Lokasi nahas umpama ‘jerat maut’ – Utusan


Lokasi nahas umpama ‘jerat maut’

 

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

 

IPOH 12 Nov. – Kombinasi jalan lurus, beralun serta selekoh tajam curam menjadikan laluan Slim River-Behrang di Lebuh Raya Utara Selatan yang menjadi lokasi nahas bas dan treler mengorbankan empat nyawa semalam, adalah antara kawasan kemalangan paling berbahaya di negara ini.

Malah, Kilometer (KM) 375 lebuh raya itu yang hanya sejauh tujuh kilometer dari tempat kejadian semalam, adalah antara 10 ‘titik hitam’ atau kawasan paling kerap berlaku kemalangan terutamanya yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

Pengarah Bomba Perak, Yahaya Madis yang dihubungi Mingguan Malaysia hari ini mengakui, laluan tersebut umpama ‘jerat maut’ yang boleh mengundang kemalangan serius jika pemandu tidak peka terhadap keadaan jalan yang sukar dijangka itu.

”Pada satu-satu masa, pemandu mungkin berasa selesa di jalan lurus tetapi jika leka atau silap jangkaan, laluan curam dan berselekoh di sepanjang laluan itu mungkin mengundang kecelakaan.

”Insiden bas terbabas atau terbalik serta kemalangan melibatkan rempuhan kenderaan di laluan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan hakikat tersebut,” katanya.

Yahaya menegaskan, berdasarkan pengalaman pihaknya dalam mengendalikan beberapa kes kemalangan di kawasan itu sebelum ini, pemandu dipercayai terlalu selesa dengan laluan yang lurus tanpa menyedari selekoh serta laluan curam di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian terbaru pukul 4.20 pagi semalam, empat maut manakala 36 lagi cedera termasuk lima parah dalam tragedi menyayat hati melibatkan sebuah bas membawa 39 penumpang yang terbalik sebelum dirempuh treler di KM 382.1 lebuh raya tersebut.

Nahas berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah untuk bercuti ke Genting Highlands, kira-kira 87 kilometer dari tempat kejadian.

5 mangsa parah makin stabil – Utusan


5 mangsa parah makin stabil

IPOH 12 Nov. – Lima mangsa yang parah dalam nahas bas dan sebuah treler di Kilometer 382.1, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Behrang, semalam masih menerima rawatan rapi di hospital, namun keadaan mereka semakin stabil.

Tiga daripada mangsa, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan anaknya, Idzni Haikal Khairul Shah, 5, serta Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, 15, sedang dirawat di Hospital Teluk Intan.

Dua lagi mangsa, Mohammad Sariffuddin, 15, dan Mohd. Azim Dahlan, 15, menerima rawatan di Hospital Slim River.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, dua mangsa yang cedera ringan dalam kemalangan itu telah dibenarkan keluar dari hospital pagi ini.

Mereka ialah Mohd. Faizal Anuar, 15, yang keluar dari hospital pukul 10 pagi dan Azriah Hani Ahmad, 31, pada pukul 11.30 pagi.

“Setakat ini, kita sudah mendapatkan beberapa keterangan daripada mangsa. Selebihnya (yang parah) kita akan dapatkan kemudian,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Maysarra mangsa nahas, antara pelajar cemerlang – Utusan


Maysarra mangsa nahas, antara pelajar cemerlang

KULIM 12 Nov. – “Saya reda dengan ketentuan ini tetapi hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana hancurnya hati apabila kehilangan anak,” kata Mazlina Abdullah, ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam tragedi ngeri bas rombongan dirempuh treler di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Behrang, Perak, semalam.

Mazlina berkata, apa yang memilukan adalah anak bongsunya itu, Maysarra Zaidi, 15, merupakan seorang pelajar yang pintar dan bercita-cita untuk menjadi doktor.

Mazlina, 37, seorang suri rumah memberitahu, dia masih teringat suara anaknya bergurau-senda sebelum menyertai rombongan sekolah ke ibu negara, malam kelmarin.

