PUSAT PANGGILAN SPP


PUSAT PANGGILAN SPP

Bagi mengurangkan kesesakan talian telefon pada musim cuti persekolahan, SPP telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Pusat Panggilan SPP. Pusat Panggilan SPP dibuka pada setiap hari bekerja dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang (tidak beroperasi pada waktu rehat tengah hari). Pelanggan yang mempunyai pertanyaan mengenai urusan pengambilan dan perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi dan Anggota Kumpulan Sokongan boleh menghubungi Pusat Panggilan SPP di talian03-8871 7330

Program SKUM pacu prestasi sekolah – Kosmo


Program SKUM pacu prestasi sekolah


 

WAJAHNYA mudah mencuri pandangan sesiapa sahaja walaupun ketika seseorang mengimbas pantas antara ratusan kelibat murid-murid di Sekolah Kebangsaan Batu Bungan (SKBB), Mulu, Sarawak.

Berkulit cerah dan berhidung mancung serta sedikit jeragat di pipi yang menambah keunikan identitinya, murid tahun enam itu, Liam Belarik, 12, tidak sukar didekati. Mungkin juga dia sudah terbiasa dengan rasa ingin tahu dan pertanyaan orang tentang dirinya.

“Bapa saya dari etnik Berawan, manakala ibu saya berasal dari Ireland. Saya memang dilahirkan di sini,” terang Liam yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan juga serasi dengan beberapa laras bahasa suku kaum tempatan.

Menurutnya yang gemar aktiviti memancing dan bersiar-siar bersama kawan-kawan sekolah pada masa terluang itu, ibu bapanya bertugas sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Gunung Mulu. Minat dan kerjaya yang suatu ketika dahulu menemukan cinta antara kedua-dua ibu bapanya itu kini turut terserap menjadi impian dan cita-citanya.

“Saya mahu mengikut jejak mereka menjadi pemandu pelancong atau renjer hutan. Saya suka pada alam semula jadi dan saya berbangga di sini ada banyak tarikan menarik,” ujarnya ramah sambil sesekali tersenyum lantaran diusik teman-teman sekelas yang malu-malu bersuara dari sudut tangga blok sekolah itu.

Minat Liam terhadap alam sekitar dilihat selari dengan objektif program NatCom: Reaching The Grassroots yang dilancarkan oleh pihak Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) di sekolahnya pada 28 Oktober lalu.

Seiring dengan fokus UNESCO iaitu memperkayakan aspek pendidikan, saintifik dan kebudayaan, program tersebut dilaksanakan SKUM untuk mencetus semangat para pelajar dan tenaga pendidik terhadap aktiviti ilmiah berdasarkan elemen persekitaran yang ada di sekolah itu sendiri.

Penghormatan

Guru Besar SKBB, Raymond Lagang, menyifatkan kunjungan SKUM ke sekolah itu sebagai suatu penghormatan dan kesempatan yang seharusnya dimanfaatkan oleh tenaga pengajar serta para pelajarnya.

Laman web SKUM sedang dilayari murid-murid tahun dua, Jason Evans Paul (duduk) dan Beckham Jr. di bilik sumber SKBB.

 

“Pihak sekolah dapat berbincang dengan anggota SKUM ini khususnya dalam memberi maklum balas dan menjalin kerjasama khususnya dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Banyak yang boleh dicapai berkaitan hal-hal pelaksanaan program pendidikan demi masa depan anak-anak Mulu,” ujarnya.

Raymond memberitahu, 12 orang guru yang bertugas di SKBB giat berusaha untuk berkhidmat dengan sebaik-baiknya demi melonjakkan pencapaian diri dan pencapaian akademik para pelajar mereka.

“Prestasi murid-murid di sini ada naik dan turunnya. Antara cabaran bagi para guru adalah untuk mengajar dan memberi pemahaman kepada mereka dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris,” terangnya yang menganggap lawatan SKUM sebagai usaha segar yang memberi motivasi kepada keseluruhan warga SKBB.

Berdasarkan rekod, sekolah yang mempunyai seramai 156 orang murid dari 12 etnik berbeza itu sungguh bertuah kerana telah banyak berubah dari aspek prasarana. Kini, SKBB menjadi antara segelintir sekolah di kawasan pedalaman yang mendapat kemudahan mencukupi.

“Saya berharap kunjungan anggota SKUM ke Taman Negara Mulu menjadi sejarah kerana sekolah ini sememangnya terletak di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO,” kata Raymond.

Atasi sifat pasif

Jika persediaan dan pelaksanaan tanggungjawab memulihara warisan alam dijadikan kod amalan untuk menyambut ribuan pelancong dunia ke Taman Negara Gunung Mulu saban tahun, begitu juga halnya dengan murid-murid di SKBB.

