuan persekolahan RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar untuk menjamin keselamatan guru besar dan pengetua sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, guru besar dan pengetua yang diiringi guru-guru penolong kanan berkemungkinan menjadi sasaran penjenayah dan atas faktor keselamatan adalah lebih elok jika mereka diiringi polis untuk mengeluarkan wang daripada bank sehingga mengagihkan wang bantuan persekolahan di sekolah.

“Kita tidak mahu apa-apa (kejadian tidak diingini) berlaku dan sebab itu kita melakukan langkah-langkah pencegahan,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Warga KPM 2011 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di MAEPS di sini. — Bernama

PAS gesa kaji semula guru kerja 9 jam sehari – Harakahdaily


PAS gesa kaji semula guru kerja 9 jam sehari
KUALA LUMPUR, 13 Nov: PAS menggesa kerajaan mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan itu dilihat tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.

“Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama 9 jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja Pembelajaran dan Pengajaran.

“Malahan guru sudah menjadi “multi purpose” kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu Ambulan jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Idris, Kementerian Pelajaran sepatutnya mencari jalan untuk menyenangkan guru-guru supaya mereka berada di zon selesa, kerana di tangan mereka yang akan melahirkan modal insan yang berguna untuk masa akan datang.

“Mungkin ada orang cemburu kerana guru banyak mendapat cuti berbanding dengan mereka yang berada di pejabat. Tetapi perlu diingat tugas guru bukan sahaja di sekolah, malahan kerja mereka berterusan sehingga balik ke rumah. Kerana kerja latihan pelajar perlu diperiksa, persiapan mengajar perlu dibuat. Budaya ini berlainan dengan mereka yang bekerja di pejabat, selesai sahaja waktu pejabat ia tidak perlu dibawa balik ke rumah,” katanya lagi.

Kerajaan juga ujarnya perlu membanyakkan kemudahan dan membina banyak sekolah supaya mengurangkan bilangan pelajar di dalam sebuah kelas.

Banyak sekolah pada hari ini katanya dibina lebih 20 tahun dahulu dan sudah tidak mampu menampung pertambahan penduduk di sekitarnya sehingga suasana di dalam bilik kelas tidak lagi ada keselesaan kerana bilangan pelajar yanga begitu ramai.

Beliau menasihatkan kerajaan agar tidak jadikan guru sebagai makmal percubaan, sepertu sebelumnya ketika perlaksanaan PPSMI.

“Sekarang terdapat lambakan lebihan opsyen Sains dan Matematk seramai 26000 orang. Pihak Kementerian juga  perlu selesaikan masalah graduan Universiti Perguruan Sultan Idris yang tidak ada penempatan bertugas.

“Atas asas inilah maka Pakatan Rakyat menjanjikan RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberi mandat ke Putera Jaya. Ini sebagai penghormatan kepada guru-guru yang mendidik rakyat di negara ini,” katanya.

Warga kementerian juga perlu istirahat – Bernama


Warga kementerian juga perlu istirahat

2011/11/13

KUALA LUMPUR: Warga Kementerian Pelajaran yang memikul tugas berat dalam bidang pendidikan perlu juga beristirahat bagi mengurangkan tekanan akibat bebanan kerja, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika merasmikan Hari Bersama Warga Kementerian Pelajaran 2011 di Serdang dekat sini, hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, waktu istirahat perlu dimanfaatkan warga kementerian sebelum kembali menjalankan tugas masing-masing.

“Warga Kementerian Pelajaran begitu besar, setakat ini kita ada lebih 500,000 orang memikul tugas dalam bidang pendidikan yang amat penting bagi negara kita, jadi ini semua tanggungjawab amat besar kepada kita.

“Tetapi kita sebagai manusia, kena beristirahat kerana pemikiran dan tubuh badan kita ada had dan batasan untuk tanggung tekanan kerja kita, hal sebegini kita perlu ambil serius,” katanya.

Muhyiddin berkata, hubungan kekeluargaan yang baik antara ibu bapa dan anak di rumah mampu memberikan suasana yang tenteram serta aman sesuai untuk istirahat bagi meningkatkan produktiviti kerja.

“Produktiviti yang kita harap dapat kita curah dalam kerja kita tertakluk kepada suasana di rumah sesama keluarga juga hubungan baik dengan ibu bapa dan anak.

