Ibu tunggal nafi kutip duit ubat anak – Kosmo


Ibu tunggal nafi kutip duit ubat anak

SIEW FAN (kiri) berkata sesuatu kepada pemberita sambil ditemani anaknya (dua dari kiri) dan Lau (dua dari kanan) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR – Seorang ibu tunggal menafikan dia pernah memungut derma secara terbuka daripada orang ramai untuk tujuan membiayai kos rawatan anak dan perbelanjaan hariannya selepas mendapati ada pihak yang mempergunakan namanya untuk tujuan tersebut.

Lee Siew Fan, 43, mengakui pernah meminta bantuan untuk menampung perbelanjaan harian dan kos rawatan anaknya, Lee Zheng Wei, 15, yang menghidap penyakit cushing syndrome melalui siaran berita dalam sebuah akhbar tetapi menafikan dia meminta derma daripada orang awam secara terbuka.

“Saya diberitahu ada pihak menggunakan gambar saya bersama anak menagih simpati daripada orang ramai.

“Ingin saya jelaskan di sini bahawa selain daripada meminta bantuan melalui siaran akhbar, saya tidak pernah atau meminta pihak ketiga untuk memungut derma bagi pihak saya,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini baru-baru ini.

Siew Fan yang bekerja sebagai pencuci kehilangan suami sejak 14 tahun lalu dan kini tinggal bersama anaknya di sebuah rumah kos rendah di Cheras.

SAPS untuk nilai prestasi murid – Bernama


SAPS untuk nilai prestasi murid

22/11/2011 1:55pm

 

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) adalah untuk menilai perkembangan prestasi murid dan tidak timbul soal ketidakadilan kepada sekolah luar bandar berbanding sekolah di bandar, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, SAPS merupakan sistem analisis data standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran yang menilai dan mengikuti prestasi pelajar sekolah tanpa mengira sama ada sekolah itu di bandar atau di luar bandar.

“Ia bukan bertujuan mengukur pencapaian sesebuah sekolah sebaliknya berfungsi untuk mengesan kelemahan murid bagi mengatasi kelemahan berkaitan pelajaran yang dihadapi murid di sesebuah sekolah seawal yang mungkin,” katanya ketika menjawab soalan Che Uda Che Nik (Pas-Sik) di Dewan Rakyat hari ini. – Bernama

Murid balang gas perlu bantuan beli mesin oksigen – Utusan


Murid balang gas perlu bantuan beli mesin oksigen

MOHAMAD Zulhilmi bersama mesin pembekal oksigen yang dipinjam daripada Hospital Pulau Pinang di rumahnya di Taman Makmur, Kulim, Kedah, kelmarin.

 

KULIM 21 Nov. – ‘Murid balang gas’, Mohamad Zulhilmi Marzuki, 12, yang pernah mendapat perhatian meluas masyarakat, kini berdepan dengan satu lagi cabaran apabila mesin pembekal oksigen yang digunakannya sejak tujuh tahun lalu rosak.

Ibunya, Norizan Yeop, 44, berkata, mesin Oxy Concentrator tersebut tidak dapat berfungsi seperti biasa, malah pihak pembekal turut memaklumkan ia tidak boleh diperbaiki.

Suri rumah itu memberitahu, mesin terbabit digunakan untuk membekalkan oksigen semasa anaknya tidur setiap malam sejak tahun 2004.

“Satu tiub pernafasan sepanjang satu meter terpaksa dipakai pada hidung anak saya dan disambung terus kepada mesin. Pada siang hari dia bergantung kepada balang oksigen termasuk ke sekolah.

“Tanpa menggunakan alat sokongan pernafasan ini, hidup anak saya umpama seekor ikan yang tercungap-cungap ketika berada di daratan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Kisah murid berkenaan mendapat perhatian meluas selepas didedahkan Utusan Malaysiapada 21 September 2005.

Selepas itu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung Norizan dan suaminya, Marzuki @ Yahaya Hashim.

Tabung Mohamad Zulhilmi turut dilancarkan oleh bekas Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Lim Bee Kau yang berjaya mengutip dana sebanyak RM23,000.

Selain itu, Malaysian Oxygen Berhad (MOX) turut memberi potongan harga untuk bekalan oksigen kepada Mohamad Zulhilmi .

Norizan berkata, peralatan tersebut dibeli pihaknya dengan pinjaman Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan sumbangan orang ramai dengan harga RM7,000.

Katanya, selepas rosak, pihaknya terpaksa mencari alternatif untuk memastikan anaknya itu berada dalam keadaan ‘selamat’ semasa tidur.