WARGA SKBB sedang khusyuk mengikuti taklimat dan kuiz daripada pegawai jawatankuasa SKUM.

 

Sebelum mendedahkan murid-murid sekolah itu dengan peringkat yang lebih tinggi mengenai peranan dan manfaat SKUM, ada ruyung kelaziman yang perlu mereka pecahkan terlebih dahulu.

“Kami perlu membuat persediaan buat mereka memulakan rentak menimba ilmu. Ramai anak tempatan yang dikenal pasti bersifat pasif dan suka menyendiri. Mereka kurang mahu bercampur dengan rakan-rakan sekolah di luar waktu persekolahan kerana terjarak oleh faktor tertentu,” ujar guru pemulihan khas, Ubong Jok, 36.

Menurutnya yang sudah empat tahun bertugas di SKBB, sifat takut untuk bersuara atau memberi pendapat dalam kalangan murid-murid di pedalaman menjadi cabaran buatnya dan tenaga pendidik lain.

“Seringkali mereka dianggap sebagai murid-murid yang lembab daya fikir dan ketinggalan dalam pelajaran. Sedangkan jika sifat tersebut diatasi, mereka boleh berjaya, sama seperti para pelajar lain di sekolah-sekolah bandar,” ujarnya yakin.

Di dalam kelas pemulihan SKBB yang penuh dengan alat bantu mengajar, bahan bacaan, permainan interaktif dan kerja seni yang berwarna-warni, kekangan yang membelenggu prestasi sebenar murid-murid cuba dibebaskan.

“Di dalam bilik ini, mereka menyertai sesi penyesuaian diri melalui aktiviti seni kreatif, dibimbing secara khusus untuk menggalakkan interaksi dan bermain dalam suasana sihat,” jelas Ubong yang meletakkan harapan agar pihak seperti SKUM membawa sinar baharu buat pengisian akademik mereka melalui tawaran program bermanfaat.

Sebelum ini, beberapa buah sekolah yang mengikuti program yang disyorkan SKUM telah menunjukkan perubahan positif. Para pelajar dan tenaga pendidik dilihat lebih terhubung di dalam dan di luar kelas, sekali gus menyemarakkan minat terhadap pelajaran.

Perubahan positif

Kesan program itu secara berperingkat dilihat daripada peningkatan gred para pelajar dalam peperiksaan.

Lebih daripada itu, pengisian program berpaksikan UNESCO seperti yang dipromosi SKUM bukan sahaja disertai para pelajar dan guru, malah mendapat perhatian serta dijayakan komuniti setempat.

GURU pemulihan khas, Ubong Jok, menunjukkan kemudahan bahan bacaan dan hasil kerja kreatif para pelajar yang mengikuti kelas bimbingannya.

 

Penglibatan masyarakat secara menyeluruh dalam program-program antarabangsa seperti itulah yang mampu memacu sesebuah sekolah biasa menjadi sekolah berprestasi tinggi.

Semangat pendidikan

Kosmo! sempat meninjau suasana di SKBB sempena kunjungan istimewa tersebut. Berjalan melewati kemudahan blok bilik darjah dan koridor yang dominan material kayu di situ seharusnya membuatkan seseorang pengunjung dari bandar besar berasa rendah diri.

Rendah diri kerana biarpun di dalam kawasan sekolah yang serba sederhana itu, hakikatnya banyak bakat baharu sedang dipupuk. Di situ juga, ramai bakal belia berguna danpemimpin masa depan sedang dihasilkan. Semangat pendidikan di SKBB perlu terus dikobarkan tanpa beralah pada kekurangan.

Meskipun ada dalam kalangan murid-murid itu masih kelihatan segan dan pasif, tidak kurang juga ada kelompok yang berani menonjolkan diri. Mereka tidak teragak-agak untuk melambai tangan menyambut kedatangan rombongan SKUM, memulakan pertanyaan, memberi respons spontan dan ceria beraksi tatkala lensa kamera Kosmo! ditala ke arah mereka.

Jika reaksi positif seumpama itu menjadi ikutan keseluruhan warga SKBB, tidak mustahil sahsiah mereka mampu dikembangkan secara sihat sekali gus bersedia menjadi duta bagi menyambut kedatangan tetamu dunia ke Mulu!