“Ini waktunya kita beristirahat kerana selepas ini kita akan kembali semula kepada tugas masing-masing,” katanya.
Muhyiddin yang tiba seawal jam 8 pagi ke majlis itu turut beramah mesra dan bersenamrobik bersama kira-kira 3,000 orang warga kementerian itu.

Selepas merasmikan majlis itu beliau meluangkan masa melihat pertandingan mewarna kanak-kanak dan mencuba permainan seperti boling buah kelapa, ‘golf putting’ dan ‘paintball’ selain melawat gerai pameran dan beramah mesra dengan empat kanak-kanak kurang upaya pembelajaran di gerai Bahagian Pendidikan Khas.

Muhyiddin dan isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang turut hadir juga menunjukkan bakat memasak asam pedas Muar ikan merah.

Pasangan itu yang mengambil masa kira-kira 30 minit memasak asam pedas itu mendapat sorakan serta tepukan gemuruh daripada mereka yang menyaksikan acara itu.

Setelah selesai dimasak, pelawak terkenal Abon kemudiannya mengumumkan bahawa asam pedas itu akan dilelong bermula dengan harga RM100 untuk tabung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kementerian Pelajaran.

Pengerusi Puspanita Kementerian Pelajaran, Datin Rohana Abdullah memenangi lelongan itu dengan harga RM600. – BERNAMA

Maysarra ingin jadi doktor – Metro


Maysarra ingin jadi doktor

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULIM: “Saya cuma terkilan kerana tidak dapat berjumpa arwah ketika isteri, Mazylina Abdullah, 35, menghantarnya di sebuah stesen minyak sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur kerana mempunyai urusan lain.

“Ketika di rumah saya tergerak untuk menghubunginya, tetapi entah macam mana saya terlupa hinggalah seorang jiran menghubungi saya memaklumkan bas dinaikinya terbabit kemalangan,” kata Zaidi Muhamad, 43, bapa kepada Maysarra, 15, yang maut dalam tragedi bas sekolah dirempuh treler membawa lima tan pasir di Kilometer 382, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Behrang, Perak, kelmarin.
Zaidi dari Taman Angsana, di sini, berkata dia sering bergurau dengan anak bongsunya dan terkilan kerana tidak dapat menghubungi Maysarra ketika dia bertolak ke Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Mazylina berkata, apabila bas bertolak jam 11.30 malam Khamis lalu, dia sempat melambaikan tangan dan tidak sangka itulah kali terakhir melihatnya.

 

Mazylina berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Hitam, di sini, itu tidak menunjukkan perubahan sikap dan tetap riang seperti biasa.
Katanya, arwah bercita-cita menjadi doktor sejak kecil lagi dan sebab itu dia sentiasa berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Mazylina berkata, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Menora, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

 

 

Turut maut dalam kejadian jam 4.45 pagi itu ialah pelajar sekolah berkenaan, Khairul Anwar Azhan, 15; guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33; dan Ketua Wanita Umno Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45.

Rombongan ikut prosedur – Metro


Rombongan ikut prosedur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Penganjuran rombongan sekolah terbabit mengikut prosedur ditetapkan, mustahil kementerian menetapkan larangan perjalanan pada waktu malam jika ia membabitkan pelajar sekolah,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika wujud tindakan susulan daripada Kementerian Pelajaran, termasuk merangka peraturan yang melarang perjalanan waktu malam di sekolah seluruh negara.
“Perjalanan dari Kedah sememangnya jauh dan mengambil masa lama untuk tiba di Kuala Lumpur.

 

“Kemungkinan pemilihan masa perjalanan itu dianggap bersesuaian kerana pada waktu itu tidak banyak kenderaan, selain boleh tiba lebih awal di ibu kota.
“Kita enggan menuding jari menyalahkan sesiapa selagi siasatan belum selesai.
“Jika ia membabitkan kelalaian manusia, kita akan mencari penyelesaian terbaik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

 

Selain menyatakan simpati, beliau berkata, pegawai Jabatan Pelajaran Kedah turun padang menziarahi keluarga mangsa.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Madya Dr Wong Shaw Voon berkata, pihaknya menjalankan siasatan bagi mengkaji punca nahas yang berlaku.

 

Beliau yang enggan mengulas lanjut kejadian berkata, pegawai daripada unit berkenaan dihantar ke lokasi kemalangan dan keputusannya akan diumumkan sebaik siasatan selesai.
“Kita kini menganalisis punca sebenar dan mengenal pasti langkah wajar bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.
“Siasatan akan dijalankan dengan mengambil kira semua sudut, sama ada faktor jalan atau kecuaian pemandu,” katanya ketika dihubungi.
Wong juga mencadangkan semua pengusaha bas ekspres dan pesiaran serta agensi pelancongan diwajibkan memberi latihan dan panduan keselamatan kepada pekerja masing-masing.

