Tarian ghairah buka ‘ritual’ – Metro


Tarian ghairah buka ‘ritual’

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DITAHAN...gadis yang menghiburkan program terbabit.
DITAHAN…gadis yang menghiburkan program terbabit.

KUMPUL... belia dan remaja dikumpulkan polis, kelmarin.
KUMPUL… belia dan remaja dikumpulkan polis, kelmarin.

MANJUNG: Mereka dihiburkan dengan tarian ghairah oleh sekumpulan gadis cantik sebelum dikumpulkan di dalam satu dewan besar untuk menjalani satu ‘ritual’ khas bagi ditauliah menjadi ahli pertubuhan kongsi gelap.

Itu antara sesi angkat sumpah yang dilalui 307 orang termasuk remaja berusia 17 tahun sebelum ditahan dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) negeri di sebuah resort di Teluk Batik, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, 307 individu berusia dari 17 hingga 30 tahun itu berkumpul di resort berkenaan mulai jam 8 malam kelmarin lengkap memakai kemeja-T dengan logo pertubuhan itu.

Berselindung di sebalik program Hari Keluarga, acara itu dikendalikan sekumpulan individu dipercayai ahli kumpulan gengster untuk merekrut ahli baru.

 
Difahamkan, peserta program itu datang dari seluruh negara untuk menyertai kumpulan berkenaan dan mendaftar masuk di resort bermula jam 3 petang kelmarin.

Pengkid bersalin di Lombok – Metro


Pengkid bersalin di Lombok

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEBAK...Che Beshah sedih menunjukkan gambar Zurain yang hilang sejak Oktober lalu.
SEBAK…Che Beshah sedih menunjukkan gambar Zurain yang hilang sejak Oktober lalu.

HULU LANGAT: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini menambah kerinduan seorang ibu tunggal terhadap anak gadisnya yang sepatutnya menduduki peperiksaan itu, namun tidak berbuat demikian kerana kini berada di Lombok, Indonesia selepas diperdaya lelaki dari situ.

Che Beshah Md Said, 50, berkata, anaknya Zurain Mohd Zulkeppeli meninggalkan rumah bersama seorang lelaki Lombok dikenali sebagai Edy, 30-an, sejak Oktober tahun lalu dan kini mereka sudahpun berkahwin serta memiliki seorang anak.

Menurutnya, Edy yang memang rapat dengan keluarganya ibarat pagar makan padi kerana lelaki itu sebelum ini diminta membantu mencari Zurain yang sudah beberapa kali lari dari rumah.

“Edy memang bijak berlakon. Kelakuannya nampak baik dan dia memberitahu ada kepakaran untuk mengubati pelbagai penyakit. Jadi, saya minta tolong dia untuk cari Zurain yang kali terakhir lari dari rumah Oktober lalu.

 
“Kesudahannya, bukannya dia membawa pulang Zurain kepada saya, tapi dia melarikan anak gadis saya itu ke kampung halamannya di Indonesia,” katanya ketika ketika menerima kunjungan Pemuda Umno Hulu Langat di rumahnya.

Lahir pemimpin dengan pendidikan berkesan – Metro


Lahir pemimpin dengan pendidikan berkesan

Oleh Dr Aminudin Mansor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SECARA umumnya, kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi muda pada masa kini dan akan datang. Hanya melalui pendidikan berkesan akan dapat membentuk remaja yang mempunyai wawasan dan jati diri unggul.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), bertujuan menyediakan pelajar di sekolah untuk menghadapi abad ke-21. Penekanan yang diberikan lebih kepada penerapan nilai murni dan semangat patriotik untuk menyedarkan pelajar akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara yang maju dan masyarakat berilmu.
Melalui pendidikan berkesan pelajar dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, berakhlak, beretika tinggi, berbudaya, bijaksana serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan berkomunikasi secara berkesan. Melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan akan dapat melahirkan pelajar berkeyakinan dan tabah mengatasi segala rintangan serta cabaran dalam kehidupan.

 

Sewajarnya pelajar yang dididik dengan berkesan dengan ilmu dan akhlak yang baik dapat menolak segala gejala sosial yang boleh meruntuhkan tamadun seperti budaya lepak, lari dari rumah, vandalisme, lumba haram, berjudi dan minum arak.
Tokoh Islam, Ibnu Khaldun, menyatakan pengajaran ilmu kepada pelajar hanya akan dirasakan berkesan apabila dilakukan secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit. Keberkesanan pengajaran itu akan dapat dilihat pada perubahan tingkah laku pelajar yang diajar guru berkenaan.
Kebiasaannya pelajar di peringkat awal belum dapat memahami apa yang diajarkan, tetapi apabila diberikan secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit akan menampakkan kejayaan hasil pengajaran berkenaan.

