TPM: Kembalikan wang bantuan tidak dituntut
KUALA LUMPUR 18 Nov. – Pihak sekolah perlu mengembalikan semula wang bantuan awal persekolahan RM100 kepada kerajaan sekiranya wang terbabit tidak dituntut oleh ibu bapa yang merasakan mereka sudah berkemampuan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa sama, ibu bapa juga boleh membuat pilihan sama ada ingin menerima bantuan itu atau mahu menyumbang kepada pihak sekolah.
Namun sebelum membuat pilihan tersebut, katanya, ibu bapa perlu menuntut terlebih dahulu wang berkenaan kerana kerajaan tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan daripada kelonggaran itu.
“Kalau ada ibu bapa pelajar yang kata tidak memerlukannya, itu tidak apa. Kita dah arahkan pihak sekolah, kalau ada lebihan, pulangkan kepada kementerian dan akan masuk balik dalam tabung kerajaan, itu duit kerajaan.
“Tujuan kita mahu kurangkan beban ibu bapa sebab awal tahun perlu belanja kelengkapan sekolah,” katanya selepas merasmi Hari Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia, di sini hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan bersedia melanjutkan tempoh pembayaran wang bantuan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tempoh waktu telah ditetapkan tetapi dalam kes tertentu ia terpulang kepada pengetua dan guru besar.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan bercadang menjadikan sambutan Hari UNESCO Malaysia sebagai acara tahunan bagi mendedahkan pengiktirafan yang diterima negara daripada badan tersebut.
Katanya, sepanjang menyertai UNESCO, Malaysia mendapat banyak faedah antaranya dalam soal pendidikan, sains, kebudayaan serta sejarah dan manfaat tersebut perlu dijadikan bahan tatapan umum.