Usaha dua kali ganda berbanding rakan – Metro


Usaha dua kali ganda berbanding rakan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: “Keluarga, rakan dan guru banyak membantu kerana dengan keadaan tangan yang lemah, saya terpaksa berusaha dua kali ganda berbanding rakan lain,” kata murid cemerlang kategori calon berkeperluan khas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang memperoleh 5A.

Syakirah Karim, 12, anak kedua kepada pasangan Radziah Siden, 42, dan Karim Ahmad, 42, menghidap pseudo drop lasia (sakit sendi) mengakibatkan pertumbuhannya perlahan dan sehingga kini hanya mempunyai ketinggian 116 sentimeter dengan berat badan 21 kilogram.
Malah, penyakit itu menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sacred Heart, Bandar Hilir di sini, yang bercita-cita menjadi guru itu sukar melakukan kerja seharian terutama aktiviti membabitkan penggunaan tangan kerana keadaan jari yang lemah.

 

“Saya tak sangka mendapat keputusan ini kerana ketika peperiksaan percubaan lalu, hanya mendapat 1A 4B. Syukur dengan keputusan ini sekurang-kurang dapat membalas jasa keluarga terutama ibu yang banyak membantu saya.
“Malah, rakan juga membantu apabila meminjamkan nota mereka kerana saya tidak mampu menulis laju berikutan jari begitu lemah hingga sewaktu peperiksaan, saya mendapat masa tambahan 15 minit selepas disahkan hospital mengenai penyakit dihidapi,” katanya ketika ditemui di pejabat Jabatan Pelajaran Melaka di sini, semalam.

Nikah segera – Metro


Nikah segera

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Remaja terlanjur 20 kali itu perlu segera dinikahkan bersama pasangannya supaya dapat elak keadaan bertambah buruk serta ini satu-satunya jalan terbaik buat mereka,” kata pendakwah, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan Harian Metro, kelmarin, berkaitan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun terlanjur 20 kali bersama teman lelakinya yang berusia 19 tahun. Remaja itu membuat pengakuan selepas didesak kakak yang menemui SMS berbaur lucah dihantar teman lelakinya. “Apabila sudah dinikahkan, baru langkah pemulihan seperti sesi kaunseling boleh dijalankan kepada remaja terbabit bersama pasangannya,” katanya.

Srikandi kelas corot – Metro


Srikandi kelas corot

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib dan Shuhada Mansor
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KONGSI...Kamaliah (kiri) berkongsi bersama rakan sekelasnya Allysha Mohamad Nadzri yang turut mendapat 5A.
KONGSI…Kamaliah (kiri) berkongsi bersama rakan sekelasnya Allysha Mohamad Nadzri yang turut mendapat 5A.

KUALA LUMPUR: “Saya nekad mahu buktikan walaupun ditempatkan di kelas tercorot saya juga mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran seperti murid lain,” kata Siti Aisyah Mawardi, 12, yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Siti Aisyah yang tinggal bersama nenek selepas ibu bapanya bercerai enam tahun lalu adalah antara 41 murid memperoleh keputusan cemerlang di Sekolah Kebangsaan Sentul 1 di sini, semalam.
Dia juga tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berikutan ketika peperiksaan percubaan UPSR hanya memperoleh 4B 1C. “Keputusan yang kurang memberangsangkan itu menyebabkan saya terus membanyakkan ulang kaji mata pelajaran yang lemah. Saya juga bersyukur kerana selain selalu dibantu guru di sekolah, nenek juga tidak jemu memberi dorongan dan sokongan,” katanya.

 

Ditanya resipi kejayaannya, Siti Aisyah berkata, dia memberi tumpuan ketika belajar di dalam kelas serta sentiasa menyiapkan kerja sekolah selain mengikuti kelas tambahan disediakan pihak sekolah.
Sementara itu, Kamaliah Nasuha Azuan, 12, dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, kejayaannya mendapat 5A dalam UPSR berbaloi dengan usaha kerasnya selama ini walaupun terpaksa menyeimbangi antara latihan sukan dan akademik.
Kamaliah yang pernah mewakili sekolahnya dalam sukan bola jaring hingga ke peringkat negeri berkata, walaupun penat menjalani latihan kokurikulum di sekolah, dia cuba mencuri masa dua jam untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.