 

 

Sementara itu, Imam Al-Ghazali berpendapat dalam ilmu terdapat hierarki secara universal. Apabila mempelajari sesuatu ilmu akan ia akan berhubung kait dengan disiplin ilmu lain pula. Dalam hal ini, beliau menyarankan: “Setiap pelajar tidak boleh menceburi diri dalam sesuatu disiplin ilmu baru sebelum mempelajari secara sempurna disiplin ilmu terdahulu. Ini disebabkan disiplin ilmu adalah tersusun secara sistematik, apabila sebahagian ilmu berkait antara satu sama lain.” Oleh itu, setiap guru di sekolah akan berusaha memperkasa disiplin ilmu dan menerapkan kepada pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Hal ini boleh dilakukan melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Agama Islam, Sejarah dan Pendidikan Moral.
Seorang guru yang baik mempunyai personaliti yang dapat membina identitinya sebagai seorang guru profesional. Antara ciri yang perlu ada pada setiap guru itu ialah memiliki sifat mesra, berkarisma, kelakar dan empati. Pandangan dan pendapat tokoh pendidik Islam, Ibnu Shahnum menggariskan beberapa sifat yang perlu ada pada seorang guru iaitu ikhlas, takwa, bertanggungjawab dan bersopan santun. Satu sifat lain yang penting ialah guru perlu ghairah dan bersemangat dengan tugasnya. Kesungguhan dan kerajinannya akan menjadikan pelajar bersungguh-sungguh serta tertarik dengan pengajarannya.

 

Sesebuah sekolah yang lengkap dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dengan pelbagai peralatan canggih belum tentu dapat memberikan pendidikan yang berkesan kepada pelajarnya, jika gurunya tidak terlatih dan minat dalam bidang pendidikan. Oleh itu, latihan yang cukup dan minat mendalam mestilah seimbang bagi menjayakan usaha ini.
Projek Sekolah Bestari salah satu daripada tujuh Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia (MSC). Projek ini dilaksanakan mulai 1999 secara rintis dan 88 sekolah dipilih sebagai sekolah rintis.
Tujuan dan falsafah projek ini adalah untuk menjadikan pendidikan lebih berkesan, secara menyeluruh dengan peningkatan kecekapan serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara interaktif berdasarkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke arah bertaraf dunia.
Selain itu, aspek pendidikan mestilah bertujuan membina insan bagi mencapai kejayaan, kecemerlangan, kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tidak ada gunanya insan yang hanya hidup bahagia di dunia sedangkan tidak bahagia di akhirat. Pendidikan juga akan menjadikan pelajar insan yang berfikir mengenai kebaikan, kehalusan budi pekerti, kesatuan berbahasa, kecekalan hati, keindahan seni dan kebenaran serta seterusnya menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan. Seterusnya pendidikan yang berkesan mestilah juga menekankan aspek pendidikan tauhid, keimanan, ibadah, akal, akhlak, jasmani, ketrampilan dan kemasyarakatan. Hanya melalui pendidikan yang menyeluruh seseorang pelajar itu dapat dididik menjadi insan yang sempurna.
Menurut tokoh pendidik Islam, Dr Muhammad Fadhil Al-Jamali, pendidikan berkesan bertujuan membina pengetahuan atau kesedaran manusia atas dirinya, sistem kemasyarakatan Islam. Ia juga diikuti dengan sikap serta tanggungjawab sosial di samping memberi kesedaran terhadap alam sekitar dan ciptaan Allah SWT serta mengembangkan ciptaan-Nya bagi kebaikan umat manusia.
Justeru, pendidikan berkesan mestilah menjurus ke arah melahirkan remaja yang akan menjadi pemimpin pada masa depan yang kita idamkan. Kepentingan nilai kemanusiaan seperti berbudi, berilmu, beramal, mewujudkan masyarakat yang maju dan sejahtera di dunia serta akhirat.
Lantaran itu, ibu bapa dan guru wajar memainkan peranan penting ke arah mewujudkan pendidikan berkesan di rumah dan di sekolah, bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan serta berakhlak mulia. Adalah menjadi harapan dan matlamat negara untuk melahirkan rakyat yang berketrampilan dalam pelbagai bidang terutama bidang sains dan teknologi. Melalui pendidikan berkesan harapan dan matlamat ini akan dapat direalisasikan dalam pendidikan di sekolah.
Sesungguhnya, pelajar yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berkemampuan serta berakhlak sebagai pemacu global yang berteraskan kepada sains dan teknologi khususnya dalam bidang teknologi maklumat serta komunikasi.
Hanya melalui pendidikan yang berkesan akan dapat melahirkan warganegara memiliki jati diri unggul, keteguhan dalam agama dan budaya bangsa serta semangat cinta tanah air tanpa berbelah bahagi. Semuanya ini adalah menjadi harapan besar seluruh rakyat Malaysia pada masa akan datang.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

