Calon boleh semak keputusan UPSR menerusi mySMS 15888 – Bernama


Calon boleh semak keputusan UPSR menerusi mySMS 15888

2011/11/16

PUTRAJAYA: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) boleh membuat semakan keputusan peperiksaan mereka menerusi sistem pesanan ringkas mySMS 15888 mulai 10 pagi esok.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia, perkhidmatan itu akan diaktifkan sehingga 12 tengah malam 23 November.

Pengumuman rasmi analisis keputusan UPSR akan dibuat di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Pelajaran, Parcel E di Putrajaya, 9 pagi esok. – BERNAMA

PIBG jangan potong duit bantuan RM100: Muhyiddin – Bernama


PIBG jangan potong duit bantuan RM100: Muhyiddin 

2011/11/16

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tidak memotong wang bantuan persekolahan RM100 yang diberikan oleh kerajaan kepada semua pelajar sekolah menengah dan rendah.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, meminta mana-mana PIBG yang berbuat demikian supaya segera memulangkan wang yang dipotong itu kepada pelajar berkenaan.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, beliau berkata ia tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan telah memutuskan bantuan itu adalah untuk diagihkan sepenuhnya kepada pelajar dan keluarga mereka.

“Kita minta kerjasama pentadbiran sekolah untuk pastikan bantuan RM100 ini diberikan sepenuhnya, jangan kurang satu sen pun…ini keputusan kerajaan.

“Kita tidak mahu nanti timbul salah faham dan ada pihak yang menyalahkan kerajaan kerana dikatakan `cakap lain, buat lain’,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Belia Wilayah Persekutuan sempena program turun padang sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Sebanyak RM550 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan program wang bantuan persekolahan itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu.

Isu potongan bantuan itu dibangkitkan seorang bapa pada sesi soal jawab bersama Muhyiddin pada majlis itu, yang mendakwa PIBG sebuah sekolah rendah di sini memotong RM50 daripada bantuan itu.
Dalam jawapannya, Muhyiddin berjanji akan menyiasat perkara itu.

“Perdana Menteri sudah sebutkan, Timbalan Perdana Menteri pun sudah beritahu, dapat RM100, kenapa bawa balik RM50?. Ini adalah komitmen Perdana Menteri hendak tolong rakyat, hendak ringankan beban mereka, jadi kalau dah awal-awal dipotong. makin terbebanlah rakyat.

“Jika ada apa-apa bayaran, itu kemudianlah, bagi dulu RM100 tu. Kalau selepas ini PIBG hendak minta apa-apa bayaran, itu soal lain. Ini duit yang telah diberikan oleh kerajaan,” katanya. – BERNAMA

Waktu pengajaran bahasa Inggeris ditambah – Bernama


Waktu pengajaran bahasa Inggeris ditambah

2011/11/16

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menambah waktu pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) bagi mempertingkatkan kemampuan pelajar dalam mata pelajaran itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK ditambah dari 240 minit kepada 330 minit seminggu, manakala bagi SJK Cina dan Tamil ditambah dari 60 minit menjadi 120 minit seminggu.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ab Halim Ab Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai kaedah digunakan bagi memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah luar bandar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Wee berkata kementerian turut menempatkan pembantu pengajar bahasa Inggeris dari luar negara di sekolah luar bandar bagi membantu mengajar dan memantapkan kemahiran berbahasa Inggeris.

Mengenai faktor dan sebab membenarkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Wee berkata, semua tindakan yang diambil kementerian bertujuan meningkatkan mutu pendidikan negara dengan memantapkan pengisian dan cara pengajaran bagi menjamin para pelajar mendapat pendidikan berkualiti tinggi.

Wee berkata, kementerian juga membenarkan para pelajar yang mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia menggunakan bahasa itu sepenuhnya manakala pelajar yang mengikuti dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa itu sepenuhnya.

“Kita tidak mahu prestasi pelajar terganggu. Jadi kita sediakan kertas soalan peperiksaan dwibahasa di mana mereka boleh memilih untuk menjawab mana-mana bahasa yang mereka selesa.

“Jadi ini tidak boleh menjadi isu kerana kementerian sentiasa prihatin dengan pelajar dan tidak mahu membebankan mereka,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali sama ada akan berlaku percanggahan kerana pengajaran Sains dan Matematik di sekolah kembali menggunakan bahasa Inggeris sedangkan semua urusan rasmi mesti menggunakan bahasa Melayu.

“Kita tak pernah tinggal bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa ilmu dan komunikasi, dan dengan adanya satu pemahaman bahasa, saya harap semua orang dapat kuasai bahasa Melayu dengan baik.

“Kementerian Pelajaran sentiasa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan tertubuhnya satu jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pembabitan agensi kerajaan dan swasta.

