Salleh tolak tanggapan bantuan RM100 bermotif politik – Bernama


Salleh tolak tanggapan bantuan RM100 bermotif politik

2011/11/20

KOTA BELUD: Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menolak tanggapan bahawa pemberian bantuan RM100 kepada setiap murid bermotifkan politik.

Sebaliknya beliau berkata, bantuan itu bertujuan murni iaitu untuk membantu meringankan beban rakyat khususnya ibu bapa menjelang sesi persekolahan awal tahun depan.

Salleh berkata, semua yang layak akan dapat bantuan tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik ibu bapa.

“Jadi saya minta murid-murid menggunakan duit ini sebaik mungkin. Kita berharap duit ini akan membantu meringankan beban ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan persekolahan Program RM100 1Murid di SK Pekan Kota Belud di Dewan Masyarakat Kota Belud, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah, Ahmad Bahkrin Yusof.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, bantuan seumpama itu menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan kerajaan untuk membela nasib rakyat terutama ibu bapa dan murid-murid sekolah.

Katanya, dianggarkan sekitar 21,000 murid di Kota Belud layak menerima bantuan itu yang dijangka menelan belanja sekitar RM2.1 juta.
Jumlah bantuan keseluruhan untuk program itu di seluruh negara ialah RM530 juta, katanya. – BERNAMA

Pelajar maut bot langgar batu karang – Bernama


Pelajar maut bot langgar batu karang

20/11/2011 5:12pm

 

LANGKAWI — Seorang pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut setelah bot yang dinaikinya melanggar batu karang di persisiran pantai Kok di sini semalam.

Abu Huzaifah Muhammad Hamzah, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra Langkawi dipercayai maut akibat luka parah di badannya dalam kejadian itu.

Mayat pelajar itu ditemui pada Maghrib semalam.

Bapa pelajar itu, Muhammad Hamzah Abdullah yang juga pemilik ladang kuda di sini, berkata kejadian itu merupakan yang kedua membabitkan anaknya yang maut.

Anak sulungnya, Umar Hafidz maut akibat kemalangan jalan raya tidak jauh dari Pantai Kok 10 tahun lepas, katanya.

Semasa kejadian Abu Huzaifah bersama lapan rakannya menaiki bot untuk merehatkan minda selepas beberapa hari menduduki peperiksaan SPM, kata Muhammad Hamzah. – Bernama

Pelajar hidap penyakit paru-paru perlu bantuan beli mesin oksigen baru – Bernama


Pelajar hidap penyakit paru-paru perlu bantuan beli mesin oksigen baru

2011/11/20

KULIM: Pelajar yang terpaksa menggunakan balang oksigen sejak tujuh tahun lalu kini berdepan dengan satu lagi cabaran dalam hidupnya apabila mesin pembekal oksigen “Oxy Concerntractor” kegunaannya rosak sejak Oktober lalu.

Ibu pelajar itu, Norizan Yeop, berkata pihak penjual mesin itu memberitahu mesin itu yang tidak boleh dibaiki lagi dan pada masa ini mereka menggunakan mesin yang dipinjamkan atas ihsan Hospital Pulau Pinang.

Mesin itu dibeli dengan pinjaman Bank Kerjasama Rakyat Malaysia pada 2004 dengan harga RM7,000, kata Norizan, 44, kepada Bernama ketika ditemui di rumah mereka di Taman Makmur, Lunas, hari ini.

Zulhilmi Marzuki, 12, yang mendapat keputusan 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini mengalami jangkitan paru-paru Bronchilitis Obliterans ketika berusia empat tahun dan sejak itu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada balang oksigen untuk meneruskan kehidupan.

Bapa pelajar itu, Marzuki@Yahaya Hashim, 51, berkata sebagai pekerja am di Jabatan Kerja raya Daerah Kulim /Bandar Baharu dengan berpendapatan RM1,000 sebulan, dia tidak mampu untuk membeli mesin itu dan mengharapkan bantuan.

“Sebanyak RM1,130 sebulan diperlukan bagi penyelenggaraan silinder oksigen,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan itu bersyukur kerana walaupun kerap tidak hadir ke sekolah kerana perlu menjalani rawatan susulan di hospital tetapi keputusan UPSR yang diperoleh Zulhilmi memberangsangkan.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras NGO Kulim/ Bandar Baharu, M Thuraisingam yang mengunjungi keluarga itu hari ini berkata, beliau akan menubuhkan tabung bagi membantu Zulhilmi mendapatkan sebuah mesin baru untuk kemudahannya.

Orang ramai dan badan korporat boleh menyalurkan bantuan ke akaun Hong Leong Bank Berhad No. 059-50-08658-8 atas nama Norizan Yeop atau hubungi telefon bimbit 012-4857609 (Marzuki). – BERNAMA

Tiada cadangan selaras yuran PIBG – Kosmo


Tiada cadangan selaras yuran PIBG

PONTIAN – Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.

Bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.

“Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.

“Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan.

Berdasarkan rekod Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), yuran PIBG sekolah kebangsaan ialah di antara RM50 hingga RM100 manakala bagi sekolah menengah pula sebanyak RM100 hingga RM300.

Kem motivasi cuti sekolah – Metro


Kem motivasi cuti sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Human Capital Development Services, syarikat latihan motivasi kerohanian akan menganjurkan kem motivasi secara holistik ‘Anakku Permata Firdausi’ untuk pelajar sekolah rendah tahun berusia 10 hingga 15 tahun, Disember ini.

