Pertukaran menteri tidak jejas dasar pendidikan – Muhyiddin – Bernama


Pertukaran menteri tidak jejas dasar pendidikan – Muhyiddin

21/11/2011 6:47pm

 

PUTRAJAYA 21 Nov. – Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak pernah terjejas walaupun berlaku pertukaran Menteri Pelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau sedar bahawa ada pihak mendakwa kononnya mana-mana Menteri Pelajaran yang baru akan memperkenalkan dasar baru dan ini menjejaskan sistem pendidikan negara.

“Kerajaan sentiasa memastikan pendidikan negara mengisi kehendak dan keperluan semasa. Kita sentiasa memastikan terdapat kesinambungan… dasar baru akan menambah baik Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya ketika menjawab satu soalan pada sesi wawancara khas sempena majlis memperkenalkan buku “Sudut Pandang Muhyiddin Yassin” di sini hari ini. – Bernama

Perubahan Pusat Temu Duga Bagi Calon Di Ipoh, Perak


Perubahan Pusat Temu Duga Bagi Calon Di Ipoh, Perak
Bagi calon temu duga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Ipoh Perak pada 22 – 24 November 2011, terdapat perubahan pusat temu duga seperti berikut:

Bilik Temu Duga 1 dan 2, Politeknik Ungku Omar, Jalan  Raja Muda Musa Mahadi, 31400 Ipoh, Perak

ditukar kepada

Bilik Mesyuarat 1 dan 2, Hotel Heritage, Jalan Raja Dihilir, 30350 Ipoh, Perak

Pemakluman Awal Penempatan Dan Hebahan Serentak Pekeliling SBPA Di Portal/Laman Web JPA, MAMPU Dan Semua Kementerian


Pemakluman Awal Penempatan Dan Hebahan Serentak Pekeliling SBPA Di Portal/Laman Web JPA, MAMPU Dan Semua Kementerian

E-mailCetakPDF

18 NOVEMBER 2011
POSTED IN GENERAL

Sukacita dimaklumkan bahawa Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditempatkan dan dihebahkan secara serentak menerusi portal/laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MAMPU dan semua kementerian apabila tiba masanya nanti.

Semua penjawat awam adalah dinasihatkan untuk mengutamakan  capaian terus ke portal/laman web kementerian masing-masing bagi memastikan proses hebahan Pekeliling SBPA ini berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.

DUN Sarawak: Dakwaan Tabika KEMAS sebar Islam tidak benar – Bernama


DUN Sarawak: Dakwaan Tabika KEMAS sebar Islam tidak benar

2011/11/21

KUCHING: Dakwaan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian (PKR-Ba’Kelalan), bahawa ada cubaan untuk berdakwah secara halus oleh tenaga pengasuh Islam di Tabika KEMAS yang majoritinya kanak-kanak beragama Kristian, adalah tidak benar.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah, berkata siasatan menunjukkan ada 11 Tabika KEMAS di Ba’kelalan dan hanya tiga orang pengasuh beragama Islam dan dua tabika tersebut mempunyai ramai kanak-kanak beragama Islam.

“Lapan tabika lain, pengasuh terdiri daripada mereka bukan Islam,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Katanya, sebuah Tabika KEMAS yang mempunyai pengasuh beragama Islam ditempatkan di sana sebagai langkah sementara sehingga ada calon sesuai mengisi jawatan tersebut daripada kalangan penduduk setempat.

Beliau menafikan Tabika KEMAS di Ba’kelalan mempunyai ramai tenaga pengasuh dari Semenanjung kerana semuanya tenaga pengasuh berasal dari negeri ini dan menegur semua Ahli Dewan Undnagan Negeri (ADUN) supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

Pada sesi perbahasan minggu lalu, Bian mendakwa ada cubaan berdakwah secara halus di kalangan tenaga pengasuh Tabika KEMAS di Ba’Kelalan yang menimbulkan kebimbangan ibu bapa sehingga ada yang mendakwa anak mereka diajar berdoa secara Islam.

