Muhd Nazmi Faiz ambil SPM tahun depan – Bernama


Muhd Nazmi Faiz ambil SPM tahun depan

25/11/2011 4:27pm

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Pemain paling muda dalam skuad Olimpik negara Muhd Nazmi Faiz Mansor akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan setelah tidak berbuat demikian tahun ini.

Demi bagi membantu skuad Harimau Muda beraksi di Temasya Sukan SEA Indonesia 2011 yang baru berakhir, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ini sanggup menangguh peperiksaan SPM yang sepatutnya didudukinya mulai 14 November lepas.

Pengorbanan pemain yang memakai jersi nombor 21 ini berbaloi apabila skuad Bawah 23 Tahun Negara berjaya meraih emas dengan menewaskan Indonesia.

Bapa Muhd Nazmi Faiz, Mansor Mustafa berharap anaknya bukan sahaja berjaya dalam arena bola sepak malah turut cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.

“Saya bangga dengan kejayaan anak saya dalam sukan bola sepak namun pelajaran juga penting dalam menentukan masa depan beliau,” kata peniaga berusia 40 tahun ini kepada Bernama hari ini.

“Kami sekeluarga sentiasa memberi dorongan kepada Muhd Nazmi Faiz untuk maju dalam sukan bola sepak dan tidak pernah menghalang minat dan impiannya itu, jelas Mansor.

Beliau berkata, walaupun anaknya seorang yang pendiam, dia adalah seorang yang berdisiplin dalam soal pengurusan masa dan bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara.

“Dalam membantu Muhd Nazmi Faiz membahagikan masa antara latihan dan pelajaran, saya serahkan perkara tersebut kepada guru-guru SSBJ kerana mereka tentu mempunyai formula terbaik dalam mengatur jadual harian pelajar mereka,” katanya. – Bernama

Pelajar hilang ditemui lemas – Utusan


Pelajar hilang ditemui lemas

PASIR MAS 24 Nov. – Seorang pelajar Madrasah Tahfiz Al-Rahmaniah Ad Diniah, Lubuk Tapah yang hilang ketika mandi manda bersama dua rakannya di tali air Lemal di sini petang semalam, ditemui mati lemas, malam tadi.

Mayat Raihan Haslan, 15, yang berasal dari Banting, Selangor, ditemui pukul 11 malam oleh penduduk kampung iaitu selepas operasi mencari dan menyelamat dihentikan kerana cuaca gelap.

Menurut rakan mangsa, Mohamad Rifqi Yusof, 13, dia bersama Raihan dan seorang lagi, Mohd. Ali Amar Zolkornain Mahamud Safri, 14, ke tali air itu untuk mandi pukul 5.30 petang.

Katanya, mereka bertiga menyusuri rel kereta api sejauh kira-kira satu kilometer dari asrama.

“Kelmarin, Raihan dan beberapa rakan lain ada datang mandi di tali air itu tetapi dia datang lagi kerana tidak puas.

“Kali ini, dia (Raihan) bersungguh-sungguh ajak kami berdua walaupun dia kata tidak tahu berenang dan menghidap asma.

“Sejurus sampai, kami terkejut apabila Raihan terus terjun ke dalam air dan terkapai-kapai dan menjerit minta tolong. Mohd. Ali Amar terjun dulu untuk selamatkan Raihan tetapi dia juga hampir lemas,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas, di sini hari ini.

Menurutnya, dia kemudian nekad terjun tetapi hanya sempat menarik Mohd. Ali Amar yang turut dibantu tiga penduduk kampung yang kebetulan berada di situ.

“Muka Mohd. Ali Amar biru kerana tertelan air tetapi Raihan pula sudah tidak kelihatan,” katanya sambil memberitahu Mohd. Ali Amar masih menerima rawatan lanjut di Hospital Pasir Mas dan keadaannya dilaporkan stabil.

Hari Ungu untuk anak autisme – Kosmo


Hari Ungu untuk anak autisme


 

RUANG legar Suria KLCC iaitu pusat membeli-belah yang menjadi mercu tanda ibu negara Kuala Lumpur bertukar wajah apabila disimbahi warna ungu bermula 10 hingga 13 November lalu.