‘Detik manis hidup saya’ – Metro


‘Detik manis hidup saya’

Oleh Noozieyantie ‘Alia Adnan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PORT DICKSON: “Bila sudah dewasa dan menjadi seorang guru, saya bertekad akan bekerja di Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Wawasan Port Dickson secara percuma selain mengambil alih tanggungjawab menjaga kanak-kanak di sini,” kata C Joysi, 15, ketika ditemui pada Majlis NSTP-Rainbow of Life Forces (ROLF) Charity Ride 2011 di Eagle Ranch Resort, dekat sini, kelmarin.

Dia antara 34 kanak-kanak di pertubuhan berkenaan yang menerima set pakaian dan beg sekolah baru bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, kelmarin. Menurutnya, sejarah dipukul bapa kandungnya ketika berusia 12 tahun selain tidak cukup makan serta ketinggalan dalam pelajaran amat memeritkan dan akan dikenang seumur hidupnya.
“Dilahirkan sebagai anak kepada kaki botol, saya terpaksa berdepan kerenah bapa yang memukul serta dilayan seperti hamba setiap kali bapa mabuk, tidak mampu saya terima lagi.

 

“Empat tahun menjadi penghuni di pertubuhan ini adalah perkara paling manis dalam hidup saya dan menganggap ini adalah keluarga baru saya. “Malah, majlis amal dari pihak penganjur yang sudi meluangkan masa bersantai selain memberi sumbangan kepada kami sangat dihargai,” katanya kepada Harian Metro.
Manakala, bagi N Haizek Nirmal, 12, dia dan lima lagi adik beradik lain terpaksa menumpang hidup di pertubuhan itu berikutan kemiskinan keluarganya.
“Bapa meninggal dunia ketika saya berumur tujuh tahun akibat kemalangan jalan raya dan disebakan itu, ibu terpaksa ambil alih menjaga kami dengan bekerja sebagai buruh kasar di Labu.

 

 

“Sebelum ditempatkan di pertubuhan ini, kami dipelihara mak cik di Kuala Pilah. Oleh kerana keluarga berkenaan juga hidup dalam kemiskinan, pelajaran dan makanan kami sering terganggu,” katanya.
Kini, dia serta adik beradiknya yang turut berada di pertubuhan itu amat gembira dan bersyukur kerana nasib malang mereka terbela dengan sumbangan dan kehidupan selesa yang diberikan kepadanya.

 

Sementara itu, Penyelaras Pertubuhan terbabit, Katherine Paul, berkata, program kebajikan ini adalah kali pertama dilakukan dan sekurang-kurangnya kanak-kanak ini dapat melihat dunia luar berikutan tidak pernah berpeluang mengadakan aktiviti luar.
“Wajah ceria mereka terpancar menandakan keseronokan yang dirasai mereka. Malah, sebagai penjaga bagi kanak-kanak di sini, saya berharap pihak korporat lain dapat memberi peluang seperti ini kepada kanak-kanak yang majoritinya datang daripada keluarga susah, tidak berasa terpinggir dengan masyarakat luar.
“Saya berharap masyarakat dapat membantu pertubuhan kami dengan menyumbang makanan serta pakaian supaya pendidikan kanak-kanak ini terjaga dan mampu menjadi orang yang berguna apabila dewasa kelak,” katanya.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan 73 konvoi motosikal berkuasa tinggi bermula dari Balai Berita, Bangsar jam 8 pagi kelmarin sebelum berakhir di Eagle Ranch.