 

 

“Saya bercita-cita menjadi atlit negara dalam sukan bola jaring,” katanya.
Selain itu, katanya, keputusan yang diperoleh semalam agak mengejutkannya kerana tidak menyangka mampu memperoleh 5A berikutan dia agak lemah dalam subjek Sains.

 

“Sebelum ini pun saya hanya memperoleh B bagi subjek Sains. Saya tak percaya boleh dapat A,” katanya.

Halau pencabul – Metro


Halau pencabul

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJANG: Helah seorang lelaki yang pura-pura tidur selepas cuba mencabul seorang pelajar perempuan di dalam bas ekspres gagal apabila dihalau keluar selepas mangsa memaklumkan perbuatan kejinya kepada pemandu bas berkenaan, 11 November lalu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 19 tahun menaiki bas yang dalam perjalanan dari Melaka ke ibu kota dan pada mulanya curiga apabila mendapati tangan penumpang yang duduk di sebelahnya diletakkan berhampiran pinggangnya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pada mulanya mangsa menyangka lelaki itu ingin mengambil beg yang diletakkan di sebelahnya tanpa mempedulikan tindakan suspek.

 

Katanya, sangkaan mangsa meleset apabila suspek tiba-tiba memegang bahu mangsa beberapa minit.
“Suspek yang beranggapan mangsa tidak menyedari perbuatan itu kemudian semakin berani apabila meramas payu dara mangsa menyebabkan mangsa tersentak dengan perbuatan suspek.
“Mangsa yang bengang diperlakukan sedemikian kemudian menoleh mukanya untuk memandang suspek tetapi sebaik ditoleh, suspek berpura-pura tidur,” katanya.

 

 

Ab Rashid berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian mempersoalkan tindakan suspek yang cuba mencabul kehormatannya.
Bagaimanapun, suspek yang bijak berlakon kemudian pura-pura tersedar dari tidurnya selepas mangsa memanggilnya beberapa kali tetapi menafikan memegang payu dara mangsa.

 

“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan lakonan dan alasan diberikan segera mendapatkan pemandu bas untuk melaporkan kejadian itu.
“Terkejut dengan aduan mangsa, pemandu bas berkenaan memberhentikan basnya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Serdang dan mengarahkan suspek keluar dari bas berkenaan,” katanya.
Sebelum suspek beredar, pemandu berkenaan sempat mengambil butiran peribadi suspek untuk diberikan kepada pihak berkuasa. Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut. Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Ketua asrama nyaris maut kebakaran surau – Bernama


Ketua asrama nyaris maut kebakaran surau

BATU PAHAT 17 Nov. – Seorang anak yatim yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nyaris maut apabila surau asrama lelaki di Wisma Anak-anak Yatim Islam Batu Pahat di sini terbakar petang semalam.

Kejadian berlaku pukul 5 petang ketika Mohd. Shakir Sulaiman, 17, sedang tidur seorang diri dalam sebuah bilik di tingkat tiga bangunan asrama itu tanpa menyedari berlaku kebakaran di surau yang terletak di tingkat satu.

Bagaimanapun, kebakaran itu disedari seorang warden asrama, Apream Ismail, 45, yang segera bertindak mengejutkan Mohd. Shakir.

Jika tidak, remaja itu yang juga ketua pelajar asrama anak yatim di situ mungkin mati lemas akibat terhidu asap tebal.

Menurut Mohd. Shakir, akibat terlalu penat mengulangkaji pelajaran sehingga pukul 2 pagi untuk menghadapi kertas peperiksaan subjek Sejarah semalam, dia tidur nyenyak sehingga tidak menyedari berlaku kebakaran di surau.

“Saya hanya sedar apabila warden menjerit mengejutkan saya dan memberitahu berlaku kebakaran. Warden sampai terjatuh dalam usaha mengejutkan saya. Memang saya terhutang budi padanya sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

2 sekolah harumkan nama negara – Utusan


2 sekolah harumkan nama negara

 

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching, Sarawak dan SM Sains Tuanku Syed Putra, Perlis memenangi Anugerah Emas sempena Pameran Rekacipta Antarabangsa Inova 2011 kali ke-36 di Zagreb, Croatia dari 8 hingga 13 November lalu.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan memberitahu, pada pameran itu, SM Sains Kuching mempersembahkan ciptaan bertajuk Potential Antifungal, Antibacteria, Antiplasmodial and Termiticidal Activity of the SELUKAI (Goniothalamuslongistipites).