Lazimnya ruang legar tengah Suria KLCC itu hanya menjadi medan lalu lalang pengunjung namun, selama tiga hari aura ungu sangat dominan di ruang tersebut lantaran berlangsungnya Kempen Purple Day 2011 atau Hari Ungu.

Tahun ini merupakan tahun kedua Suria KLCC meneruskan inisiatifnya bagi mengumpul dana sebanyak RM100,000.

Dana yang terkumpul sepanjang kempen diadakan akan disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (National Autism Society of Malaysia) atau Nasom.

Kempen itu diperkenalkan buat julung-julung kalinya pada tahun 2010 untuk membantu Nasom mendidik ibu bapa dan masyarakat Malaysia mengenai autisme.

Membantu anak austisme

Hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Zainal Ariffin Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien dan Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, Teh Beng Choon.

Autisme merujuk kepada gangguan perkembangan otak yang dicirikan dengan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain. Penghidapnya juga menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang, biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai.


 

Anak autisme sering dilabel sebagai kanak-kanak berkelakuan pelik, berada dalam dunianya sendiri dan berkemungkinan besar keciciran dalam pelajaran.

“Pada tahun lalu, kami berjaya mengumpulkan RM42,448 untuk membantu kanak-kanak autisme di Malaysia.

“Kami percaya autisme adalah pilihan tepat bagi inisiatif kemasyarakatan kami. Dengan adanya sokongan padu daripada para penyewa kami serta orang ramai, kami berharap dapat membantu anak-anak autisme menjalani kehidupan yang lebih bermakna,” kata Andrew.

Tambahnya, pada tahun ini, pihaknya telah memanjangkan tempoh kempen Purple Day agar lebih ramai pelanggan berpeluang untuk menyertainya.

“Dengan sokongan mereka, kami berupaya untuk mengumpulkan lebih banyak dana buat Nasom dan membantu mereka menyebarkan informasi mengenai autisme,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti berinformasi dan menyeronokkan disediakan oleh Suria KLCC buat para pengunjungnya dari 10 November hingga 13 November lalu.

Selain menambah pengetahuan mengenai autisme, para pengunjung juga berpeluang untuk beramal.

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah pameran, jualan hasil karya seni dan persembahan nyanyian oleh kanak-kanak autisme, pertunjukan fesyen dan galeri informasi autisme.

KAKITANGAN Suria KLCC membantu seorang pengunjung cilik untuk bermain permainan yang disediakan.

 

Orang ramai yang ingin menderma boleh menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan yang disediakan di gerai-gerai sekitar kawasan ruang tengah Suria KLCC dengan bayaran RM3.

Mereka yang berminat untuk bergambar bersama The Purple Man hanya perlu membayar RM5, manakala mereka yang ingin bergambar bersama artis tempatan seperti Hillary Ang dan Cromox hanya perlu membayar RM10.

Orang ramai juga boleh membeli baju T hasil karya adik Akhtar dari Nasom pada harga RM30, manakala beg tote Purple Day dijual pada harga RM25.

Bagi pengunjung Suria KLCC yang didapati memakai apa sahaja barangan berwarna ungu, mereka bakal menerima hadiah misteri daripada Suria KLCC.

Para pembeli yang membelanjakan RM500 ke atas (gabungan dua resit) pula akan menerima hadiah eksklusif Purple Day.

Turun padang gotong-royong

KANAK-KANAK teruja dan seronok menerima belon daripada badut sempena sambutan Hari Ungu.

 

Selain mengumpulkan wang bagi membantu kanak-kanak autisme, kakitangan Suria KLCC tidak melepaskan peluang turun padang berkunjung ke pusat vokasional dan empat buah rumah pendidikan Nasom yang terletak di Bandar Puteri Klang, Selangor pada 11 November lalu sejajar dengan inisiatif kemasyarakatannya.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah membersih, mengecat serta membaiki kerosakan yang terdapat di pusat vokasional dan rumah-rumah pendidikan tersebut.

