Perintis: Mengapa Melaka dipilih? – Harakah


Perintis: Mengapa Melaka dipilih?
Ahmad Danial
MELAKA, 15 Nov: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari berkata cadangan agar guru bekerja 9 jam wajar ditolak.

Adly berkata, beban tugas yang ada pada guru hari ini sudah banyak kerana bukan sekadar bekerja di sekolah tetapi dibawa hingga ke rumah.

Justeru, katanya kerajaan harus memberikan fokus kepada meningkatkan insentif kepada golongan guru.

“Bekerja 9 jam akan memberi tekanan kepada guru, sekaligus akan memberi kesan langsung kepada mutu pendidikan negara,” ujar Adly.

Menurut Adly fokus yang harus diberi kepada guru adalah penyelarasan tugas, mencukupkan bilangan di samping meningkatkan kualiti, maka perhatian serius perlu diberikan kepada peningkatan gaji dan insentif.

“Amat malang, dan kenapa Melaka dipilih?” tanya beliau mengenai Melaka salah satu negeri yang akan dipilih selaku projek perintis bagi cadangan bekerja 9 jam.

“Mendengar 9 jam bekerja sudah meresahkan guru, mereka sudah cukup terbeban dengan tugas sedia ada.”

Beliau juga menyokong langkah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan itu.

“Tekanan beban 9 jam ini pasti memberi kesan langsung kepada mutu generasi akan datang. Cadangan kerja 9 jam wajar ditolak dan tak perlu dijadikan ujikaji,” katanya lagi.

Sebaliknya, menurut Adly cadangan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga bagi memberikan insentif RM500 sebulan kepada semua warga pendidik adalah lebih praktikal bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Dua sepupu maut nahas motosikal – Kosmo


Dua sepupu maut nahas motosikal

 

Oleh ADNAN MOHAMAD
berita@kosmo.com.my

 

ORANG RAMAI melihat mayat Nik Muhamad Azmir selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Merang, Setiu kelmarin.

 

SETIU – Dua sepupu maut manakala rakan mereka cedera parah apabila motosikal masing-masing bertembung antara satu sama lain ketika hujan lebat di Kampung Merang di sini kelmarin.

Nik Muhamad Azmir Nik Ismail, 15, dari Kampung Gong Tengah, Merang di sini maut di tempat kejadian manakala sepupunya, Mohamad Tarmimi Mahasan, 17, juga dari kampung yang sama meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Rakan mereka, Muhamad Anis Zaireni, 14, dari Kampung Lembah Bidong dekat sini pula cedera parah di kaki dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan.

Kejadian berlaku pada pukul 9 malam ketika Nik Muhamad Azmir yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang dari Lembah Bidong ke rumahnya selepas membeli makanan.

Tiba di tempat kejadian, motosikal Nik Muhamad Azmir dikatakan telah bertembung dan melanggar motosikal Mohamad Tarmimi yang dinaiki bersama Muhamad Anis secara melawan arus.

Bapa saudara Muhamad Tarmimi yang hanya mahu dikenali sebagai Mahusin, 47, ketika ditemui berkata, akibat perlanggaran itu, Nik Muhamad Azmir tercampak sejauh enam meter dan cedera parah di kepala.

Elak lintah masuk kemaluan – Kosmo


Elak lintah masuk kemaluan

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my

 

HUSSAIN (tiga dari kiri) bersama pegawainya melawat pelajar SMK Penambang, Nor Fazira Ahmad Suhaimi yang menjalani peperiksaan SPM di HPRZ II akibat dijangkiti demam kepialu di Kota Bharu semalam.

 

KOTA BHARU – Pelajar perempuan di negeri ini dinasihatkan supaya tidak ‘ghairah’ bermain dan mandi air banjir bagi mengelakkan berulangnya kes lintah memasuki alat sulit seperti yang dilaporkan tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri Hussain Awang berkata, pada musim banjir tahun lalu, seramai 13 orang pelajar perempuan di negeri ini yang bermain dan mandi air banjir telah dimasuki lintah dalam alat sulit mangsa.

