Mati bersama ibu, kakak – Metro


Mati bersama ibu, kakak

Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Seorang guru tidak sempat menikmati daging rusa ditempahnya apabila dia bersama ibu dan seorang kakaknya terbunuh selepas kereta dinaiki bertembung pacuan empat roda di Jalan Persisiran Pantai Miri-Bintulu, dekat Baram, petang kelmarin.

Loqman Hashim Yusof, 25, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kita, Batu Niah, sejak setahun lalu, bersama ibunya, Zolzabiah Ahmad, 58, serta kakaknya, Hanim, 30, mati di tempat kejadian.

Kejadian berlaku jam 7 malam ketika mangsa bersama ibu dan kakak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Niah, selepas bersiar-siar di bandar raya Miri sempena cuti sekolah.

Menurut rakan serumah mangsa, Mohd Haris Resdi, 31, arwah pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang, terlebih dulu sebelum membawa ibu dan kakaknya bercuti di bandar raya ini.

 
“Ketika menghabiskan cuti, arwah sempat berpesan kepada saya supaya membeli daging rusa, namun saya terkilan kerana tidak sempat menghantar daging itu sebaik dimaklumkan berita buruk menimpa arwah.

Anak sangka bapa tidur – Metro


Anak sangka bapa tidur

Oleh Ahmad Othman
metrojb@yahoo.com
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
AJAL...keadaan Lokman yang tidak bernyawa tersandar pada cermin pintu pemandu. Gambar kecil, Lokman, sakit jantung
AJAL…keadaan Lokman yang tidak bernyawa tersandar pada cermin pintu pemandu. Gambar kecil, Lokman, sakit jantung

KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun menyangka bapanya tertidur ketika memandu sedangkan lelaki berkenaan sebenarnya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi Jalan Pedada, Taman Kota Jaya itu, Dina Alisa Lokman hanya mendiamkan diri apabila kepala bapanya, Lokman Ramlan, 42, tersandar pada tingkap sebelah pemandu sebelum Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berkenaan berhenti perlahan-lahan.
Dia juga masih terus mendiamkan diri apabila orang ramai datang membantu dan hanya menangis selepas pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan bapanya meninggal dunia.

 

Orang ramai menghubungi isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan wanita berkenaan tiba ditemani rakan sekerja sebelum ibu Lokman, Dinah Abu Bakar, 68, sampai bersama kakaknya, Zaleha Ramlan, 49.
Menurut Zaleha, Lokman pernah bekerja di sebuah bank di daerah berkenaan sebelum meletak jawatan setahun lalu untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.
“Lokman mengedar produk hasil pertanian kepada pekedai sekitar bandar ini. Dia tidak pernah mengadu sakit dan gigih bekerja,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HKT.

 

 

Menurut Zaleha, Dina yang juga anak kedua daripada empat beradik tidak faham dengan apa yang menimpa bapanya.
“Dina menyangka bapanya tertidur dan kerana itu dia mendiamkan diri sehinggalah menyedari bapanya sudah tiada lagi.

 

“Walaupun sedih, kami reda dengan kejadian dan menganggapnya sebagai takdir,” katanya.
Seorang lelaki yang enggan dikenali pula menyatakan Lokman serta Dina dilihat bersarapan di sebuah kedai berhampiran lokasi berkenaan sejam sebelum itu.
“Mangsa sempat membelikan aiskrim untuk anaknya sebelum mereka berlalu pergi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian.
“Setiba di Jalan Pedada, mangsa mendapat serangan jantung lalu memperlahankan kereta ke bahu jalan.
“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian Lokman akibat serangan jantung dan jenazahnya dituntut ahli keluarga,” katanya.
Jenazah Lokman dibawa pulang ke Kampung Bukit Lintang, Lukut, untuk dikebumikan.

