2 terbunuh, 3 parah selepas kereta terbabas dan terbalik – Bernama


2 terbunuh, 3 parah selepas kereta terbabas dan terbalik

26/11/2011 8:04pm

 

SEREMBAN 26 Nov. – Dua lelaki maut, manakala tiga lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dan terbalik dalam parit di Kilometer 247 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi dekat sini, awal pagi tadi.

Jurucakap polis berkata, dalam nahas kira-kira 4.45 pagi itu, Toh Peng Kee, 54, yang memandu Nissan Sentra, tercampak keluar setelah keretanya terbabas.

Mangsa yang cedera parah di badan dan kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang iaitu D. Devanesen, yang juga penolong Ketua Penyunting akhbar The Star.

Devanesen, 57, yang cedera parah di badan dan kepala, meninggal dunia pada 6.15 pagi semasa dirawat di wad kecemasan Hospital Tuanku Jaafar di sini.

Tiga penumpang lain iaitu dua anak kembar Devanesen, Devakumaran dan Devadevan, 13, serta seorang wanita warga Perancis, Neagu Srancine, 81, cedera parah dan dirawat di hospital sama.

Mayat-mayat mangsa yang maut dibawa ke hospital berkenaan untuk bedah siasat. – Bernama

Mayat kanak-kanak dihanyut arus ditemui – Bernama


Mayat kanak-kanak dihanyut arus ditemui

26/11/2011 7:28pm

 

IPOH – Seorang kanak-kanak yang dihanyutkan arus ketika mencari kepah bersama tiga rakannya di sungai Kampung Sebarang Tambang, Manjung semalam ditemui mati lemas hari ini.

Mayat Magindran a/l Kothan Dabani, 11, ditemui terapung kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pada pukul 8.50 pagi tadi oleh penduduk kampung yang turut mencari mangsa sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman berkata, bapa mangsa telah membuat laporan pada tengah hari semalam bahawa anaknya telah dihanyutkan arus sungai semasa mencari kepah bersama tiga rakannya di sungai tidak jauh dari rumah mereka, pada sebelah pagi.

“Mangsa dikatakan tiba-tiba dihanyutkan arus deras ketika air sungai sedang pasang. Tiga rakan mangsa cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal, lalu mereka memberitahu keluarga mangsa yang kemudiannya membuat laporan polis,” katanya. – Bernama

‘Mak jangan menangis…’ – Metro


‘Mak jangan menangis…’

Oleh Nurul Nafisah Mazlan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: “Mak jangan sedih. Tak apa, nanti suruh kakak beranak ramai, adik boleh ambil anak angkat,” kata Nur Najihah Surdiman Effendi, 12, ketika ditemui Harian Metro di Hospital Ampang, di sini, kelmarin.

Itu ungkapan pertama dilafazkan Nur Najihah sejurus mengetahui kedua-dua ovarinya terpaksa dibuang pada September lalu berikutan terdapat ketumbuhan.
Menurutnya, ketumbuhan itu membesar dengan cepat tidak sampai dua bulan, malah jika dilihat dengan mata kasar, dia seolah-olah hamil sembilan bulan.

 

“Saya mula pelik apabila perut membesar dan menjadi keras selepas pertama kali datang haid, malah sukar membuang air besar tetapi tidak pula sakit.
“Tidak sangka ia ketumbuhan serius hingga saya terpaksa dibedah tetapi saya reda dan tabah dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Norsimah Osman, 44, berkata dia memohon kepada doktor tidak membuang ovari kiri anaknya itu tetapi apakan daya apabila doktor mengesahkan nyawa anaknya dalam bahaya jika ovari berkenaan tidak dibedah berikutan ketumbuhan itu sudah membesar dan merebak dengan pantas lebih-lebih lagi ketika itu Nur Najihah datang haid.

 

 

“Dugaan anak saya bertambah apabila dia perlu menghadapi dua lagi pembedahan pada hari sama kerana berlaku pendarahan dalam badannya yang memaksa doktor memasukkan empat pek darah beku.
“Sedih hati saya bila melihat dia dibawa ke bilik pembedahan tempoh hari, malah tidak dapat menahan air mata mengenangkan dirinya yang masih muda, namun Nur Najihah lain pula apabila sempat melambai tangan dan meminta saya supaya tidak menangis,” katanya sebak.

 

Menurutnya, kini anaknya perlu menjalani rawatan kemoterapi dan menerima pemantauan doktor selama setahun bagi mengelak ketumbuhan itu berulang.
Katanya, dia terkejut dengan nasib dialami anak bongsunya itu kerana penyakit ketumbuhan dialami Nur Najihah itu yang pertama berlaku dalam sejarah keluarganya.
Menurutnya, dia berharap anaknya terus sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain dan sentiasa berdoa semoga kejadian itu tidak mematahkan semangat anaknya itu.
Difahamkan, doktor yang merawat Nur Najihah memaklumkan kejadian seumpama itu pertama kali berlaku pada kanak-kanak kerana keadaan itu biasanya berlaku kepada wanita berusia lebih 30 tahun selain menegaskan akan berlaku gangguan hormon. kepada pesakit yang mungkin memberi kesan terhadap perubahan fizikal.