Penempatan guru: Muhyiddin wajar letak jawatan – Harakah


Penempatan guru: Muhyiddin wajar letak jawatan | |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Nov: Gabungan Ikatan Islam Se-Malaysia (Gamis) menasihatkan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan ekoran kegagalannya menangani masalah penempatan guru graduan pendidikan.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, presidennya Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri itu sehingga kini masih gagal memberi jaminan ‘posting’ kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

“Graduan dalam bidang pendidikan ini memerlukan jawapan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya oleh Tan Sri Muhyidin untuk memastikan mereka boleh mengatur masa depan yang baik kerana pengangguran dikalangan graduan bakal guru ini semakin teruk ditambah pula kenyataan yang tidak cermat dan mengguriskan hati mahasiswa oleh menteri berkenaan supaya graduan bidang pendidikan ini mencari kerja lain selain dari guru,” katanya.

Selain itu beliau juga mempersoalkan nasib graduan ISMP yang dianak tiri, dalam masa yang sama sejumlah 13000 guru Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang sepatutnya diisi oleh graduan bidang pendidikan yang tamat pengajiannya pada 2011 ini.

Menurutnya, pengumuman pada bajet 2012 untuk melanjutkan umur bersara penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun juga turut memberi kesan berantai kepada pengangguran graduan yang terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk mengisi ruang dalam penjawat awam dan juga terpaksa bersaing dengan graduan baru pada masa tersebut.

“Lebih mengecewakan ialah bangsa asing lebih diutamakan untuk menjadi pendidik kepada anak bangsa kita setelah pengumuman kerajaan untuk membawa masuk 300 orang guru bahasa inggeris dari Amerika Syarikat yang menelan belanja RM18 juta sedangkan dalam masa yang sama ramai graduan anak watan yang menganggur.

“Soalnya, siapa yang lebih diutamakan untuk mendidik generasi bangsa kita,” soal Syazwan.

Tambahnya lagi, kegagalan garaduan ditempatkan juga menyebabkan mereka terus terbeban untuk membayar wang pinjaman PTPTN.

Tekanan ini katanya, sepatutnya diselesaikan dengan bijak oleh seorang Menteri Pelajaran dengan memberikan ruang dan jalan yang sesuai, bukannya lari dari tanggungjawab dengan menyuruh bakal guru untuk bekerja di sektor lain.

“Sesunggunya amat songsang dengan falsafah pendidikan apabila seorang bakal guru disaran untuk bekerja diladang ternakan lembu.

“Maka pihak Gamis merasakan Tan Sri Muhyidin Yasin perlu meletakkan jawatan atas kegagalan menguruskan graduan dan bakal guru ini disamping dasar pendidikan yang tidak konsisten dan menyusahkan rakyat termasuk juga dalam isu PPSMI.

“Jawatan ini perlu diberi kepada yang layak dan mampu berfikir untuk mencari jalan penyelesaian, bukan helah untuk selamatkan diri dan kepentingan,” tegasnya.

Anak petani antara pelajar cemerlang UPSR – Bernama


Anak petani antara pelajar cemerlang UPSR

17/11/2011 5:32pm

 

HULU TERENGGANU – Anak petani, pembantu kantin dan pekerja kilang antara tujuh pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Dusun di sini.

Biarpun terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan, namun murid di sekolah luar bandar ini tetap membuktikan mereka mampu bersaing dengan pelajar lain sehingga membantu sekolah itu muncul sekolah terbaik UPSR di Terengganu.

Tinjauan Bernama mendapati sekolah itu mempunyai 65 murid di Tahun Satu hingga Enam dan sebahagian besar daripada mereka belajar di bangunan kayu.

Guru Besar Sekolah itu Noraini Lebai Abdul berkata, 15 calon yang menduduki peperiksaan itu semuanya lulus, dan pencapaian cemerlang yang dicatat adalah hasil kerja keras guru hingga mampu memperoleh 1.23 Gred Purata Sekolah (GPS). – Bernama

UPSR terbaik dalam tempoh lapan tahun di Kelantan – Utusan


UPSR terbaik dalam tempoh lapan tahun di Kelantan

17/11/2011 4:20pm

 

 

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI

 

KOTA BHARU 17 Nov. – Kelantan mencatatkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 terbaik dalam tempoh lapan tahun apabila mendapat Gred Purata Nasional (GPN) 2.09 berbanding 2.22 pada tahun lalu.

Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata, keputusan UPSR kali ini juga menyaksikan bilangan calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.95 peratus kepada 5,282 orang berbanding 5,128 tahun lalu.

“Peratusan calon yang mendapat pencapaian baik iaitu sekurang-kurangnya mendapat C turut meningkat daripada 18,715 calon atau sama dengan 52.93 peratus pada tahun lalu kepada 19,868 orang atau sama dengan 58.12 peratus tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 1,153 atau 5.19 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan peperiksaan tersebut di Bilik Gerakan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di sini, hari ini.