“Perdana Menteri sendiri yang pantau setiap kempen yang kita jalankan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memastikan setiap urusan rasmi menggunakan bahasa kebangsaan, selaras dengan Artikel 152 (1) Perlembagaan,” katanya. – BERNAMA

SIDANG MEDIA: PENGUMUMAN ANALISIS KEPUTUSAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) 2011


SIDANG MEDIA: PENGUMUMAN ANALISIS KEPUTUSAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) 2011

Sukacita dimaklumkan bahawa sidang media di atas akan diadakan seperti butiran berikut :
            Tarikh             :           17 November 2011 (Khamis)
Masa               :           9.00 Pagi
 
Tempat           :           Bilik Mesyuarat Utama
                                    Aras 6, Blok E8, Parcel E
                                    Putrajaya
 
Tetamu Kehormat     :           Y. Bhg Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud

                                                            Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

SIDANG MEDIA: MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG KOKURIKULUM PENDIDIKAN KHAS KEBANGSAAN 1 MALAYSIA


SIDANG MEDIA: MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG KOKURIKULUM PENDIDIKAN KHAS KEBANGSAAN 1 MALAYSIA

Sukacita dimaklumkan bahawa sidang media di atas akan diadakan seperti butiran berikut :
            Tarikh             :           16 November 2011 (Rabu)
Masa               :           10.00 Pagi
 
Tempat           :           Dewan Seri Siantan,
                                    Perbadanan Putrajaya
                                    Presint 3, Putrajaya
 
 
Tetamu Kehormat     :           Y. Bhg Dato’ Sri Abd. Ghafar bin Mahmud
                                                Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Budak 11 tahun maut dilanggar kenderaan – Kosmo


Budak 11 tahun maut dilanggar kenderaan

 

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK dan KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
berita@kosmo.com.my

 

GAMBAR kenangan, Amirul (duduk tengah) bersama ahli keluarganya.

 

KUANTAN – Mohd. Amirul Hakim Khairuddin, 11, yang meninggal dunia di hospital akibat cedera parah selepas dilanggar lari sebuah kenderaan di Simpang Bunga Cengkih di sini kelmarin tidak pernah menunggang basikal seorang diri keluar dari kawasan rumahnya.

Namun, menurut bapa kanak-kanak itu, Khairuddin Sabtu, 44, tengah hari kelmarin anaknya menunggang basikal seorang diri untuk ke rumah rakannya yang tinggal di Bukit Istana kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

“Sebelum ini arwah tidak pernah pergi jauh dan hanya bermain di kawasan kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, tempat saya bekerja.

“Selalunya, saya hantar dia ke rumah kawannya di Bukit Istana tetapi semalam (kelmarin) dia sendiri mengayuh basikal ke rumah rakannya tanpa pengetahuan saya,” ceritanya sedih ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, apabila pulang ke kuarters selepas habis kerja kelmarin, dia dapati Amirul tiada di rumah menyebabkan dia keluar mencari mangsa di Bukit Istana.

Semasa itu, isterinya, Rohaida Ishak, 36, berada di Temerloh kerana ada kerja.

“Sampai di rumah rakan Amirul, rakan arwah beritahu Amirul telah pulang pukul 4.30 petang pada hari kejadian,” ceritanya.

Bimbang dengan keselamatan Amirul, Khairuddin kemudian mencari anaknya sebelum menemui mangsa pada pukul 8 malam yang sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas ditemui di tepi jalan.

Pakej khas untuk derma baju sekolah – Bernama


Pakej khas untuk derma baju sekolah

16/11/2011 1:27pm

 

JITRA — Sempena sesi persekolahan baru tahun depan, sebuah busana pakaian di Bandar Darul Aman di sini menawarkan pakej pakaian sekolah pada harga istimewa untuk badan-badan korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sekolah-sekolah di negeri ini.

Pemilik Busana Noriah Sdn. Bhd., Noriah Awang berkata, mereka menawarkan pakej khas untuk mana-mana pihak yang ingin membeli pakaian sekolah untuk murid tahun satu hingga enam secara pukal atau borong untuk didermakan kepada pelajar miskin atau anak-anak yatim.

Katanya, pakej itu termasuk sepasang baju kurung, kain, stokin serta tudung untuk pelajar perempuan berharga antara RM50 hingga RM60 bagi setiap pembelian melebihi 30 pasang.

“Bagi pakaian murid lelaki pakej termasuk sepasang baju kemeja, seluar dan stokin berharga antara RM42 hingga RM48, jika ingin tambah kasut harganya antara RM23 hingga RM28 sepasang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya setiap pakej yang ditempah akan siap dan dihantar kepada pelanggan dalam tempoh seminggu atau dua minggu bergantung kepada kuantiti yang dikehendaki.

Setiap tempahan boleh dibuat terus dengan datang sendiri ke busananya di Taman Mahsuri, Bandar Darul Aman di sini atau menghubungi Noriah di talian 012-4803785 atau 04-9179448.

Katanya, pada masa kini pihaknya hanya menawarkan pakej untuk pelajar sekolah rendah dan berhasrat untuk meluaskan penawarannya ke negeri-negeri lain pada masa akan datang. — Bernama

Hempas anak atas kaki lima – Kosmo


Hempas anak atas kaki lima

GEORGE TOWN – Tidak tergambar kesakitan yang ditanggung oleh seorang budak lelaki berusia lapan tahun apabila dia cedera parah selepas ditumbuk, disepak dan dihempas ke lantai oleh bapanya yang naik angin dalam kejadian di Rumah Pangsa Desa Intan dekat Farlim di sini semalam.

