PRESIDEN Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berang dan menganggap soalan Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing yang mendakwa guru beragama Kristian tidak dibenarkan mengajar di sekolah kerajaan berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.
Ibrahim (Bebas-Pasir Mas) turut meminta Ahli Parlimen Tuaran itu supaya memberitahu dari akhbar mana kenyataan itu dipetik kerana seingatnya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
“Kalau baca ucapan dasar persidangan agung kita baru-baru ini, bagaimana kita NGO (badan bukan kerajaan) memperjuangkan keharmonian kaum.
“Jadi saya anggap soalan ini jahat kerana kalau ada kenyataan dalam media baru, mengguna nama samaran…. Buat macam-macam cerita. Sepatutnya kementerian bila terima soalan macam ini merujuk kepada urusetia kita untuk pastikan ia betul atau tidak,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Wilfred dalam soalannya meminta Menteri Pelajaran menyatakan pendirian kementerian atas kenyataan Perkasa yang mengusulkan guru beragama Kristian tidak dibenarkan mengajar di sekolah kerajaan.
Wilfred berkata, beliau tidak ingat dari akhbar mana kenyataan itu dipetik, tetapi ia merungsingkan guru.
“Saya rujuk pada surat khabar dan saya tak bawa hari ini dan banyak guru merujuk kepada saya supaya bawa perkara ini ke Parlimen dan saya tak berniat jahat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dalam jawapannya berkata, kementerian mengambil kira setiap sensitiviti berhubung apa yang dibangkitkan dan NGO boleh menyampaikan pandangan masing-masing.
“Kita ambil kira setiap sensitiviti, contoh pada 27 April lalu apabila surat pekeliling iktisas dikeluarkan ketua pengarah membolehkan ‘bible’ diajar di sekolah.
“Kita mempunyai garis panduan, pertama kena hormati Islam agama rasmi di negara ini dan kedua sekiranya pengajaran ini diajar, ia tidak boleh mencakupi murid agama lain dan ia amat jelas,” katanya.