Bian juga menyuarakan kebimbangan mengenai ramai tenaga pengasuh dari Semenanjung yang bertugas di Tabika KEMAS yang boleh menimbulkan konflik keagamaan dan budaya, sekali gus mencadangkan kerajaan meningkatkan pengambilan rakyat tempatan sebagai tenaga pengasuh Kemas.
Dalam perkembangan lain, Fatimah mengumumkan cadangan penubuhan Pusat Pendaftaran dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PPAK).

Beliau berkata, tujuan utama penubuhan PPAK ialah untuk memendekkan tempoh kelulusan pendaftaran tadika dan taska di Sarawak.

Katanya, setakat ini tempoh kelulusan pendaftaran berjaya dipendekkan kepada satu tahun daripada tiga tahun. – BERNAMA

Wang bantuan RM100 perlu diagih sepenuhnya: Muhyiddin – Bernama


Wang bantuan RM100 perlu diagih sepenuhnya: Muhyiddin

2011/11/21

BANGI: Pihak sekolah perlu mengagihkan sepenuhnya bantuan kerajaan sebanyak RM100 kepada pelajar tanpa membuat sebarang pemotongan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan sudah dikeluarkan dan langkah itu bagi merealisasikan apa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Belanjawan 2012 lalu dapat dinikmati rakyat.

“Mudah saja, tiap-tiap pelajar yang berada dalam sistem pendidikan negara, sama ada dalam sekolah kerajaan atau swasta, semua layak dapat.

“Tanggungjawab guru, jangan soal, beri RM100 bagi tiap-tiap pelajar kepada ibu bapa. Itu saja. Dan saya sudah beritahu dan arahan, jangan ada pemotongan dan jangan buat takfisran pelbagai. Serah dulu RM100.

“Jika ada cita-cita lain nak beri PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) atau nak buat itu ini, itu soal kedua.

“Tetapi untuk menunjukkan bahawa apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri dalam bajet bahawa itu benar-benar berlaku, maka sekolah yang bertanggungjawab mesti sampaikan jumlah yang disebutkan, RM100 tidak lebih dan tidak kurang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sekolah yang membuat pemotongan daripada wang bantuan tersebut bagi tujuan pembayaran yuran PIBG dan sebagainya.
Kerajaan memperuntukkan bantuan sebanyak RM530 juta bagi membiayai kira-kira 5.3 juta pelajar di seluruh negara yang bertujuan meringankan beban ibu bapa menjelang pembukaan awal sesi persekolahan tahun depan.

Pengagihan wang bantuan tersebut, mula dibuat oleh pihak sekolah kepada ibu bapa pada minggu lalu sebelum sesi persekolahan bagi tahun ini berakhir.

Muhyiddin berkata, peruntukan wang bantuan tersebut merangkumi bukan sahaja pelajar sekolah kerajaan tetapi juga sekolah swasta.

Katanya, masalah yang timbul itu tidak mencemarkan proses pengagihan wang bantuan tersebut kepada kumpulan sasar kerana ia hanya membabitkan beberapa buah sekolah sahaja dan peratusannya sangat kecil yang disebabkan oleh keadaan tertentu.

Bagaimanapun, katanya, jika timbul masalah di sekolah tertentu, ibu bapa boleh memaklumkan kepada guru besar atau pegawai pelajaran daerah.

“Bagi saya mudah saja. Wang bantuan RM100 itu diberikan, jangan ambil satu sen pun, jangan potong.

“Bayar terus RM100 itu, biarkan ibu bapa dan pelajar menikmati sumbangan daripada kerajaan,” katanya. – BERNAMA

Permohonan Menjalankan Kajian di Sekolah, Institusi Pendidikan, PPD, JPN dan Bahagian di bawah KPM Secara Dalam Talian


Permohonan Menjalankan Kajian di Sekolah, Institusi Pendidikan, PPD, JPN dan Bahagian di bawah KPM Secara Dalam Talian

Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan Menjalankan Kajian di Sekolah, Institusi Pendidikan, PPD, JPN dan Bahagian di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) secara dalam talian telah dibuka melalui Education Research Application System (eRAS). Sistem ini bertujuan memudahkan urusan permohonan para penyelidik dan mempercepatkan kelulusan menjalankan kajian.