Hussain berkata, seramai 35,340 calon menduduki peperiksaan tersebut tahun ini di mana 34,499 daripadanya merupakan calon sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 841 lagi calon swasta membabitkan 448 pusat yang diselia oleh 2,166 orang petugas. – Utusan

Pusat peperiksaan SPM alternatif jika banjir – Bernama


Pusat peperiksaan SPM alternatif jika banjir

2011/11/17

KOTA BAHARU: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan akan menyediakan pusat peperiksaan alternatif jika pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah seluruh negeri ini dilanda banjir.

Pengarahnya, Hussain Awang, berkata jabatan itu membuat perancangan awal menerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Tindakan Bersama Pejabat Pendidikan Daerah seluruh Kelantan bagi memastikan pelajar dapat menjalani peperiksaan SPM dengan lancar walaupun banjir.

“Antara langkah yang diambil ialah menyediakan pusat peperiksaan alternatif semasa banjir dengan pelajar boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan berdekatan tanpa perlu ke tempat peperiksaan sebenar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika situasi banjir tidak membimbangkan, pusat peperiksaan alternatif itu mungkin ditempatkan di bahagian atas bangunan sekolah.

Selain itu, JPN Kelantan mendapatkan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagi SPM tahun ini, sebanyak 336 pusat peperiksaan disediakan untuk 42,797 calon berdaftar di seluruh negeri ini. – BERNAMA

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN EDUCATION POLICY REVIEW ANTARA KPM DAN UNESCO BANGKOK


MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN EDUCATION POLICY REVIEW ANTARA KPM DAN UNESCO BANGKOK

Sukacita dimaklumkan bahawa program diatas akan diadakan seperti butiran berikut :
            Tarikh             :           18 November 2011 (Jumaat)
Masa               :           9.00 Pagi
 
Tempat           :           Ruang Legar                         
                                    Kementerian Pelajaran Malaysia
                                    Aras 8, Blok E8
                                    Parcel E Putrajaya
 
Tetamu Kehormat     :  1.      Y. Bhg Dato’ Dr. Rosli Bin Mohamad
                                                Ketua Setiausaha
                                                Kementerian Pelajaran Malaysia
 
 2.             Mr. Etienne Clement
          Timbalan Pengarah Serantau UNESCO Bangkok

TEKS PENGUMUMAN ANALISIS KEPUTUSAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2011


TEKS PENGUMUMAN ANALISIS KEPUTUSAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2011

PENGUMUMAN ANALISIS KEPUTUSAN
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR)
TAHUN 2011
 
 
 
 
Oleh
 
Y.BHG. DATO’ SRI ABD. GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
                                                    
17 NOVEMBER 2011
21 ZULHIJJAH 1432
 
 
 
DI
 
BILIK MESYUARAT UTAMA
TINGKAT 6, BLOK E8
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
PUTRAJAYA

Sila muat turun teks pengumuman di bawah.

Teks Pengumuman Keputusan UPSR 2011

Atlet muda Sukan SEA dapat 5A dalam UPSR – Bernama


Atlet muda Sukan SEA dapat 5A dalam UPSR

17/11/2011 3:28pm

 

KUALA SELANGOR 17 Nov. – Atlet muda negara pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia, Nur Najiha Azman Hisham, mencatat kejayaan manis buat dirinya apabila mendapat 5A dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Keputusan cemerlang itu merupakan kejayaan berganda buat atlet berusia 12 tahun itu yang menyumbang pingat gangsa kepada negara menerusi acara catur campuran standard individu dalam temasya sukan itu semalam.

Ibu kepada Nur Najiha, Zazaluma Harun, 43, berkata, dia sudah menjangkakan kejayaan anak ketiga daripada empat beradik itu memandangkan pencapaian konsisten anaknya dalam beberapa siri ujian sebelum ini.

Namun sebagai ibu, dia sentiasa mengingatkan Nur Najiha supaya belajar bersungguh-sungguh dan bijak membahagikan masa antara pelajaran dan pembabitannya dalam sukan catur yang diceburi sejak usia enam tahun. – Bernama

UPSR: Terengganu terbaik untuk kali ke-11 – Berita Harian


UPSR: Terengganu terbaik untuk kali ke-11

2011/11/17

KUALA TERENGGANU: Terengganu mengekalkan kejayaan terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk kali ke-11 berturut-turut dengan Gred Purata Negeri 2.14, peningkatan 0.11 berbanding 2.25 tahun lalu.

Sekolah luar bandar termasuk Sekolah Kebangsaan Dusun Hulu Terengganu dan Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu Tok Dor, Besut, mengungguli kecemerlangan.