“Jadi saya ingin menasihatkan pelajar perempuan supaya tidak bermain banjir bagi mengelak kejadian serupa berulang kerana ia boleh mengancam nyawa mereka akibat pendarahan dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.

Terdahulu beliau bersama pegawainya serta pegawai perhubungan awam HPRZ II, Zaid Ahmad meluangkan masa melawat tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpakasa mengambil peperiksaan di hospital akibat masalah kesihatan.

Rona kehidupan penghuni Kasuapan – Kosmo


Rona kehidupan penghuni Kasuapan


 

PETANG itu, hujan lebat di Kampung Kasuapan yang terletak di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah. Kami secara spontan berlari menuju ke pondok jeti untuk berlindung.

Tiada apa yang mampu dilakukan selain menyaksikan samudera yang terbentang luas. Keasyikan merenung lautan yang kebiruan itu tidak mampu bertahan lama. Suara kanak-kanak yang riuh-rendah menjengah ke gegendang telinga.

Gelagat mereka yang terpacak beramai-ramai di halaman rumah seorang penduduk cukup menarik untuk diperhatikan. Salah seorang daripada kanak-kanak tersebut menanggalkan baju T putih yang dipakainya. Seorang lagi, membuka seluarnya tanpa segan silu.

Tindak tanduk kedua-duanya menjadi ikutan enam rakan mereka yang lain. Seorang budak lelaki yang barangkali lebih tua dalam kumpulan itu, kemudiannya memberi isyarat tangan. Tanpa teragak-agak, kesemuanya terus terjun ke laut.

“Mari, mari masuk laut dengan kami, seronok,” teriak mereka yang mempelawa kami yang tergamam memerhati tingkah laku mereka yang janggal di mata kami.

Apabila jurufoto, Abdul Razak Latif menghalakan lensanya, tanpa diasak, mereka terus memberi gaya yang lincah di permukaan air.

Melihatkan keadaan tersebut, secara jujurnya, perasaan menjadi gelisah. Pertama, mereka masih kecil, jadi takut-takut mereka akan lemas. Kedua, air laut itu dicemari dengan limpahan sampah sarap.

Tatkala hujan, keadaan lebih parah. Botol air minuman plastik dan kaca, beg plastik, lampin, tin aluminium, kotak polisterin, kayu dan sisa makanan yang dibuang dibawa arus.

Serasi dengan air

KAMPUNG KASUAPAN di Pulau Gaya merupakan sebuah perkampungan indah meskipun ia dicemari sampah-sarap.

 

“Jangan panik lihat mereka, budak pulau memang begini gayanya, mereka sudah terbiasa dengan air sejak kecil, tiada apa yang perlu ditakutkan,” kata Ketua Kampung Kasuapan, Hasim Amar, 54, mengejutkan lamunan penulis yang terkesima melihat babak kumpulan kanak-kanak tadi.

Selang beberapa jam, air laut surut. Kali ini, mereka dilihat berebut-rebut pula mengutip kerang dan ikan yang ligat menggeletik dengan hanya menggunakan tangan.

Bahan buangan yang terdiri daripada bekas plastik yang bertaburan di sana sini kemudian dicapai bagi mengisi hasil tangkapan masing-masing.

Secara berdikit-dikit, lautan kebiruan tadi yang menjadi cetek dipenuhi bukan sahaja dengan kelibat si kecil malah hampir kesemua penduduk keluar beramai-ramai.

Secara keseluruhannya, kata Hasim, penduduk di Kampung Kasuapan mempunyai kira-kira 1,600 orang yang terdiri daripada suku kaum Iranun, Ubian, Suluk dan Filipina.

“Kemudahan di sini agak sederhana. Untuk bekalan elektrik, kami bergantung kepada penjana sementara air dibeli di darat pada harga RM5 setong,” katanya sambil memberitahu 40 peratus pekerjaan penduduk ialah nelayan dan selebihnya buruh kasar.

