Kementerian Pelajaran tiada kuasa rombak UEC – Ka Siong
KUALA LUMPUR 29 Nov. — Kementerian Pelajaran tidak mempunyai kuasa untuk merombak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dipraktikkan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, ini kerana UEC adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Peperiksaan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia yang mana kurikulum yang disediakan di SMPC tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti yang digariskan dalam Akta Pendidikan 1996.
“UEC bukanlah persijilan peperiksaan yang dikendalikan Kementerian Pelajaran kerana ia diguna pakai di SMPC iaitu institusi pendidikan swasta yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.
“Piawaian dan kawalan terhadap peperiksaan SMPC juga berlainan dengan piawaian sistem peperiksaan kebangsaan, dan Kementerian Pelajaran tidak mengawal taraf piawaian peperiksaan,” katanya menjawab soalan Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis). — Bernama