Sementara itu, SM Sains Tuanku Syed Putra pula mempamerkan projek Bio-Oil The Use of Specially Made Catalyst.

“Kedua-dua sekolah tersebut mendapat kerjasama daripada Kelab Penyelidik Muda Envex (EYReC) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap),” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sekolah tersebut dipilih menyertai pameran peringkat antarabangsa berikutan kemenangan pada Pertandingan Rekacipta dan Inovasi Sains Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kebangsaan kali ke-14.

“Pada pertandingan yang diadakan dari 1 hingga 4 April lalu itu kedua-dua sekolah tersebut memenangi Anugerah Emas.

“Sebanyak 60 SBP dari seluruh negara mengambil bahagian pada pertandingan yang diadakan di SM Sains Machang, Kelantan,” katanya.

910 murid khatam al-Quran – Utusan


910 murid khatam al-Quran

 

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
pengarang@utusan.com.my

 

Sebahagian daripada kanak-kanak tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana 2011 di Masjid Khalid Alwaled, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Shahril Aizat Ahmad

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Seramai 910 murid Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melakar sejarah tersendiri apabila menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana 2011 di sini hari ini.

Menariknya, semua murid berkenaan berusia sekitar enam tahun dan terdiri daripada murid tadika di lima zon iaitu zon Bandar Tun Razak, Bangsar, Batu, Setapak dan Titiwangsa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, majlis itu kali pertama diadakan sejak penubuhan tadika MAIWP sekitar 1980-an.

“Dengan pendekatan yang dilakukan MAWIP kita dapat menyediakan murid yang boleh membaca al-Quran dan khatam pada usia muda.

“Pendekatan ini akan memberi satu nilai tambah kepada murid kerana apabila mereka melangkah ke sekolah, mereka lebih tenang dan dapat memberikan fokus kepada mata pelajaran lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir berkata,, MAIWP sentiasa bersedia dengan kurikulum dan dana bagi menampung peningkatan keperluan murid pada masa depan termasuk mewujudkan lebih banyak tadika di seluruh Wilayah Persekutuan.

“MAIWP membelanjakan sebanyak RM10 juta setahun bagi menguruskan tadika memandangkan kita serius dan komited untuk melahirkan generasi bermodal insan yang tinggi,” katanya.

Selain itu, Jamil Khir juga tidak menolak kemungkinan menjadikan majlis berkenaan sebagai acara tahunan MAIWP.

“Insya-Allah kita akan meneruskan majlis ini pada tahun-tahun hadapan dan dimasukkan ke dalam kalendar MAIWP bagi memberi motivasi kepada ibu bapa memilih tadika untuk pendidikan awal anak-anak mereka,” katanya.

Rabun teruk tidak halang dapat 5A – Utusan


Rabun teruk tidak halang dapat 5A

Muhammad Syakir Shamsudin menerima ciuman daripada ibu dan bapanya setelah memperoleh 5A UPSR 2011 di Johor Bahru, semalam. – utusan/RAJA JAAFAR ALI

 

JOHOR BAHRU 17 Nov. – Kekurangan diri tidak sedikit pun melunturkan semangat Muhammad Syakir Shamsudin, 12, dalam pelajaran sebaliknya dia yang rabun sejak di bangku sekolah mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan hari ini.

Muhammad Syakir berkata, dia disahkan rabun oleh doktor setelah ibu bapanya menghantarnya ke hospital selepas menunjukkan kemerosotan di dalam pelajaran akibat masalah penglihatannya.

”Saya tidak pernah melihat kekurangan pada diri saya sebagai penghalang malah mahu membuktikan saya juga mampu berjaya seperti pelajar normal lain.

”Saya juga amat berterima kasih kepada para guru dan rakan-rakan yang banyak membantu saya di dalam pelajaran hinggalah saya mendapat 5A,” kata anak keenam daripada tujuh beradik itu ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan UPSR di Jabatan Pelajaran Johor di sini hari ini.

Dia yang juga pengawas Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perani, Kota Tinggi, berhasrat untuk menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan.

Sementara itu, bagi Megan Soo Wei Wei, 12, yang menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda 2 di sini tidak menyangka untuk mendapat 5A.

