Si bisu baru 3 hari keluar penjara didakwa lagi – Metro


Si bisu baru 3 hari keluar penjara didakwa lagi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Walaupun baru dibebaskan dari penjara tiga hari lalu lalu kerana kesalahan mencuri, seorang lelaki kurang upaya masih tidak serik apabila melakukan jenayah sama dengan mencuri wang RM9 milik seorang guru yang ditinggalkan dalam kereta ketika mangsa menunaikan solat Isyak di Masjid Wakaf Tembesu, di sini, 16 November lalu.

Mohd Rizuan Mahmud, 28, dari Taman Semarak, Bukit Tunggal, di sini, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh yang bisu dan anak ketiga daripada lapan beradik mengaku bersalah ketika tuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri wang milik Mohd Ranai Ismail dalam sebuah kereta di tempat letak kereta kawasan Masjid Wakaf Tembesu jam 8.15 malam.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif morfin dalam ujian saringan air kencing.
Abdul Hayyi menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi melantik jurubahasa khas selepas mahkamah meragui tahap kefahaman tertuduh terhadap tuduhan dibacakan.

 

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 bagi tuduhan pertama dan RM2,000 bagi tuduhan kedua dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar jaminan ditawarkan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dustan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Mengikut fakta kes, mangsa yang baru menunaikan solat dimaklumkan orang awam keretanya dipecahkan kira-kira jam 8.15 malam, 16 November lalu.

Pengetua potong wang RM100 kena tindakan – Berita Harian


Pengetua potong wang RM100 kena tindakan
Oleh Azida Shaharuddin dan Norhidayah Che Din
bhnews@bharian.com.my
2011/11/21

Kementerian arah siasat sekolah langgar pekeliling

KUALA LUMPUR: Sekolah yang masih berdegil memotong wang bantuan khas RM100 yang diberikan kepada ibu bapa pelajar untuk membeli kelengkapan persekolahan bakal dikenakan tindakan tegas, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, pekeliling yang diedarkan kepada sekolah jelas menyatakan wang berkenaan hanya untuk meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak untuk sesi persekolahan akan datang.

Oleh itu, saya minta Ketua Pengarah Pelajaran buat siasatan menyeluruh berhubung perkara ini dan ambil tindakan tegas terhadap mereka. – Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran

“Sekolah yang gagal mematuhi arahan itu bukan saja diberi amaran, malah tindakan tegas akan diambil terhadap guru besar dan pengetua sekolah terbabit.
“Saya minta Ketua Pengarah Pelajaran buat siasatan menyeluruh berhubung perkara ini dan ambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Ketua Pengarah Pelajaran juga diminta memberi arahan lebih jelas kepada pihak sekolah melalui jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) supaya tidak lagi timbul kekeliruan atau salah faham sekali gus menjaga kepentingan pelajar,” katanya, semalam.

Berita Harian semalam melaporkan bapa seorang pelajar Azman Salleh, 38, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.
Puad berkata tindakan seumpama ini tidak wajar dan bukan cara terbaik meminta pelajar menyelesaikan sebarang bayaran tertunggak.

Di JOHOR BAHRU: Pengurusan sekolah seluruh negeri itu diberi amaran supaya memberikan wang bantuan persekolahan RM100 oleh kerajaan kepada ibu bapa pelajar dan jika masih ada hutang tertentu, ia perlu dikutip mengikut tatacara kewangan ditetapkan dan bukan melalui pemotongan bantuan wang itu.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, berkata peringatan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah jelas dan tidak sepatutnya timbul masalah berkaitan pemberian wang bantuan itu membabitkan oleh ibu bapa dan pengurusan sekolah.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri juga sudah memberikan taklimat kepada pihak berkaitan termasuk Pejabat Pelajaran Daerah, guru besar dan pengetua sekolah mengenai penyaluran wang bantuan terbabit kepada ibu bapa, sebelum dilaksanakan pada 14 November lalu.

“Tatacara pembahagian wang bantuan persekolahan RM100 ini sudah dikeluarkan dan pihak sekolah perlu ikut arahan dikeluarkan kementerian.

“Jika ada hutang, sekolah perlu ikut tatacara kewangan iaitu sekiranya ibu bapa berhutang, pengurusan (sekolah) perlu menulis surat rasmi kepada mereka dan memohon pembayaran hutang. Bukan memotong bantuan RM100 ini,” katanya ketika dihubungi, semalam .