Kejadian pukul 11.30 pagi itu berlaku apabila lelaki berusia 34 tahun yang merupakan seorang tabib Cina mendera anaknya di kaki lima rumah hingga meraih rasa simpati jiran-jiran.

Bukan itu sahaja, nenek mangsa yang merupakan ibu suspek turut cedera di kepala selepas dihentak dengan topi keledar oleh suspek ketika warga emas berusia lingkungan 60-an itu cuba menghalang perlakuan ganas anaknya.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di rumah itu bersama neneknya sering dimarahi dan dipukul bapanya jika membuat kesalahan kecil termasuk jika lewat menyiapkan kerja sekolah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek yang hilang pertimbangan terus memukul anaknya walaupun cuba dihalang oleh beberapa jiran.

“Sebelum itu, kepala nenek mangsa turut dihentak dengan topi keledar ketika dia cuba menghalang kejadian itu. Suspek hanya berhenti selepas dia diberkas oleh pihak berkuasa di tempat kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

“Lelaki yang merupakan seorang tabib Cina itu kini ditahan bagi membantu siasatan,” ujarnya yang memberitahu suspek baharu sahaja berpisah dengan isterinya beberapa minggu lalu.

Demi sahabat – Metro


Demi sahabat

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KONGSI...Muhammad Zal Zikri (kanan) memberi sebahagian elaun khas kepada rakan baiknya, Danish, semalam.
KONGSI…Muhammad Zal Zikri (kanan) memberi sebahagian elaun khas kepada rakan baiknya, Danish, semalam.

KUANTAN: “Saya ikhlas memberi separuh daripada wang sumbangan yang saya terima ini kepada rakan karib saya, Danish Din Alawi, untuk membantunya membuat persiapan persekolahan tahun depan. Saya tahu keluarganya kurang berkemampuan,” kata Muhammad Zal Zikri Mohd Radzi, 10.

Muhammad Zal Zikri yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Setongkol itu sudah mendapat keizinan ibunya, Norizan Razali, 48, sebelum menyerahkan sebahagian daripada wang RM100 yang diterima itu kepada rakan karibnya itu yang juga anak kepada seorang pencari besi buruk.

Menurut Muhammad Zal Zikri, kemiskinan hidup rakannya itu membuatnya terpanggil memberi separuh daripada wang bantuan awal persekolahan 2011 yang diterima tanpa memikirkan balasan daripada keluarga rakannya itu.

“Saya simpati dengan kesusahan hidupnya dan tidak berasa terbeban untuk terus membantunya selagi ibu mengizinkan saya berbuat demikian,” ujarnya yang kelihatan malu-malu ketika ditemui di sekolahnya di sini, semalam.

 
Muhammad Zal Zikri dan Danish antara 626 murid sekolah berkenaan yang menerima bantuan khas awal persekolahan 2012 yang disalurkan kerajaan dan disampaikan Pengerusi Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Parlimen Indera Mahkota, Datuk Mohd Hazmi Yusuf.

Amuk disuruh ambil SPM – Metro


Amuk disuruh ambil SPM

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki 17 tahun sanggup mengugut membunuh bapanya menggunakan besi hanya kerana disuruh pergi ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), pagi kelmarin.

Dalam kejadian 9.45 pagi di rumah mereka di Pantai Dalam, di sini, remaja itu dikatakan tiba-tiba mengamuk selepas dinasihatkan secara baik ke sekolah mengambil peperiksaan oleh bapanya yang berusia lingkungan 40-an.
Menurut sumber, ketika kejadian, remaja terbabit sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah sebelum diarah bapanya supaya bersiap ke sekolah bagi menduduki SPM.

 

“Remaja itu enggan pergi ke sekolah kemudian bertindak melulu memarahi dan memaki hamun bapanya menyebabkan keadaan menjadi tegang serta pertengkaran berlaku antara dua beranak terbabit,” katanya.
Sumber berkata, remaja terbabit yang berkeras tidak mahu ke sekolah untuk menduduki peperiksaan kemudian hilang pertimbangan sebelum mencapai sebatang besi dan cuba menyerang bapanya.
“Bagaimanapun, tindakan remaja itu berjaya dihalang ibunya. Remaja itu turut mengugut membunuh bapanya menggunakan besi berkenaan jika terus mendesaknya ke sekolah,” katanya.

 

 

Hampa dengan tindakan dan sikap keterlaluan anaknya itu, bapa berkenaan kemudian terus keluar dari rumah.
Bimbang keadaan menjadi lebih serius, ibu remaja itu membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

 

Difahamkan, selain mahukan tindakan diambil terhadap anak lelakinya itu, ibunya mahu anaknya itu dirujuk ke pusat pemulihan akhlak untuk mengelakkan sebarang perkara lebih buruk terjadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.