Kampung Kasuapan sebenarnya merupakan salah satu antara tujuh buah kampung air yang terdapat di Pulau Gaya. Kampung-kampung lain adalah seperti Kampung Lok Malom, Kampung Lobong, Kampung Pondo, Kampung Lok Urai dan Kampung Lok Baru.

Radius di antara bandar Kota Kinabalu dengan Pulau Gaya hanya 1.5 kilometer (km) dan tujuh minit perjalanan menaiki bot.

Menyingkap catatan dalam buku berjudul Sejarah Kependudukan British di Pulau Gaya, pulau itu dianggap istimewa pada mata British.

Mereka dihikayatkan menjadikan pulau ini sebagai pusat pentadbiran pada zaman pemerintahan kolonial Bristih lebih kurang 110 tahun yang lampau.

Lautan sampah

Sehari sememangnya tidak cukup untuk mendasari Kampung Kasuapan. Kami bertandang pada hari esoknya. Falsafah dan aturan kehidupan penghuni pulau itu diteroka secara perlahan-lahan.

Di kampung itu, terdapat 281 rumah atas air yang diperbuat daripada material papan. Jambatan yang menghubung antara satu rumah ke rumah agak mengerikan. Ada titian yang terlalu kecil, tidak kurang juga yang rompang di sana sini.

BELUM mengerti. Meskipun dikelilingi dengan lautan sampah, kanak-kanak ini nampak girang tidak terhingga.

 

Percaya atau tidak, hambatan itu tidak sedikit pun menjadi ketakutan kepada kanak-kanak kecil di kampung itu. Seperti sudah terbiasa, mereka melaluinya dengan selamba.

Perhiasan perabot mewah dan katil besar di setiap rumah? Itu bukan gaya hidup mereka. Sebaliknya, penghuni kampung tersebut lebih senang duduk beralaskan tikar jerami. Mereka juga tidak perlukan kipas kerana mereka memiliki angin semula jadi.

‘Aura’ sampah sarap

Atmosfera di Kampung Kasuapan tidak memberangsangkan. Akibat tiada sistem pembuangan dan pelupusan yang efisien, sampah sarap bertebaran di gigi air yang menyakitkan mata yang memandang.

Penulis tidak tahu bagaimana hendak menegah kegirangan tiga orang kanak-kanak yang berenang dan berendam di air yang penuh dengan timbunan sampah. Namun, apa yang menyentak perasaan apabila seorang penduduk mengadu itu memang rutin kanak-kanak di sana.

Jujur untuk dikatakan, limpahan air laut gagal menangani bau busuk sampah sarap. Sedih juga apabila mengetahui penyakit kulit yang menghinggapi penduduk terutama kanak-kanak sudah dianggap sebagai satu perkara normal.

Seorang penduduk, Sadit Utumani, 42, begitu asyik membuat perahu ketika dihampiri.

Menyelami kehidupannya Sadit mengakui dia tidak hidup mewah tetapi dia bahagia bersama 11 orang anak.

“Sejak dulu saya memang buat perahu, satu perahu yang diperbuat daripada kayu berharga RM1,500, kalau boleh skil ini mahu diperturunkan kepada anak-anak,” katanya yang memiliki tubuh badan yang tegap.

Tidak jauh dari rumah lelaki itu ialah Rosli Gan, 50-an. Ketika berbual, wanita tersebut mengaku bahawa dia sendiri tidak tahu umurnya yang sebenar.

Dia terus bercerita. Luah Rosli, kehilangan suami begitu merobek hatinya. Bagaimanakah dia meneruskan kehidupan untuk menyara 11 orang anaknya di pulau itu? Wanita ini hanya menjual ikan goreng dan ubi yang dibungkus dengan plastik aiskrim di hadapan rumahnya setiap hari di hadapan rumahnya.

“Walau berniaga secara kecil-kecilan, anak-anak saya masih ke sekolah,” katanya yang meluahkan kepayahan mendapatkan air bersih di pulau itu.