Untuk permohonan, mohon rujuk ruangan E-Perkhidmatan Portal Rasmi KPM

Sekian, terima kasih.

Cikgu Shida sekali lagi cetus fenomena – Metro


Cikgu Shida sekali lagi cetus fenomena

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KEPALA BATAS: Cikgu Shida sekali lagi mencetuskan fenomena apabila lebih 400 pengunjung membanjiri gerai Metro Ahad (MA) untuk melihat sendiri ratu ‘miming’ itu beraksi.

Kemunculan kedua Cikgu Shida atau nama sebenarnya, Roshida Abd Aziz, sempena Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM) 2011 di Kepala Batas selepas kali pertama di Ipoh dinanti-nantikan peminatnya dari awal lagi.
Cikgu Shida memulakan persembahan dengan membawakan lagu I’m Falling In Love nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan lagu Kalau Berpacaran, di depan gerai MA.

 

Selain membuat persembahan yang mencuit hati, beliau juga bijak membuat pelbagai gimik menarik dan tampil dengan pelbagai pakaian sesuai dengan lagu yang dibawakan.
Menurutnya, untuk KGHM kali ini dia lebih bersedia dan seronok membuat persembahan secara langsung di hadapan peminatnya.
“Kali pertama membuat persembahan di KGHM Ipoh, saya sedikit gugup berbanding di sini, saya lebih teruja dan seronok bertemu peminat,” katanya.

‘Takut sikit-sikit saja’ – Bernama


‘Takut sikit-sikit saja’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Eldred Wong, 10, mampu tersenyum walaupun tidak lama selepas itu pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Seri Tasik di Cheras di sini, menyertai upacara berkhatan beramai-ramai dengan 119 kanak-kanak beragama Islam, semalam.

“Ada rasa takut sikit-sikit sahaja… (sebab) kawan-kawan saya pun ramai,” kata kanak-kanak Tionghua itu ketika ditemui sebelum Program Berkhatan Beramai-ramai 2011 anjuran Umno Bahagian Cheras bersama Kumpulan Hospital Pantai di sini. Bapanya, Wong Hui Meng, 56, berkata, anak bongsunya mengalami masalah untuk membuang air kecil sejak berusia lapan tahun. Menurutnya doktor menasihati beliau supaya Eldred berkhatan sabagai salah satu usaha untuk mengatasi masalah yang dialaminya.
“Doktor nasihat Eldred berkhatan bagi mengelak masalah yang dihadapinya dan berkhatan ini bagus untuk kesihatan,” katanya. – Bernama

Pelajar maut, sepupu parah – Metro


Pelajar maut, sepupu parah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BACHOK: Seorang pelajar tingkatan empat yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya terbunuh manakala sepupunya parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung sebuah motosikal lain dalam kejadian di Kampung Alor Bakar, dekat sini, Jumaat lalu.

Kejadian jam 3.30 petang itu menyebabkan Mohd Al Fakis Mohd Noor, 16, parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia jam 3 pagi kelmarin di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini.
Sepupunya, Mohd Al Kasbi Abdullah, 16, yang cedera di muka dikejarkan ke hospital sama manakala seorang penunggang motosikal lain, Halim Samad, 59, turut menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

 

Menurut ibu mangsa, Habsah Mail, 54, sebelum kejadian anak kesembilan daripada 10 beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tidur di rumah sepupunya, Zaiton Abdullah, 38, di Kampung Batang Pusu, dekat sini, jam 3.30 petang.
“Saya hanya mengetahui kemalangan itu sebaik dimaklumkan Zaiton sebelum kami sekeluarga bergegas ke tempat kejadian, namun ketika itu, Mohd Al Fakis bersama Al Kasbi sudah dihantar ke HUSM.
“Bagaimanapun, Mohd Al Fakis disahkan meninggal dunia di HUSM jam 3 pagi kelmarin manakala Mohd Al Kasbi masih dirawat di hospital sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Mali, Gunung, semalam.

 

 

Katanya, anaknya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Telaga keluar dari rumah, jam 6.30 petang Khamis lalu. Menurutnya, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan jam 11 pagi kelmarin.
Sementara itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Azli Md Noor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.