Padah rakam awek – Metro


Padah rakam awek

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Hanya kerana mahu meleraikan pertengkaran dua rakannya bersama individu tidak dikenali, seorang pelajar tingkatan empat ditumbuk hingga patah rahang kiri dalam kejadian di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Arif Fikri A Rahim, 16, dari Alai, di sini, mendakwa ditumbuk lelaki berusia awal 20-an itu di bahagian mulutnya yang turut mengakibatkan mulutnya berdarah dan pipi kanannya cedera.
Menurutnya, ketika kejadian, dia baru selesai makan di kedai berhampiran bersama rakan sebayanya, Mohd Shafiq Abd Rahman dan terus melepak di padang di atas pusat beli-belah berkenaan.

 

Dakwanya, ketika melepak, dua rakannya yang kebetulan berada di kawasan sama menemui mereka dan seorang daripada mereka mahu meminjam kamera digital miliknya untuk merakam gambar dua gadis yang juga berada di kawasan itu.
“Mereka berdua terus menemui gadis berkenaan untuk merakamkan gambarnya, saya dan Mohd Shafiq berada pada jarak 20 meter hanya memerhatikan gelagat mereka.
“Tiba-tiba seorang lelaki muncul dan meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana merakamkan gambar gadis berkenaan yang didakwa teman wanitanya.

 

 

“Saya hanya mendengar mereka bertengkar dengan meminta gambar dirakamkan itu dipadamkan selain berlaku tolak-menolak di antara mereka,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Tun Sri Lanang, di sini, semalam.
Turut berada bersama Mohd Arif ialah ibu bapanya, Jamaliah Tapah, 48, dan A Rahim Adip, 50.

 

Mohd Arif mendakwa, kerana tidak mahu pertengkaran itu menjadi serius, dia dan Mohd Shafiq meleraikan pertengkaran itu.
Bagaimanapun, ketika menghampiri mereka, lelaki tidak dikenalinya itu terus menumbuknya di bahagian mulut.
“Saya mula berasa sakit dan kebas di bahagian mulut dan berlaku pendarahan menyebabkan saya lemah. Melihat keadaan itu, lelaki terbabit bersama dua gadis berkenaan terus beredar sebelum saya menghubungi bapa saya,” kata anak bongsu daripada tiga adik beradik itu.
Sementara itu, A Rahim berkata, dia bergegas ke tempat kejadian bersama rakannya dan sejurus tiba terus membawanya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka (HM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, menerusi ujian sinar-x mendapati rahang kiri anaknya patah, bagaimanapun pembedahan tidak dapat dilakukan dengan segera.
“Saya yang bimbang dengan keselamatannya membawanya ke pusat perubatan swasta bagi membolehkan pembedahan dapat dilakukan segera,” katanya.
Beliau berkata, dia membuat laporan mengenai kejadian itu pada awal pagi semalam di Balai Polis Melaka Tengah.

307 rekrut baru kongsi gelap diberkas – Berita Harian


307 rekrut baru kongsi gelap diberkas
Oleh Shamsul Kamal Amaruddin dan Nurhayati Abllah

2011/11/14



ANTARA tujuh wanita yang hadir pada majlis angkat sumpah kumpulan penjenayah  di sebuah Resort di Teluk Batik, malam kelmarin.

ANTARA tujuh wanita yang hadir pada majlis angkat sumpah kumpulan penjenayah di sebuah Resort di Teluk Batik, malam kelmarin.

33 pelajar bakal duduki SPM, 7 wanita ditahan di sebuah resort

MANJUNG: Sekumpulan individu dipercayai dianggotai penjenayah dikesan cuba merekrut ahli baru mereka termasuk membabitkan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini, menerusi penganjuran satu majlis khas di sebuah resort di Teluk Batik, di sini, malam kelmarin.

Mereka yang dipercayai datang dari seluruh negara terutama dari Pulau Pinang dikatakan mula mendaftar masuk ke resort itu bermula jam 3 petang kelmarin bagi menghadiri majlis ‘Hari Keluarga Genki Seven Malaysia’ yang dijadualkan diadakan di resort sama, bermula jam 8 malam.

Bagaimanapun, aktiviti dan perhimpunan haram itu berjaya dibanteras apabila sepasukan anggota dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Perak dibantu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menyerbu majlis terbabit kira-kira sejam kemudian.

Serbuan itu berjaya menahan 307 individu berusia 17 tahun hingga 30-an termasuk tujuh wanita dan 39 pelajar yang 33 daripadanya bakal menduduki SPM serta tiga kakitangan kerajaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata ketika serbuan dijalankan, semua mereka sedang mendengar ucapan dan dipercayai dalam proses mengangkat sumpah menjadi ahli kumpulan.

Katanya, polis mengesyaki mereka mengadakan majlis khas itu untuk merekrut ahli kumpulan baru dan menjadikan program hari keluarga berkenaan sebagai mengaburi pandangan masyarakat serta pihak berkuasa.

“Pada serbuan pertama, kami menahan 180 individu di dalam dewan berkenaan, manakala selebihnya ditahan di beberapa lokasi selepas siasatan susulan dibuat.
“Turut dirampas kemeja-T, pelekat kenderaan dan rantai kunci berlogo sebuah pertubuhan bukan kerajaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 327 Kanun Keseksaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut. Siasatan polis mengesyaki kumpulan terbabit dipercayai mengadakan majlis mengangkat sumpah untuk sebuah kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian ke lobi resort berkenaan ketika serbuan dijalankan mendapati satu kain rentang tertera tulisan ‘Hari Keluarga Genki Seven Malaysia’ yang disertakan dengan logo kumpulan.

Nyaris diculik lelaki Kemboja – Berita Harian


Nyaris diculik lelaki Kemboja
Oleh Wan Faizal Ismayatim

2011/11/14

Budak 6 tahun cuba diterkam suspek ketika berjalan bersama ibu 

KUALA LUMPUR: Jeritan seorang ibu memanggil anak perempuannya berusia enam tahun, menyelamatkan kanak-kanak itu daripada diculik seorang lelaki warga Kemboja ketika mereka sedang berjalan selepas menikmati makan malam di sebuah restoran di Taman Melati Utama di sini, malam kelmarin.

Suspek berjaya diberkas bapa mangsa yang mengekori lelaki itu lebih dua kilometer dari tempat kejadian di kawasan letak kereta berhampiran restoran itu, termasuk mempertaruhkan nyawa melintas Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, Nurfarihah Saifuddin, sedang berjalan bersama ibunya, Rohani Abd Raof, 37, ke kenderaan mereka sebelum tiba-tiba suspek menghulur kedua-dua tangan dan cuba menerkam mangsa menyebabkan wanita berkenaan menjerit memanggil anaknya.

Menceritakan kejadian itu, Rohani berkata, suspek yang terkejut cuba melarikan diri sebelum beliau segera memegang tangan Nurfarihah dan memberitahu perkara berkenaan kepada suaminya, Saifuddin Abu Samah, 37, yang menunggu dalam kenderaan kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Saya terkejut dengan tindakan suspek cuba menerkam Nurfarihah. Saya segera memberitahu suami berhubung perkara itu sebelum beliau cuba mencari lelaki terbabit dengan memandu kenderaan sekitar deretan rumah kedai di situ,” katanya yang masih trauma ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya di sini, semalam.

Saifuddin pula berkata, selepas tiga kali berpusing di deretan rumah kedai berkenaan, beliau terserempak suspek yang bersendirian di Petronas tidak jauh dari

lokasi kejadian dan terus mengekorinya ke sebuah lagi stesen minyak sebelum lelaki terbabit melintas MRR2 dan berjalan di tepi laluan arah Hulu Klang. Katanya, beliau kemudian meninggalkan kenderaannya di stesen minyak terbabit sebelum nekad untuk turut melintas lebuh raya berkenaan bagi mengekori suspek dan pada masa sama menghubungi polis.

“Sebaik suspek tiba di bawah jambatan berdekatan flet blok F Taman Melati, beberapa anggota polis tiba dan menahannya sebelum dibawa ke balai polis,” katanya.

Saifuddin berkata, kejadian hampir menimpa anaknya mengingatkan beliau dengan kisah pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin kerana pernah bersama-sama bapa kanak-kanak malang itu, Jazimin Abdul Jalil, mencari mangsa kerana mereka berdua adalah rakan sekolah sekitar 1980-an.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berusia 33 tahun itu dan siasatan mendapati tiada sentuhan fizikal oleh lelaki terbabit terhadap kanak-kanak berkenaan kerana sempat melarikan diri selepas mendengar jeritan ibu mangsa.

“Polis sedang menjalankan siasatan kemungkinan suspek bertujuan menculik atau mempunyai motif lain ke atas kanak-kanak itu. Pada masa sama ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak,” katanya.

Calon SPM hidap demam kuning – Berita Harian


Calon SPM hidap demam kuning
Oleh Azman Mahmood dan Baharom Bakar

2011/11/14

32 dirawat akibat gejala dipercayai berpunca virus air kencing tikus

KUALA BERANG: Seramai 32 penduduk Kampung Basong dan Pasir Dula, Telemong di sini termasuk seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama tiga adiknya, ditahan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) semalam kerana menghidap gejala demam kuning dipercayai Hepatitis A berpunca daripada virus air kencing tikus.

Mangsa termasuk 11 kanak-kanak berusia antara 36 bulan hingga 50 tahun dari kampung berkenaan menghidap demam kuning kerana menggunakan sumber air bukit yang disalurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dipercayai tercemar virus kencing tikus.

Seorang mangsa, Nur Ain Nabila Rasid, 17, dari Kampung Basong, terpaksa menduduki peperiksaan SPM hari ini di wad khas HHT selepas dia dan tiga adiknya, Muhammad Shafiq, 11, Arni Natasya, 7, dan Muhammad Irwan Aiman, 3, ditahan kerana menghidap demam kuning.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar, berkata semua mangsa dirujuk ke HHT sejak Khamis lalu tetapi ditahan di wad mulai semalam berikutan gejala demam kuning mereka perlu distabilkan menerusi rawatan intensif.

Katanya, seorang daripada mangsa sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Setakat ini, kita belum dapat mengesahkan sama ada mangsa yang menghidap demam kuning atau Hepatitis A berpunca daripada virus air kencing tikus.
“Jabatan Kesihatan negeri sudah mengambil sampel darah untuk dianalisis bagi menentukan punca demam kuning,” katanya, semalam.
Bulan lalu, 24 orang masyarakat Orang Asli di perkampungan Sungai Berua, Kuala Telemong turut ditahan di HHT kerana menghidap demam kuning selepas menggunakan air sungai disyaki virus air kencing tikus.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong (ADUN), Rozi Mamat, berkata penduduk dua kampung itu masih menggunakan bekalan air bukit yang tidak dimasak, walaupun kerajaan negeri sudah menyediakan bekalan air bersih disediakan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd.

“Kita sudah meminta Jabatan Kesihatan negeri dan daerah melakukan siasatan bagi menentukan keadaan air bukit digunakan mangsa.

“Kita tidak menolak kemungkinan air bukit digunakan mangsa daripada sumber air Sungai Berua yang digunakan masyarakat Orang Asli yang juga menghidap gejala itu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu tetapi tidak dapat membuat pengesahan kerana keputusan sampel belum diperoleh.

Kadar penyertaan pembelajaran sepanjang hayat dijangka naik:TPM – Berita Harian


Kadar penyertaan pembelajaran sepanjang hayat dijangka naik:TPM

2011/11/14

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat 2011-2020 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi bertujuan meletakkan agenda pembelajaran sepanjang hayat sebagai tonggak ketiga pembangunan modan insan negara dengan strateginya dijangka meningkatkan kadar penyertaan dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau berkata, kadar penyertaan itu daripada 10 peratus dijangka meningkat kepada 50 peratus bagi penduduk berumur 15 tahun ke atas menjelang 2020.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada pelancaran pelan berkenaan di sebuah hotel terkemuka di sini.

12 daripada 36,717 calon SPM Kedah duduki peperiksaan di hospital – Bernama


12 daripada 36,717 calon SPM Kedah duduki peperiksaan di hospital

2011/11/14

ALOR SETAR: Seramai 12 orang daripada 36,717 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kedah menduduki peperiksaan itu di hospital kerana masalah kesihatan.

Lapan calon menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini, masing-masing seorang di Hospital Kulim, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Hospital Jitra serta seorang lagi di sebuah hospital di Pulau Pinang.

Mereka yang menduduki peperiksaan di hospital kerana demam dan kemalangan jalan raya.

Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat, berkata sebanyak 264 pusat peperiksaan dibuka bagi menampung kesemua calon yang menduduki peperiksaan.

“Keadaan cuaca hari ini baik dan saya harap cuaca seperti ini akan berterusan sehingga peperiksaan tamat pada 14 Disember,” katanya. – BERNAMA