Kala bersembang dengan Rosli, tiba-tiba kelihatan segerombolan pelajar sekolah keluar melalui denai belukar di hujung kampung.

BERKAWAN dengan laut. Anak-anak pulau sememangnya dikenali dengan karakter berani dan laut bukanlah tandingan mereka.

 

“Budak-budak ini dah habis sekolah, tengok tu, belum makan lagi, dah tanggalkan baju, campakkan beg, terus main bola sepak kat padang berhabuk tu.”

Demikian reaksi Rosli apabila melihat gelagat para pelajar tadi. Untuk rekod, terdapat 1,400 pelajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya dan seramai 700 pelajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Gaya.

Bermula hanya empat orang, permainan itu bertambah gamat dengan kehadiran lebih 20 orang pelajar. Jika rembatan tidak kena sasaran, mereka merengus. Sekiranya sasaran pada dua tiang gol yang tidak berjaring mengena, mereka bersorak kegembiraan.

Beberapa jam selepas itu, anak muda pulau pula menguasai kawasan padang yang berpasir dengan bermain bola tampar.

Adakah anak-anak muda ini selesa untuk terus tinggal di kampung atau hati mereka meronta untuk berhijrah?

Menjawab pertanyaan itu, Basri Mahmud, 17, berkata, dia berhasrat untuk memajukan diri.

“Saya akan melanjutkan pelajaran di Pusat Giat Mara,” katanya yang menyebabkan rakan baiknya, Bolkiah Billi, 19, tersenyum.

Bolkiah seorang yang pendiam. Dia tidak banyak membutirkan kata-kata. Cuma dia hanya berkata: “Memang hidup di sini sedikit bosan, nak tonton TV kena tunggu malam dan kalau nak karaoke kena pergi KK, tapi itu tidak menjadi hal, saya pasti akan menetap di sini.”

Barangkali masyarakat Kampung Kasuapan hanya bergelut dengan persekitaran yang tidak bersih dan kekangan untuk mendapatkan air bersih.

Namun, mereka hidup harmoni, kaya dengan adat resam dan disulami kasih sayang. Bagi mereka, apalah erti wang melimpah-ruah andai hidup tidak bahagia.

SPM dalam lokap – Metro


SPM dalam lokap

Oleh Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Seorang pelajar terpaksa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam lokap manakala tiga lagi dibenarkan ikat jamin oleh polis bagi menduduki peperiksaan itu selepas ditahan dalam Ops Lejang Bersepadu, baru-baru ini.

Dalam tempoh 13 hari operasi yang dijalankan bermula 1 November lalu, seramai 21 orang berusia antara 14 dan 31 tahun ditangkap atas kesalahan mencuri motosikal di sekitar daerah Klang Selatan dan daripada jumlah itu, seramai 12 orang adalah pelajar sekolah, manakala empat daripadanya mengambil peperiksaan SPM yang bermula semalam.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, tangkapan yang dibuat itu dapat menyelesaikan 38 kes kecurian motosikal di sekitar daerah berkenaan.

 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 13 motosikal dianggarkan bernilai RM52,000 dijumpai semula.
“Tiga daripada empat pelajar yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka menduduki SPM manakala seorang lagi terpaksa mengambilnya di dalam lokap,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan, semalam.
Sementara itu, pada hari ke-11 operasi itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai ahli kongsi gelap yang menyamar sebagai anggota polis di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang.

 

 

Dalam kejadian jam 11 malam itu, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver Colt .38 Special tanpa peluru dan masih bersarung dipercayai dibuang suspek ketika dikejar polis.
Beliau berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis sedang membuat pemerhatian di persimpangan lampu isyarat di tempat kejadian apabila ternampak seorang lelaki menunggang motosikal jenis Modenas Kris dalam keadaan mencurigakan.

