Lahir pemimpin dengan pendidikan berkesan – Metro


Lahir pemimpin dengan pendidikan berkesan

Oleh Dr Aminudin Mansor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SECARA umumnya, kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi muda pada masa kini dan akan datang. Hanya melalui pendidikan berkesan akan dapat membentuk remaja yang mempunyai wawasan dan jati diri unggul.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), bertujuan menyediakan pelajar di sekolah untuk menghadapi abad ke-21. Penekanan yang diberikan lebih kepada penerapan nilai murni dan semangat patriotik untuk menyedarkan pelajar akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara yang maju dan masyarakat berilmu.
Melalui pendidikan berkesan pelajar dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, berakhlak, beretika tinggi, berbudaya, bijaksana serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan berkomunikasi secara berkesan. Melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan dapat melahirkan pelajar berkeyakinan dan tabah mengatasi segala rintangan serta cabaran dalam kehidupan.

 

Sewajarnya pelajar yang dididik dengan berkesan dengan ilmu dan akhlak yang baik dapat menolak segala gejala sosial yang boleh meruntuhkan tamadun seperti budaya lepak, lari dari rumah, vandalisme, lumba haram, berjudi dan minum arak.
Tokoh Islam, Ibnu Khaldun, menyatakan pengajaran ilmu kepada pelajar hanya akan dirasakan berkesan apabila dilakukan secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit. Keberkesanan pengajaran itu akan dapat dilihat pada perubahan tingkah laku pelajar yang diajar guru berkenaan.
Kebiasaannya pelajar di peringkat awal belum dapat memahami apa yang diajarkan, tetapi apabila diberikan secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit akan menampakkan kejayaan hasil pengajaran berkenaan.

 

 

Sementara itu, Imam Al-Ghazali berpendapat dalam ilmu terdapat hierarki secara universal. Apabila mempelajari sesuatu ilmu akan ia akan berhubung kait dengan disiplin ilmu lain pula. Dalam hal ini, beliau menyarankan: “Setiap pelajar tidak boleh menceburi diri dalam sesuatu disiplin ilmu baru sebelum mempelajari secara sempurna disiplin ilmu terdahulu. Ini disebabkan disiplin ilmu adalah tersusun secara sistematik, apabila sebahagian ilmu berkait antara satu sama lain.” Oleh itu, setiap guru di sekolah akan berusaha memperkasa disiplin ilmu dan menerapkan kepada pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Hal ini boleh dilakukan melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Agama Islam, Sejarah dan Pendidikan Moral.
Seorang guru yang baik mempunyai personaliti yang dapat membina identitinya sebagai seorang guru profesional. Antara ciri yang perlu ada pada setiap guru itu ialah memiliki sifat mesra, berkarisma, kelakar dan empati. Pandangan dan pendapat tokoh pendidik Islam, Ibnu Shahnum menggariskan beberapa sifat yang perlu ada pada seorang guru iaitu ikhlas, takwa, bertanggungjawab dan bersopan santun. Satu sifat lain yang penting ialah guru perlu ghairah dan bersemangat dengan tugasnya. Kesungguhan dan kerajinannya akan menjadikan pelajar bersungguh-sungguh serta tertarik dengan pengajarannya.

 

Sesebuah sekolah yang lengkap dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dengan pelbagai peralatan canggih belum tentu dapat memberikan pendidikan yang berkesan kepada pelajarnya, jika gurunya tidak terlatih dan minat dalam bidang pendidikan. Oleh itu, latihan yang cukup dan minat mendalam mestilah seimbang bagi menjayakan usaha ini.
Projek Sekolah Bestari salah satu daripada tujuh Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia (MSC). Projek ini dilaksanakan mulai 1999 secara rintis dan 88 sekolah dipilih sebagai sekolah rintis.
Tujuan dan falsafah projek ini adalah untuk menjadikan pendidikan lebih berkesan, secara menyeluruh dengan peningkatan kecekapan serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara interaktif berdasarkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke arah bertaraf dunia.
Selain itu, aspek pendidikan mestilah bertujuan membina insan bagi mencapai kejayaan, kecemerlangan, kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tidak ada gunanya insan yang hanya hidup bahagia di dunia sedangkan tidak bahagia di akhirat. Pendidikan juga akan menjadikan pelajar insan yang berfikir mengenai kebaikan, kehalusan budi pekerti, kesatuan berbahasa, kecekalan hati, keindahan seni dan kebenaran serta seterusnya menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan. Seterusnya pendidikan yang berkesan mestilah juga menekankan aspek pendidikan tauhid, keimanan, ibadah, akal, akhlak, jasmani, ketrampilan dan kemasyarakatan. Hanya melalui pendidikan yang menyeluruh seseorang pelajar itu dapat dididik menjadi insan yang sempurna.
Menurut tokoh pendidik Islam, Dr Muhammad Fadhil Al-Jamali, pendidikan berkesan bertujuan membina pengetahuan atau kesedaran manusia atas dirinya, sistem kemasyarakatan Islam. Ia juga diikuti dengan sikap serta tanggungjawab sosial di samping memberi kesedaran terhadap alam sekitar dan ciptaan Allah SWT serta mengembangkan ciptaan-Nya bagi kebaikan umat manusia.
Justeru, pendidikan berkesan mestilah menjurus ke arah melahirkan remaja yang akan menjadi pemimpin pada masa depan yang kita idamkan. Kepentingan nilai kemanusiaan seperti berbudi, berilmu, beramal, mewujudkan masyarakat yang maju dan sejahtera di dunia serta akhirat.
Lantaran itu, ibu bapa dan guru wajar memainkan peranan penting ke arah mewujudkan pendidikan berkesan di rumah dan di sekolah, bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan serta berakhlak mulia. Adalah menjadi harapan dan matlamat negara untuk melahirkan rakyat yang berketrampilan dalam pelbagai bidang terutama bidang sains dan teknologi. Melalui pendidikan berkesan harapan dan matlamat ini akan dapat direalisasikan dalam pendidikan di sekolah.
Sesungguhnya, pelajar yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berkemampuan serta berakhlak sebagai pemacu global yang berteraskan kepada sains dan teknologi khususnya dalam bidang teknologi maklumat serta komunikasi.
Hanya melalui pendidikan yang berkesan akan dapat melahirkan warganegara memiliki jati diri unggul, keteguhan dalam agama dan budaya bangsa serta semangat cinta tanah air tanpa berbelah bahagi. Semuanya ini adalah menjadi harapan besar seluruh rakyat Malaysia pada masa akan datang.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s