Selamat anak guru – Metro


Selamat anak guru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SLIM RIVER: “Saya mengakui masih trauma dengan kejadian itu, namun syukur kerana terselamat dalam nahas berkenaan,” kata saksi kejadian, Megat Mohd Hasbullah Megat Mohd Tahir, 15, yang juga mangsa nahas tragedi bas terbalik sebelum dirempuh treler, awal pagi kelmarin.

Nahas ngeri itu meragut empat nyawa, termasuk seorang guru dan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah ketika rombongan sekolah disertai 36 pelajar dan tiga guru itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands.
Megat Mohd Hasbullah berkata, dia tidak cedera dalam kejadian itu namun bersyukur kerana sempat masuk semula ke dalam bas ketika melihat sebuah treler menuju tepat ke arah basnya yang terbalik di sisi lebuh raya.

 

Menurutnya, dia pada mulanya keluar dari bas selepas diarahkan guru sambil memangku keluar kanak-kanak berusia lima tahun, Idzny Haikal Khairul Shah, iaitu anak kepada guru pengiring rombongan, Azriahani Ahmad, 31.
“Kanak-kanak itu tercampak di atas jalan raya dengan berlumuran darah di kepala serta masih bernyawa. Tanpa memikirkan keselamatan diri, saya meluru sebelum mendukung kanak-kanak lelaki terbabit yang meraung kesakitan sambil mencari ibunya.
“Saya mendukungnya dengan melalui longkang di tepi lebuh raya sebelum memujuknya supaya bertenang. Pada masa sama saya melihat darah terus mengalir dari kepalanya,” katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Slim River, di sini.

 

 

Megat berkata, dia cuba memujuk kanak-kanak itu memasuki ambulans bagi mendapatkan rawatan, namun mangsa menangis dan meronta.
“Seorang petugas perubatan meminta saya terus bercakap dengan mangsa bagi mengelakkan dia pengsan atau tidak sedarkan diri.

 

“Saya tidak henti-henti memujuknya supaya berhenti menangis,” katanya.

Pak Nil ingin tunai hasrat – Metro


Pak Nil ingin tunai hasrat

Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN, MOHD HUSNI MOHD NOOR, ANIZA ZAINUDIN, AZAHAR HASHIM dan MOHAMAD YATIM LATIP
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: “Kalau ada masa dan peluang, saya ingin sekali bertemu pelajar ini di sekolah mereka, sekali gus menunaikan hasrat mereka yang tidak kesampaian,” kata pengacara popular, Aznil Nawawi, 48, atau lebih dikenali sebagai Pak Nil ketika mengulas nahas bas terbalik yang meragut empat nyawa, termasuk pelajar sekolah dan guru, di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat Behrang, awal pagi kelmarin.

Pak Nil ketika dihubungi sedih dengan tragedi menimpa pelajar dan guru berkenaan, tambahan lagi mereka dikhabarkan turut merancang mengunjungi pusat penyiaran Astro di Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta menyaksikan siaran radio, Riuh Pagi di stesen radio Era FM.
Bagaimanapun, hasrat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah itu untuk menyaksikan ‘celoteh’ Pak Nil dengan lebih dekat di konti tidak kesampaian apabila sebuah daripada bas membawa rombongan pelajar dan guru itu terbabit nahas.

 

Pak Nil berkata, jika ada rezeki, beliau mahu ke sekolah berkenaan untuk menunaikan hasrat pelajar berkenaan, selain memulihkan kembali semangat mereka disebabkan trauma akibat kejadian itu.
Katanya, kebanyakan pelajar ini masih trauma dengan kejadian dan berharap kunjungannya kelak sedikit sebanyak dapat mengubat kesedihan yang menimpa rakan sekolah dan guru mereka yang terkorban dalam nahas itu.
“Saya mengakui setiap kali musim sekolah, ada saja rombongan sekolah datang melawat kami di konti dan saya secara peribadi seronok dengan kedatangan mereka.

 

 

“Ada kalanya saya keluar sekejap dari konti radio dan melayan pelajar ini, termasuk bergambar bersama mereka. Saya juga berpeluang memberi nasihat dan panduan kepada mereka (pelajar).
“Itu perkara yang sering saya lakukan bagi menyambut ketibaan rombongan sekolah di radio kami,” katanya.