Ibu bapa perlu peka kelakuan anak-anak – JMM – Utusan


Ibu bapa perlu peka kelakuan anak-anak – JMM

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Ibu bapa perlu lebih peka memerhati tingkah laku anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan akidah.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak juga harus dititikberatkan memandangkan program mempromosi seks bebas melalui Seksualiti Merdeka 2011 masih rancak dilakukan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak, khususnya remaja, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan budaya bebas serta amalan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang jelas bertentangan dengan agama serta peradaban manusia.

“Justeru, JMM akan turut bekerjasama dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk menentang perkara tersebut daripada terus berlaku di negara ini,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan Lindungi Anak-Anak Kami Daripada LGBT di pekarangan Masjid Universiti Putra Malaysia, dekat sini, hari ini.

Perhimpunan kedua anjuran JMM itu turut disertai oleh kira-kira 100 orang yang sebelum itu hadir menunaikan solat Jumaat.

Sejak perhimpunan pertama yang diadakan pada Rabu lepas, Azwanddin berkata, JMM menerima maklum balas positif daripada kira-kira 20,000 orang yang menyokong gerakan dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, perhimpunan seperti ini akan diperluas ke seluruh Selangor dalam usaha mengumpul penyertaan 100,000 orang sebagai suara bantahan besar-besaran.

TPM simpati keluarga mangsa lemas – Metro


TPM simpati keluarga mangsa lemas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa simpati terhadap keluarga kanak-kanak yang lemas dalam kejadian banjir melanda Kelantan, Rabu lalu.

Beliau berkata, ia satu musibah sedangkan secara umum, semua persiapan sudah dilakukan kerana pihak berkuasa menjangkakan banjir kali ini lebih teruk berbanding dulu.
“Malang sekali kerana kejadian itu berlaku ketika saya melawat Kelantan. Ia satu musibah kerana kita sudah melakukan semua persiapan bagi menghadapi banjir yang anggap teruk,” katanya ketika ditemui media di Kementerian Pelajaran di sini, semalam.

 

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, persiapan yang dilaksanakan bagi menghadapi banjir kali ini juga lebih hebat dengan pertambahan logistik, stor simpanan barang keperluan dan aset lain.

Korban lubang – Metro


Korban lubang

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SETIU: “Hancur luluh hati saya apabila melihat tubuhnya sudah kaku dan kebiru-biruan sebaik dibawa naik,” kata Che Kamariah Mohamad, 52, nenek kepada kanak-kanak berusia lapan tahun yang lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang pasir mengandungi air sedalam 2.5 meter berhampiran perumahan Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Rhu Tapai, Merang, Setiu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Mohd Syamirul Aiman meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam lubang berkenaan yang dikorek penduduk kampung untuk mengambil pasir, terletak kira-kira 800 meter dari rumahnya di PPRT itu.
Menurut Che Kamariah, dia hanya menyedari kehilangan cucunya apabila dimaklumkan Mohd Syamirul terjatuh ke dalam lubang pasir itu oleh rakan arwah kira-kira jam 2 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

 

“Saya tidak sedar bila dia keluar bermain bersama rakan-rakannya di situ kerana sebelum itu saya dapati dia masih berada di rumah menonton televisyen jam 11 pagi.
“Memang terkejut apabila dimaklumkan dia terjatuh ke dalam lubang pasir berkenaan apatah lagi arwah tidak pernah pun bermain di situ sebelum ini dan saya berasa tidak sedap hati apabila melihat basikal dan seliparnya berada di tepi lubang itu sebelum meminta tolong penduduk kampung mencarinya.
“Bagaimanapun, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terlebih dahulu memberanikan diri masuk ke dalam lubang itu dan menemui mayat Mohd Syamirul yang sudah tidak bernyawa dan kebiru-biruan kira-kira jam 2.30 petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

2,400 guru KAFA dapat pencen – Berita Harian


2,400 guru KAFA dapat pencen
Oleh Asrol Awang

2011/11/26

JAIP perkenal skim persaraan khas pastikan nasib terbela

KUANTAN: Lebih 2,400 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini bakal menikmati skim persaraan khas yang dijangka diperkenalkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), awal Februari depan.

Timbalan Pengarahnya, Datuk Ghazali Abdul Aziz, berkata skim persaraan khas itu adalah hadiah tahun baru kepada guru KAFA yang bersungguh-sungguh membantu meningkatkan pendidikan agama di negeri ini.

“JAIP akan melantik Barakah Consultancy Services sebagai penyelaras bagi merangka plan skim terbaik bagi memastikan nasib guru terbela pada masa depan.

“Skim persaraan ini memastikan semua guru KAFA mendapat jaminan selepas mereka bersara,” katanya selepas sesi Kursus Pidato dan Perucapan Awam bagi Pegawai JAIP di Pusat Pengajian Berterusan dan Pembangunan Profesional (CENFED) Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, semalam.

Ghazali berkata, skim persaraan khas itu mengutamakan tiga aspek penting iaitu simpanan, kebajikan dan perlindungan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penyelia dan guru KAFA memberi sokongan dalam pelaksanaan skim itu bagi membolehkan tenaga pengajar mendapat manfaat.

Sementara itu, Pegawai KAFA JAIP, Radziyuddin Sulaiman menyokong skim persaraan khas itu kerana ia melindungi kepentingan masa depan guru berkenaan.
“Skim itu yang akan mengambil kira khidmat perubatan, khairat kematian dan simpanan masa depan juga menggalakkan guru KAFA memberi perkhidmatan lebih cemerlang,” katanya.