“Mujurlah Hospital Pulau Pinang (HPP) sudi meminjamkan peralatan ini buat sementara waktu. Namun, sampai bila kita terpaksa pinjam. Lagipun di hospital ada ramai lagi pesakit,” katanya.

Norizan memberitahu, mesin tersebut amat diperlukan bagi membolehkan Mohamad Zulhilmi sihat dan membesar seperti kanak-kanak biasa.

“Dia seorang budak yang rajin belajar. Malah keputusan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) juga bagus. Dia dapat 3A, 2B walaupun banyak hari tidak ke sekolah kerana masalah kesihatan,” katanya.

Tambah Norizan, keluarganya tidak mampu membeli mesin baru memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai pekerja am di Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulim /Bandar Baharu dengan berpendapatan RM1,000 sebulan.

Dia berharap orang ramai dan badan korporat dapat menyalurkan bantuan untuk membeli mesin terbabit.

Mereka yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Hong Leong Bank bernombor 059-50-08658-8 (atas nama Norizan Yeop) atau menghubungi Marzuki di talian 012-4857609.

UPSR: Aplikasi amalan baik sekolah cemerlang – Utusan


UPSR: Aplikasi amalan baik sekolah cemerlang

PUTRAJAYA 21 Nov. – Kementerian Pelajaran akan mengaplikasikan amalan-amalan baik yang dipraktiskan oleh sekolah-sekolah biasa sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keupayaan guru di sekolah terbabit memimpin pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang harus dimanfaatkan.

‘‘Kalau dapat kenal pasti amalan-amalan baik itu kita akan terapkan di semua sekolah supaya yang kurang baik dapat ditingkatkan jadi baik.

‘‘Ini kerana yang membezakan sekolah itu dengan sekolah lain saya fikir bukan infrastruktur tetapi soal kepimpinan guru di sekolah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sesi wawancara khas bersama pengacara Syed Munawar Syed Munawar Syed Arabi Idid pada majlis memperkenalkan buku berjudul Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, keupayaan sekolah-sekolah biasa melonjakkan keputusan semasa peperiksaan UPSR sehingga diangkat sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) harus diberi pengiktirafan kerana membantu meningkatkan kecemerlangan murid.

Bagi tujuan itu, kata beliau, warga pendidik perlu lebih bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk cabaran dalam mendidik para pelajar menjadi manusia berguna.

‘‘Guru-guru perlu mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna untuk menghadapi cabaran dunia yang luas, bersikap holistik dan mampu memenuhi tuntutan semasa.

‘‘Kita tak boleh kompromi dalam hal ini kerana isu pendidikan harus ke depan, mahu tak mahu guru perlu mengikut arus untuk menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

Justeru, kata beliau, kerajaan mengambil pelbagai langkah secara berterusan seperti menganjurkan program latihan dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru agar lebih bertanggungjawab dalam melahirkan generasi cemerlang.

Pandangan pakar semak sistem pendidikan negara – Utusan


Pandangan pakar semak sistem pendidikan negara

PUTRAJAYA 21 Nov. – Pandangan pakar-pakar pendidikan tempatan dan luar negara turut diambil kira bagi menyemak semula sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia sejajar dengan proses semakan semula sistem pendidikan kebangsaan selepas Laporan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib.

Muhyiddin berkata, sepanjang proses tersebut beberapa siri perbincangan akan dilakukan dan pihak berkepentingan turut dipelawa untuk berkongsi pandangan.

”Sudah lebih 40 tahun, saya rasakan ia sudah terlalu lama dan panel bagi mengkaji sistem pendidikan itu telah ditubuhkan dengan beberapa cadangan awal telah dibentangkan kepada saya.

”Laporan lengkap dijangka siap sebelum akhir. Panel itu diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sesi wawancara khas bersama pengacara Syed Munawar Syed Munawar Syed Arabi Idid pada majlis memperkenalkan buku berjudul Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin yang dihasilkan Insitut Terjemahan Negara Malaysia di sini, hari ini.

Cadangan-cadangan penyemakan tersebut, kata beliau, bersifat menyeluruh mengenai sistem pendidikan kebangsaan memandangkan selepas Penyata Razak belum ada lagi laporan menyeluruh berhubung sistem pendidikan kebangsaan.

Muhyiddin berkata, sejak menerajui Kementerian Pelajaran, banyak usaha telah diambil untuk menambah baik sistem pendidikan kebangsaan sama ada dari aspek pengajaran dan pembelajaran, infrastruktur, kandungan dan mutu pelajaran.