 

Menurutnya, kebanyakan pelajar sekolah teruja untuk berjumpa Pak Nil dan berpeluang melihatnya dengan lebih dekat ketika mengendalikan siaran radio di Era.
Pak Nil berkata, beliau mewakili seluruh rakan kerja di Astro dan radio Era ingin mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar dan guru yang terbabit nahas.
Sementara itu, pelajar yang terbabit nahas, Nor Syazwani Azizan, 15, dari Kampung Ceti, Kulim berkata, dia terkilan kerana tidak memenuhi impiannya untuk lihat konti radio Era dari dekat selain menyimpan hasrat berjumpa Pak Nil.
Nor Syazwani yang patah tangan kiri mengumpul wang saku sejak sebulan lalu selain diberi wang oleh ibunya RM155 untuk mengikuti program lawatan sambil belajar itu.
“Lawatan ke Astro antara agenda yang dinanti-nantikan kebanyakan pelajar kerana mahu melihat pusat penyiaran yang menghasilkan pelbagai rancangan popular, termasuk Maharaja Lawak, Sehati Berdansa dan Akademi Fantasia.
“Saya hampa kerana tidak berpeluang ke sana (Astro), malah kebanyakan rakan juga kecewa selain terpaksa pulang ke Kulim selepas lawatan dibatalkan,” katanya.
Rakan Nor Syazwani, Farhana Adila Ramli, 15, juga dukacita dan kecewa kerana tidak meneruskan lawatan Kuala Lumpur, Astro dan Genting Highlands.
Dalam kejadian itu, empat maut iaitu dua pelajar, Khairul Anwar Azhan, 15; Maysarra Zaidi, 15; guru, Siti Hajar Mohamad, 33 dan Ketua Wanita Umno Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45.
Tujuh lagi dikatakan cedera kritikal dan separa kritikal iaitu dua guru, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan Aziah Hani, 31; empat pelajar, Abdul Rahman Daniel Abdul Ghani, 15; Mohd Azim Dahalan, 15; Mohd Faizal Anuar, 15; Mohammad Shariffuddin, 15 dan anak Rosilawati, Idzmi Haikal Khairul Shah, 5.

Usaha tak sia-sia – Metro


Usaha tak sia-sia

Oleh ARDYHANSAH AMAT
ardyhansah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Usaha membawa penyokong satu bas tidak sia-sia apabila berjaya menyuntik semangat Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus Convent dari Johor Bahru untuk menjuarai pertandingan Who’s The Genius? Cabaran Nasional 2011, di sini, semalam.

Sekolah mewakili Zon Selatan itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala tiga pelajarnya, Nurul Iman Athirah Ahmad Fauzi, Ungku Eisya Ereena Ungku Mohd Shahrin dan Diyanah Nasir masing-masing berumur 12 tahun, mendapat RM3,000.
Bagi Nurul Iman, semangat berpasukan serta tidak mudah berputus asa menjadi kunci utama kemenangan mereka.

 

“Kami banyak mengadakan ulang kaji serta latihan menjawab soalan bersama-sama guru pembimbing. Selain itu, ibu bapa banyak mendorong, termasuk membantu mendapatkan maklumat menerusi Internet.
“Memang kami tidak menjangkakan akan menang memandangkan peserta dari sekolah lain juga tidak kurang hebatnya,” katanya.
Dengan kemenangan itu, SK Infant Jesus Convent mengalahkan tiga sekolah lain iaitu SK Sungai Duri, Seberang Prai Selatan di tempat kedua, SK St Paul, Seremban (ketiga) dan SK Kerteh, Terengganu (keempat).

 

 

Pertandingan anjuran Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) itu bermula sejak Mei lalu membabitkan 100 sekolah rendah di empat zon sekitar Semenanjung Malaysia.
Kemudian empat pemenang di setiap zon pula bertanding di peringkat akhir yang berlangsung di Jusco AU2, Setiawangsa.

 

Pengurus jenama Dutch Lady, Quah Ye Vian berkata, pertandingan itu kali pertama dianjurkan pihaknya bertujuan mengasah pemikiran kreatif di kalangan peserta.