Dewan Rakyat: Sekolah Wawasan ikut populasi – Berita Harian


Dewan Rakyat: Sekolah Wawasan ikut populasi
Oleh Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2011/12/02

Hanya dibina di lokasi sesuai didiami kaum Melayu, Cina, India seimbang

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan melihat keperluan dan lokasi sesuai sebelum menambahkan lagi bilangan kompleks Sekolah Wawasan yang menggabungkan tiga jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pembinaan kompleks sekolah itu hanya dilaksanakan di kawasan mempunyai populasi Melayu, Cina atau India yang tinggi bagi memupuk integrasi nasional pada peringkat sekolah.

“Secara ideanya kita perlu mendapat satu tempat yang mana populasi merangkumi pelbagai kaum, sebab itu ada kawasan yang hanya ada SK dan SJKT yang mana dua kaum ini mempunyai jumlah agak besar dalam kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, untuk mendapatkan tempat yang ada populasi tiga kaum itu tidak mudah. Sebagai contoh di USJ (kompleks Sekolah Wawasan USJ15) ada populasi Melayu, Cina dan India seimbang, jadi tiada masalah bina sekolah itu.

“Kalau kita buat di Kelantan, mungkin masyarakat India tak ramai, jadi tidak ada keperluan untuk membinanya, justeru ia bukan satu kegagalan cuma harus melihat kepada tempat yang sesuai,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Rashid Din (PKR-Merbok) di sidang Dewan Rakyat, semalam.

Anak ajak rakan rompak ibu sendiri – Utusan


Anak ajak rakan rompak ibu sendiri

 

Oleh HAMDAN TAWADi
pengarang@utusan.com.my

 

BATU PAHAT 1 Dis. – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tergamak melakukan jenayah dengan mengajak rakannya untuk merompak rumah ibunya sendiri di Taman Tanjung Indah di sini.

Remaja yang tidak bersekolah dan dikatakan telah lari dari rumah ibunya sebelum ini, mengajak tiga rakannya untuk memecah masuk kediaman ibunya yang berstatus ibu tunggal dan bekerja di sebuah kilang.

Dua daripada rakannya itu juga remaja lelaki keciciran sekolah berusia 15 dan 17 tahun, manakala seorang lagi berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pemandu bas kilang, kesemua mereka menetap di Gelang Patah, Johor Bahru.

Mereka memecah masuk rumah wanita berusia 42 tahun itu pada 1 November lalu tetapi kecekapan pihak polis berjaya mengesan kesemua suspek yang ditahan secara berasingan pada 25 November lalu di sekitar Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa membuat laporan rumahnya dipecah masuk setelah menyedari mangga pintu gril hadapan rumahnya dipotong dan kehilangan wang tunai RM5,000 serta sebuah komputer riba jenama Acer.

Ketika kejadian, mangsa tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian itu sebaik sahaja pulang bekerja pada pukul 7.40 petang.

“Hasil siasatan polis, semua wang tunai yang dicuri dibahagikan sama rata manakala komputer riba mangsa dijual di sebuah kedai komputer di pusat beli-belah di Plentong, Johor Bahru,” katanya.

Suspek yang berusia 42 tahun dikatakan mengambil semua wang hasil jualan komputer riba itu bernilai RM2,500, berdasarkan penemuan resit jualan di kedai komputer tersebut.

Din berkata, anak mangsa yang ditahan di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru mengaku menjadi perancang dan terlibat dalam jenayah pecah masuk rumah itu manakala tiga lagi rakannya mengaku tidak bersalah.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.

Murid ‘balang’ lega – Utusan


Murid ‘balang’ lega

 

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

 

WARTAWAN Eksekutif Utusan Malaysia cawangan Sungai Petani, Opat Rattanachot menyerahkan cek sumbangan seorang doktor wanita yang enggan dikenali berjumlah RM10,000 dan mesin pembekal oksigen kepada Norizan Yeop untuk kegunaan Mohamad Zulhilmi Marzuki (kiri) di Taman Makmur, Lunas, Kedah, semalam.

 

KULIM 1 Dis. – Keluarga kepada ‘murid balang gas’, Mohamad Zulhilmi Marzuki, 12, yang sebelum ini bimbang kerana mesin pembekal oksigen rosak, lega apabila menerima sumbangan peralatan tersebut daripada seorang doktor wanita hari ini.