 

“Anggota terbabit kemudian menghampiri suspek dan memperkenalkan diri menyebabkan suspek yang berumur 36 tahun dan bekerja sebagai pencuci kapal di Pelabuhan Klang terus melarikan diri.
“Ketika dikejar, suspek dilihat membuang objek dari pinggangnya ke tepi longkang berhampiran sebelum diberkas.
“Hasil siasatan di rumah suspek di kawasan berhampiran, polis menjumpai beg kecil mengandungi lencana polis, sebuah beg bertali mengandungi satu plastik berisi 11 butir peluru hidup jenis GFL .38 Special,” katanya.
Semakan terhadap suspek mendapati beliau mempunyai enam kesalahan lampau, iaitu masih dikehendaki mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan bunuh di kawasan Pelabuhan Klang pada 2000.

Janda, anak dicekup bersama tiga lelaki – Berita Harian


Janda, anak dicekup bersama tiga lelaki
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/11/15

PENGUAT kuasa JAIK menyoal dua beranak yang  dicekup berkhalwat di Shahab Perdana,   Alor Setar, semalam.

PENGUAT kuasa JAIK menyoal dua beranak yang dicekup berkhalwat di Shahab Perdana, Alor Setar, semalam.

Ibu dakwa kesunyian selepas bercerai, sara 2 anak

ALOR SETAR: Seorang janda dan anak gadisnya dicekup berkhalwat dengan tiga lelaki, termasuk seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah bilik motel di Shahab Perdana di sini, pagi semalam.

Mereka ditahan dalam serbuan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) yang menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di hotel itu, kira-kira jam 1.45 pagi.

Gadis berusia 16 tahun itu dicekup ketika sedang tidur bersama seorang pelajar dan seorang lelaki lain, manakala janda terbabit yang berusia 42 tahun dan teman lelakinya berusia 20-an pula sedang berbual dalam bilik motel murah itu.

Pemeriksaan air kencing ke atas teman lelaki janda terbabit dan anak gadisnya itu turut didapati positif mengambil dadah. Berikutan itu, mereka ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Seorang daripada lelaki yang tidur bersama gadis terbabit berusia 16 tahun, manakala seorang lagi berusia 20-an. Janda itu mendakwa, dia kesunyian selepas bercerai dengan bekas suaminya dan menyara dua anak, manakala tiga lagi anaknya dipelihara keluarga mentua kerana masih bersekolah.

Dia yang juga pembantu kedai makan dikatakan menyewa bilik motel itu dengan RM600 sebulan bersama anak perempuannya yang bekerja sebagai pencuci kereta dan membawa tiga lelaki berkenaan untuk menemani mereka.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Syeikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata pihaknya yang menerima aduan berhubung kegiatan maksiat di bilik hotel itu bergegas ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

Katanya, anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik sebelum ia dibuka wanita yang hanya memakai singlet serta berkain batik.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada seorang gadis dipercayai anak wanita itu yang hanya bersinglet dan berseluar jeans sedang tidur bersama dua lelaki dalam bilik berkenaan, manakala seorang lagi lelaki tanpa baju dan hanya berseluar jeans,” katanya.

Syeikh Muhammad Suhaimi berkata, semua mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

‘Tiada diskriminasi pelajar’ – Berita Harian


‘Tiada diskriminasi pelajar’
Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@bharian.com.my
2011/11/15

Pengasingan kelas permudah guru habiskan sukatan subjek

KUALA LUMPUR: Pengasingan pelajar mengikut keputusan akademik bertujuan memudahkan guru menghabiskan sukatan pengajaran sebelum sesi persekolahan tamat dan bukannya memberi keistimewaan terhadap pelajar cemerlang berbanding pelajar kurang bijak.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng bagaimanapun tidak menyokong pengasingan kelas mengikut pencapaian akademik kerana ia meminggirkan pelajar lemah sekali gus menyebabkan mereka kurang motivasi untuk belajar.

“Walaupun tidak semua sekolah mengasingkan pelajar namun banyak sekolah melakukan saringan mengikut tiga tanda aras iaitu cemerlang, sederhana dan lemah melalui keputusan peperiksaan dalaman yang dijalankan,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan Berita Harian semalam, berhubung pengasingan pelajar kurang bijak ke kelas tercorot sebagai punca golongan kanak-kanak berumur seawal 10 hingga 18 tahun melakukan jenayah.