“Usaha-usaha ini dilakukan secara berperingkat dan berasingan tetapi kali ini cadangan kajian yang lebih komprehensif perlu dibuat sejajar dengan peredaran semasa,” katanya.

Buku setebal 265 muka surat berharga RM40 senaskhah itu menghimpunkan pandangan Muhyiddin mengenai dasar dan hala tuju pendidikan di Malaysia dan ia bertujuan menjelaskan kepada rakyat tentang hasrat murni kerajaan dalam melakukan transformasi pendidikan.

Guru al-Quran curi kabel – Metro


Guru al-Quran curi kabel

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JITRA: Walaupun berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan kini berkhidmat sebagai guru al-Quran sambilan di kampungnya, demi wang seorang lelaki sanggup mengenepikan ‘status’ itu apabila dia dicekup polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel telefon bersama dua rakannya di kawasan Kampung Belukar, Changlun, di sini, awal pagi kelmarin.

Suspek yang berusia awal 20-an berasal dari Alor Setar, manakala dua rakannya berusia 28 tahun yang berasal dari Kuala Nerang itu ditahan kira-kira jam 5.30 pagi sejurus selesai memotong kira-kira 70 meter kabel telefon milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan itu.
Lelaki terbabit dikatakan baru pulang ke negara ini selepas tamat belajar di Mesir dan dikatakan turut mengajar al-Quran secara sambilan, tetapi mengambil kesempatan mencuri kabel telefon semata-mata untuk mendapatkan wang mudah.

Gadis tercekik siput sedut – Metro


Gadis tercekik siput sedut

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Seorang gadis nyaris maut apabila tercekik siput sedut masak cili api ketika menjamah hidangan itu sambil menonton televisyen dalam kejadian di rumahnya di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, Siti Aisyah Mohamad, 13, menggelupur lima minit sebelum diselamatkan ibunya.
Menurut Siti Aisyah, dia tidak menyangka makanan kegemarannya itu hampir meragut nyawanya menyebabkan dia kini trauma.

 

Menceritakan kejadian, pelajar sebuah sekolah menengah itu berkata, dia membeli sekilo siput sedut di sebuah kedai dan dimasak lemak cili api oleh ibunya, Saniah Sungip, 37.
“Selepas siap dimasak ibu, saya menikmati siput sedut itu sambil menonton televisyen. Ketika leka menonton, saya seperti tersedut sesuatu menyebabkan tekak pedih namun tidak mampu menjerit.
“Saya cuba memanggil ibu di dapur, namun gagal menyebabkan saya menggelupur kesakitan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

 

 

Menurutnya, dia bernasib baik berikutan ibunya mendengar dia menggelupur kesakitan sebelum mengeluarkan siput sedut itu dengan menepuk belakangnya beberapa minit kemudian. Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pasukannya menerima laporan kejadian jam 8.45 malam dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian namun mangsa berjaya diselamatkan ibunya.
“Selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan, kami dapati kecederaan di bahagian dalam kerongkong mangsa tidak serius kerana siput sedut itu masih berada di bahagian yang selamat,” katanya di sini, semalam.

Kerap saksi nahas inspirasi juarai mural – Metro


Kerap saksi nahas inspirasi juarai mural

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG: Keadaan sekolah berhampiran jalan raya utama dan kekerapan kemalangan di situ menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Kuantan, meneruskan cabaran lukisan mural kempen keselamatan, sekali gus tampil juara pertandingan Mural antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2011.

Memaparkan ciri keselamatan di jalan raya dengan bertemakan 1Malaysia melayakkan sekolah berkenaan terpilih dan membawa pulang hadiah utama RM20,000 dalam pertandingan yang mendapat 300 penyertaan bermula Mei lalu.
Pertandingan bertemakan Rakyat Malaysia Bersatu Untuk Keselamatan Jalan Raya anjuran syarikat konsesi lebuh raya terkenal negara, Plus Expressways Berhad itu bertujuan menyelitkan unsur keselamatan di jalan raya di persekitaran sekolah.

 

Pengetuanya, K Nanda Kumaran, berkata kemalangan yang kerap berlaku di hadapan sekolah sehingga meragut nyawa pelajar menyebabkan mereka menyahut cabaran itu sebagai kempen kesedaran terhadap keselamatan di jalan raya.
“Bukan untuk kesedaran penghuni di dalam sekolah saja, malah pelajar juga boleh menyampaikan mesej ini kepada orang luar,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Mural Antara Sekolah Menengah di Persada Plus, semalam.