Pulang jika tidak mahu – Metro


Pulang jika tidak mahu

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Wang bantuan persekolahan RM100 yang tidak dituntut ibu bapa termasuk mereka yang enggan mengambilnya dengan alasan mampu menanggung persekolahan anak akan dipulangkan semula ke tabung kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika ada lebihan wang disebabkan ibu bapa tidak menuntutnya, ia bukan masalah kerana akan dipulangkan semula kepada Kementerian Pelajaran.
“Perkara itu (menuntut wang) terserah kepada ibu bapa sama ada mengambilnya atau hendak menyumbang kembali kepada sekolah. Kita ada senarai pelajar, kalau ada dua atau tiga orang yang tidak mahu atas sebab tertentu, pihak sekolah akan memulangkannya kepada tabung kerajaan.

 

“Tujuan kerajaan memberi bantuan itu bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan, jadi terpulang kepada mereka, tetapi ia mesti diberikan kepada ibu bapa, mana-mana pihak jangan potong jumlahnya ‘siang-siang’,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Malaysia 2011, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay; Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia, Mohd Zulkifli Mohammed.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya berharap semua ibu bapa dapat menuntut wang itu selewat-lewatnya sehingga hujung tahun ini.

 

 

“Mereka masih boleh menuntut wang itu walaupun di musim cuti sekolah dan kita harap ia dapat diselesaikan pada bulan ini, jika sehingga hujung tahun wang itu masih belum diambil, guru besar atau pengetua boleh membuat keputusan untuk pulangkan kembali kepada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan berpuas hati dengan pencapaian negara sebagai anggota Unesco bukan saja dari sudut pendidikan, malah sains dan kebudayaan berikutan pelbagai pengiktirafan diterima.

 

“Kami juga hampir 100 peratus mencapai matlamat Pendidikan Untuk Semua (EFA) yang digariskan Unesco lebih awal daripada sasaran ditetapkan pada 2015 cuma ada beberapa lagi negara anggota yang tidak dapat memenuhi masa terbabit disebabkan pelbagai krisis seperti inflasi, masalah kewangan global, peperangan, kemiskinan dan bencana alam.
“Jadi kita setuju dengan usaha Unesco untuk merangka strategi melihat semula pelaksanaan EFA melangkaui 2015,” katanya.
Beliau turut berharap Hari Unesco Malaysia diadakan setiap tahun bagi memudahkan rakyat menilai kedudukan serta sumbangan negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s