Lok menyarankan pihak pengurusan sekolah mencampurkan pelajar lemah dengan sederhana supaya kemampuan mereka memahami pengajaran dalam kelas dapat dioptimumkan.

“Ini mengelakkan pelajar lemah akademik mempunyai rasa rendah diri berbanding jika dicampurkan dengan pelajar cemerlang yang pantas menangkap apa yang diajar. Adalah tidak adil jika mereka dinafikan hak berada dalam suasana lebih tersusun dan sistematik seperti mana dinikmati pelajar kelas cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Zakaria Kasa, berkata cadangan pemansuhan kelas berdasarkan pencapaian akademik perlu dikaji secara menyeluruh sebelum dasar baru diperkenalkan untuk menjamin kedua-dua kelompok pelajar itu mendapat ‘layanan’ pendidikan sama rata.

“Pengasingan kelas mengikut kelayakan akademik perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana membawa kesan positif dan negatif. Jika pelajar lemah dikelompokkan sekali dalam satu kelas bersama, guru dapat memberi lebih tumpuan kepada mereka terutama semasa di kelas pemulihan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

“Pelajar akan lebih selesa bergaul dan belajar dalam kelas khas untuk mereka, sekali gus ada ruang lebih baik untuk mereka menimba ilmu semasa sesi pengajaran berlangsung,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

‘Sedia pembantu guru jika kerja sembilan jam’ – Berita Harian


‘Sedia pembantu guru jika kerja sembilan jam’
Oleh Shaarani Ismail, S Anand Kumar dan Suzalina Halid
bhnews@bharian.com.my
2011/11/15

Dua kesatuan tuntut tiada aktiviti Sabtu, Ahad

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran perlu menyediakan pembantu guru terlebih dahulu dan keluarkan arahan tiada sebarang aktiviti pada Sabtu dan Ahad jika mahu memperkenalkan sistem kerja sembilan jam untuk guru, mulai tahun depan.

Dua syarat berkenaan ditetapkan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kepada kementerian bagi memastikan guru tidak berdepan tekanan kerja kerana terpaksa melakukan pelbagai kerja perkeranian sebagaimana dihadapi ketika ini, selain bebanan kerja mereka setara dengan kakitangan awam lain.

Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Arsad, berkata jika tidak ada jaminan melalui pekeliling kementerian khususnya bagi pengecualian tugasan dan aktiviti pada Sabtu dan Ahad, serta jaminan penempatan pembantu guru selagi itu ia tidak boleh dilaksanakan.

“Ia kerana pelaksanaan sistem kerja sembilan jam itu hanya akan menimbulkan bebanan kerja melampau terhadap guru,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Program percubaan selama enam bulan itu akan dilaksanakan ke atas 104 sekolah di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak mulai tahun depan, membabitkan kira-kira 5,000 guru sekolah menengah dan rendah.

Katanya, difahamkan cadangan menyediakan pembantu guru sudah pun dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam September lalu, justeru perlu ada penempatan pembantu guru terlebih dulu di sekolah yang terbabit sebelum ia boleh dilaksanakan.
Presiden NUTP Hashim Adnan pula berkata, pihaknya amat berharap kementerian akan mengurangkan tempoh percubaan program berkenaan daripada enam kepada dua bulan.

“NUTP menerima banyak maklum balas daripada pendidik berhubung program rintis ini dan dilihat tidak membawa manfaat kepada guru sebaliknya hanya memberi tekanan kepada mereka.

“Jika tempoh sembilan jam bekerja dilaksanakan, bagaimana guru mahu meluangkan masa bersama keluarga memandangkan Sabtu dan Ahad juga mereka terpaksa ke sekolah untuk aktiviti kokurikulum,” katanya.