“Dia memang budak yang rajin belajar dan sering mendapat keputusan cemerlang. Malah, baru-baru ini pun dia dapat 8A dalam peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Maysarra memang menanam impian sejak kecil untuk menjadi doktor. Dia sudah membuat persiapan hendak masuk kelas Sains. Namun, segala hasratnya tidak menjadi kenyataan kerana dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Angsana di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi semalam, empat maut manakala 36 lagi cedera, termasuk lima parah dalam nahas ngeri yang menjadi tragedi menyayat hati apabila sebuah bas membawa 39 penumpang terbalik sebelum dirempuh sebuah treler muatan pasir.

Nahas berlaku ketika bas itu dalam perjalanan membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah untuk bercuti ke Genting Highlands.

Sementara itu, bapa Maysarra, Zaidi Mohamad, 43, berkata, sebelum kejadian, anak bongsunya itu tidak menunjukkan sebarang kelainan.

Guru besar boleh minta polis iringi wang bantuan – Utusan


Guru besar boleh minta polis iringi wang bantuan

ALOR SETAR 12 Nov. – Guru besar dan pengetua sekolah boleh meminta bantuan anggota polis bagi mengiringi mereka membawa wang bantuan khas awal persekolahan yang dikeluarkan dari bank ke sekolah untuk diagihkan kepada pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu boleh diambil jika jumlah wang bantuan khas itu dibawa dalam kuantiti yang besar memandangkan jumlah pelajar yang ramai di sesebuah sekolah.

“Jika sebuah sekolah ada 2,000 pelajar, maknanya sekolah itu akan membawa pulang wang tunai RM200,000 ke sekolah jadi kementerian telah berbincang dengan pihak polis agar mengiringi mereka ketika wang itu dibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kedah di Jalan Pegawai, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Ka Siong mengulas langkah kerajaan mengagih wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 seorang kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara seperti diumumkan dalam Bajet 2012 melalui akaun sekolah masing-masing.

Ka Siong berkata, para pengetua diminta mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dan tidak perlu berasa bimbang hendak menguruskan wang berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, bantuan wang tersebut dijangka mula diagihkan di Sabah dan Sarawak pada minggu depan.

Guru-guru jangan panik – Wee Ka Siong – Utusan


Guru-guru jangan panik – Wee Ka Siong

ALOR SETAR 12 Nov. – Projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari masih di peringkat kajian dan belum ada sebarang keputusan untuk memperluaskannya ke seluruh negara tahun depan.

Justeru itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, para guru diminta tidak panik dengan percubaan projek itu di empat negeri kerana kementerian juga menyedari terdapat beberapa kekangan untuk ia dilaksanakan di semua negeri.

“Sebagai contoh, masih terdapat sekolah yang guru-gurunya berkongsi meja di bilik guru iaitu apabila guru sesi pagi balik, maka guru sesi petang pula akan gunakan meja berkenaan.

“Jadi, kalau guru sesi pagi balik lewat bagaimana pula guru sesi petang hendak menggunakan meja bilik guru,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kedah di Jalan Pegawai di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Semalam, Hashim berkata, kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan.

Ka Siong berkata, melalui projek itu, guru-guru akan bekerja mengikut dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang, namun kementerian akan melihat realiti sebenar dalam pelaksanaannya.

Kata beliau, setiap input dan cadangan pelbagai pihak akan diambil kira sebelum cadangan itu dibawa kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan membuat keputusan selanjutnya.

Menurut Ka Siong, kementerian sentiasa sedar bahawa tugas guru melebihi masa bekerja di sekolah bahkan terpaksa menghadiri majlis dan program pada musim cuti sekolah selain menjadi rujukan para pelajar tanpa mengira waktu.

Sedia RM30,000 sebulan biaya sekolah agama – Berita Harian


Sedia RM30,000 sebulan biaya sekolah agama
Oleh Nadia Hamid

2011/11/13

BANDA ACEH: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) membelanjakan RM30,000 sebulan bagi membiayai keperluan pendidikan anak yatim miskin dan mangsa tsunami 2004 di tiga sekolah agama moden atau pesantren, di sini.

Tiga sekolah berkenaan, Pesantren Babun Najah, Yayasan Pembangunan Anak Yatim Antarabangsa (IODEF) bersama Pesantren Al-Falah dan Dayah Nurul Huda dijadikan anak angkat dan diletakkan di bawah pengawasan YAPIEM sejak 2005.