“Memandangkan banyak waktu dihabiskan oleh kanak-kanak ini di pusat vokasional dan rumah-rumah pendidikan ini, memang wajar bagi kami melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu menyediakan suasana pembelajaran yang bersih, selesa dan menyeronokkan,” kata Andrew yang turut mengeluarkan peluh di Pusat Nasom untuk mencuci van untuk kegunaan kanak-kanak pusat tersebut. – NURUL IZZA ROSLI

Selar pihak tak hargai RM100 – Metro


Selar pihak tak hargai RM100

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TANJUNG KARANG: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyelar pihak tertentu tidak menghargai sumbangan RM100 kepada murid sekolah di seluruh negara dengan dakwaan sebagai memancing undi sempena pilihan raya akan datang.

Katanya, tuduhan itu tidak berasas kerana bantuan yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan semata-mata menjelang pilihanraya, tetapi ianya berterusan dan tidak bermusim.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata dia kesal apabila dimaklumkan ada sesetengah pihak tidak menghargai pemberian wang itu sehingga ada yang sanggup memijak-mijaknya.

Kail mayat – Metro


Kail mayat

Oleh Siti Fatimah Hassan dan Jauhariatul Akmal Johar
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR MAS: Mata kail yang dicampak ke dalam tali air dan diheret penduduk membolehkan mayat Muhammad Raihan Mohamad Haslan, 14, ditemui kira-kira lima jam selepas dia lemas ketika mandi bersama rakan di dalam tali air di Lemal, di sini, kelmarin.

Muhammad Raihan lemas kira-kira jam 6 petang kelmarin dan usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan anggota bomba terpaksa dihentikan kira-kira jam 7 malam kerana keadaan gelap.
Bagaimanapun, penduduk kampung meneruskan usaha mencari menggunakan mata kail dan menemui mayat remaja itu di dasar tali air berkenaan kira-kira jam 11 malam.

 

Ibu saudara Muhammad Raihan, Tengku Lela Marshita Tengku Ariff berkata, usaha mengesan anak saudaranya itu dilakukan penduduk kampung dengan kerjasama warga madrasah tempat Muhammad Raiham belajar selepas bomba menghentikan operasi mencari dan menyelamat pada jam 7 malam.
“Penduduk kampung menggunakan mata kail yang dicampak ke dasar sungai sebelum ia tersangkut pada baju dipakai arwah. Alhamdulillah, jasad arwah akhirnya ditemui.
“Terima kasih kepada penduduk kampung dan warga madrasah yang membantu,” katanya.

 

 

Menurutnya, sebelum kejadian Muhammad Raihan mandi di tali air berkenaan bersama dua rakannya, Mohd Ali Zulkarnain Mohd Shafri, 14, dan Muhammad Rifqi Yusoff, 13.
Tengku Lela Marshita berkata, arwah dikatakan menyelamatkan Mohd Ali yang lemas sebelum dia pula tenggelam dihanyut arus.

 

“Kawasan tempat arwah mandi itu memang dalam dan hujan menyebabkan arus deras,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Haslan Hassan, 41, berkata, anaknya itu teringin sangat mahu pulang ke rumah mereka di Banting, Selangor dan dia pulang selama tiga hari sempena Aidiladha lalu.
“Itulah kali terakhir saya dapat bertemunya sebelum dia meninggal dunia akibat lemas,” katanya.
Menurutnya, anak sulung daripada lima beradik itu beria-ia mahu pulang ke Banting memandangkan sudah lama berada di Kelantan bagi menumpukan pengajian di Madrasah Tahfiz Al-Rahmaniah Attiniah, Lubuk Tapah, di sini.
Katanya, arwah sempat meluangkan masa bersama keluarga selama tiga hari sebelum dia pulang dengan menaiki bas ekspres.
“Dia minta sangat mahu pulang kerana sudah lama tidak balik. Sebelum kembali ke Kelantan, dia beritahu akan beri tumpuan penuh kepada pelajaran selepas ini.
“Dia anak yang baik dan tidak pernah menyusahkan keluarga. Dia juga pendiam tapi akrab dengan ahli keluarga,” katanya.
Mayat Muhammad Raihan dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chekok, Chetok di sini, jam 11 pagi semalam.