Katanya, meskipun hanya dia seorang pelajar keturunan Cina yang mengambil peperiksaan UPSR di sekolah berkenaan, namun ia bukanlah masalah besar baginya.

”Sejak darjah satu lagi saya sudah bersekolah di sini dan saya sudah biasa berkawan dan mengulang pelajaran bersama-sama rakan yang majoritinya Melayu.

”Malah guru juga banyak membantu saya di dalam pelajaran dan hasilnya saya mendapat 5A,” katanya.

Seramai 5,753 atau 9.76 peratus daripada 58,923 calon yang menduduki UPSR 2011 di negeri ini memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Qariah muda antarabangsa dapat 5A UPSR – Utusan


Qariah muda antarabangsa dapat 5A UPSR

BESUT 17 Nov. – Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi yang mengharumkan nama negara apabila menang tempat ketiga Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, Ogos lalu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan hari ini.

Nurussyahamah Taqiah, 12, yang merupakan antara 830 murid cemerlang di daerah ini menerima slip keputusan itu daripada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Zaharah Che Teh.

Turut menemani calon itu menerima keputusan UPSR ialah bapanya, Nurunajmi Yaakob dan ibu, Sauzan Ibrahim yang berkongsi kegembiraan dengan pencapaian itu sekali gus menepati harapan kedua ibu bapanya serta sasaran Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah.

Nurussyahamah Taqiah menyertai pertandingan akhir tilawah anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran TV kanak-kanak Al Jazeera pada 26 Ogos lalu.

Dia berjaya melepasi ujian di peringkat separuh akhir yang diadakan pada 22 hingga 28 Jun lalu di Doha melibatkan 63 peserta hasil dua ujian saringan membabitkan 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia dan 49 daripadanya adalah dari Malaysia.

Nurussyahamah Taqiah khatam al-Quran sebanyak empat kali semasa berumur enam tahun dan pernah menjadi johan tilawah program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) peringkat negeriTerengganu pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Pasangan kembar di Kedah cemerlang UPSR – Utusan


Pasangan kembar di Kedah cemerlang UPSR

ALOR SETAR 17 Nov. – Sepasang kembar yang merupakan anak seorang petani di Kampung Bukit Teriak di Pokok Sena dekat sini berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan hari ini.

Dengan kejayaan itu, Nur Hafizah Azmi, 11, dan Nur Hazirah, 11, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Mas dekat sini, melahirkan kegembiraannya kerana usaha keras mereka mengulang kaji pelajaran setiap hari membuahkan hasil.

“Setiap petang kami akan pastikan sekurang-kurangnya tiga jam diperuntukkan untuk ulang kaji dan setiap minggu pula masa diisi dengan ke kelas tuisyen,” kata Nur Hazirah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Teriak di sini hari ini.

Katanya, dia berasa berdebar-debar ketika mahu mengambil keputusan UPSR di sekolah kerana bimbang keputusannya berbeza dengan kakaknya, Nur Hafizah.

“Setiap hari saya berdoa agar keputusan yang kami peroleh adalah sama dan alhamdulillah doa dimakbulkan,” ujarnya.

Menurut Nur Hafizah pula, dia telah lama berazam untuk menjadi murid cemerlang demi mendapat pekerjaan yang baik seterusnya membalas jasa kedua ibu bapa.

“Ayah seorang petani dan dia bekerja keras untuk kami sekeluarga dan dengan keputusan UPSR ini saya harap dapat gembirakannya,” ujarnya yang bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.

Sementara itu, satu lagi pasangan kembar iaitu Nur Hamisah Wahab dan Nur Hamizah dari SK Padang Sanai, Kuala Nerang dekat sini masing-masing memperoleh 5A dan 4A 1B.

Kata Nur Hamisah, dia bersyukur kerana berjaya memperoleh semua A dan ia adalah hadiah buat kedua ibu bapa yang bekerja sebagai penoreh getah.

“Walaupun sedikit sedih kerana adik tidak dapat semua A tetapi kami tetap bersyukur dengan keputusan ini,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang polis.

Menurutnya, tiga bulan sebelum peperiksaan UPSR, ibunya, Nor Saripah Taib, 33, memotong saluran Astro kerana mahu mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat memberitahu, keputusan UPSR tahun ini menunjukkan peningkatan penca