Bekas pengetua didakwa tipu lebih RM230,000
PETALING JAYA 18 Nov. – Seorang bekas pengetua sebuah institut bahasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memperdaya seorang lelaki warga Nigeria supaya menyerahkan wang melebihi RM230,000 kepadanya, dua bulan lalu.
Tertuduh, R. Vemaladavi, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membenarkan nombor akuan milik Syarikat Bold Trading Hub yang didaftarkan atas namanya untuk menerima wang hasil penipuan RM234,735.76 daripada Lehman Neil Bayden.
Kejadian didakwa berlaku di CIMB Bank Bhd., No 31-1, Jalan USJ 9/58 UEP Subang Jaya di sini pada 27 September lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd. Rawi mencadangkan wang jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta pasport perlu diserah kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.
Peguam bela Francis Pereira yang mewakili Vemaladavi, merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh baru sahaja digantung kerja akibat kes tersebut, selain telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis semasa disoal siasat.
Ahmad Solihin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes. – Utusan