Pengarahnya, Shaharul Ridzuan Shamsuddin berkata, program itu bertujuan membentuk hala tuju dan jati diri kanak-kanak.
Beliau berkata, modul program holistik ini merangkumi solat, motivasi kerohanian, pembelajaran serta pembentukan akhlak, mampu memberi input tambahan ke arah pembesaran remaja.

 

Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-40102813 atau 010-3240051, 017- 3328451 dan 010-8314729.

Guru lempar wang – Metro


Guru lempar wang

Oleh FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS
asmaini@nstp.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PAGOH: “Saya terkejut kerana guru besar sanggup melemparkan wang RM26 di depan kami dan melayan seperti pengemis, sedangkan kami ke sekolah kerana mahu menuntut hak anak mendapat RM100 seperti mana diterima pelajar lain,” kata Azman Salleh, 38, bapa seorang murid yang kecewa wang pemberian kerajaan kepada anaknya dipotong tanpa alasan munasabah.

Menurut Azman, anaknya, Ainul Akmal, 8, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.
Potongan itu memeranjatkan Azman dan isteri, Norizan Mohd Mustafa, 38, kerana apa diketahui mereka, tiada sebarang hutang buku yang masih belum dilunaskan.

 

Azman berkata, Selasa lalu dia pergi ke sekolah untuk mengambil wang seperti diarahkan tetapi terkejut apabila hanya menerima separuh daripada jumlah asal.
Katanya, dia ada bertanyakan guru mengenai hutang dimaksudkan tetapi tidak mendapat jawapan meyakinkan. “Pengurusan sekolah memaklumkan hutang buku rampaian Ainul tahun ini belum dijelaskan sedangkan saya dan isteri sudah membayarnya.
“Lebih pelik, anak saya juga tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan sehingga tamat persekolahan tahun duanya.

 

 

“Jika benar kami masih mempunyai hutang, mengapa pengurusan sekolah tidak mengeluarkan sebarang surat untuk memaklumkan perkara itu sebelum ini?” katanya.
Tidak puas dengan penjelasan itu, Azman berkata, dia sekali lagi pergi ke sekolah berkenaan, semalam, namun kecewa apabila guru besar melayannya seperti pengemis selain mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka sekeluarga.

 

Katanya, kejadian berlaku di pejabat itu turut disaksikan isteri, kerani dan kakitangan sekolah berkenaan.
“Saya meminta secara elok baki duit anak kerana Ainul tidak pernah mendapat buku rampaian dimaksudkan.
“Namun, guru besar itu tiba-tiba melenting dan mengeluarkan duitnya sendiri sebanyak RM26 sebelum melemparkannya kepada kami.
“Saya begitu terkejut dengan tindakannya itu. Inikah sikap seorang guru yang selama ini diagungkan sebagai pendidik bangsa?” katanya yang membuat laporan polis pada hari sama.

Padah lari asrama – Metro


Padah lari asrama

Oleh SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ARAU: Akibat kebosanan, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang bertindak melarikan diri dari asrama sekolahnya, dekat sini, berdepan detik menyayatkan hati apabila menjadi mangsa rogol seorang lelaki pada Khamis lalu.

Mangsa dipercayai memanjat pagar asrama kira-kira jam 10.45 malam sebelum terserempak dengan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah stesen bas lalu mempelawa diri untuk menemani gadis itu. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, suspek kemudian membawa mangsa bersiar-siar di Kangar, dekat sini, sehingga tengah malam.
Katanya, mangsa yang berasal dari Lubuk Sireh tidak dapat pulang ke asramanya kerana sudah lewat malam sebelum diajak pulang ke rumah lelaki terbabit.

 

“Mangsa tidak mengesyaki sesuatu yang buruk apabila suspek memaklumkan tinggal bersama keluarga selain berjanji menghantarnya pulang ke asrama pada keesokan paginya.
“Percaya dengan kata suspek, mangsa mengikut lelaki itu pulang ke rumahnya sebelum dirogol serta dikurung sehingga petang keesokkan harinya. Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri ketika ketiadaan lelaki itu,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah yang terkejut dengan kehilangan mangsa dari asrama kemudian mencarinya sebelum berjaya menemuinya pada petang kelmarin.

 

 

Katanya, selepas disoal, mangsa memberitahu dia keluar dari asrama sekolah sebelum dirogol suspek menyebabkan laporan berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Arau untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan laporan polis, suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Guru kerja 9 jam tak diteruskan – Utusan


Guru kerja 9 jam tak diteruskan

 

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusansabah@utusan.com.my

 

LABUAN 19 Nov. – Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari pada Januari ini di empat negeri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, langkah itu bertujuan mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.

Katanya, kementerian berasakan program tersebut tidak perlu diteruskan, tetapi segala kajian yang telah dibuat akan dilakukan penelitian secara lebih mendalam.

“Program itu juga tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan singkat ke Labuan dan menyerahkan kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Sungai Labu di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal.

Muhyiddin berkata, projek perintis itu sebenarnya tidak bertujuan membebankan guru-guru, sebaliknya ia merupakan proses menambah baik bidang pendidikan.

“Profesion guru amat istimewa kerana mereka mendidik anak bangsa. Program ini akan memantapkan lagi perkhidmatan perguruan selain memberi impak lebih besar kepada bidang pendidikan negara,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, projek perintis yang dimulakan di Melaka Tengah dan melibatkan 19 buah sekolah diteruskan seperti biasa.