Kereta berpusing-pusing – Metro


Kereta berpusing-pusing

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Samsudin, maut.
TUTUP…mayat mangsa di tempat kejadian, semalam. Gambar kecil, Samsudin, maut.

REMUK...treler yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK…treler yang terbabit kemalangan, semalam.

KAMPUNG GAJAH: “Arwah ayah gemar membawa cucu bersiar-siar terutama ketika cuti sekolah. Tak sangka kali ini yang terakhir buat mereka,” kata Mohd Tarmizi, 26, anak pasangan warga emas, Samsudin Itam, 65, dan Daimah Lun, 52, yang maut dalam kemalangan ngeri, petang semalam.

Tragedi itu turut meragut nyawa cucu pasangan warga emas berkenaan, Qurratul Ayuni Mohd Halimi, 6, apabila Proton Saga dinaiki bersama tiga yang lain bertembung sebuah treler ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pulau Tiga, Padang Gertak di sini, jam 4 petang.
Dalam kejadian itu, kereta dipandu Samsudin hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum bertembung treler tanpa muatan di laluan bertentangan menyebabkan kereta mangsa berpusing beberapa kali.

 

Kejadian turut mencederakan anak pasangan warga emas itu, Nurul Ayuni, 14, dan dua lagi cucu mereka, Mohammad Danial Halimi, 5, dan Nurul Izzati Mohd Rudy, 3. Mohd Tarmizi ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik, Hospital Changkat Melintang (HCM), di sini, semalam, berkata, arwah bapanya memaklumkan pergi ke Sungai Manik untuk mengambil Nurul Ayuni di Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Islah, Sungai Lampam.
Menurutnya, arwah bapa dan ibunya membawa bersama tiga cucu mereka bagi mengambil Nurul Ayuni di sekolah berkenaan.
“Mereka keluar rumah jam 2.45 petang sebelum kami sekeluarga dikejutkan dengan nahas itu jam 4.30 petang.

 

 

“Kami tidak menyangka jarak nahas dengan rumah hanya beberapa kilometer. Sebaik tiba di tempat kejadian, saya rebah apabila melihat arwah ayah dan ibu kaku tidak bernyawa di tempat duduk depan kereta,” katanya.
Sementara itu, ibu arwah Qurratul Ayuni, Jawiriah, 31, berkata dia terkilan kerana anak sulungnya itu tidak sempat menjamah kuih pau yang dipesan.

 

Menurutnya, dia tiada di rumah sejak pagi kerana menjaga kakaknya yang menunggu masa bersalin di HCM.
“Saya sudah berpesan kepada kedua-dua anak, Qurratul Ayuni dan Mohd Danial supaya tinggal di rumah dan jangan keluar ke mana-mana sementara menunggu saya pulang dari hospital.
“Namun, mereka keluar rumah kerana mengikut arwah ayah dan ibu mengambil adik saya, Nurul Ayuni yang selesai menghadapi peperiksaan akhir tahun di sekolahnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan HCM.
Jawiriah yang menetap di Pandan Perdana, Kuala Lumpur berkata, dia bersama dua anaknya itu pulang ke kampung sempena cuti sekolah bermula minggu lalu.
“Saya tidak menyangka percutian kami anak-beranak berakhir tragedi kerana anak perempuan saya yang keletah dan cerdik sudah meninggal dunia, manakala adiknya, Mohd Danial patah tulang bahu.
“Saya bersyukur kerana Mohd Danial terselamat dalam kejadian itu, namun reda dengan pemergian arwah Qurratul Ayuni,” katanya.

Bunuh, perkosa – Metro


Bunuh, perkosa

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PERIKSA...kereta mangsa ditemui di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling, semalam.
PERIKSA…kereta mangsa ditemui di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling, semalam.

JOHOR BAHRU: Kehilangan seorang guru piano yang tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam Perodua Myvi miliknya dengan kesan jerutan di leher serta tangan diikat di belakang badan di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling di sini, semalam.

