Baucer buku RM200 boleh digunakan tahun depan – Bernama


Baucer buku RM200 boleh digunakan tahun depan

2011/11/27

KOTA BHARU: Baucer buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi pengajian tinggi, yang diumumkan dalam Belanjawan 2012, boleh mula digunakan pada awal pengajian tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor.

Beliau berkata, mekanisme untuk menentukan kaedah menukarkan baucer dengan buku untuk dimanfaatkan penuntut akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin tidak lama lagi.

“Kira-kira 1.2 juta pelajar akan menikmati kemudahan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Kita Cakna Kerjaya Kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Kolej Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Malaysia, Prof Madya Kamarudin Kasim.

Ab Rahim berkata, langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

Dalam Belanjawan 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian baucer buku RM200 kepada semua penuntut warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam.

Terdahulu, dalam ucapannya Abd Rahim berkata, Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi adalah bertujuan untuk menggalak dan memantapkan pembangunan keusahawanan yang lebih terancang dan holistik di kalangan IPT.
“Ini selaras dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan.

“Dasar ini juga adalah usaha kementerian bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah pencapaian negara maju menjelang tahun 2020,” katanya. – BERNAMA

Tukang kebun parah disondol babi hutan 60kg – Kosmo


Tukang kebun parah disondol babi hutan 60kg

KEADAAN Nordin yang cedera akibat diserang babi hutan dan dirawat di HSAH, Alor Setar semalam.

 

SUNGAI PETANI – Seorang tukang kebun sekolah cedera parah akibat disondol seekor babi hutan di pekarangan rumahnya di Kampung Pokok Asam Lama, Bukit Jenun, Pendang dekat sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi ketika mangsa, Nordin Said, 51, sedang tidur di dalam rumahnya.

Menurut adik mangsa, Jaafar Said, 37, (gambar) abangnya kemudian dikejutkan dengan bunyi bising dari halaman rumah.

“Pada mulanya dia menyangka ia bunyi kambing memijak atap zink yang diletakkan di luar rumah.

“Dia kemudian keluar dan melihat kawasan sekitar rumahnya tetapi tiba-tiba seekor babi hutan menyondolnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.

Keriangan berakhir – Metro


Keriangan berakhir

Oleh SURAYA ROSLAN
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Kegembiraan tiga beranak bersama dua rakan mereka yang baru pulang bercuti dari Singapura bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut manakala tiga cedera parah apabila kereta dinaiki terbabas di Kilometer 247, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi, kereta dinaiki empat lelaki dan seorang wanita warga Perancis dipercayai dari arah Singapura ke Kajang terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar tembok dan terbalik, menyebabkan dua daripada mereka maut.
Mereka yang terkorban ialah pemandu kereta, Toh Peng Kee, 54, dan penumpang, D Devanesan, 57, manakala yang cedera, penumpang depan yang juga wanita warga Perancis, Neagu Srancine, 81, dan dua anak kembar Devanesan iaitu Devakumaran serta Devadevan, 13.

 

Metro Ahad difahamkan, Devanesan bertugas sebagai penyunting berita di akhbar The Star, Kuala Lumpur.
Jurucakap polis berkata, Toh mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala Devanesan mati ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini, jam 6.15 pagi semalam.
Tiga mangsa yang cedera parah juga dirawat di hospital sama.

 

 

Menurutnya, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kajang menaiki kereta Nissan Sentra selepas membawa Neagu melancong ke Singapura.
“Kereta dipandu Toh dipercayai gagal dikawal lalu terbabas sebelum terbalik di bahu jalan, menyebabkan mangsa tercampak ke luar kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

“Hasil soal siasat mendapati, kedua-dua mangsa berkawan rapat dan mengenali wanita warga Perancis itu yang dipercayai berkunjung ke negara ini untuk melancong,” katanya.
Menurutnya, dua anak kembar Devanesan pula ingin mengikut ayah mereka melancong ke Singapura pada musim cuti sekolah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang ada maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Mohd Hafidzal Zainal Abidin di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran.

Budak hilang cari kepah ditemui lemas – Utusan


Budak hilang cari kepah ditemui lemas

LUMUT 26 Nov. – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika mencari kepah di Sungai Kampung Seberang Tambang, Manjong, dekat sini semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Mangsa, Kothan Dabani Magindran , 11, ditemui terapung di sungai itu oleh penduduk, pukul 8.50 pagi iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi dia dihanyutkan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, mangsa bersama tiga rakannya mencari kepah di sungai itu pukul 9 pagi dan tidak menyedari air pasang lalu dihanyutkan arus deras.

“Tiga rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal lalu bergegas pulang memaklumkan kepada keluarga mangsa. Mereka kemudian membuat laporan polis pukul 12.15 tengah hari.

“Polis dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Marin dan penduduk menjalankan operasi mencari sehingga pukul 10 malam tadi, tetapi ditangguhkan kerana cuaca gelap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Jamil berkata, operasi mencari disambung pagi ini sehinggalah mayat mangsa ditemui dan dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Budak besar berkhatan jadi tumpuan ramai – Utusan


Budak besar berkhatan jadi tumpuan ramai

Mohd. Aiman Hakimi Hanafi menjadi tumpuan ramai ketika dimandikan bersama-sama kanak-kanak lain pada Program Khatan Perdana Parlimen Baling, Kedah, semalam.

 

BALING 26 Nov. – Seorang kanak-kanak, Mohd. Aiman Hakimi Hanafi, 11, bukan sahaja menjadi tumpuan kerana saiz badannya berbeza daripada kanak-kanak seusianya tetapi saat-saat dia dikhatankan juga menarik.

Dengan berat badan kira-kira 115 kilogram, Mohd. Aiman terpaksa dikhatankan di atas katil mengusung pesakit bagi menggantikan katil biasa kerana dikhuatiri akan patah.

Mohd. Aiman yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Sadik dekat Kupang ditemani ibu bapanya, Hanafi Abdul Wahab, 39, dan Jamilah Awang, 31, agak gugup sebelum dikhatankan dalam majlis Khatan Perdana itu.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut menemani Mohd. Aiman sambil mententeramkannya sebelum dikhatankan oleh Dr. Hamzah Abdul.

Sebanyak enam pembantu paramedik terpaksa dipanggil bagi mengawal kanak-kanak itu daripada meronta kesakitan.

Majlis Khatan Perdana anjuran Kelab Putera 1Malaysia itu mendapat sambutan di luar dugaan apabila disertai hampir 400 kanak-kanak dari seluruh daerah itu.

Abdul Azeez berkata, sambutan luar dugaan itu turut tidak mengambil kira idealogi mereka dan berlangsung selama dua hari dengan bantuan 30 doktor dan 20 paramedik dari seluruh negara.

Ibu dan anak dilapor hilang dalam tragedi feri karam – Bernama


Ibu dan anak dilapor hilang dalam tragedi feri karam

27/11/2011 3:20am

 

SEMPORNA 27 Nov. – Seorang ibu berumur 44 dan anaknya, 14, dilaporkan hilang apabila feri yang membawa lori mereka untuk menyeberang sungai ke Kampung Lihak-Lihak dekat sini karam petang semalam.

Mereka adalah antara tiga orang yang berada di dalam lori itu semasa kejadian tersebut berlaku kira-kira 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Azim Khan Abdullah berkata, adik lelaki kepada wanita berkenaan, yang memandu lori itu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang keluar dari lori tersebut.

Beliau berkata, empat orang yang berada di dalam sebuah kereta dan pekerja feri turut berjaya menyelamatkan diri.

Operasi mencari dan menyelamat oleh anggota Pasukan Gerakan Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang dilakukan. – Bernama