Mesin Oxy Concentrator yang bernilai kira-kira RM5,000 itu dikirimkan melalui syarikat pembekal di Pulau Pinang.

Selain itu, doktor bergelar ‘Datin Seri’ yang enggan namanya didedahkan turut mengirimkan cek berjumlah RM10,000 ke pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini untuk diserahkan kepada keluarga kanak-kanak itu.

Ibu murid itu, Norizan Yeop, 44, berkata, dia dan suami amat bersyukur dengan sikap murah hati doktor itu meskipun tidak mengenalinya secara peribadi.

“Kini kami sekeluarga lega kerana masalah yang dihadapi dapat diselesaikan. Terima kasih kepada penderma dan harap Tuhan dapat membalas budi baiknya.

“Saya juga menghargai pihak media yang banyak membantu mendedahkan kisah anak saya ini,” katanya selepas majlis penyerahan cek berkenaan di rumahnya di Taman Makmur, Lunas dekat sini.

Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan kisah Mohamad Zulhilmi yang menghadapi masalah berganda apabila mesin Oxy Concentractor yang digunakan di rumahnya sejak tujuh tahun lalu rosak.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang, Lunas yang memperoleh keputusan 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, menghidap simptom jangkitan paru-paru kronik Bronchiolitis Obliterans sejak berusia empat tahun.

Mohamad Zulhilmi memerlukan mesin pembekal oksigen bagi memastikan sentiasa bernafas ketika tidur pada waktu malam.

Norizan berkata, dia dan keluarga menganggap bantuan tersebut merupakan permulaan yang baik kepada anaknya untuk terus berusaha bersungguh-sungguh mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

“Kami akan terus memberinya semangat supaya berusaha meningkatkan prestasi pelajaran. Biarpun anak saya mempunyai masalah kesihatan, namun kami sekeluarga tidak mahu ia menjadi penghalang kepadanya untuk berjaya,” katanya.

Sementara itu Mohamad Zulhilmi bersyukur dan lebih bersemangat selepas pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan.

“Terima kasih kepada semua, saya berjanji akan belajar rajin-rajin dan harap boleh lanjutkan pelajaran ke luar negara suatu hari nanti,” katanya.

15.9j buku teks selesai diedar ke sekolah November lalu – Utusan


15.9j buku teks selesai diedar ke sekolah November lalu

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengedarkan 15.9 juta buku teks ke sekolah di seluruh negara bermula November lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7.9 juta buku teks judul baru.

“DBP juga telah mencetak semula sebanyak 200 buku teks judul lama, manakala 53 buku teks judul baru dan telah pun diedarkan di sekolah-sekolah bermula bulan lalu.

“Proses pengedaran yang akan mengambil masa selama tiga bulan ini telah bermula pada 1 November lalu untuk sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak, manakala di Semenanjung (15 November),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih anjuran bersama DBP dan pelajar semester lima Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Dekan FPM, Dr. Azman Mat Isa dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Kusni Ahad.

Ditanya mengenai krisis DBP dengan Dawama, Termuzi yang enggan mengulas lanjut berkata, beliau menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah.

Pada 17 Oktober lalu, Dawama memfailkan saman terhadap DBP dan Termuzi atas dakwaan ketua pengarah berkenaan telah mengeluarkan satu kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat terbabit ketika diwawancara dalam program terbitan Radio Bernama, Kerusi Panaspada 24 April lalu.

Menurutnya, jika tugasan mencetak dan menerbitkan buku teks ini tidak diambil alih oleh DBP maka akan timbul pelbagai masalah terutamanya ketiadaan buku teks apabila sesi persekolahan baru dibuka.

“Kami tidak mahu pihak sekolah mahupun ibu bapa ‘menuding jari’ kepada kerajaan sekiranya kegagalan mendapatkan buku teks ini berlaku di sekolah-sekolah anak mereka,” katanya.