Tiga remaja hadapi SPM ditahan rempuh sekatan – Metro


Tiga remaja hadapi SPM ditahan rempuh sekatan

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA
kalidevi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Niat belajar memandu di sekitar ibu negara membawa padah kepada tiga remaja bawah umur yang dicekup polis atas kesalahan merempuh sekatan jalanraya di Jalan Raja, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, tiga remaja lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dalam perjalanan dari Cheras menghala ke ibu kota dan memasuki Jalan Raja menuju ke Dataran Merdeka.
Ketua Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata ketika memandu memasuki jalan berkenaan, pemandu mengundur keretanya dengan tiba-tiba sebaik menyedari ada sekatan jalan raya.

 

Malangnya, kenderaan berkenaan melanggar sebuah kereta jenis Toyota Corolla di belakangnya.
“Lebih mengejutkan, kenderaan itu tidak berhenti di situ, sebaliknya memecut laju ke arah sekatan sebelum melanggar papan sekatan dan kon polis selain cuba melanggar anggota polis yang bertugas,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil usaha anggota U3K dan sebuah unit MPV yang berada di kawasan berdekatan, kenderaan berkenaan berjaya ditahan di persimpangan Jalan Raja Laut/Jalan Sultan Ismail dan tiga remaja itu berjaya dicekup.

 

 

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu tidak mempunyai lesen dan ketiga-tiga remaja itu tidak memiliki rekod jenayah.
Azmi berkata, tiga remaja itu dihantar ke Balai Polis Tun HS Lee untuk tindakan lanjut.

 

Dalam operasi dari jam 12.30 malam hingga 3 pagi itu, sebanyak 70 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal dan kereta serta tiga motosikal disita.
KUALA LUMPUR: Niat belajar memandu di sekitar ibu negara membawa padah kepada tiga remaja bawah umur yang dicekup polis atas kesalahan merempuh sekatan jalanraya di Jalan Raja, semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi, tiga remaja lelaki berusia 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dalam perjalanan dari Cheras menghala ke ibu kota dan memasuki Jalan Raja menuju ke Dataran Merdeka.
Ketua Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata ketika memandu memasuki jalan berkenaan, pemandu mengundur keretanya dengan tiba-tiba sebaik menyedari ada sekatan jalan raya.
Malangnya, kenderaan berkenaan melanggar sebuah kereta jenis Toyota Corolla di belakangnya.
“Lebih mengejutkan, kenderaan itu tidak berhenti di situ, sebaliknya memecut laju ke arah sekatan sebelum melanggar papan sekatan dan kon polis selain cuba melanggar anggota polis yang bertugas,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil usaha anggota U3K dan sebuah unit MPV yang berada di kawasan berdekatan, kenderaan berkenaan berjaya ditahan di persimpangan Jalan Raja Laut/ Jalan Sultan Ismail dan tiga remaja itu berjaya dicekup.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu tidak mempunyai lesen dan ketiga-tiga remaja itu tidak memiliki rekod jenayah.
Azmi berkata, tiga remaja itu dihantar ke Balai Polis Tun HS Lee untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi dari jam 12.30 malam hingga 3 pagi itu, sebanyak 70 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal dan kereta serta tiga motosikal disita.

Bapa rayu penceroboh tak rogol anak – Metro


Bapa rayu penceroboh tak rogol anak
Oleh NOR ADILA AB KADIR
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JEMPOL: Seorang bapa yang tidak mampu bergerak kerana sakit buah pinggang hanya mampu merayu kepada penjenayah yang cuba merogol anaknya dalam kejadian di Ladang Gaddes, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi Jumaat minggu lalu, lelaki berusia 36 tahun itu datang ke rumah keluarga terbabit dan berpura-pura ingin memberitahu perkara penting.
Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, ketika kejadian mangsa berusia 15 tahun berada bersama bapanya berusia 60-an manakala ibunya keluar bekerja.

 

Katanya, lelaki itu memberitahu ingin berjumpa mangsa, namun gadis itu dikatakan enggan membuka pintu kerana tidak mengenali suspek.
“Bagaimanapun, selepas terpedaya dengan tipu daya lelaki terbabit, mangsa akhirnya membuka pintu rumah sebelum suspek meluru ke arah mangsa dengan cuba memegang tangannya.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan dan gadis terbabit menolak suspek yang cuba merogolnya,” katanya di sini, semalam.

 

 

Menurutnya, bapa remaja itu pula tidak dapat membantu kerana tidak boleh bergerak, bagaimanapun mangsa akhirnya dapat melepaskan diri selepas menjerit.
Mohd Sabri berkata, jeritan itu menyebabkan suspek melarikan diri dan mangsa membuat laporan tidak lama selepas kejadian.

 

“Polis giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.