Ketika ditemui, mangsa masih memakai baju-T putih, jaket perang serta skirt paras lutut dengan seluar dalamnya terlondeh dipercayai dirogol sebelum dibunuh di tempat lain. Mayatnya kemudian diletakkan dalam kereta berkenaan.
Mayat mangsa, Chiu Kong Min, 31, ditemui kira-kira tujuh jam selepas bapanya membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa mulanya disangkakan tidur dalam kereta berkenaan dan cuba dikejutkan seorang individu yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Bagaimanapun, selepas mangsa yang duduk di tempat duduk pemandu didapati sudah tidak bernyawa, individu terbabit segera melaporkan kejadian itu kepada polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Mohd Akhir Ishak berkata, sebaik menerima panggilan orang ramai, pihaknya bergegas ke lokasi bagi melakukan siasatan.

Menurutnya, polis kemudian menemui wanita itu tertunduk kaku dalam kereta miliknya dan siasatan mendapati mangsa dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira jam 2.30 petang kelmarin untuk mengajar di Jalan Simbang, Taman Perling, menaiki Perodua Myvi hijau berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa keluar untuk mengajar piano seperti biasa, namun sehingga jam 12.30 tengah malam kelmarin, masih tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarganya yang bimbangkan keselamatannya membuat laporan polis.
“Pemeriksaan dan siasatan awal mendapati mangsa cedera ringan di kening kiri, kesan calar pada jari kedua-dua tangan selain luka di tangan dipercayai akibat bergelut dengan penyerangnya.

 

 

“Selain itu, ketika ditemui, kedua-dua tangannya diikat menggunakan kabel pengikat dan ada kesan jerutan di leher, namun barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit tidak diambil suspek,” katanya.
Beliau berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan dan hingga kini, polis masih tidak menemui sebarang bukti di kawasan sekitar lokasi penemuan mangsa serta dalam keretanya.

 

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kami belum menahan mana-mana individu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, Tan Yang Siong di talian 012-7076928,” katanya.

Dua warga emas, cucu maut – Metro


Dua warga emas, cucu maut
Oleh Nurhayati Abllah dan Ravale Savarinathan

2011/11/25

Dua lagi cucu, anak cedera apabila kereta bertembung treler

KAMPUNG GAJAH: Sepasang suami isteri dan seorang cucu mereka maut manakala dua lagi cucu serta seorang anak mereka cedera selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 16, Jalan Raya Bota-Teluk Intan di Kampung Pulau Tiga, dekat Kampung Gajah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Shamsuddin Itam, 60, dan isterinya, Daimah Lun, 52, meninggal dunia di tempat kejadian manakala cucu mereka, Quratul Ayuni Mohd Halimi, 6, dalam perjalanan ke Hospital Changkat Melintang (HCM) di sini.

Tiga yang cedera ialah Nurul Izzati Mohd Rudi, 3; Mohd Danial Mohd Halimi, 5, dan Nurul Ayuni Shamsuddin, 14.

Nurul Izzati dan Nurul Ayuni dirawat di HCM manakala Mohd Danial yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohd Fakri Che Sulaiman, berkata ketika kejadian kereta Proton Saga dipandu Shamsuddin dalam perjalanan pulang dari Sungai Lampam, selepas mengambil Nurul Ayuni yang belajar di sebuah sekolah agama di situ.

“Sebaik tiba di satu selekoh, kereta yang dinaiki keluarga terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.
Sementara itu, anak Shamsudin, Jawiriah, 31, yang menetap di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, berkata beliau bersama dua anaknya, Quratul Ayuni dan Mohd Danial pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti sekolah.

“Saya tidak menyangka percutian kami anak beranak berakhir dengan tragedi kerana anak perempuan saya, Quratul Ayuni yang keletah serta cerdik sudah meninggal dunia manakala adiknya, Mohd Danial patah tulang bahu.

“Saya terkilan kerana langsung tidak sempat berjumpa dengan Quratul Ayuni sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HCM di sini, semalam.