Ketua Pengarah YAPIEM, Dr Abd Malek Awang Kecil, berkata pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan buat penghuni pusat kebajikan terbabit antaranya mewujudkan pusat kecemerlangan serta merangka kegiatan sampingan seperti tuisyen serta kelas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Malah katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan institusi seperti MARA dalam usaha membangunkan pendidikan anak kurang bernasib baik di wilayah ini.

“Jika mahu dibantu dari aspek kebajikan, di Malaysia juga masih banyak golongan memerlukan bantuan. Justeru, YAPIEM fokus pada bantuan memperkasakan pembangunan pendidikan anak yatim mangsa tsunami supaya mereka mampu berdikari kelak.

“Hasilnya bermakna apabila kebanyakan mereka berjaya pada peringkat menengah dan universiti,” katanya kepada wakil Berita Harian yang menyertai rombongan YAPIEM meraikan sambutan Aidiladha di Pesantren Al-Falah, di sini baru-baru ini.

Sempena sambutan itu, turut dikorbankan 10 lembu hasil sumbangan YAPIEM, syarikat korporat dan orang perseorangan dari Malaysia. Lebih 15 ahli yayasan menghadiri majlis sambutan bersama 50 anak yatim di IODEF.

‘Saya terhumban, tersepit depan bas’ – Berita Harian


‘Saya terhumban, tersepit depan bas’
Oleh Rosman Shamsuddin dan Ravale Savarinathan

2011/11/13

 MOHD AZIM menunjukkan gambar rakannya, Khairul Anwar kepada Ahli Lembaga Pelawat Hospital Slim River, Datuk KRA Naidu di hospital itu, semalam.

MOHD AZIM menunjukkan gambar rakannya, Khairul Anwar kepada Ahli Lembaga Pelawat Hospital Slim River, Datuk KRA Naidu di hospital itu, semalam.

SLIM RIVER: “Selepas bas terbalik, saya nampak Khairul Anwar Azran membantu rakan lain keluar dari bas apabila tiba-tiba bas dilanggar dengan kuat menyebabkan saya terhumban dan kaki tersepit di depan bas lalu tidak boleh bergerak lagi sehingga bomba tiba,” kata Mohd Azim Dahalan, 15, rakan karib Khairul yang maut dalam kemalangan membabitkan bas dan treler di kilometer 382 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini, kelmarin.

Mohd Azim berkata, ketika kejadian beliau duduk di bangku keempat dari belakang di sebelah kanan bas dan sedang nyenyak tidur kerana keletihan sebelum mendengar bunyi letupan kuat seperti tayar bas pecah dan bas terus terbalik.

“Saya tercampak ke depan bas serta cuba bangun keluar walaupun terasa pening dan ketika mahu keluar tiba-tiba dilanggar dengan kuat menyebabkan kaki pula tersepit.

“Saya tidak boleh bergerak dan tangan kiri rasa sakit serta cuba melihat di dalam bas mencari Khairul tetapi tidak melihat kelibatnya sehingga mendapat tahu dia sudah terbunuh,” katanya hiba ketika ditemui di Wad Sembilan, Hospital Slim River (HSR) di sini, semalam.

Mohd Azim yang patah tangan kiri berkata, rakan sekelasnya itu seorang yang peramah tetapi tiba-tiba menjadi pendiam sepanjang perjalanan dari Kedah dan beliau merasa amat kehilangan rakannya itu walaupun bersyukur terselamat.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Mohamad Shariffuddin Johari, 15, yang juga patah tangan kiri merasa trauma dan serik untuk menaiki bas lagi pada masa akan datang.

“Saya harap ini adalah pengalaman terakhir menaiki bas kerana sudah tidak dapat jumpa lagi dua rakan dan guru saya selama-lamanya,” katanya.
Mohamad Shariffuddin berkata, ketika kejadian beliau terhumban ke depan bas sehingga kepalanya menjadi pening tetapi masih dapat mendengar suara guru menyuruh mereka segera keluar dari bas sebelum pengsan dan hanya sedar selepas berada di HSR.

Bapanya, Johari Saat, 58, berkata beliau menerima panggilan dari rakan anaknya kira-kira jam 6 pagi dan apabila tiba di HSR kira-kira jam 4 petang mendapati anaknya sudah terlantar di hospital.