Hashim berkata, sekiranya kementerian benar-benar mahu melaksanakan program itu, NUTP amat berharap tiada sebarang aktiviti akan dilaksanakan pada Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pelaksanaan program rintis itu perlu sebagai usaha kerajaan mengkaji kesan dan kemungkinan dihadapi oleh tenaga pengajar, sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh.

Lelaki warga Kemboja dibebas – Utusan


Lelaki warga Kemboja dibebas

 

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Lelaki warga Kemboja yang didakwa cuba menculik seorang budak perempuan, Nur Farihah Saifuddin, kelmarin, dibebaskan polis selepas siasatan mendapati tiada wujud unsur penculikan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya membebaskan lelaki berusia 33 tahun itu selepas diambil keterangan.

Katanya, pihaknya juga telah mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak itu, Saifuddin Abu Samah, 37, dan Rohani Abd. Raof, 37.

“Siasatan mendapati tiada unsur culik atau sentuhan antara lelaki itu dan Nur Farihah, 6, yang boleh menjurus kepada cubaan menculik.

“Lokasi kejadian merupakan tempat awam yang menjadi laluan orang ramai. Kita tidak menolak kemungkinan tindakan lelaki itu melarikan diri kerana terkejut apabila Rohani menyergahnya,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya juga tidak menahan reman terhadap warga asing itu yang merupakan pekerja sah di negara ini.

Kelmarin, Saifuddin nekad ‘memburu’ warga asing itu setelah isterinya memaklumkan anak ketiganya tersebut nyaris dilarikan lelaki itu sebelum sempat disergah oleh Rohani sendiri.

Pengurus projek syarikat telekomunikasi itu mengekori lelaki itu dan segera menghubungi pihak polis setelah berjaya menjejak lokasinya.

Kaji semula guru bekerja 9 jam – NGO – Utusan


Kaji semula guru bekerja 9 jam – NGO

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar projek rintis sistem waktu kerja sembilan jam bagi guru di empat negeri mulai Januari ini dikaji semula.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, kajian itu perlu mengambil kira beban yang ditampung dan elaun tambahan kepada guru sekiranya mahu melaksanakan projek rintis itu.

“Seharusnya kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan beban guru. Contohnya, mewujudkan kakitangan sokongan iaitu pembantu pentadbiran agar dapat membuat kerja-kerja tersebut.

“Sebelum ini pun ada kajian mengenai beban guru oleh kementerian beberapa tahun lalu, namun hasil belum dihebahkan lagi. Saya minta agar kajian tersebut didedahkan segera,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia kelmarin bahawa kira-kira 5,000 guru di 104 sekolah akan menjadi perintis sistem waktu kerja sembilan jam mulai Januari ini.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu kerja baru itu akan dilaksanakan di Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mohamed Che Noh pula menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya masa kerja guru terlalu pendek iaitu setengah hari berbanding penjawat awam lain.

“Dalam konteks perguruan banyak aspek lain yang orang ramai perlu faham. Contohnya, guru mesti menyediakan rancangan pembelajaran harian dan mingguan, menanda kertas peperiksaan dan menyelia aktiviti di luar kelas.

“Jika dilaksanakan bererti masa sebenar guru akan menjadi sehingga 12 jam, bukannya sembilan, apabila dicampur dengan aktiviti sekolah yang lain. Masakan aktiviti kokurikulum diadakan pada hujung minggu. Kalau begitu maknanya guru tiada cuti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad meminta semua pihak memahami tugas seorang guru yang berbeza dengan pekerja pejabat.

“Sekiranya kementerian tetap melaksanakan projek rintis itu, sewajarnya guru terlibat diberi elaun khusus sesuai dengan tambahan beban yang dipikul,” ujarnya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula berkata, cadangan waktu tugas guru mengikut pejabat telah timbul sejak beberapa tahun lalu.

“Mungkin kementerian telah membuat kajian mengenai sistem ini dan seterusnya melaksanakan projek rintis agar mendapat maklum balas daripada guru dan mengkaji lebih mendalam tahap keberkesanan serta mengetahui kesesuaiannya,” jelas bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu.