Lelaki cuba menculik diberkas – Utusan


Lelaki cuba menculik diberkas

 

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

 

NUR Fariha Saifuddin ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya, Wangsa Maju, kelmarin. – UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Tindakan nekad seorang bapa ‘memburu’ sendiri seorang lelaki warga asing yang cuba menculik anak perempuannya membuahkan hasil apabila suspek berjaya ditahan polis di Taman Melati Utama, Wangsa Maju di sini malam tadi.

Saifuddin Abu Samah bertindak nekad menjejaki lelaki warga Kemboja yang sebelum itu cuba melarikan anak perempuannya berusia enam tahun sehingga berjaya ditangkap.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, Saifuddin, 37, bersama isteri dan empat anak perempuannya sedang berjalan ke kereta selepas makan malam di sebuah restoran di sini.

Difahamkan, suspek berusia 33 tahun cuba melarikan anaknya, Nur Fariha, 6, ketika isteri serta anak ketiganya itu tertinggal kira-kira 50 meter di belakang.

Menceritakan kejadian itu, Saifuddin berkata, lelaki itu segera melarikan diri sebaik sahaja disergah isterinya, Rohani Abdul Rauf, 37, tanpa sempat membawa kanak-kanak itu.

Dia yang sempat menghantar anak dan isterinya pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Raya, Wangsa Maju mengambil keputusan untuk mencari suspek sehingga berjaya ditangkap.

“Setelah keluar semula dan puas mencari, saya terserempak lelaki itu di sebuah stesen minyak di sekitar Taman Melati ketika dia melintas Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Ketika menjejaki suspek, saya sudah menghubungi Cif Inspektor Mispani Hamdan, Ketua Balai Wangsa Maju yang kemudian datang untuk memberkas suspek,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kata pengurus projek syarikat komunikasi itu, dia bertindak demikian kerana tidak ingin kejadian culik kanak-kanak seperti kes Allahyarham Nurin Jazlin Jazmin sekali lagi terjadi di Wangsa Maju.

“Saya nekad mengikuti suspek walaupun tidak tahu sejauh mana dia bersalah. Sekurang-kurangnya tindakan ini membantu pihak berkuasa,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan kejadian itu namun siasatan masih dijalankan untuk menentukan kes tersebut berkait dengan kejadian culik atau tidak.

“Cubaan culik itu berjaya dihalang dengan jeritan ibu mangsa dan tindakan bapanya mengekori suspek berjaya membantu polis memberkas warga Kemboja yang bekerja sebagai buruh binaan.

“Setakat ini kita masih menyiasat apa motif sebenar suspek dan akan melihat kemungkinan ia culik atau tidak,” ujarnya.

Kongsi gelap: 39 calon SPM antara 180 ditahan – Utusan


Kongsi gelap: 39 calon SPM antara 180 ditahan

IPOH 13 Nov. – Seramai 39 pelajar yang berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok adalah antara 180 individu yang ditahan kerana cuba menyertai satu kumpulan kongsi gelap.

Kesemua 180 yang ditahan, termasuk penjawat awam dan tujuh wanita diberkas dalam serbuan polis di sebuah rumah rehat di Teluk Batik, Lumut, kira-kira 110 kilometer dari sini, malam tadi.

Dalam serbuan yang diadakan pukul 9 malam itu, polis menerima maklumat daripada orang awam bahawa wujudnya cubaan untuk merekrut ahli kumpulan kongsi gelap di rumah rehat itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan memberitahu, serbuan dibuat oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 30 tahun termasuk tiga kakitangan awam.

“Siasatan awal mendapati, satu upacara angkat sumpah dipercayai ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap berlaku di rumah rehat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd. Shukri berkata, mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk siasatan lanjut.

2,261 calon SPM dapat suntikan semangat – Utusan


2,261 calon SPM dapat suntikan semangat

IKMAL Hisham Abdul Aziz (tengah) bersama pelajar-pelajar yang menerima sumbangan alat tulis untuk menduduki peperiksaan SPM 2011 di Tanah Merah, Kelantan, semalam.

 

TANAH MERAH 13 Nov. – Seramai 2,261 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Tanah Merah mendapat suntikan semangat apabila menerima sumbangan alat tulis menjelang peperiksaan itu esok.

Sumbangan daripada UMNO Bahagian Tanah Merah itu disampaikan oleh ketuanya, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz kepada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Tanah Merah, Che Abdullah Mohamad mewakili para pelajar terbabit dalam satu majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja 2 di sini, hari ini.

Turut menerima sumbangan itu ialah 316 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang kesemuanya dari 12 buah sekolah menengah dalam Parlimen Tanah Merah.

Ikmal Hisham turut menyampaikan sumbangan alat tulis kepada 187 calon SPM dari sekolah berkenaan yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan.

“Walaupun tidak besar, diharap sumbangan ini dapat memberi perangsang kepada mereka untuk mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan.

“Ini kerana, hanya melalui pendidikan kita mampu mengubah nasib anak bangsa kita pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Pengetua SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja 2, Pah Fatimah Sayed Setapa; Penolong Kanan Pentadbiran sekolah, Yunus Awang; Ketua Wanita UMNO bahagian, Dayang Saniah Awang Hamid dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mohd. Almidi Jaafar.

UMNO Bahagian Tanah Merah memperuntukkan sebanyak RM25,770 untuk menyediakan sumbangan itu.

Selain alat tulis, beg sekolah berjenama turut disumbangkan kepada lebih 2,000 kanak-kanak prasekolah tadika Kemas, Perpaduan dan swasta dalam daerah itu.

Sekolah kena bertanggungjawab – Utusan


Sekolah kena bertanggungjawab

 

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB
utusan@pengarang.com.my

 

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Pihak sekolah dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab terhadap tahap keselamatan kenderaan yang digunakan pelajar untuk mengikuti rombongan pada musim cuti persekolahan.

Selain memastikan prosedur dan peraturan dipatuhi oleh syarikat pengangkutan, pihak sekolah juga diwajibkan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran penyertaan pelajar daripada ibu bapa mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah yang lebih bertanggungjawab dan terancang perlu diambil oleh pihak sekolah bagi memastikan perjalanan dilakukan lancar dan selamat.

“Pihak sekolah kena usaha lebih untuk memeriksa tahap keselamatan dan pematuhan pengangkutan baik dari aspek kenderaan, insurans, lesen, pengalaman pemandu dan rekod syarikat pengangkutan.

“Paling penting guru harus mendapatkan persetujuan ibu bapa sebelum melibatkan pelajar dalam apa-apa rombongan khususnya pelajar yang tinggal di asrama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemalangan melibatkan bas dan sebuah treler di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Behrang, Perak yang mengorbankan empat orang dan 36 lagi cedera pada pagi Sabtu lalu.

Mohd. Puad berkata, walaupun rombongan dilakukan pada musim cuti sekolah, prosedur keselamatan tidak boleh dipandang remeh.

“Perancangan penting bagi memastikan tiada pihak yang akan dipersalahkan jika berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pihak sekolah supaya tidak memilih destinasi yang melibatkan perjalanan di kawasan yang berisiko kemalangan.

“Pihak sekolah juga harus peka terhadap keselamatan sekeliling terhadap pelajar misalnya perjalanan ke kawasan tanah tinggi,” katanya.

Selain di jalan raya, beliau berkata, aspek keselamatan harus diutamakan dalam apa jua aktiviti di luar bilik darjah.

“Aktiviti perkhemahan dan rekreasi juga antara yang berisiko mengundang kemalangan jika langkah keselamatan tidak diambil dengan teliti,” katanya.

Tiga beradik enggan berpisah – Utusan


Tiga beradik enggan berpisah

MAZNAH Mazlan ketka bertemu Muhd. Iqmal Roslan (kanan), Muhd. Kamil Radzuan dan Muhd. Kamil Rizman (dua kiri) sambil diperhatikan oleh Sharifah Maznah Kassim Barakbah (kiri) di Kampung Alor Semela, Alor Setar, semalam.

 

ALOR SETAR 13 Nov. – Tiga beradik yatim piatu yang kehilangan ibu dalam nahas di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Behrang kelmarin, tetap akan tinggal bersama dan meneruskan persekolahan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tajar di sini.

Muhd. Iqmal Roslan, 16, berkata, walaupun ada cadangan sesetengah pihak agar mereka tinggal di rumah anak yatim, dia dan adik-adiknya lebih gembira jika dapat tinggal bersama di kampung mereka.

“Dua adik saya, Muhd. Kamil Rizman, 14, dan Muhd. Kamil Radzuan, 13, tidak mahu tinggal di rumah anak yatim.

“Kami harap boleh tinggal di kampung dan terus bersekolah seperti biasa namun perkara ini perlu dibincangkan lebih lanjut bersama saudara mara yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Exco Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah di rumah mereka di Kampung Alor Semela di sini, hari ini.

Ibu mereka, Basarah Saad, 45, yang merupakan Ketua Wanita UMNO Cawangan Alor Teja, Tajar di sini maut akibat dirempuh sebuah lori dalam kemalangan yang meragut empat nyawa itu.

Bapa mereka, Roslan Bukhari meninggal dunia lima tahun lalu akibat penyakit buah pinggang.

Dalam pada itu, Sharifah Maznah berkata, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyalurkan bantuan yang sesuai kepada adik-beradik yatim piatu itu.

“Saya bersahabat baik dengan Allahyarham dan sebelum kemalangan tersebut, saya serta ibu mereka berada di dalam bas yang sama kerana mengikuti rombongan Wanita UMNO ke Sabak Bernam bagi mengikuti program titian ilmu di sana.

“Allah lebih sayangkan ibu mereka dan kami harap anak-anak ini akan terus tabah meneruskan kehidupan tanpa ibu tersayang,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga akan memantau perkembangan tiga beradik yatim piatu itu bagi memastikan kebajikan mereka terbela dan kesemuanya dapat meneruskan pelajaran tanpa dibelenggu masalah kewangan.

“Kami juga ada menyarankan agar ketiga-tiga mereka tinggal di rumah anak yatim bagi memastikan kehidupan lebih teratur namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,” tambahnya.

Semalam, nasib tiga beradik itu turut mendapat perhatian pengusaha produk kesihatan yang juga Presiden dR. Rozmey Group, Datuk Dr. Rozmey Che Din yang bersedia membantu persekolahan dan menanggung belanja sara hidup mereka.

Calon SPM: Najib ucap selamat berjaya – Utusan


Calon SPM: Najib ucap selamat berjaya

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula esok.

“Kepada semua pelajar tingkatan lima, semoga berjaya dalam peperiksaan SPM bermula esok,” kata Perdana Menteri menerusi laman sosial Twitter yang turut disiarkan di laman Facebook beliau.

Najib ketika ini berada di Honolulu, Hawaii bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Seramai 468,808 calon akan menduduki peperiksaan SPM bermula esok hingga 14 Disember ini di 3,533 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Ia akan dimulakan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas I dan II serta mata pelajaran Pendidikan Seni Visual-Teori Seni Kertas I.