Selain Khairul, kemalangan kira-kira jam 4.30 pagi itu turut meragut nyawa Maysarra Zaidi, 15, dan guru, Siti Hajar Mohamad, 33, serta Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saat, 45.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila bas yang dinaiki pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, terbabas ke kiri jalan lalu terbalik ke posisi mengiring dan dalam keadaan kelam kabut pelajar dan guru cuba menyelamatkan diri tetapi treler yang membawa muatan pasir yang datang dari arah belakang merempuh bas berkenaan.

Sementara itu, seorang guru, Azriahani Ahmad, 31, dan pelajar, Mohd Faisal Anuar, 15, yang dirawat di HSR sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi semalam.

Di Hospital Teluk Intan (HTI) pula, guru Rosilawati Mat Riffin, 40 dan anaknya Idzmi Haikal Khairul Shah, 5, serta pelajar Abdul Rahman Daniel Abdul Ghani,15, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Jurucakap HTI, berkata Idzmi Haikal menjalani pembedahan pada jam 8 pagi semalam manakala Abdul Rahman Daniel pada jam 11.30 pagi dan mereka dijangka boleh dibenarkan pulang dalam tempoh dua tiga hari ini manakala Rosilawati yang cedera parah di lima anggota badan, bakal menjalani pembedahan esok, dan mungkin terpaksa tinggal di dalam wad dalam tempoh lebih lama.

Mazylina berkata, jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Menora, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang.

Selain Maysarra seorang lagi rakannya, Khairul Anwar Azhan, 15; guru mereka, Siti Hajar Mohamed, 33; dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Alor Teja, Alor Setar, Basarah Saad, 45, maut dalam kejadian jam 4.45 pagi itu.

Baiki sekolah elak ancam keselamatan – Berita Harian


Baiki sekolah elak ancam keselamatan
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

2011/11/13

JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan memperuntukkan RM1 bilion menerusi Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah adalah tindakan tepat kerana struktur bangunan yang uzur dikenal pasti antara punca utama kemalangan di sekolah.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penyelenggaraan semua kemudahan di sekolah adalah perlu bagi memastikan keselamatan guru, kakitangan dan pelajar.

Katanya, penyelenggaraan itu penting membabitkan kemudahan seperti padang permainan, kantin dan bilik kakitangan yang berisiko menyebabkan kemalangan jika tidak diselenggara dengan baik.

“Sekolah juga tempat kerja buat guru, kakitangan selain pelajar yang tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994. Menjadi tanggungjawab pengurusan memastikan sekolah sebagai tempat selamat dan sihat bagi mengelak insiden yang boleh mendatangkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Sekolah di Dewan NIOSH Wilayah Selatan, di sini semalam. Hadir sama Pengurus NIOSH Wilayah Selatan, Aidil Adha Sulaiman dan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani.

Sementara itu, Lee berkata, program OSH di sekolah penting bagi mendidik guru serta pelajar mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Walaupun tahap OSH di Malaysia belum optimum, kesedaran itu sudah diterapkan dalam semua aspek kehidupan seperti di rumah, sekolah, taman rekreasi dan paling utama tempat kerja.
“Malah lebih membanggakan adalah kesedaran mengenai OSH kini banyak diterapkan dalam kurikulum sekolah. Guru sebagai kunci utama boleh memainkan peranan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di sekolah dapat dikekalkan,” katanya.

200 remaja ditahan dipercayai terbabit dalam pertubuhan haram – Berita Harian


200 remaja ditahan dipercayai terbabit dalam pertubuhan haram 

2011/11/13

LUMUT: Polis menahan kira-kira 200 remaja dengan sebahagiannya daripadanya pelajar sekolah yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok dipercayai terbabit dalam perhimpunan pertubuhan haram di sebuah resort di Teluk Batik, malam tadi.

Tangkapan itu turut membabitkan lapan remaja perempuan dan semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk diambil keterangan.

Polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran agih wang bantuan – Berita Harian


Polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran agih wang bantuan 

2011/11/13

SERDANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mengiringi pihak sekolah bagi urusan pengeluaran wang bantuan persekolahan RM100 dari bank dan ketika pengagihan wang kepada ibu bapa di sekolah bagi memastikan faktor keselamatan terjamin.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata demikian pada sidang akhbar Hari Keluarga kementerian itu di MAEPS, Serdang sebentar tadi.